Istilah Hermeneutik berasal dari perkataan Greek Hermēneuein yang bermaksud menyatakan atau bercakap, menafsirkan atau menjelaskan dan menterjemahkan. Namun, secara umumnya istilah ini telah menjadi suatu bidang ilmu yang berubah dan berkembang.

Definisi istilah ini berlaku perselisihan padanya. Pokoknya, ia membahaskan tentang kefahaman manusia terhadap sesuatu teks dan huraian teks itu sendiri. Ataupun kajian terhadap prinsip-prinsip metodologi dalam memahami sesuatu teks. Dan tujuannya adalah untuk memahami sesuatu teks itu seperti penulis memahaminya atau bahkan lebih baik daripada penulis.

Profesor Richard E Palmer merumuskan bahawa Hermeneutik berkait rapat dengan Hermes, seorang utusan tuhan Greek Kuno yang menjadi perantara manusia dan tuhan. Hermes dianggap suci kerana dipertanggungjawabkan untuk menghuraikan kehendak tuhan kepada manusia.

Begitu juga kaedah Hermeneutik ini dianggap cara penghuraian yang menghubungkan penulis dan pembaca. Pendekatan Hermeneutik berkembang meluas untuk memahami teks-teks sejarah dan juga kitab-kitab agama seperti Kristian (Biblical Hermeneutic) dan kitab agama Yahudi.

Hermeneutik terpecah kepada aliran objektif dan subjektif. Sercara ringkasnya, kita fahami aliran ini dengan:

  • Aliran Hermeneutik Objektif

Memahami teks melalui tatabahasa dan psikologi penulis. Menurut aliran ini, seseorang yang menulis itu dipengaruhi oleh apa yang telah dia lalui dan tahu sepanjang hidupnya.

Contohnya Sayyid Qutub yang mengarang tafsir Fī Zilãl Al-Qurãn ketika beliau dipenjarakan atas sebab menentang keputusan kerajaan. Penulisannya sedikit sebanyak akan menzahirkan kesan pada karangannya. Dan dengan menekuni tatabahasa dan psikologi penulis inilah kefahaman terhadap sesuatu teks itu boleh dicapai. Itulah perkara yang aliran ini cuba ketengahkan.

  • Aliran Hermeneutik Subjektif

Aliran ini menafikan kaedah aliran objektif kerana menurut aliran ini, kefahaman seseorang terhadap sesuatu teks itu telah dipengaruhi oleh sejarahnya, kajian-kajian dan andaian-andaiannya terdahulu dan menyebabkan berlaku prejudis dalam kefahaman pembaca tersebut.

Setiap orang mempunyai sejarah yang berbeza. Maka kefahaman yang terhasil juga akan berbeza. Dan setiap orang mampu memperkaya lagi pemahamannya terhadap teks melebihi pemahaman penulisnya sendiri.

Dalam konteks penafsiran al-Quran, kaedah Hermeneutik mula diketengahkan oleh beberapa Modenis Islam akhir abad ke-20 seperti Fazlur Rahman di Pakistan, Nasr Hamid Abu Zaid di Mesir dan Mohammed Arkoun di Algeria.

Mereka memgkritik dan menganggap kefahaman para ilmuan Islam terhadap al-Quran dan penafsirannya sebagai tidak sempurna dan hanya berdasarkan logik zaman dahulu.

Lalu mereka mengetengahkan beberapa metode yang digunakan dalam menafsirkan al-Quran antaranya ialah Double Movement.

Pendekatan Double Movement ini bertitik tolak daripada pemerhatian terhadap situasi terkini, kemudian membandingkannya dengan situasi zaman sesuatu ayat diturunkan dan kemudian kembali semula ke masa kini.

Pada langkah pertama, yang perlu dilihat adalah sebab turunnya sesuatu ayat dan apakah permasalahan yang berlaku sehingga menyebabkan ayat diturunkan.

Seterusnya mencari apakah tujuan umum ketetapan sesuatu hukum daripada ayat  tersebut yang sesuai dengan latar sosial pada masa itu.

Selepas dinilai semua perkara tersebut, langkah kedua adalah menyesuaikan pelaksanaan tujuan hukuman tersebut dengan zaman dan latar sosial pada masa kini.

Sebagai contoh, pengharaman arak secara mutlak berlaku kerana ia memabukkan dan menghilangkan pertimbangan, menjauhkan muslim dari nilai-nilai Islam. Sebab diturunkan ayat pengharaman arak secara mutlak tersebut merupakan susulan daripada pengharaman sebelumnya yang hanya mengharamkan meminum arak dan mabuk ketika dalam solat.

Meniliti tujuan utama pengharaman arak tersebut, iaitu memabukkan dan menjauhkan seseorang muslim dari nilai-nilai Islam, mereka menyesuaikannya pada masa kini. Iaitu arak tidak haram kalau ia tidak memabukkan. Dan arak tidak haram selagi seseorang itu tidak hilang pertimbangan dan masih berpegang pada nilai-nilai Islamnya.

Begitu juga dengan hal persaksian dalam al-Quran. Iaitu dua orang saksi lelaki yang tidak mampu ditemukan diganti dengan seorang saksi lelaki dan dua orang saksi wanita. Mereka melihat tujuan penetapan tersebut kerana keterbatasan sosial wanita pada zaman itu yang menyebabkan dua orang saksi wanita bersamaan dengan seorang saksi lelaki.

Lalu menyesuaikan hal tersebut pada zaman ini, yang mana wanita tidak lagi dibelenggu keterbatasan seperti zaman dahulu. Maka persaksian seorang wanita sama seperti seorang lelaki.

Inilah konsep pemahaman mereka terhadap al-Quran. Keterbukaan melampau dalam menafsirkan ayat-ayat al-Quran telah membawa kepada suatu had kebiadapan kerana menyentuh dan mengkritik penetapan hukum yang sabit sepanjang zaman.

Hermeneutik adalah pendekatan yang digunakan agama selain Islam untuk memahami kehendak teks kitab-kitab mereka. Hal ini kerana tiada wujudnya kejelasan pada periwayatan dan kandungan teks itu sendiri, yang mendedahkan ia kepada sebarang kritikan dan membuka ruang untuk ia difahami dengan cara yang berbagai oleh sesiapa saja.

Adapun al-Quran itu sangat jelas sumber periwayatannya dan jelas juga kandungannya, maka pendekatan para ulama dalam menafsirkannya menggunakan kaedah tafsir dan takwil adalah tepat dan tidak goyah.

RUJUKAN:

  1. Firdaus, A. (n.d). Hermenutik Double Movement Fazlur Rahman https://www.slideshare.net/mobile/aristophanfirdaus1/hermenutik-double-movement-fazlur-rahman
  2. White, E. (2018, June) How Biblical Interpretations, or Hermeneutics of The Bible, Affect The Way We Read The Scriptures https://www.biblicalarchaeology.org/daily/biblical-topics/bible-interpretation/defining-biblical-hermeneutics/

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Muhammad Fateh bin Abdul Shukor. Pelajar Usuluddin di Universiti Al-Azhar. Mempercayai ilmu sebagai teras tamadun, bahasa dan penulisan sebagai penghubung.

Comments are closed.