Dalam banyak-banyak siri Novel Harry Potter (1 – 7), Novel Harry Potter & Tawanan Azkaban adalah yang paling sedikit bilangan jualannya, hanya 65 juta daripada 500 juta salinan terjual sehingga awal tahun 2020 [1]. Tapi kali ini penulis tak nak bincang pasal jualan buku ini, penulis nak bedah berkenaan Azkaban.

Apa sebenarnya Azkaban? Adakah ianya satu penjara? Rumah sakit jiwa? atau kem konsentrasi? J.K. Rowling pernah dedahkan bahawa Azkaban diambil daripada penjara sebenar Alcatraz dan perkataan ‘Abadan’ yang datang daripada bahasa Hebrew dan Arab [2].

Asalnya, Azkaban adalah sebuah kubu, yang dibina pada kurun ke-15 oleh seorang ahli sihir dan penuntut ilmu hitam yang hebat bernama Ekrizdis. Lokasinya berjaya disembunyikan oleh Ekrizdis menggunakan mentera penyembunyian, terhijab pandangan Azkaban daripada mata Muggle dan Ahli Sihir ketika itu [2].  Beliau juga tinggal di sana sambil menawan, mengumpan dan menyeksa kelasi Muggle sampai ke akhir hayatnya.

Mentera penyembunyian (concealment) Ekrizdis sungguh berkuasa sehingga Azkaban berjaya disembunyikan sehingga beliau mati. Selepas kematiannya, mentera itu semakin lemah dan menghilang, sekaligus mendedahkan kewujudan Azkaban di mata dunia. Namun begitu, apa yang membimbangkan masyarakat bukanlah Azkaban itu sendiri, tapi apa yang menghuni di dalamnya, iaitu makhluk Dementors.

Kita akan bincangkan pasal Dementors untuk artikel lain kali. Namun persoalan yang kita ingin bincangkan di sini ialah peranan Azkaban itu dalam siri Harry Potter. Mengapakah tempat yang begitu digeruni masih dibiarkan? Adakah tempat itu memberi sumbangan kepada dunia? Dan adakah Azkaban ini berkesan dalam menjalankan peranan logistiknya kepada dunia?

Selepas kewujudan Azkaban diketahui oleh masyarakat ketika itu, ahli sihir lain berpendapat untuk menghancurkan tempat itu. Namun, mereka bimbang jika tempat itu dihapuskan, Dementors akan berkeliaran dan menghuru-harakan dunia. Maka tempat itu dibiarkan selama beberapa tahun sehinggalah Damocles Rowle dilantik sebagai Menteri Sihir pada tahun 1718 sehingga 1726.

Beliau yang bersikap ‘anti-Muggle’ mengguna semula Azkaban sebagai satu penjara kepada Muggle dan Dementors sebagai pengawal penjara tersebut bagi menjimatkan kos daripada membina penjara yang baru. Beliau mengambil kesempatan terhadap sikap ketidakpuasan hati para ahli sihir yang dipaksa untuk tidak menonjolkan diri dengan Muggle, sekaligus mengkapitaliskan pengurusan Azkaban dan Dementors.

Jadi tak payahlah ambil manusia jadi pengawal, tak payah bayar gaji, makan dan minum. Jimat duit, tenaga, masa. Namun, bayaran untuk Dementors ialah jiwa manusia, jadi penghuni Azkaban perlu dipertingkatkan secara optimum memenuhi keperluan Dementors. Di sini timbul persoalan, adakah masyarakat perlukan Azkaban atau Azkaban perlukan masyarakat?

Makanan utama Dementors ialah harapan, kegembiraan dan semangat juang manusia untuk teruskan hidup [3]. Kalau nak pastikan Dementors cukup makan, bilangan manusia perlu dipertingkat. Jadi, tak kiralah manusia itu penjenayah atau tak, asalkan Dementors cukup makan, dan populariti serta legasi Kementerian Sihir dijaga, sumbatlah sesiapa sahaja dalam penjara. Kalau nak bincang secara komparatif, situasi ini berlaku sama seperti dekat US sekarang.

US memiliki penghuni penjara terbesar dunia, iaitu sebanyak 2.2 juta orang pada awal Jun 2020 [4]. Namun bukan semuanya penjenayah. Dalam krisis pesakit mental, mereka lebih kerap bersemuka dengan polis berbanding psikiatris. Jadi hasilnya, 2 juta orang pesakit mental disumbat ke dalam lokap setiap tahun [5]. Sekurang-kurangnya 15% lelaki dan 30% perempuan dalam penjara memiliki komplikasi masalah mental. Jadi, patutkah pesakit mental disumbat ke dalam penjara, sedangkan majority pesakit mental adalah ‘non-violent’ [6] ?

Dalam novel Harry Potter, stok manusia yang macam mana kesukaan Dementors, orang gembira atau orang kecewa? Kajian menunjukkan bahawa program-program dan polisi yang meningkatkan kegembiraan ada menunjukkan kesan langsung dalam mencegah jenayah dan penggunaan dadah [7].

Maka, Dementors lebih suka orang yang gembira berbanding orang yang sudah depresi. Tidak hairanlah antara tindakan Voldemort selepas hidup semula ialah melepaskan Dementors berkeliaran merata-rata, kerana mereka dambakan jiwa yang gembira, berbanding jiwa penghuni Azkaban yang sudah merana.

Bila kita perhati balik, siri Harry Potter ini cuba mengajar kita bagaimana sesebuah masyarakat mengendalikan golongan penjenayah dan pesakit mental. Mereka golongan yang berbeza, namun berakhir di tempat yang sama.

Jika kita nak panggil penghuni Azkaban sebagai banduan, itu kurang tepat kerana polisi yang diamalkan hanyalah tangkap muat sahaja secara rawak. Muggle ke anti-Muggle ke, Dementors tetap diberi makan. Kita sendiri pun tidak pernah mempersoalkan penghuni penjara sama ada betul-betul bersalah atau tidak.

RUJUKAN:

[1]      J. Atkins, “The Most Popular Harry Potter Book (According To Sales),” screenrant.com, 7 January 2020. [Online]. Available: https://screenrant.com/harry-potter-book-popular-best-sales/. [Accessed August 2020].

[2]      S. Natividad, “10 Facts About Azkaban The Harry Potter Films Left Out,” screenrant.com, 6 April 2019. [Online]. Available: https://screenrant.com/harry-potter-azkaban-movies/#:~:text=9%20IT%20WASN’T%20ORIGINALLY,practitioner%20of%20the%20Dark%20Arts.. [Accessed August 2020].

[3]      J. Novaro, “7 WAYS THE HARRY POTTER SERIES DEALS WITH MENTAL ILLNESS,” www.jimenainovaro.com, 27 May 2019. [Online]. Available: https://www.jimenainovaro.com/blog/2019/5/27/7-ways-the-harry-potter-series-deals-with-mental-illness. [Accessed August 2020].

[4]      statista.com, “Countries with the largest number of prisoners, as of June 2020,” statista.com, [Online]. Available: https://www.statista.com/statistics/262961/countries-with-the-most-prisoners/. [Accessed 28 August 2020].

[5]      National Alliance of Mental Illness, “Jailing People with Mental Illness,” nami.org, [Online]. Available: https://www.nami.org/Advocacy/Policy-Priorities/Divert-from-Justice-Involvement/Jailing-People-with-Mental-Illness. [Accessed August 2020].

[6]      Swanson et.al., “Mental illness and reduction of gun violence and suicide: bringing epidemiologic research to policy,” Ann Epidemiol, vol. 25, no. 5, p. 366–376, 2015.

[7]      University of California, “Happiness can deter crime, a new study finds,” sciencedaily.com, 23 August 2011. [Online]. Available: https://www.sciencedaily.com/releases/2011/08/110822091859.htm. [Accessed August 2020].


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Ahmad Naqib Syahmi bin Jaafar. Bekas pensyarah Kolej Profesional MARA Indera Mahkota, Kuantan. Sekarang pelajar separuh masa sarjana media komunikasi dan pengajian perang di UiTM Shah Alam.

Comments are closed.