Herod Agrippa yang dilahirkan sebagai Marcus Julius Agrippa merupakan anak kepada Aristobulus IV dengan isterinya Berenice, serta cucu kepada Raja Herod Yang Agung. Baginda dinamakan sempena nama Marcus Vipsanius Agrippa, negarawan Rom yang terkenal. Baginda adalah Raja Judah yang terakhir memerintah wilayah yang hampir sama besarnya dengan Wilayah Herod Yang Agung dan dapat menggunakan gelaran Raja setelah pakcik-pakciknya yang mentadbir sebelumnya tidak dapat menggunakan gelaran tersebut.
Pada Tahun 11 SM, Herod Agrippa dilahirkan. Namun begitu, ibubapa Herod Agrippa dihukum bunuh pada Tahun 7 SM. Herod Agrippa yang berusia 3 tahun ketika itu dihantar ke istana Rom oleh Datuknya, Raja Herod Yang Agung. Kaisar Tiberius sangat menyayangi Herod Agrippa dan menempatkan Agrippa bersama anaknya, Drusus. Herod Agrippa seorang lelaki yang suka bermewah-mewahan dan boros dalam perbelanjaan. Semasa perkahwinannya dengan Cyprus, Herod Agrippa telah menghabiskan semua duitnya dalam majlis yang gilang-gemilang dan dikurniakan 5 orang anak. Setelah Drusus meninggal dunia, Agrippa yang dibelenggu hutang terpaksa meninggalkan Rom dan belayar ke Kubu Istana Malatha yang terletak di Selatan Judah. Herod Agrippa hampir membunuh diri kerana tidak dapat menangung hutang keliling pinggang dan bankrupsi.
Tidak lama kemudian, Herod Agrippa kembali ke Tiberias setelah kakaknya, Herodias berkahwin dengan Herod Antipas. Agrippa dikurniakan pangkat sebagai aedile (penyelenggara bangunan) dan mendapat sedikit bayaran. Tidak lama kemudian, Herod Agrippa berselisih faham dengan pakciknya, Herod Antipas dan akhirnya beliau terpaksa bergerak ke Syria. Gabenor Rom di Syria ketika itu ialah Flaccus. Abangnya, Aristobulus juga tinggal di Syria dan sangat kenal dengan masalah kewangan Agrippa. Herod Agrippa cuba mendapatkan kepercayaan Flaccus, namun abangnya membongkarkan perancangan Herod Agrippa dalam permainan duit dengan orang-orang Damaskus untuk kedudukan dalam penjawatan kehakiman, serta membocorkan kegiatan Herod Agrippa kepada Flaccus, Flaccus terus memutuskan sebarang hubungan dengan Herod Agrippa.
Pada Musim Bunga dalam Tahun 36 M, Herod Agrippa tiba di Kota Pelabuhan di Galilee dan bercadang untuk kembali ke ibukota Rom dan bertemu dengan Kaisar Tiberius. Herod Agrippa yang kehabisan duit telah mengarahkan seorang hambanya untuk berhutang sebanyak 20,000 drachma daripada pengusaha ladang mendiang ibunya. Apabila pemberi pinjam itu mengetahui Agrippa yang mahu meminjam, 2,500 drachma dipotong untuk bayaran hutang lamanya. Sebelum Herod Agrippa berjaya mendapatkan kapal untuknya ke Alexandria (Mesir), dia ditahan oleh tentera Rom dari Jamnia kerana hutang sebanyak 300,000 daripada perbendaharaan diraja Rom. Agrippa berjanji akan membayarnya pada keesokan hari. Namun, pada malam hari, Agrippa mencuri kapal dan belayar senyap-senhyap ke Alexandria. Di Alexandria, Herod Agrippa merayu kepada aristokrat Yahudi, Alexander sebanyak 200,000 drachma. Alexander yang bertugas sebagai Alabarch (Pegawai Hal Ehwal Kastam) tidak mahu meminjamkan wang kepada Agrippa, tetapi dia memberikan pinjaman kepada isteri Agrippa, Cyprus. Dia memberikan pendahuluan sedikit untuk pelayaran sahaja ke Petuoli, Itali dan memberikan semua pinjaman tersebut apabila sampai di sana kelak, supaya Agrippa tidak membazirkan wang tersebut sebelum sampai ke destinasinya. Setelah tiba di Petuoli, isteri dan anak-anaknya pulang semula ke Judah.
Setelah tiba di Itali, Agrippa aturkan pertemuannya dengan Kaisar Tiberius di Pulau Capri. Namun begitu, pertemuan ini dibatalkan oleh Kaisar Tiberius setelah berita Herod Agrippa lari dari membayar hutang diraja. Dia dihalang daripada berjumpa maharaja selagi hutang tidak diselesaikan. Agrippa berjumpa dengan Antonia, ibu kepada Claudius dan berjaya mendapatkan pinjaman melebihi hutangnya. Herod Agrippa berjaya membayar hutang diraja Rom dan situasi ini membolehkan Herod Agrippa berjumpa dan berkhidmat semula di bawah Kerajaan Rom. Tiberius memberikan Herod Agrippa tanggungjawab menjaga dan mengajarkan cucunya, Tiberius Gemellus yang berusia 16 tahun ketika itu. Setelah itu, Agrippa berjaya mendapatkan pinjaman sejumlah 1 juta drachma daripada hamba Kaisar Tiberius dan menyelesaikan hutangnya terhadap Antonia. Baki wang tersebut digunakan untuk merapatkan diri dengan Caligula yang berusia 23 tahun pada ketika itu.
Herod Agrippa memohon Caligula untuk membantu kewangannya yang teruk dibelenggu hutang. Namun begitu, Caligula hanya dapat membantu jika dia menjadi Kaisar Rom. Agrippa menyokong penuh Caligula merampas kuasa dan menaiki takhta Rom. Kata-kata Agrippa ini didengari oleh pembantu Tiberius, lalu dia dipenjarakan.
Pada Tahun 37M, Kaisar Tiberius mangkat, lalu Caligula menaiki takhta Rom. Herod Agrippa dibebaskan dan dikurniakan wilayah pakciknya, Herod Philip yang meninggal dunia pada Tahun 34M. Wilayah Batanea, Gaulanitis, Trachonitis, Paneas dan Lysanias menjadi sebahagian daripada wilayahnya. Agrippa masih menetap di ibukota Rom sehingga tahun 38M. Pada awal musim panas, Caligula menghantar Agrippa ke Alexandria dalam misi diplomasi kerana Gabenor Flaccus tidak dapat menghentikan protes anti-semitik di Mesir. Agrippa mengahwinkan anaknya, Berenice dengan Marcus, anak kepada Alexander yang membantu kewangannya sebelum ini dan protes dapat dihentikan.
Seterusnya, Herod Agrippa pulang ke kerajaannya di Batanea dengan gelaran Raja Herod Agrippa. Ketika itu, sebahagian wilayahnya telah dikuasai oleh penjahat. Pekerjaan pertama Agrippa ialah memerangi golongan penjahat ini dan menguasai semula wilayahnya. Herodias yang mengetahui adiknya telah menaiki takhta sebagai “Raja Yahudi” telah menghasut suaminya, Herod Antipas untuk berjumpa dengan Caligula bagi mendapatkan gelaran tersebut daripada Agrippa. Pada Tahun 39M, Herod Antipas telah belayar ke Rom untuk menuntut takhta tersebut daripada Caligula. Namun begitu, Herod Agrippa telah mengetahui niat jahat pakciknya (merangkap abang iparnya) telah pergi ke Rom dan membongkarkan hubungan Antipas dengan Sejanus, pengkhianat yang telah membunuh abangnya Nero dan Drusus sebelum dihukum mati pada Tahun 31M dan Antipas juga mempunyai hubungan yang baik dengan Kerajaan Parthia, musuh tradisi Rom. Mendengarkan perkhabaran tersebut, Caligula menjadi berang dan melucutkan jawatan Tetrarch daripada Herod Antipas, semua harta bendanya dirampas dan dibuang le Lyon, Perancis. Isterinya Herodias diberi pilihan untuk bercerai atau menerima nasib yang sama seperti Antipas. Namun Herodias setia dengan Antipas dan memilih hidup dalam buangan bersama suaminya. Caligula memberikan wilayah Herod Antipas iaitu Galilee dan Perea kepada Herod Agrippa dan wilayahnya bertambah besar.
Pada Tahun 40M, orang-orang Rom tidak berpuas hati dengan penduduk yahudi yang tidak menghormati kekaisaran Rom dan menghantarkan bantahan kepada Kaisar Caligula kerana orang Yahudi tidak mendirikan patung emas Caligula sebagai Tuhan seperti di wilayah Rom yang lain. Caligula melantik Petronius sebagai Legate Syria dan diberikan tugas untuk mendirikan patung emas Caligula di Baitul Maqdis. Sesiapa yang menghalang akan dibunuh atau dijual sebagai hamba. Semasa Petronius sampai ke Kota Ptolemais dengan tiga ketumbukan (legion) tentera Rom dan tentera Syria yang sangat ramai, berpuluh ribu orang Yahudi berhimpun di Ptolemais untuk memohon Petronius membatalkan hasrat mereka mendirikan patung pagan Rom. Protes yahudi dengan bilangan yang sangat ramai juga berlangsung sepanjang Petronius bergerak dari Ptolemais ke Galilee dan Tiberias selama 40 hari. Petronius terpaksa menangguhkan pembinaan berhala Caligula di Jerusalem.
Dalam masa yang sama, Herod Agrippa mengadakan jamuan yang gilang gemilang di Rom serta menjemput Caligula ke jamuan tersebut. Dalam jamuan itu, Herod Agrippa memohon Caligula tidak mendirikan berhala dirinya di Baitul Maqdis. Kagum dengan keberanian Herod Agrippa, Caligula menghantar surat kepada Petronius untuk tidak mendirikan patung dirinya jika belum berbuat demikian jika Petronius belum mendirikannya. Petronius membalas surat tersebut dengan mengatakan bahawa mereka belum mendirikan patung tersebut. Caligula menjadi berang dan menyuruh Petronius bunuh diri di atas kelewatannya menyelesaikan tugasan.
Namun begitu, pada awal Tahun 41M, Caligula mangkat dibunuh dan Claudius ditabalkan menjadi kaisar yang baharu. Herod Agrippa memainkan peranan yang sangat besar dalam pertabalan tersebut dan Claudius mengurniakan Wilayah Judah dan Samaria kepada Herod Agrippa menjadikan Wilayahnya hampir sama dengan wilayah datuknya, Herod Yang Agung. Oleh kerana ribut yang melanda, surat terakhir Caligula kepada Petronius sampai selepas kemangkatannya dan Petronius terselamat daripada hukuman membunuh diri. Claudius mengeluarkan dua peraturan khas; mengutuk tindakan Caligula dan mengesahkan perlindungan Rom terhadap Hak Beragama orang Yahudi.
Herod Agrippa kembali ke Baitul Maqdis sebagai Raja Yahudi. Baginda sangat berhati-hati dalam mendalami adat istiadat agama yahudi serta mengeluarkan duit untuk membayar nazar kaum Yahudi. Di samping itu, baginda sangat menggemari kepercayaan Yahudi Ortodoks serta membaca Kitab Taurat bagi menunjukkan kealimannya. Baginda cuba mengambil hati orang yahudi dengan sebaiknya. Baginda membuat pengecualian cukai perumahan dan dengan kerjasama Petronius, baginda membersihkan sinagog-sinagog daripada patung atau gambar Caligula yang dipasang oleh orang-orang Rom di Palestin. Baginda juga membina tembok baharu di Baitul Maqdis namun pembinaan kubu dihentikan untuk menjaga hati Claudius. Herod Agrippa juga perlu menjaga hati kekaisaran Rom. Baginda membangunkan Kota Berytus (Beirut di Lubnan) sebagai Kota Yunani yang hebat dan menyiapkan jaringan aqueduk di Palestin.
Tindakan Herod Agrippa menjadikannya seorang Raja yang disayangi oleh masyarakat Yahudi. Namun begitu, sekta keagamaan Yahudi telah bergelumang dengan penyelewengan demi penyelewengan. Keadaan ini menyebabkan golongan Hawari yang terdiri daripada 12 orang pendakwah (dipanggil apostles) yang bermula di Galilee semakin meluas pengaruh mereka dalam membersihkan Palestin daripada penyelewengan orang yahudi. Tindakan ini tidak disenangi oleh para Rabbi Yahudi (Pharisee) dan menyebabkan Raja Herod Agrippa menekan golongan Hawari dan penganut ajaran baharu iaitu Agama Kristian (Nasrani). Pada Tahun 44 M, Herod Agrippa telah menghukum bunuh seorang golongan Hawari iaitu Ya’kob (Apostle James, anak Zebedee) dan memenjarakan ketua Hawari yang bernama Sim’on Bar Yona (Apostle Simon Peter). Herod Agrippa adalah musuh kepada agama Kristian.
Pada tahun yang sama, Herod Agrippa menyediakan keraian di Caesarea Maritima untuk meraikan Kaisar Claudius yang hadir ke sana. Dalam keraian itu, Agrippa yang berusia 54 tahun meninggal dunia dengan kesakitan yang sangat dahsyat selepas dia mengakui dirinya disamakan dengan Tuhan apabila diseru oleh kaumnya. Dalam Kitab Perjanjian Baharu (New Testament), Herod Agrippa mati dimakan oleh cacing selepas malaikat menghentamnya kerana tidak memuji Tuhan selepas disembah oleh kaumnya.
Selepas kemangkatan Herod Agrippa, anaknya Herod Agrippa II yang berusia 17 Tahun menjadi Raja Yahudi terakhir dalam dinasti Herod. Namun begitu, Claudius membawanya ke Rom kerana baginda masih mentah dalam pentadbiran dan melantik Cuspius Fadus sebagai Procurator Judah.
Rujukan:
Josephus, F. (Kemaskini 2017), Antiquities of The Jews, Translated by William Whiston, Project Gutenberg (kemaskini terakhir pada 9 Ogos 2017), Utah, Project Gutenberg Literary Archive Foundation
http://www.jewishencyclopedia.com, The unedited full-text of the 1906 Jewish Encyclopedia, dilayari pada 13 November 2018.
Herod Agrippa I (Kemaskini 2016), http://www.livius.org/articles/person/herod-agrippa-i/, dilayari pada 14 November 2018.
Michael K. Olmsted (2017), Herod Agrippa I: A Zealous King, Formation, Smyth & Helwys Publishing inc.
A.J.M. Kropp (2013), Crowning the Emperor an unorthodox image of Claudius, Agrippa I and Herod of Chalkis, Syria Archaelogy, Open Edition Journal
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih