1. Kalau Malaysia berperang dengan Singapura, dibimbangi hanya dalam tempoh enam jam ke sepuluh jam sahaja Malaysia akan terpaksa menyerah kalah. Demikian menurut Robert D. Kaplan, penganalisis strategik terkemuka dari Stratfor Amerika Syarikat dalam karya beliau “Asia’s Cauldron: The South China Sea and the End of a Stable Pacific” (2014) Bab IV “Concert of Civilizations?”.

2. Malah, hanya dalam tempoh sekitar tiga tahun (2008-2011) sudah 2,508 kali pesawat perang Singapura menceroboh ruang udara Malaysia secara haram. Ya, dua ribu lima ratus lapan kali. Demikian menurut jawapan bertulis Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Jun 2011 yang ketika itu Menteri Pertahanan kepada soalan YB Khairy Jamaluddin di Parlimen.

3. Pada 2008 sahaja Singapura menceroboh ruang udara Malaysia secara haram sebanyak 985 kali, pada 2009 mereka menceroboh 1,286 kali, pada 2010 sebanyak 218 kali, dan antara Januari-Mei 2011 sebanyak 19 kali. Berapa kali mereka menceroboh dari 2011 hingga Oktober 2017 ini perlu ditanya kepada Menteri Pertahanan semasa, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

4. Pesawat tanpa pemandu (UAV) milik Singapura jenis ‘Searcher’ juga pernah menceroboh Gelang Patah, Johor pada Mac 2006, di mana ia adalah buatan Israel Aircraft Industries yang sama digunakan sepertimana dalam teknologi pengintipan Israel ke atas Palestin di Gaza mahu pun di Tebing Barat.

5. Kenapa Robert Kaplan berani menulis kenyataan di atas? Kenapa pula Singapura begitu berani menceroboh ruang udara Malaysia secara haram berulang-ulang kali? Adakah kerana bantuan Israel yang membangunkan kekuatan angkatan tentera Singapura (SAF) yang dibina sejak mula terpisah dari Malaysia? Apa pula impak projek Kereta api Laju Kuala Lumpur-Singapura (KL-SG HSR) yang dibuka kepada maklum balas orang awam baru-baru ini kepada kepentingan strategik kita?

6. Bukan lagi rahsia bahawa Singapura sering digelar sebagai ‘Israel Asia’. Kenapa ia digelar sedemikian rupa? Hubungan Singapura dengan Israel memang akrab sejak awal pemisahan Singapura dari Persekutuan Malaysia lagi. Presiden Israel Chaim Herzog pernah melawat Singapura pada 1986, bekas Perdana Menteri Singapura Goh Chok Tong pernah bertemu Ariel Sharon di Israel pada 2005, dan terkini Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengadakan lawatan rasmi ke Singapura pada Februari 2017. Israel sememangnya mempunyai kedutaan di Singapura.

7. Selepas Singapura disingkir dari Malaysia, Lee Kuan Yew berasa amat bimbang dengan kekurangan saiz dan keupayaan angkatan tentera Singapura untuk mempertahankan diri daripada kemungkinan ancaman ‘Pelampau Melayu’ dari Malaysia serta dari Indonesia yang ketika itu melancarkan Konfrontasi di bawah Presiden Sukarno.

8. Israel menjadi negara pertama menawarkan latihan dan bantuan ketenteraan kepada Singapura yang serta-merta diterima Lee Kuan Yew. Malah, sebenarnya hubungan ketenteraan Singapura-Israel yang bermula pada Ogos 1965 ini adalah jauh lebih awal daripada hubungan diplomatik kedua-dua negara tersebut yang hanya bermula pada 1969.

9. Tan Sri Ab. Kadir Mohamad, bekas Penasihat Hubungan Luar Negeri kepada Perdana Menteri serta Penasihat Sekretariat Majlis Keselamatan Negara di Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengulas secara komprehensif strategi pakatan ketenteraan Singapura dengan Israel dan Amerika Syarikat serentak dalam karya beliau “Malaysia-Singapore: Fifty Years of Contentions 1965-2015”.

10. Memetik ulasan Tim Huxely dalam karya ‘Defending the Lion City: The Armed Forces of Singapore’, Singapura menerima bekalan aset kritikal dari Amerika seperti pesawat pejuang manakala Israel membekalkan sistem dan teknologi yang menjadi teras keunggulan Singapore Armed Forces (SAF).

11. Dari segi doktrin ketenteraan Singapura juga ada dijalankan simulasi pertahanan ofensif di mana termasuklah simulasi ‘menakluk wilayah Malaysia’ sebagaimana yang dicatatkan oleh Narayanan Ganeson dalam karya ‘Realism and Interdependence in Singapore’s Foreign Policy’: “Singapore’s adoption of Israeli doctrine and training methods was not well received in Malaysia…the Israeli doctrine of forward defence presupposed the occupation of adjacent territory to create the strategic depth required for warfare. The strategy invariably implied the occupation of Malaysia territory”.

12. Singapura turut mempraktikkan konsep ‘Total Defense’ di mana setiap rakyat lelakinya diwajibkan menjalani khidmat negara secara berkala hingga berusia 40 tahun. Hal ini berbeza dengan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Malaysia selama enam bulan sahaja secara sukarela tanpa doktrin ofensif seperti mana di Kota Singa itu.

13. Selain daripada hubungan rapat Singapura dengan Israel itu sendiri, faktor geografi dan demografi turut menyumbang kepada gelaran ini. Sepertimana Israel yang terkepung di tengah negara-negara Arab, demikian jugalah Singapura yang 75 peratus penduduknya berketurunan Cina ‘terkepung’ di tengah Alam Melayu.

14. Selain itu, sikap ‘Kiasu’ Singapura turut menjadikannya kurang disenangi negara-negara jiran terutama sekali di bawah era mendiang Lee Kuan Yew. Sejak penyingkiran Singapura dari Malaysia pada 1965, hubungan kedua-dua negara sememangnya seringkali tegang. Antara isu yang sering menjadi pertikaian adalah isu harga dan bekalan air, isu tambakan laut oleh Singapura, isu tanah KTMB, pertikaian Pulau Batu Putih dan pelbagai isu lain lagi.

15. Bursa Saham Singapura iaitu Central Limit Order Book (CLOB) juga pernah mengambil kesempatan menyerang saham syarikat Malaysia semasa krisis Kewangan Asia 1997/1998 sehingga memaksa Tun Mahathir menutupnya.

16. Isu Tambak Johor dan Jambatan Bengkok merupakan antara isu panas dalam hubungan strategik Malaysia-Singapura. Tun Mahathir melihat Tambak Johor sebagai penghalang kepada pergerakan kargo di antara Pelabuhan Pasir Gudang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas.

17. Malaysia dan Singapura sememangnya berada dalam kerjasama ketenteraan Five Power Defense Arrangement (FPDA) yang turut dianggotai British, Australia, dan New Zealand. Namun Tun Mahathir telah membatalkan kebenaran tentera Udara Singapura untuk berlatih di ruang udara Malaysia pada 18 September 1998 disebabkan sikap Singapura yang tidak melaporkan aktiviti mereka dalam wilayah Malaysia. Cuma kemudiannya Perdana Menteri Najib Razak pada 2013 memberi keizinan kepada tentera udara Singapura untuk memasuki ruang udara Malaysia di Pangkalan Tentera Udara Butterworth Pulau Pinang untuk latihan bersama di bawah kerangka Base Support Arrangement (BSA).

18. Walau bagaimanapun, dalam konteks projek kereta api laju KL-SG HSR, potensi pertumbuhan sosio-ekonomi yang besar adalah cukup ketara buat Malaysia. Dijangkakan projek ini bakal memberi pulangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebesar RM 21 bilion menjelang tahun 2060 dengan peluang pekerjaan sebanyak 111,000 bakal tercipta di sepanjang 7 stesen HSR ini iaitu Bandar Malaysia, Bangi-Putrajaya, Seremban, Melaka, Muar, Batu Pahat, dan Iskandar Puteri. Dari perspektif Realisme, projek sebegini boleh diklasifikasikan sebagai strategi ‘mobilisasi dalaman’ (internal mobilization) di mana kita berpeluang untuk mencipta pendapatan negara serta melabur dalam peningkatan kuasa geopolitik pada masa hadapan. Satu lagi strategi ialah ‘pengekstrakan dalaman’ (internal extraction) seperti pencukaian, rekuisisi, serta ekspripriasi.

19. Maka menjelang pembentangan bajet 2018 nanti, diharapkan kerajaan Malaysia dapat menitikberatkan keseimbangan kedua-dua aspek ‘internal mobilization’ serta ‘internal extraction’ ini seperti agihan peruntukan yang sewajarnya dalam sektor pendidikan, penyelidikan dan pembangunan, kesihatan awam, infrastruktur awam, teknologi digital, tenaga, serta pertahanan. Semoga pada masa depan tiada lagi kebimbangan “Malaysia terpaksa menyerah kalah hanya dalam tempoh enam jam ke sepuluh jam sahaja jika berperang dengan Singapura” seperti catatan Robert Kaplan di atas.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Leave A Reply