Di dalam kitab suci agama Islam, Quran, Allah swt merakamkan tragedi kemusnahan kaum Thamud, kaum yang sangat bijak dan kuat dalam membina bangunan daripada pahatan batu-batu di gunung sebelum senibina seperti ini diaplikasikan oleh bangsa Nabatean dan Madyan. Benarkah kaum ini dimusnahkan Allah swt sepertimana yang dikisahkan dalam sirah Nabi Saleh a.s?
THAMUD: KEMUNGKARAN YANG MELENYAPKAN SEGALANYA.
1. DALIL AL-QURAN.
Kisah Nabi Saleh a.s bersama bangsa Thamud difirmankan Allah swt di dalam Quran, surah:
Al A’raf ayat 73-79.
Hud ayat 61-68.
Al Hijr ayat 80-84.
Al Isra’ ayat 59.
Asy Syu’ara’ ayat 141-159.
As Sajdah ayat 17-18.
An Naml ayat 45-53.
Al Qomar ayat 23-32.
Asy Syam ayat 11-15.
Di dalam al-Quran, surah as-Syura ayat 142 sehingga 150 mengisahkan bagaimana Nabi Saleh a.s mengajak bangsa Thamud untuk menyembah Allah swt, mengikut Tafsir al-Jalalain:
141. Kaum Tsamud telah mendustakan rasul-rasul.
142. Ketika saudara mereka, Saleh, berkata kepada mereka: “Mengapa kamu tidak bertakwa?”.
143. Sesungguhnya aku adalah seorang rasul kepercayaan (yang diutus) kepadamu.
144. Maka bertakwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku.
145. Dan aku sekali-kali tidak minta upah kepadamu atas ajakan itu, upahku tidak lain hanyalah dari Tuhan semesta alam.
146. Adakah kalian akan dibiarkan tinggal di sini (bergelumangan) dengan kebaikan-kebaikan (dengan aman).
147. Di dalam kebun-kebun serta mata air.
148. Dan tanam-tanaman dan pokok-pokok kurma yang mayangnya lembut.
149. Dan kamu pahat sebahagian dari gunung-gunung untuk dijadikan rumah-rumah dengan rajin.
150. Maka bertakwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku.
Tetapi, ajakan dan seruan Nabi Saleh a.s untuk bangsa Thamud tidak dihiraukan, sehinggalah mereka meminta bukti bahawasanya Nabi Saleh a.s benar-benar seorang utusan Allah swt. Nabi Saleh a.s mendoakan kepada Allah swt untuk menunjukkan kebenaran kerasulanNya. Kisah selanjutnya berdasarkan surah al-A’raf ayat 73 sehingga 79, iaitu:
73. Dan (Kami telah mengutus) kepada kaum Tsamud saudara mereka Saleh. Dia berkata: “Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada Tuhan bagimu selainNya. Sesungguhnya telah datang bukti yang nyata kepadamu dari Tuhanmu. Unta betina Allah ini menjadi tanda bagimu, maka biarkanlah dia makan di bumi Allah, dan janganlah kamu mengganggunya dengan gangguan apapun, (yang kerananya) kamu akan ditimpa seksaan yang pedih.
74. Dan ingatlah olehmu di waktu Tuhan menjadikan kamu pengganti-pengganti (yang berkuasa) sesudah kaum ‘Aad dan memberikan tempat bagimu di bumi. Kamu mendirikan istana-istana di tanah-tanahnya yang datar dan kamu pahat gunung-gunungnya untuk dijadikan rumah, maka ingatlah nikmat-nikmat Allah dan janganlah kamu berkuasa di muka bumi membuat kerosakan.
75. Pemuka-pemuka yang menyombongkan diri di antara kaumnya berkata kepada orang-orang yang dianggap lemah yang telah beriman di antara mereka: “Tahukah kamu bahwa Saleh diutus (menjadi rasul) oleh Tuhannya?”.
Mereka menjawab: “Sesungguhnya kami beriman kepada wahyu, yang Saleh diutus untuk menyampaikannya”.
76. Orang-orang yang menyombongkan diri berkata: “Sesungguhnya kami adalah orang yang tidak percaya kepada apa yang kamu imani itu”.
Berdasarkan wahyu Quran di atas, setelah Nabi Saleh a.s menyeru bangsa Thamud untuk menyembah Allah swt, mereka telah meminta bukti kepada baginda untuk menunjukkan bukti bahawasanya seorang utusan Allah swt. Bangsa Thamud berjanji, sekiranya kebenaran telah ditunjukkan, maka mereka akan beriman kepada Allah swt dan mengakui Nabi Saleh a.s sebagai utusanNya.
2. CERITA BERDASARKAN TAFSIR QURAN.
Dalam buku ‘The Greatest Stories of Al-Quran’ oleh Syeikh Kamal As Sayyid mengisahkan, adanya sebuah batu yang besar di atas gunung yang dipercayai disembah oleh bangsa Thamud dan mereka meyakini sebagai Tuhan mereka. Kisah ini didalilkan di dalam surah al-A’raaf ayat 73.
73: Sesungguhnya telah datang bukti yang nyata kepadamu dari Tuhanmu. Unta betina Allah ini menjadi tanda bagimu, maka biarkanlah dia makan di bumi Allah, dan janganlah kamu mengganggunya dengan gangguan apa pun, (yang kerananya) kamu akan ditimpa seksaan yang pedih.
Makanya diantara bangsa Thamud tersebut, mereka mencabar kepada baginda untuk mengeluarkan unta dari batu yang disembah oleh mereka itu. Dengan izin Allah swt, setelah berdoa dan menuding jari ke arah batu tersebut, maka pecahlah batu itu dan keluarlah seekor unta betina. Masyarakat Thamud yang menyaksikan peristiwa tersebut meyakini dan mempercayai kerasulan Nabi Saleh a.s. Diantara bangsa Thamud, hanya para bangsawan sahaja yang tidak mengimani kepada Allah swt ingkar kepada perjanjian mereka dengan Nabi Saleh a.s. Setelah tiga hari kemudian, unta betina tersebut melahirkan seekor anak unta jantan. Unta betina dan anaknya tinggal di sebuah lembah yang ada sumber mata air, tidak jauh dari kota bangsa Thamud. Keyakinan para penduduk Thamud makin kukuh, sehinggakan sembilan orang bangsawan ini sakit hati dan cemburu dengan Nabi Saleh a.s. Bukti ini dapat dilihat di surah al-Naml ayat 48.
48: Dan di kota itu ada sembilan orang laki-laki yang membuat kerusakan di muka bumi dan mereka tidak berbuat (membawa) kebaikan.
Bangsawan Thamud yang berkuasa merancang untuk membunuh dua ekor unta tersebut dengan menghantar seorang rakyat Thamud yang terkenal dengan kebengisannya. Nama pembunuh tersebut adalah Haydar. Haydar bersama sembilan orang bangsawan Thamud bersepakat menuju ke tempat yang sering dilewati oleh dua ekor unta tersebut. Libasan pedang Haydar berjaya membunuh unta betina tersebut lalu anak unta jantan itu pula dibunuh oleh sembilan orang bangsawan yang menyertai pakatan terbabit. Nabi Saleh a.s dan pengikutnya yang menyedari kehilangan dua ekor unta tersebut pun mencari di merata tempat. Yang hanya ditemukan hanyalah tompokan darah di atas tanah. Bangsawan Thamud yang gembira dan bangga berkata sepertimana di dalam surah al-A’raf ayat 77.
77: Kemudian mereka sembelih unta betina itu dan mereka menjadi angkuh terhadap perintah Tuhan. Dan mereka berkata: “Hai Saleh, datangkanlah apa yang kamu ancamkan itu kepada kami, jika (betul) kamu termasuk orang-orang yang diutus”.
Maka Nabi Saleh a.s yang bersedih dengan sikap umatnya tersebut berkata tentang kedatangan azab Allah swt setelah mendapat wahyuNya, di dalam surah al-Hud ayat 65.
65: Bersukarialah kamu sekalian di rumahmu selama tiga hari, itu adalah janji yang tidak dapat didustakan.
Maka Nabi Saleh a.s menyeru kepada yang terlibat dalam pembunuh unta tersebut untuk tampil memohon maaf. Tempoh ini diberikan selama tiga hari sahaja. Dalam tiga hari tersebut Allah swt telah mendatangkan sebuah awan mendung. Awan yang menutupi dada langit Thamud tanpa bergerak, tanpa hujan mahupun tiupan angin yang kuat. Pada malam harinya, sembilan orang bangsawan dan segolongan dari orang yang menentang Nabi Saleh a.s berkumpul di suatu tempat dan berbincang bagaimana ingin membunuh baginda. Rancangan mereka dikisahkan di dalam surah al-Naml ayat 49 hingga 50.
49: Mereka berkata: “Bersumpahlah kamu dengan nama Allah, bahawa kita bersungguh-sungguh akan menyerangnya secara mengejut berserta ahli keluarganya di malam hari, kemudian kita katakan kepada ahli warisnya (bahawa) kita tidak menyaksikan kematian keluarganya itu, dan sesungguhnya kita adalah orang-orang yang benar”.
Mereka merancang untuk membunuh Nabi Saleh a.s secara sembunyi-sembunyi sepertimana mereka membunuh unta betina yang dikirimkan Allah swt. Tetapi rancangan mereka terkubur apabila Allah swt menghantar bala. Sebuah batu besar menghentam mereka dengan mengejut dan mereka semua mati terkambus tanpa tanda.
50: Dan mereka merencanakan rancangan dengan sungguh-sungguh dan Kami merencanakan rancangan (pula), sedang mereka tidak menyadari.
Selepas dua hari berlalu, pada pagi hari ketiga, Allah swt telah menunaikan janjiNya kepada hambaNya yang derhaka. Awan yang memayungi langit kota Thamud mengeluarkan panahan petir yang dahsyat dan mematikan serta gegaran gempa bumi yang meluruhkan keberanian manusia. Bumi menyaksikan azab yang menakutkan buat kali kedua sepertimana yang berlaku ke atas kaum Nabi Hud a.s.
Peluang kedua dan seterusnya tiada lagi buat kaum Thamud. Yang hanya ada, azabNya yang tidak kenal ampun. Mayat-mayat kaum Thamud derhaka bergelimpangan di atas muka bumi. Bangunan yang dibina oleh mereka rebah ke bumi. Segala harta kemewahan dunia mereka terkambus dibawah tanah. Kemajuan yang dikecapi mereka menjadi debuan sejarah tidak sampai beberapa minit. Yang cuma terselamat daripada azab ini hanyalah Nabi Saleh a.s dan para pengikutnya. Di dalam surah al-Araf ayat 78.
78: Kerana itu mereka ditimpa gempa bumi, maka jadilah mereka mayat-mayat yang bergelimpangan di tempat tinggal mereka.
Setelah berakhirnya azab ini, Nabi Saleh a.s keluar dari tempat perlindungan bersama pengikutnya. Baginda melihat suasana kota Thamud yang tidak seperti dahulu, suasana yang kelam lagi suram. Tiada lagi mendengar suara yang indah, hanya hembusan angin yang kosong tanpa tanda kehidupan. Maka Nabi Saleh a.s berkata sepertimana di dalam surah al-Araf ayat 79.
79: Wahai kaumku, sesungguhnya aku telah menyampaikan kepadamu amanat Tuhanku, dan aku telah memberi nasihat kepadamu, tetapi kamu tidak menyukai orang-orang yang memberi nasihat.
Maka begitulah pengakhiran kisah hidup bangsa Thamud di atas muka bumi ini. Tidak semua bangsa Thamud dilenyapkan oleh Allah swt dan mereka yang terselamat ini pula menyebar ke daerah dan mengalami amilisasi dengan bangsa lain di semenanjung Arab.
HEGRA: KOTA PERDAGANGAN RANTAU ARAB.
Berdasarkan kisah Quran di atas, kita akan mencari tahu pada zaman apakah yang dilalui oleh Nabi Saleh a.s, iaitu rentang waktu yang tidak terlalu jauh dengan kemusnahan kota Iram, yang didirikan oleh kaum Ad di Rub-Khali. Selain itu, kita akan melihat pada ciri-ciri kaum Thamud, lokasi yang disyaki diturunkan azab dan segala yang bersangkut paut daripada kisah Nabi Saleh a.s.
1. LOKASI DAN SEJARAH NAMA.
Nama penuh Nabi Saleh adalah Saleh bin Ubaid bin Jubair bin Thamud.
Nama moyangnya, Thamud bin Amir bin Iram bin Sam bin Nuh.
Thamud merupakan nama moyang kepada Nabi Saleh a.s dan cucu kepada Nabi Nuh a.s. Nabi Saleh a.s sendiri merupakan keturunan keenam Nabi Nuh a.s.
Kota Madain Saleh digelar dengan pelbagai nama seperti al-Hijr (Kota Batu) lalu dalam pembelajarannya di Barat dikenali pula sebagai Ancient City of Hegra. Nama Madain Saleh pula dipanggil kerana kota ini yang mempunyai kaitan dengan kisah sejarah Nabi Salleh a.s. Sekarang, lokasi tapak kota kuno ini terletak 22 km di timur laut al-U’la, daerah kota Madinah al-Munawwarah.
2. JALUR PERDAGANGAN.
Dulunya, Hegra dikenali sebagai pusat jaringan yang menghubungkan jalan perdagangan diantara wilayah Arab selatan, Mesopotamia, Levant dan Mesir. Jalur utama perdagangan darat di selatan Arab terbahagi kepada dua pada waktu ini iaitu pertama melintasi wilayah Tabuk lalu berakhir di kota Petra dan kedua melintasi kota Tayma lalu berakhir di wilayah Mesopotamia. Dengan adanya dua buah jalur perdagangan diantara selatan dan utara ini, maka kewujudan kota Hegra dijadikan sebagai pusat istirehat bagi para pedagang yang dari kota Petra atau kota Tayma yang ingin melanjutkan perjalanan mereka.
Dalam pengembangan dan pengukuhan mereka di semenanjung Arab, bangsa Nabatean menghadapi pergolakan politik dan ekonomi dengan empayar Rom pada waktu itu. Tetapi yang dipastikan, kejatuhan kota Hegra sebagai kota perdagangan disebabkan para pedagang yang lebih memilih jalur baharu iaitu melalui lautan yang melintasi Laut Merah. Dengan penemuan jalur yang baharu ini, maka kota Hegra yang selama ini kaya dengan hasil kutipan cukai oleh para pedagang yang melintasi daerah mereka akhirnya lama-kelamaan tidak dikunjungi dan akhirnya ditinggalkan sebagai kota yang mati.
3. BANGSA THAMUD ATAU BANGSA NABATEAN?
Mengikut penelitian arkeologi, daerah Hegra pertama kali dihuni oleh bangsa Thamud pada sekitar 2150 SM-2080 SM (Tahun Ketiga Millenium) yang lalu sebelum daerah ini dihuni oleh bangsa Lihyan pada abad ke-7 SM (700 SM-601 SM). Bangsa Nabatean yang membina peradaban di Semenanjung Arab berpusat di kota Petra mengambil alih kota Hegra.
(Tahun Ketiga Millenium merangkumi daripada 3000 SM sehingga 2001 SM. Pada rentang seribu tahun ini, wujudnya dua tamadun awal iaitu Kerajaan Lama di Mesir pada tahun 2686 M dan Kerajaan Akkadia di Mesopotamia pada tahun 2334 SM).
Bagaimanapun, mengikut penemuan inskripsi dan catatan yang ada pada sekitar kota Hegra, ahli arkeologi berpendapat kota batuan ini sebenarnya dibina oleh bangsa Nabatean. Kota Hegra mempunyai hubungkait yang kuat diantara kota al-U’la, kota Khoraiba dan kota Hiania yang wujud pada sekitar 1700 SM yang lalu. Kalau mengikut pada dasar sejarah, kota Hegra lebih diyakini ianya dimiliki oleh bangsa Maenean sebelum kawasan ini dihuni oleh bangsa Thamud yang datang dari selatan semenanjung Arab.
Jadinya, dalam penyataan di atas, kita akan keliru, kalau bangsa Thamud bukan pembina asal kota Hegra, maka adakah bangsa Nabatean (nama lain bagi Thamud) yang disyaki sebagai bangsa yang diazabkan oleh Allah swt?
THAMUD:
Mengikut sejarah di dalam Quran, bangsa Thamud mempunyai kaitan rapat dengan bangsa Ad yang membina kota kuno Iram di Hadramaut, Yaman sebelum bangsa ini dimusnahkan oleh Allah swt. Bangsa Thamud boleh dikatakan sebagai saudara jauh bangsa Ad yang berkongsi identiti bangsa dan kepakaran yang sama. Makanya, bangsa Thamud yang dikisahkan di dalam Quran mempunyai jarak masa yang sangat jauh dengan pendudukan bangsa Nabatean ke atas Hegra.
Mengikut catatan sejarawan Islam, Ibnu Khaldun dalam kitabnya, Kitabul-Ibar, beliau mengungkapkan, setelah kejatuhan bangsa Ad, bangsa Thamud menjadi kuasa di utara Arab. Setelah kemusnahan bangsa Thamud, bangsa Amalekites (Amalek) pula naik. Setelah bangsa Amalekites dijatuhkan, bangsa Himyar pula memegang kuasa di selatan Arab sehinggalah bangsa Mudar datang dan mengalahkan bangsa Himyar.
Ibnu al-Athir dalam kitabnya, al-Kamil, pula menyatakan yang bangsa Thamud tinggal di suatu tempat bernama al-Hijr yang terletak diantara Yaman dan Hijaz.
Sejawaran Yunani, Diodorus Siculus mengidentitikan mereka sebagai bangsa Arab. Pada tahun 2003, Professor Jan Retso, di dalam buku penelitiannya, The Arabs in Antiquity, memasukkan bangsa Thamud sebagai salah satu pecahan dari bangsa Arab.
Kemusnahan bangsa Thamud dikaitkan dengan azab Allah swt setelah menentang perintah Allah swt, dan kawasan yang menjadi hancur ini didiami pula oleh bangsa Lihyan sebelum bangsa ini ditakluk oleh bangsa Nabatean dari Petra.
Dalam catatan yang paling lama (715 SM) mengenai bangsa Thamud melalui inskripsi peninggalan empayar Neo-Assyria, Raja Sargon II, baginda menggelarkan mereka sebagai bangsa yang ditundukkan (dihambakan) oleh bangsa Assyria:
“For the wellbeing of the rulers of the whole world… Marcus Aurelius Anthoninus and Lucius Aurelius Verus, who are the conquerors of the Armenians. This is the temple that was bulit by the tribal unit of Thamud, the leaders of their unit, so that it might be established by their hands and be their place of veneration for ever.. with the support of Antistius Adventus the govenor…”.
(Inskripsi ini ditemui di sebuah kuil di Rawwafa yang bertulisan Yunani-Nabatean).
Bangsa Thamud di dalam catatan ilmuwan pula, seperti Ptolemy (Geography) dan Pliny (Natural History) pula menyebutkan mereka sebagai kaum Tamudaei.
Tetapi, daripada catatan ini, pada pendapat penulis, Tamudaei atau Thamud yang dimaksudkan oleh mereka bukanlah sebagai bangsa Thamud yang diutuskan Nabi Saleh a.s, tetapi mereka sebenarnya adalah bangsa Nabatean yang menduduki wilayah Thamud, kerana bangsa Thamud asli telah musnah pada Tahun Ketiga Millenium.
LIHYAN:
Menjadi penguasa di Hegra sebelum ditaklukkan oleh bangsa Nabatean pada awal abad ke-7 SM.
NABATEAN:
Penelitian berkelanjutan dengan pendapat daripada sejarawan, Dedor Al Saqali, yang menyatakan bangsa Nabatean yang sebenarnya membina kota di Hegra dan batu-batuan yang diukir menjadi rumah adalah hasil kerja tangan bangsa mereka sendiri. Pada waktu ini, bangsa Nabaten hanyalah bangsa pengembala yang tidak tahu untuk bercucuk tanam.
Pada zaman penaklukan bangsa ini yang berpusat di kota Petra, mereka telah mengambil alih daerah Hegra dan menjadikan ia sebagai ibukota kedua mereka berikutan pada waktu itu daerah Hegra dikenalpasti sebagai pusat perhubungan para pedagang dari Mesopotamia dan Mesir. Kejadian ini berlaku pada abad ke-9 SM.
Dengan penaklukan ke atas Hegra, maka bangsa Nabatean menjadikan daerah ini sebagai kota perdagangan di selatan Arab. Berdasarkan penemuan catatan inskripsi yang ditemukan di Hegra, kota ini mula berkembang pada abad pertama SM sebelum berakhir pada abad kedua Masihi.
Pendapat lain pula menyebutkan, binaan-binaan batu di kota Hegra tersebut adalah asli hasil buatan bangsa Thamud. Dan apabila bangsa Nabatean menduduki kota Hegra, mereka mempelajari lalu mengaplikasikan kemahiran senibina ini ke atas ibukota mereka, Petra.
Walaupun bangsa Nabatean dikenali sebagai bangsa yang tidak mengetahui dalam selok-belok dunia agrikultur, tetapi bangsa mereka sangat bijak dalam senibina pemahatan dan pembinaan rumah pada batu-batu yang besar di sekitar Hegra.
Selain pembangunan rumah-rumah, bangsa ini juga menemui cara dalam menyimpan bekalan air dan mengalirkannya di sekitar kota melalui sistem saluran air yang sehingga kini ianya masih boleh digunakan. Kota Petra di Jordan membuktikan sebagai lambang keemasan kerajaan Nabatean yang dimana pada waktu itu, mereka berjaya menjadi kuasa tunggal di semenanjung Arab sehinggakan mampu memonopoli perdagangan rempah-ratus lalu menjadikan kota Hegra sebagai ibukota kedua mereka.
Robert Hoyland di dalam bukunya, Arabia and the Arabs: From the Bronze Age to the Coming of Islam, berpendapat setelah kemusnahan bangsa asli Thamud, kawasan ini didiami oleh bangsa yang lain seperti Lihyan dan Nabatean. Bangsa Lihyan dan Nabatean digelari sebagai Thamud bukan disebabkan identiti bangsa mereka, tetapi disebabkan kawasan yang mereka duduki terkenal dengan gelaran ‘Ardh Thamud’ (Bumi Thamud) atau ‘Bayt Thamud’ (Rumah Thamud). Jadinya, bangsa Lihyan dan bangsa Nabatean bukanlah bangsa Thamud yang sebenar-benarnya. Mereka hanyalah bangsa asing yang jauh sekali dengan kaitan bangsa Thamud asli.
4. GEMPA BUMI: SEKITAR 2150-2080 SM.
Melalui pendataan, bangsa Thamud hidup sekitar dari tahun 2150 SM sehingga 2080 SM. Daripada jarak waktu ini, kita akan melihat, tahun berapakah semenanjung Arab atau kawasan di sekitarnya berlaku gempa bumi?
Ada dua teori saintifik yang boleh dikaitkan dengan azab tersebut:
1. Halilintar:
“Jika mereka berpaling maka katakanlah: “Aku telah memperingatkan kamu dengan petir, seperti petir yang menimpa kaum ‘Ad dan Thamud”.
(al-Fushilat ayat 13).
Mengikut Tafsir al-Muyassar, ayat ini membawa maksud:
Jika mereka (orang-orang kafir Mekah) menolak untuk mengimani ayat-ayat yang diturunkan ini, maka katakanlah kepada mereka wahai Nabi: “Aku memperingatkan kalian dengan petir seperti petir yang menyambar kaum Ad dan Thamud. Petir itu adalah sesuatu yang langsung membunuh, bersuara dahsyat dan sangat mengganggu serta terbuat dari api yang membakar, angin (kencang) yang menghancurkan atau hal lainnya”.
Di dalam ayat yang lain pula menjelaskan:
Dikatakan awan mendung tersebut menyelimuti langit Thamud selama tiga hari sebelum diturunkan azabnya. Allah swt menangguhkan azabNya selama tiga hari ke atas kaum Thamud.
Apabila halilintar atau kilat menyambar, kepanasannya tiga kali ganda daripada kepanasan matahari dan berkelajuan 150.000 km/saat. Halilintar yang dikeluarkan oleh awan-awan yang bercas negatif-positif inilah akan menyebabkan dengungan di ruang udara atau ia disebut sebagai fenomena guruh. Selalunya kejadian fenomena alam ini terjadi beserta ribut yang membawa angin kencang yang sangat kuat. Daripada dua kejadian ini, ia menjelaskan lagi makna dari Tafsir al-Muyassar di atas iaitu: “Petir yang langsung membunuh, membakar, bersuara dahsyat dan angin kencang”.
Fenomena alam sebegini selalu membimbangkan perasaan Rasulullah saw ketikamana baginda melihat awan mendung di dada langit.
2. Gempa bumi:
Seperti dalil dalam surah al-A’raf ayat 78:
Kerana itu mereka ditimpa gempa bumi, maka jadilah mereka mayat-mayat yang bergelimpangan di tempat tinggal mereka.
Gempa bumi ini mungkin boleh dikaitkan dengan letusan gunung berapi. Diperkirakan sebanyak 2000 buah gunung berapi yang ada di sekitar Arab Saudi. Status gunung-gunung berapi ini sudah tidak aktif dan jumlah gunung berapi yang paling banyak terletak di sekitar Madinah sehingga ia mendapat gelaran selain Kota al-Munawwarah adalah ‘Sarang Gunung Berapi’.
Mengikut laporan dari laman web Earth Observatory (28 Februari 2019), kota Madinah dibangunkan di atas bekas aliran lava yang berlaku jutaan tahun yang lalu melalui bukti dari sekeping gambar yang diambil dari satelit Landsat 8, milik kerajaan Amerika Syarikat.
Bekas aliran lava ini memanjang 20 km ke arah bahagian selatan kota. Bekas aliran lava ini merupakan bahagian daripada Harrat Rahat. Keluasan Harrat Rahat adalah sebesar 20,000 km persegi yang melintasi diantara kota Madinah dan Mekah.
Tidak jauh dari kota Madinah, terletaknya sebuah lagi kawasan aliran lava iaitu Harrat Lunayyir. Kemungkinan letusan gunung berapi atau aktiviti geologi sebegini jutaan tahu lalu yang menyebabkan impak atau kehancuran kepada kaum Thamud di kota Hegra sehingga tiada sisa.
Dua teori ini hanyalah teori yang didasarkan gambaran daripada dalil ayat Quran Allah swt. Petunjuk sebegini menguatkan lagi kisah kemusnahan kaum Thamud yang difirmankan Allah swt di dalam wahyuNya. Kemungkinan azabNya melebihi apa yang kita tidak mampu gambarkan ataupun sebaliknya.
KOTA HEGRA ATAU PETRA YANG DISEBUTKAN DI DALAM QURAN?
Dalam bahagian ini, lokasi sebenar keberadaan bangsa Thamud yang dinyatakan di dalam al-Quran disyaki oleh para ilmuwan berada di dua tempat. Ada pendapat yang mengatakan bangsa Thamud tinggal di kota Petra, Jordan dan pendapat kedua pula mengatakan mereka tinggal lalu hancur di kota Hegra, Arab Saudi. Jadi, kota yang manakah layak dikatakan sebagai tempat bangsa Thamud mencipta peradaban mereka itu?
1. KOTA HEGRA, ARAB SAUDI.
Di dalam buku Encyclopedia of Islamic Civilization and Religion oleh Ian Richard Netton, bangsa Ad dan Thamud merupakan bangsa Arab yang telah musnah (ba’id) daripada catatan sejarah. Bangsa Thamud terkenal dengan panggilan al-Hijr, kerana mereka sangat menyukai dengan batu sehinggakan mereka menyembahnya sebagai Tuhan. Mereka merupakan bangsa Arab penerus kekuasaan di selatan semenanjung Arab setelah kemusnahan bangsa Ad.
Tidak ada banyak sumber yang mengisahkan tentang kota Hegra ketika berada di bawah kekuasaan bangsa Thamud, tetapi ditemukan kunci iaitu sembilan orang bangsawan atau pemuka yang berkomplot bersama dalam misi membunuh unta betina dan Nabi Saleh a.s. Bangsa Thamud terkenal dengan kegiatan bercucuk tanam selain membina bangunan. Kebanyakan tanaman yang ditanam oleh mereka adalah pokok-pokok kurma sepertimana yang ditemui di dalam Quran.
Pada zaman Rasulullah saw, ketikamana baginda dalam perjalanan bersama tentera Islam menuju ke medan perang Tabuk, baginda bersama para sahabat melalui dan singgah sebentar di sekitar al-Hijr. Hadis ini shahih diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim.
Para sahabat mengambil air dari perigi di Madain Saleh untuk dibuat bekalan air bahkan digunakan untuk membuah adunan roti. Rasulullah saw memerintah para sahabat untuk membuang segala isi air ataupun bahan makanan yang dibuat daripada sumber air tersebut. Para sahabat akur dan membuangnya.
Setelah itu, baginda bersama para sahabat meneruskan perjalanan sehingga tiba ke sebuah perigi yang pernah diminum oleh unta Nabi Saleh a.s dan mereka juga melihat runtuhan kediaman kaum Thamud. Rasulullah saw pun bersabda:
“Aku khawatir, jangan-jangan anda semua akan ditimpa (azab) sepertimana yang menimpa mereka (kaum Thamud), maka janganlah kalian memasuki kediaman mereka”.
Tinggalan perigi-perigi yang dibina oleh kaum Thamud masih wujud pada zaman Rasulullah saw, sehingga sekarang.
Daripada periwayatan hadis tersebut, al-Hijr tersebut adalah Madain Saleh dan bukannya Petra, maka secara jelas Rasulullah saw mengkhabarkan keberadaan lokasi sebenar tapak kota kaum Thamud sehinggakan baginda melarang para sahabat dan umatnya untuk melalui kawasan tersebut kecuali dalam keadaan menangis dan diharamkan untuk mengambil air dari perigi-perigi kepunyaan kaum Thamud. Perintah ini menunjukkan yang kawasan al-Hijr iaitu Madain Saleh merupakan kawasan yang dilaknat sepertimana dikisahkan di dalam Quran.
2. KOTA PETRA, JORDAN.
Asal-muasal bangsa Nabatean diperdebatkan oleh para ilmuwan. Ada beberapa teori yang menyebutkan tentang kemunculan bangsa ini, diantaranya adalah:
a. Mereka adalah bangsa Arab yang tinggal di utara semenanjung Arab.
b. Mereka adalah bangsa yang datang dari Hadramaut, Yaman, kemungkinan dari kota Iram sebelum atau setelah kehancurannya.
c. Dalam buku Petra and the Lost Kingdom of the Nabataeans oleh Jane Taylor, beliau berpendapat bangsa ini datang dari timur semenanjung Arab, iaitu dari sekitar daerah Hijaz.
Daripada ketiga-tiga pendapat mahsyur ini, teori ketiga lebih mendekati kepada fakta kerana identiti, bahasa dan sembahan Tuhan (Dewa) bangsa Nabatean lebih menghampiri kepada masyarakat kuno yang menetap di sekitar tanah Hijaz. Kemungkinan bangsa Nabatean berasal dari tanah Hijaz dan berpindah (imigrasi) dari Hijaz pada sekitar abad ke-4 SM ke barat laut semanjung Arab iaitu sekarang dikenali sebagai negara Jordan.
Setelah mereka mendiami dan menduduki di kawasan di sekitar Jordan, lama-kelamaan bangsa Nabatean membangun menjadi kuasa utama di semanjung Arab. Kebangkitan bangsa Nabatean dibahagikan kepada dua fasa, iaitu:
a. Fasa pertama pada abad ke-4 SM (400 SM-301 SM) mereka menguasai jalur perdagangan yang dimana bangsa mereka dipimpin oleh ketua-ketua puak. Bangsa Nabatean pada waktu ini belum memiliki pusat pemerintahan, tetapi mereka mempunyai sistem ketenteraan yang mantapsehinggakan wilayah-wilayah mereka seringkali gagal dirampas oleh musuh.
b. Fasa kedua pada abad pertengahan ke-3 SM (300 SM-201 SM) bangsa Nabatean mula berkembang dengan menubuhkan sistem beraja monarki yang berpusat di daerah Hauran.
Di dalam kajian ke atas kerajaan Nabatean bertajuk ‘New Aspects of Nabataean Coins’ oleh Rachel Barkay, menyatakan bangsa Nabatean sudah mengasaskan kerajaan pada awal abad ke-3 SM, melalui penemuan duit syiling lama dari kerajaan Nabatean itu sendiri.
Ibukota kerajaan Nabaten pada masa kemuncaknya adalah kota Petra, Jordan dan ianya menjadi pusat perkembangan budaya, arsitektur senibina, ilmu pengetahuan, penaklukan dan pertukaran barangan yang menghubungkan empayar Rom dan empayar Mesir.
Kepakaran mereka dalam bidang memahat batu-batu di gunung bukan sahaja dimiliki oleh mereka, bahkan ianya dimiliki oleh bangsa Thamud.
Kerajaan Nabatean bertahan selama 400 tahun lamanya sebelum kerajaan mereka berpecah belah dan akhirnya musnah ditelan zaman. Tambahan pula, kerajaan Nabatean diiktiraf sebagai kerajaan kuno bangsa Arab yang paling lama bertahan di atas muka bumi.
Baik, daripada penerangan panjang di atas, kita mengambil beberapa petunjuk yang sangat penting, iaitu:
a.Kemunculan: Bangsa Thamud muncul pada Tahun Ketiga Millenium dan bangsa Nabatean pula muncul pada abad ke-4 SM. Rentang waktu kemunculan bangsa Nabatean dianggarkan adalah terlalu jauh dengan tamadun bangsa Thamud.
Kehancuran: Bangsa Thamud tidak hancur ditaklukkan oleh bangsa lain, tetapi lenyap disebabkan azab Allah swt. Berbeza pula bangsa Nabatean yang musnah ditaklukkan oleh empayar Rom pada tahun 106 M. Catatan yang menyebutkan tentang kewujudan bangsa Nabatean berakhir pada sekitar tahun 356 M.
b. Pembinaan kota: Bangsa Thamud menghuni di kota Hegra dan bangsa Nabatean pun menghuni di kota Petra. Walaupun keduanya mempunyai unsur pembinaan bangunan yang sama, tetapi mereka tetap berlainan identiti.
Sepertimana dinyatakan di atas, kota Hegra muncul pada sekitar Tahun Ketiga Millenium, manakala kota Petra pula dibina pada abad ke-3 SM. Jarak yang jauh ini membuktikan, bangsa Thamud merupakan bangsa pertama yang memahat batu menjadi sebuah struktur bangunan yang indah sebelum ia hancur dan dibina kembali oleh bangsa Nabatean.
Rentang tahun pula adalah sekitar jutaan tahun lamanya sebelum kota Hegra diambil alih pentadbiran Nabatean pada abad pertama SM oleh Raja Aretas IV Philopatris setelah baginda berjaya mengalahkan kerajaan Lihyan pada tahun 65 SM. Kerajaan Lihyan berjaya memerdekakan daerah Madain Saleh setelah kekalahan bangsa Nabatean ke atas empayar Rom pada tahun 106 M.
Empayar Rom mampu menakluk kota Petra yang mempunyai angkatan tentera yang ramai, tetapi tidak mampu untuk mengambil alih daerah Madain Saleh yang pada ketika itu sudah ditadbir oleh Raja Han’as bin Tilmi. Penaklukan ke atas kota Hegra adalah disebabkan lokasinya terlalu jauh dan kawasannya yang kurang dengan sumber air (bekalan air atau perigi melalui jalur utama menuju ke kota Hegra telah dikambus oleh tentera Lihyan sebelum ketibaan angkatan pasukan Rom ke kawasan tersebut).
Kejatuhan kota: Pada waktu pemerintahan Nabatean, daerah Madain Saleh dijadikan sebagai ibukota kedua kerajaan Nabatean dan ianya dipimpin oleh seorang jeneral perang, bukannya sembilan orang bangsawan. Malahan pada zaman pemerintahan kerajaan Lihyan, ianya dipimpin oleh seorang raja sahaja.
c. Laporan dari penelitian ‘The Formation of Nabataean Art: Prohibition of a Graven Image Among the Nabateans’, bangsa Lihyan dan Nabatean menyembah berhala yang telah dicampuri dengan unsur dewa sembahan Mesir, Yunani dan Mesopotamia.
Berbeza dengan kaum Thamud yang masih mengekalkan sembahan batu mereka sepertimana yang diterangkan pada awal penulisan. Sembahan Thamud berbeza jauh dengan sembahan bangsa Nabatean.
TAPAK-TAPAK YANG DITEMUI DI SEKITAR HEGRA.
Kawasan tapak bersejarah Madain Saleh diiiktiraf sebagai salah satu warisan budaya sejarah dunia dan sekarang kawasan ini dikenali sebagai ‘Al-Hijr Archeological Site Madain Saleh. Di kawasan ini, terdapat sejumlah makam milik para penduduk Hegra (al-Hijr), tapak-tapak upacara keagamaan, kawasan penduduk dan oasis purba.
Terdapat empat makam utama di sini, iaitu Jabal al-Mahjar (Area A), Qasr al-Walad, Area C dan Jabal al-Khuraymat:
1. Jabal al-Mahjar (Area A): Tiada catatan tahun pembinaannya.
2. Qasr al-Walad: Dibina antara 1 SM-58 M. Merupakan makam yang paling terkenal dilawati oleh pengunjung. Mempunyai sebanyak 31 makam yang bertarikh 1 M sehingga 58 M. Di sini, terdapat sebuah makam seorang gabenor dan kebanyakan makam-makam di sini dihiasi dengan pahatan lukisan makhluk menyeramkan, burung helang, wajah manusia dan haiwan-haiwan yang tidak dikenalpasti.
3. Area C: Dibina sekitar 16-61 M. Di kawasan ini pula, didiami sebanyak 40 makam yang bertarikh 16 M sehingga 60 M.
4. al-Kheyramat: Dibina sekitar 7-73 M. Tapak pemakaman yang terbesar terletak di barat daya al-Hijr. Kesemua pintu makam menghadap ke timur. Terdapat sebanyak 78 buah makam yang diyakini berasal dari tahun 7 sehingga 73 M.
Selain empat makam utama ini, ada dua lagi makam kecil yang lain iaitu, Qasr al-Farid, makam tertinggi yang telah siap sepenuhnya dibina (21.50 m). Makam Qasr as-Sani pula terletak di pintu masuk selatan berketinggian 15 meter dan bertarikh tahun 8 M.
5. Jabal Ithlib: Merupakan tapak keagamaan ketika zaman pemerintahan Nabatean.
6. Telaga air: Ditemukan sebanyak 130 buah telaga peninggalan bangsa Thamud. Kelebarannya mencapai 7 meter dan berkedalaman 20 meter. Selain kegunaan seharian, telaga Thamud juga dikenalpasti membekalkan air kepada kebun-kebun di sekitar kota Hegra sehinggakan menjadikan Hegra pada waktu Thamud subur dengan pelbagai tanaman.
Kebanyakan peninggalan ini dianggarkan berusia dari tahun 1 SM sehingga 75 M. Ada juga artifak atau objek yang ditemui oleh ahli arkeologi yang membuktikan penempatan manusia di sini pada penghujung abad ke-3 SM sehingga ke-2 SM.
Akhir kalam, bangsa Thamud yang dikenali sebagai bangsa pemahat yang pakar dalam senibina membangunkan kediaman daripada batu dan gunung tersebut, sehinggakan kepakaran mereka ini menjadi ikutan kepada bangsa Nabatean dalam mengembangkan kebudayaan mereka di semenanjung Arab.
Pemahatan batu ini bukan sahaja ditemui di kota Petra, bahkan ianya juga ditemui di kota Madyan, kota yang menjadi kediaman Nabi Syuaib a.s dan menjadi tempat tinggal sementara untuk Nabi Musa a.s. Atas dasar keingkaran bangsa Thamud, Allah swt melenyapkan bangsa Thamud yang ingkar daripada muka bumi dengan gegaran gempa bumi sepertimana yang berlaku ke atas bangsa Ad, bangsa Nabi Hud a.s di Hadramaut, Yaman.
Penulisan ini hanya berdasarkan beberapa kajian dan hubungkait kronologi sejarah dengan peristiwa yang dirakamkan Allah swt di dalam Quran. Sekiranya terdapat beberapa kesalahan, ia datang daripada diri saya sendiri. Yang baik dan rahsia pengetahuan datangnya dari Allah swt.
Wallahu’alam.
RUJUKAN:
1. Islam: A Worldwide Encyclopedia (4 volumes) oleh Cenap Çakmak (halaman 1393).
2. Encyclopedia of Islamic Civilization and Religion oleh Ian Richard Netton.
3. New Aspects of Nabataean Coins oleh Rachel Barkay (The Arabian peninsula, 600 BCE to 600 CE).
4. Arabia and the Arabs: From the Bronze Age to the Coming of Islam oleh Robert G. Hoyland (halaman 68-69).
5. The Greatest Stories of Al-Quran oleh Syeikh Kamal As-Sayyid.
6. Al-Kamil (Volume 2) oleh Ibnu al-Athir (halaman 29-30).
7. The Meaning and Explanation of the Glorious Qur’an, (Volume 3) oleh Muhammad Saed Abdul-Rahman (halaman 290-294).
8. Al-Hijr Archaeological Site Madain Salih (Nomination Document For The Inscription on the Unesco World Heritage), Kingdom of Saudi Arabia, January 2007.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih