Dalam sejarah Firaun Tamadun Mesir Purba, hanya beberapa orang wanita saja yang menggunakan gelaran itu. Dua wanita yang terkenal memakai gelaran Firaun ialah Hatshepsut dan Cleopatra. Dalam kes Hatshepsut, ramai melihat baginda cuba memonopoli kedudukan sebagai pemangku Firaun dan mengetepikan putera tirinya Thutmose III. Tetapi pelbagai kajian terbaru memperlihatkan Hatshepsut dalam konteks yang berbeza dan lebih positif.

Hatshepsut merupakan puteri sulung Firaun Thutmose I dan permaisurinya Ahmes. Pada ketika itu, Mesir Purba sedang meniti zaman kegemilangannya dengan jajahan takluk diperluas hingga ke Syria dan Nubia. Ramai cendekiawan Mesir Purba percaya baginda dilahirkan pada tahun pertabalan ayahandanya sekitar 1504 SM. Mereka juga percaya Hatshepsut masih bayi semasa Thutmose II pulang ke Thebes dengan mayat ketua puak Nubia diikat pada haluan kapal.

Tetapi peluang baginda bergelar pewaris takhta Thutmose I boleh dianggap tipis. Sebabnya mudah, mengikut adat Mesir Purba, hanya putera Firaun yang dilahirkan oleh Permaisuri layak menaiki takhta. Tetapi jika tiada, maka putera Firaun dalam kalangan gundik dipilih sebagai pewaris takhta. Bagi golongan wanita yang menjadi sebahagian kerabat diraja, mereka hanya layak memegang peranan sebagai pemangku Firaun sekiranya pewaris takhta belum mencapai usia matang untuk mengambil alih pemerintahan.

Dalam kes Thutmose I, baginda juga mempunyai dua orang putera bersama Ahmes tetapi kedua-duanya mangkat semasa kecil. Lantas, putera hasil hubungan baginda dengan isteri keduanya Mutnofret iaitu Thutmose II dipilih sebagai pewaris takhta. Tetapi bagi menjamin kelangsungan pemerintahan dipegang oleh Firaun berdarah raja, Hatshepsut dikahwinkan dengan kekanda tirinya semasa berusia 12 tahun.

Pengkaji Mesir Purba melihat Thutmose II sebagai lemah dan tidak berdaya jika dibandingkan dengan isterinya. Bagaimanapun, di monumen-monumen awam, Hatshepsut sentiasa digambarkan sebagai seorang isteri yang setia dan menyokong suaminya di belakang. Bagaimanapun, seperti bondanya Ahmes, baginda gagal melahirkan seorang putera tetapi seorang puteri bernama Neferure. Akibatnya, masalah pewarisan takhta Mesir Purba kembali berulang.

Jadi, apabila Thutmose II mangkat sekitar 1479 SM, puteranya Thutmose II dipilih sebagai pewaris takhta. Tetapi disebabkan usia baginda yang masih kecil, maka tanggungjawab pemerintahan disandang oleh bonda tirinya Hatshepsut. Bagi ahli kaji Mesir Purba Peter Dorman, amalan melantik pemangku Firaun dalam kerajaan Mesir Purba merupakan sesuatu yang normal sekiranya Firaun masih kecil. Tetapi pada masa sama, ia turut mengiktiraf kedudukan Thutmose III sebagai Firaun sejak dari awal lagi.

Ini berdasarkan beberapa ukiran Mesir Purba yang menampakkan baginda sebagai Firaun dengan Hatshepsut memainkan peranan sebagai penyokongnya. Tetapi menjelang tahun ketujuh sebagai pemangku Firaun, artisan-artisan mengukir patungnya mirip kepada imej lelaki dan memakai janggut palsu sama seperti Firaun-Firaun sebelumnya.

Sebelum ini, pengkaji Mesir Purba menganggap ia merupakan cubaan Hatshepsut membolot kuasa daripada Thutmose III. Tetapi kajian terbaru mendapati motif baginda didorong oleh rasa tanggungjawab melindunginya daripada ancaman ahli-ahli kerabat diraja yang turut mengintai gelaran Firaun. Dengan menggunakan gelaran Firaun, kurator seni Mesir Purba Muzium Metropolitan, New York Catharine Roehrig melihat ia sebagai cara menjamin kedudukan Thutmose III sebagai Firaun seterusnya.

Ini turut disokong oleh pelbagai bukti berkenaan layanan baginda terhadap putera tirinya semasa era pemerintahan baginda. Berdasarkan pengamatan Roehrig, Thutmose III tidak pernah diletakkan dalam tahanan rumah. Sebaliknya, baginda diberi peluang mempelajari pelbagai aspek pemerintahan seperti ketenteraan dan pentadbiran. Dan walaupun baginda mencapai usia matang, Thutmose III tahu baginda perlu bersabar menunggu peluang selagi mana bonda tirinya berada di takhta sebagai Firaun.

Walaupun menggalas peranan sebagai Firaun, Hatshepsut masih tidak lupa siapa dirinya. Buktinya, pada setiap inskripsi patung-patung baginda mengandungi kalimah gelaran seperti Anak Perempuan Ra/Re atau perkataan yang merujuk kepada perempuan.

Bagi menjustifikasikan kedudukannya sebagai Firaun, Hatshepsut menggunakan gelaran Maatkare yang bermaksud kebenaran (maat) itu roh (ka) kepada Re/Ra. Kuncinya di sini ialah perkataan maat – penegasan bahawa keadilan dan keselamatan dipegang oleh dewa-dewi Mesir Purba. Sekiranya Firaun mahu mengekalkan dan mengembangkan lagi dua aspek tersebut, maka baginda harus berhubung secara terus dengan dewa-dewi. Justeru, dengan menggelar dirinya Maatkare, ia ibarat penegasan bahawa Hatshepsut merupakan Firaun yang sah.

Semasa era baginda inilah, kerajaan Mesir Purba menikmati keamanan dan kemakmuran yang panjang. Bagi menjamin sokongan rakyat, seperti Firaun-Firaun lain, Hatshepsut turut melaksanakan pelbagai projek monumen seperti kuil-kuil, jalan-jalan dan tempat-tempat perlindungan. Pengkaji Mesir Purba melihat monumen-monumen yang didirikan semasa era Hatshepsut sebagai berskala besar dan memperlihatkan cita-citanya sebagai Firaun.

Rajah 1: Contoh patung Hatshepsut yang merupakan sebahagian daripada kuil baginda di Deir el-Bahri. Sumber: Muzium Seni Metropolitan, Dana Amanah Rogers/Rogers Fund

Kebanyakan pengkaji Mesir Purba percaya semua projek ini digerakkan oleh menteri kepercayaannya, Senenmut. Senenmut mula diberi kepercayaan oleh Hatshepsut sebagai tutor kepada puterinya Neferure. Selepas baginda menjadi Firaun, beliau terus menjadi orang kepercayaannya dan diberi pelbagai gelaran. Ini termasuk gelaran Orang Pilihan Amun – gelaran yang membenarkannya menguruskan semua aktiviti pembinaan dan perniagaan sekitar Karnak.

Disebabkan kedudukannya itu, ia turut memberi peluang kepada Senenmut untuk membina 25 buah monumen khas untuk dirinya. Ini termasuk membina makam untuk dirinya berhampiran dengan makam Hatshepsut di Lembah Raja-Raja di barat Deir el-Bahri. Tetapi makam tersebut kosong, sama seperti makam figura Mesir Purba itu.

Hatshepsut dikatakan mangkat sekitar 1458 SM – tahun sama Thutmose III mula menggunakan gelaran Pemerintah Maat apabila menaiki takhta sebagai Firaun. Semasa era bagindalah, jajahan Mesir Purba merangkumi Syria, Kana’an dan Nubia. Semasa era pemerintahan baginda juga, segala ukiran dan patung Hatshepsut dimusnahkan.

Ada menyangka tindakan Thutmose III didorong oleh rasa dendam terhadap bonda tirinya kerana menafikan haknya sebagai pemerintah. Tetapi selepas kajian dibuat, didapati kebanyakan arahan pemusnahan patung dan ukiran Hatshepsut dibuat pada tahun-tahun terakhir pemerintahan baginda. Dorman percaya ia dibuat bagi menjamin naratif bahawasanya baginda mewarisi takhta secara terus daripada Thutmose II dan bukan menunggu selepas tamat pemerintahan bonda tirinya.

Ini kerana era pemerintahan Hatshepsut dilihat lebih berjaya jika dibandingkan dengan Firaun-Firaun sebelumnya. Thutmose III percaya perkara sebegini boleh berulang dan berpotensi mengancam kedudukan puteranya Amenhotep II. Lantas, perkara terbaik ialah dengan memadamkan semua pencapaian bonda tirinya.

Lantas, ini menjelaskan mengapa pengkaji Mesir Purba mengambil masa lama untuk mengetahui kisah Hatshepsut. Kisah baginda mula diketahui menerusi inskripsi-inskripsi yang diukir sekitar Deir el-Bahri. Kemudian pada 1903, Howard Carter menemui keranda khas Hatshepsut di Lembah Raja-Raja.

Pencarian baru di kawasan berkenaan pada 2005 membawa kepada penemuan mumia baginda pada 2017. Kini, mumia tersebut menjadi bahan pameran di Muzium Negara Peradaban Mesir (NMEC) di Kaherah selepas sebelum ini ditempatkan di Muzium Mesir. Sementara patung Hatshepsut bersaiz manusia yang terlepas daripada menjadi sasaran kempen Thutmose III kini dipamerkan di Muzium Metropolitan, New York.

Rajah 2: Patung Hatshepsut bersaiz manusia yang dipamerkan di Muzium Metropolitan, New York.

RUJUKAN

Wilson, E. (2006, September). The Queen Who Would Be King. Smithsonian Magazine.

Hatshepsut. (2019, 10 Oktober). History.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply