Hari Perayaan Aidiladha atau Hari Raya Qurban, disebut sebagai Qurban Bayram di Turki, perayaan ini merupakan perayaan kedua yang terpenting selepas Ramadan Bayram atau Hari Perayaan Aidilfitri dalam Dunia Islam.

Perayaan keagamaan ini disambut sempena memperingati kebesaran jiwa dan kesediaan Nabi Ibrahim Alayhisalam untuk mengorbankan anaknya sendiri sebagai lambang kepatuhan baginda terhadap perintah Allah S.W.T.

Nabi Ibrahim telah bersumpah bahawa jika Allah mengurniakan baginda dengan seorang anak lelaki, baginda rela mengorbankannya pada bila-bila masa sahaja demi Tuhan.

Setelah Allah memperkenankan hasratnya untuk mempunyai seorang anak lelaki yang diberi nama Ismail, Allah mengingatkan kembali baginda akan nazarnya dahulu melalui mimpi.

Sebagai seorang anak yang soleh dan taat pada ajarannya, Ismail dan bapaya bersetuju untuk menunaikan sumpah ini walaupun ketika itu Syaitan sedang berusaha untuk menghalang mereka.

Atas dasar kesediaannya untuk mengorbankan anaknya, Nabi Ibrahim jelas telah menonjolkan ketaatannya kepada Allah, lalu baginda menerima khabar yang gembira.

Ketika memasak beberapa anggota bahagian biri-biri yang dikorbankan, Nabi Ibrahim dan keluarganya juga turut membahagikan beberapa bahagian kepada orang-orang miskin. Inilah sebabnya mengapa umat Islam secara tradisinya akan mengorbankan haiwan semasa Aidiladha dan ini juga menjelaskan mengapa perayaan ini juga disebut sebagai Hari Raya Korban.

Seekor biri-biri jantan dihantar kepadanya dari syurga, maka Allah telah memberikan ganjaran sebesar dunia kepada Nabi Ibrahim a.s. dengan tidak lagi perlu mengorbankan anaknya tetapi baginda mengorbankan biri-biri jantan yang dikirim kepadanya.

Sambutan upacara khusus biasanya diadakan di istana Uthmaniyyah dan di kalangan orang ramai pada hari perayaan mengikut kalendar Islam, ia mendapat tempat yang penting dalam kehidupan dan budaya orang Turki Uthmaniyyah.

Walaupun kita sedang menyambut Aidiladha hari ini, tidak salah rasanya jika kita ketahui sedikit sebanyak tentang bagaimana perayaan ini yang dipanggil ‘Qurban Bayram’ disambut semasa era pemerintahan Empayar Uthmaniyyah.

Di istana, majlis sambutan hari raya dilakukan bersama dengan sultan, ia dikenali sebagai “muayede alayı,” yang bermaksud “pemeriksaan rejimen”. Ia menjadi upacara terpenting di istana Uthmaniyyah selepas upacara cülus, upacara yang menandakan peralihan takhta Sultan.

Upacara-upacara yang melibatkan perayaan agama Islam tidak hanya penting dari segi keagamaan dalam Empayar Uthmaniyyah. Ia juga adalah amat penting bagi menzahirkan kemegahan dan kehebatan dinasti Uthmaniyyah.

Ini kerana, dalam dunia Islam, keberkesanan suatu pemerintahan itu diukur bukan hanya melalui kekuatan ketenteraan atau puncak sempadan kekuasaan yang luas semata-mata tetapi menayangkan kebesaran mereka melalui upacara gilang gemilang di istana yang megah juga merupakan aspek penting mengekalkan hegemoni kuasa mereka dalam dunia Islam.

Dalam Empayar Uthmaniyyah, prosedur dan protokol upacara rasmi ditentukan oleh kerangka kod Fatih Kanunnamesi (Kod Perundangan Mehmet Fatih), dan aturan ini berlanjutan untuk satu jangka waktu yang lama dengan sedikit perubahan.

Upacara perayaan Qurban Bayram umumnya diadakan di Istana Topkapı hingga pertengahan abad ke-19, dan di Dewan Besar Upacara di pusat Istana Dolmabahçe pada tahun 1867, kecuali hanya dua upacara yang diadakan di Istana Yıldız pada zaman pemerintahan Sultan Abdülhamid II.

Sultan sendiri yang memilih masjid untuk digunakan bagi tujuan solat sunat perayaan Aidilfitri atau Aidiladha, kebiasaannya mereka hanya akan memilih samada bersolat di Hagia Sophia ataupun Masjid Biru. Sudah menjadi kebiasaan bagi sultan untuk menunaikan solat subuh pada hari raya pertama di Dewan Relik yang menempatkan khazanah peninggalan suci milik Nabi Muhammad S.A.W.

Sehari sebelum perayaan, iaitu hari yang dikenali sebagai Hari Arafah, upacara biasa diadakan di Halaman Kedua istana. Pada waktu itu, takhta sultan dibawa ke Gerbang Kejujuran, yang membuka jalan ke Arz Odası, iaitu tempat di mana sultan akan bertemu para pegawai tertinggi untuk saling bertukar salam dan ucapan perayaan.

Haiwan seperti biri-biri yang disediakan untuk sultan diberi makanan khas dan dibawa oleh pegawai yang berpakaian khas semasa Qurban Bayram. Daging haiwan yang dikorbankan akan dikirim ke madrasah, atau sekolah, dan kepada mereka yang memerlukan.

Sultan kemudian berangkat ke masjid dengan menaiki kereta kuda mewah sebelum menunaikan solat hari raya. Tiada apa-apa pun yang dapat dibandingkan dengan kemegahan seorang Sultan ketika menaiki kudanya itu. Tali kuda dihiasi dengan emas, mutiara dan permata. Selepas selesai solat, perayaan akan dimulakan di Pintu Gerbang Kegembiraan.

Hari-hari perayaan juga turut diisytiharkan sebagai hari cuti di Empayar Uthmaniyyah. Sebelum hari raya menjelang tiba, para pegawai tentera dan penjawat awam akan diberikan bonus gaji. Semasa sambutan perayaan pula, anggota-anggota tentera akan diberikan barangan seperti gula, kambing, halva, salad dan baklava sementara anggota polis diberi satu set Fez polis.

Hadiah turut diberikan kepada para ulama dan imam-imam di masjid-masjid besar seperti Hagia Sophia, Masjid Biru, Masjid Süleymaniye dan Masjid Fatih.

Pada hari pertama perayaan, halva diagihkan kepada para tahanan di penjara. Sebahagian tahanan yang telah menjalani dua pertiga daripada hukuman mereka berpeluang diberi pengampunan semasa hari perayaan tersebut.

Falsafah di sebalik hari-hari perayaan Islam di Turki hampir serupa saja dengan budaya-budaya Islam di negara lain, kerana sejak dari dahulu hingga sekarang masih lagi diterjemahkan sebagai konsep perkongsian rezeki diantara golongan yang berkemampuan dengan orang yang tidak mampu.

Dari setiap haiwan yang telah dikorbankan, anda boleh menyimpan seperempat dagingnya. Selebihnya daging yang harus anda berikan kepada sekurang-kurangnya tujuh orang.

Satu lagi perkara yang menjadi kebiasaan dan pasti akan dilakukan pada hari perayaan Islam di mana-mana negara adalah menziarahi pusara ahli keluarga.

Germain Fabius Brest menggambarkan suasana majlis resepsi yang diadakan di depan Gerbang Kejujuran di halaman kedua Istana Topkapı dalam lukisannya tahun 1865 “Sambutan Perayaan Bayram.”

Namun menjadi satu kebiasaan bagi orang Turki adalah mereka lazimnya akan menziarah perkuburan sehari sebelum hari raya memandangkan terdapat sedikit pergeseran pendapat di kalangan ulamak berkenaan hukum menziarah kubur pada hari raya, ia kerana Rasulullah S.A.W. tidak menggalakkan kita bersedih semasa menyambut hari raya Aidilfitri atau Aidiladha.

Dan sudah tentulah aktiviti paling digemari adalah mengunjungi sanak saudara atau orang yang tersayang. Tidak pastilah pula samada wujudkah budaya memberi duit raya atau “ang pau” dikalangan masyarakat Muslim selain Malaysia.

Walaubagaimana pun, budaya memberi duit raya dalam sampul dalam tradisi Melayu adalah dikatakan dipengaruhi daripada tradisi memberi Ang Pau semasa sambutan Tahun Baru Cina.

RUJUKAN:


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

•MALAY• •MUSLIM• •TERENGGANU• •NATIONALIST• •CONSERVATIVE•

Comments are closed.