Sebelum kemunculan Kesultanan Melayu Melaka (KMM), rantau Nusantara pernah menyaksikan kebangkitan sebuah empayar Melayu yang hebat iaitu Empayar Srivijaya. Kedudukan empayar itu yang strategik di tengah-tengah laluan perdagangan India-China menjadikan ia sebuah kerajaan yang kaya dan berpengaruh. Dan ini dibuktikan menerusi penemuan pelbagai artifak bernilai tinggi di Sungai Musi berhampiran Palembang.

Dalam tempoh lima tahun, para nelayan yang mencari rezeki di situ berpeluang menemui pelbagai artifak kerajaan tersebut. Ini termasuklah batu-batu berharga, duit syiling lama dan artifak keagamaan dari loceng gangsa hinggalah patung Buddha. Bagi ahli arkeologi maritim Dr Sean Kingsley, penemuan artifak-artifak ini sememangnya sesuatu yang mengujakan.

Rajah 1: Contoh patung Buddha bertatahkan barang kemas dan permata yang dijumpai di Sungai Musi. Sumber: Majalah Wreckerwatch

Ini kerana menurut beliau, bukan sedikit ekspedisi arkeologi digerakkan untuk mencari tinggalan Empayar Srivijaya dari India hingga Thailand tetapi gagal. Malah di Palembang sendiri, tidak banyak artifak termasuk serpihan tembikar dikumpul sebagai bukti kewujudan petempatan kecil di situ. Tetapi dengan pelbagai penemuan artifak di Sungai Musi, ia membuktikan gelaran Pulau Emas kepada Sumatera bukan satu omong kosong.

Penulis percaya gelaran Pulau Emas yang diberi kepada Sumatera pada era antikuiti berkemungkinan datang daripada pihak Yunani. Gelaran tersebut diberi memandangkan pulau itu kaya dengan pelbagai sumber asli termasuk emas dan titik ketibaan terawal laluan perdagangan India-China.

Dapatan Dr Kingsley mendapati pelbagai artifak yang ditemui mewakili kerajaan atau negara yang berdagang dengan pihak Srivijaya. Misalnya, penemuan pelbagai artifak seramik berwarna biru dan putih menunjukkan ia merupakan barangan seramik berkualiti tinggi dari China. Barangan ini selalunya ditukar dengan barang dagangan dari India dan Parsi.

Bagi artifak keagamaan pula, ia jelas memperlihatkan pengaruh Hindu-Buddha empayar berkenaan. Antara artifak yang ditemui ialah patung-patung Buddha kecil yang diperbuat daripada emas dan gangsa, pengetuk pintu kuil yang diperbuat daripada gangsa menampilkan wajah sy.ai.tan Kala dan cincin upacara buatan emas bertatahkan batu delima.

Rajah 2: Patung kecil Buddha yang diperbuat daripada gangsa yang ditemui di Sungai Musi. Sumber: Majalah Wreckerwatch

Dapatan Dr Kingsley tentang artifak-artifak Srivijaya turut mendedahkan kekayaan golongan pemerintah dan bangsawan empayar itu. Antara artifak yang dijumpai para nelayan ialah pemegang pe.da.ng yang diperbuat daripada emas, ratusan cincin emas dan cermin-cermin yang diperbuat daripada gangsa.

Mungkin bagi Dr Kingsley, penemuan artifak-artifak ini menunjukkan nilai sebenar kekayaan Srivijaya. Tetapi menurut catatan pedagang Arab, itu cuma sekelumit saja. Mengikut catatan Ibnu Khordhabeh, pendapatan cukai Maharaja Srivijaya dalam sehari ialah sebanyak 200 jongkong emas.

Dan ini juga mungkin dapat membangkang teori Dr Kingsley bahawa kebanyakan kekayaan Srivijaya tenggelam dalam Sungai Musi pada abad ke-14. Mengikut catatan Ibnu Katsir, pada abad ke-14, terdapat 1,700 buah pulau (kawasan jajahan Srivijaya) yang mempunyai runtuhan bangunan.

Penulis percaya sebahagian kekayaan ini sama ada tertimbus bersama runtuhan bangunan yang belum ditemui atau telah diambil semasa proses pembersihan dibuat. Dengan penemuan banyak artifak di Sungai Musi dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, ini menunjukkan kekayaan empayar itu menanti masa untuk ditemui dan dikaji oleh pengkaji arkeologi.

Tetapi menurut siasatan Dr Kingsley, kajian ekskavasi secara formal sekitar Sungai Musi tidak dilaksanakan di situ. Jika tidak kerana penemuan yang dibuat semasa selaman malam yang dibuat oleh para nelayan tempatan, komuniti arkeologi langsung tidak tahu tentang artifak-artifak ini. Malangnya, sebelum ia sempat diperiksa oleh komuniti arkeologi baik dalam atau luar negara, ia sudah dijual kepada penjual-penjual antik.

Rajah 3: Nelayan-nelayan Palembang mencari rezeki di Sungai Musi pada waktu malam menerusi selaman mereka. Selaman-selaman ini kadang-kadang membawa kepada penemuan artifak era Srivijaya. Sumber: Scott Stemm

Bagi Dr Kingsley, ia merupakan satu kehilangan besar kepada komuniti arkeologi Nusantara. Ini kerana dengan setiap artifak yang ditemui tetapi hilang dalam simpanan pengumpul, ia menyukarkan usaha para sejarawan mengisi lebih banyak maklumat tentang Empayar Srivijaya. Dan sekiranya trend ini berterusan, maka yang rugi sudah pasti generasi mendatang kerana tidak mengenali bukti fizikal empayar maritim Melayu yang agung ini. Dapatan Dr Kingsley ini diterbitkan dalam isu musim luruh majalah Wreckwatch.

RUJUKAN

Enoch, Nick. (2021, 23 Oktober). Has the Lost Island of Gold been found? Sumatran fishermen find a huge treasure trove including a buddha worth millions that could be all that remains of civilisation of untold wealth that disappeared 700 years ago. Daily Mail.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.