Pertempuran Yarmuk merupakan salah satu daripada pertempuran yang paling hebat dalam sejarah dan ketamadunan Islam. Pertempuran ini menemukan angkatan tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid bin Walid menentang bala tentera kerajaan Rom yang diketuai oleh Tazariq (Theodorus Trithurius). Pertempuran Yarmuk ini berlaku pada akhir-akhir Kekhalifahan Abu Bakar al-Siddiq (13H/634 M) berdekatan dengan Sungai Yarmuk yang merupakan salah satu sungai di Jordan.
Menurut Ibnu Kathir, pasukan Romawi Timur ini telah membawa hampir 240, 000 tentera. Kira-kira 80, 000 pasukan berkuda, 80, 000 pasukan infantri dan 80,000 selebihnya merupakan tentera berjalan yang diikat dengan rantai di kaki mereka. Namun Saif bin Umar berkata bahawa pasukan yang dirantai tersebut hanya berjumlah 10, 000 dan setiap sepuluh individu akan dirantai di bahagian kaki untuk mengelakkan mereka lari ketika pertempuran. Tentera Islam pula hanya berjumlah sekitar 30, 000-40,000 bahkan Saif bin Umar meriwayatkan bahawa dalam bilangan tentera muslimin itu terdapat kira-kira 1,000 orang sahabat baginda ﷺ. 100 orang daripada jumlah tersebut pula merupakan para pejuang Badar.
Pertempuran besar ini telah mengakibat sejumlah kema.tian yang besar di kedua-dua belah pihak. Tentera Romawi kehilangan kira-kira 45-50 peratus daripada jumlah asal manakala tentera Islam yang gugur syahid dianggarkan sekitar 3000 orang.
Antaranya ialah Ikrimah bin Abu Jahal yang bertindak mengumpulkan para pejuang berani ma.ti syahid dengan menyeru, “Wahai Kaum Muslimin, aku dahulunya meme.rangi Nabi Muhammad ﷺ, tetapi hari ini aku akan membela agama-Nya. Apakah ada di kalangan kamu yang mahu membaiahku untuk syahid bersama?” Seruan jihadnya itu kemudiannya dibaiah oleh bapa saudaranya, al-Harith bin Hisyam dan Dhirar b Azur yang lantas dituruti oleh kira-kira 400 orang yang lain. Mereka berlari kencang ke arah musuh dengan pedang terhunus tajam, menghayun ke kiri dan kanan sehinggalah syahid yang dicita-citakan menjadi kenyataan.
Setelah hampir seminggu pertempuran tersebut, maka tentera Islam beroleh kemenangan setelah pasukan Rom tersebut bersama panglima mereka Tazariq melarikan diri daripada petempuran. Tetapi akhirnya, Tazariq berjaya dibu.nuh oleh tentera Islam. Sisa-sisa pasukan Rom yang terselamat pula menganjakkan kaki ke Antaqia dan memberitahu Heraclius (Maharaja Rom) bahawa pertempuran tersebut telah dimenangi oleh orang Islam.
RAHSIA KEMENANGAN
Ketika mereka sampai ke Antaqia maka Heraclius yang berang bertanya kepada mereka dengan lancang, “Celakalah kalian! Beritahu kepadaku tentang musuh yang kalian pe.rangi. Bukankah mereka sama manusia seperti kamu”. Mereka menjawab perlahan, “Ya”.
Kemudian Heraclius bertanya lagi, “adakah jumlah kamu semua lebih banyak daripada mereka atau sebaliknya?”. Para tentera tersebut menjawab, “jumlah kami berlipat kali ganda lebih banyak daripada mereka.” Heraclius yang tidak berpuas hati kemudian bertanya lagi, “lalu, bagaimana mungkin kamu semua beroleh kekalahan?”
Maka bangunlah seorang tentera yang paling senior di antara mereka dan berkata, “kami kalah kerana mereka solat di malam hari, berpuasa di siang hari, mereka bahkan menepati janji, menyeru kepada perkara ma’ruf dan mencegah kemungkaran serta saling jujur sesame mereka. Sedangkan kami semua gemar meminum khamar, berzina, memungkiri janji, membuat kezaliman dan kerosakkan di bumi”. Mendengar jawapan itu, Heraclius lalu berkata ringkas, “Engkau sememangnya benar”.
Heraclius kemudiannya mengucapkan salam perpisahan kepada tanah jajahannya itu dengan berkata, “selamat tinggal Syam, tanah jajahanku yang indah. Sekarang engkau menjadi milik musuh.” Akhirnya Heraclius membawa diri dari Antaqia menuju ke Kota Konstantinopel, Ibu Kota Kerajaan Rom Timur.
RUJUKAN:
Ibnu Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah.
Muhammad as-Sallabi. The Biography of Abu Bakar, trans. Faisal Shafeeq.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih