Hari tu aku ada sebut pasal Korea Selatan ada 5 hari kebangsaan. Hangeulnal (한글날) pada setiap 9 Oktober ialah salah satunya. Untunglah orang Korea banyak cuti.
Hangeulnal ialah hari peringatan penciptaan tulisan Korea, atau Hangeul (ejaan Rumi lama: Hangul) pada 9 Oktober 1446 oleh Raja Sejong. Kat Korea Utara, Hangeulnal jatuh pada 15 Januari. Walaupun tafsiran tarikh berbeza, tapi dua-dua pun anggap penciptaan Hangeul sebagai titik peralihan sejarah bangsa sehingga perlu adakan satu hari khas untuk memperingati ia.
Pada asalnya orang Korea tak ada tulisan sendiri. Mereka pakai tulisan Cina atau Hanja (sebutan “Hanzi”/漢字 ikut bunyi Korea). Orang Jepun pun sama. Sebelum ada Kana, orang Jepun pakai tulisan Cina atau Kanji (sebutan “Hanzi” ikut bunyi Jepun) untuk menulis, walau untuk perkataan asli Bahasa Jepun pun. “Ohayou” (おはよう) sebelum adanya Kana ditulis sebagai 於波与宇.
Tapi disebabkan Hanja susah, jadi di Korea waktu Dinasti Silla, Goryeo dan Joseon hanya golongan elit je tahu menulis dan membaca. Majoriti rakyat jelata buta huruf. Penulisan istilah Bahasa Korea dalam Hanja juga menimbulkan kekeliruan sebab lidah orang Korea dan orang Cina tak sama.
Maka Sejong mengambil inisiatif untuk mencipta tulisan yang khas untuk Bahasa Korea yang dikenali sebagai “Eonmun” (언문), maksudnya “tulisan orang awam”. Semasa awal abad ke-20, nasionalis Korea menukar nama Eonmun kepada Hangeul, maksudnya “tulisan bangsa Korea/Han”.
Hangeul ni tak susah mana pun, macam cantum Lego je. Setiap perkataan terdiri daripada huruf konsonan, vokal dan konsonan. Misalnya perkataan 한 tu terdiri daripada ㅎ (h), ㅏ (a) dan ㄴ ( n ), 글 pula terdiri daripada ㄱ (g), ㅡ (eu), dan ㄹ (l/r). Perkataan yang bermula dengan vokal seperti an (안), yang (양), eon (언) hanya perlu ditambah konsonan senyap ㅇ kat depan.
Jumlah huruf Hangeul tak banyak. Konsonan ada 19 saja (lagi sikit daripada Rumi/Latin), vokal je banyak, ada 21 termasuk diftong, tapi tak leh lawan tulisan Thai yang ada 28 vokal. Jadi Hangeul boleh dikatakan sebagai sistem tulisan paling mudah selain sistem Alphabet (Rumi/Latin, Greek, Cyrillic).
Tak ada vokal panjang/pendek dan bentuk awal/tengah/akhir macam sistem tulisan Abjad (Arab, Hebrew). Kedudukan konsonan-vokal-konsonan pun lebih senang dibaca berbanding sistem tulisan Abugida (seperti tulisan Devanagari, Telugu, Tamil, Thai, Jawa) yang vokalnya kejap kat atas kejap kat bawah kejap kat tepi.
Dan kalau dibandingkan dengan tulisan Kana Jepun, Hangeul lagi fleksibel. Kana tak ada konsonan atau vokal, yang ada hanya “syllable” seperti ka, ki, ku, ke, ko, ma, mi, mu, me, mo. Nama “Helmi” kalau dieja ikut Kana akan jadi ヘルミ (Herumi), “Azim” akan jadi アジム (Ajimu). Tak boleh buat apa. Tapi Hangeul dapat mengeja Helmi (헬미 – Helmi) atau Azim (아짐 – Ajim) dengan sempurna.
Cuma kekurangan Hangeul ni dia tak ada huruf “f” “v” “z” sebab bunyi-bunyi tu tak wujud dalam Bahasa Korea. Jadi kalau nama kau Fatin orang Korea akan panggil kau Patin atau Hwatin, tak boleh nak buat apa. Jadi bila orang Korea sebut perkataan seperti “television”, “interview” “pizza” dia jadi pelik sikit, tapi lagi okay berbanding orang Jepun lah.
Walaupun ada Hangeul, orang Korea masih kekal pakai Hanja untuk 500 tahun yang seterusnya. Sebab terdapat banyak istilah pinjaman Cina dalam Bahasa Korea. Jadi tulisan orang Korea sepatutnya lebih kurang macam orang Jepun, tulisan Kana dan Kanji bercampur.
Contohnya macam keratan akhbar Dong-a Ilbo pada tahun 1974 pasal Presiden US waktu itu (Gerard Ford) nak melawat Korea Selatan pada 22 November. Boleh nampak tulisan Hanja masih diguna bersama-sama Hangeul. Tapi sekarang orang Korea dah tak tulis macam tu, sebaliknya mereka akan tulis pakai 100% Hangeul sahaja.
Kenapa? Sebab sentimen nasionalis sempit orang Korea buat mereka anggap tulisan Hanja sebagai unsur asing yang perlu dibasmikan. Papan nama Pintu Gwanghwamun (光化門) pun pernah ditukar kepada Hangeul jadi 광화문.
Tapi selepas sejarawan Korea mengadu itu tak menggambarkan sejarah, baru kerajaan tukar balik jadi 光化門. Tapi selain itu, susah nak jumpa Hanja dalam kehidupan harian orang Korea hari ini. Paling-paling pun menulis nama sendiri. Selain tu, hanya pakar seperti sejarawan, profesor dan sasterawan saja yang tahu Hanja.
Disebabkan Bahasa Korea ada banyak perkataan pinjaman Cina yang bersifat “homonim” (perkataan yang bunyi sama tapi maksud berbeza), peminggiran Hanja dari penggunaan harian menimbulkan kekeliruan. Kekadang kalau kita baca buku dalam Bahasa Korea, mereka terpaksa letak Hanja dalam kurungan.
Kalau pernah tengok drama “What’s Wrong With Secretary Kim”, korang mesti ada dengar joke “aku seongin bukan seongin”. “Seongin” (성인) ialah perkataan pinjaman Cina, boleh membawa maksud “saint” (聖人) atau “adult” (成人). Hanja boleh bezakan, tapi Hangeul tak dapat.
Yang lebih kritikal, tanpa Hanja, generasi muda Korea hari ini mengalami kesukaran untuk membaca kitab dan buku zaman silam. Jadi di situ wujudnya ironi: niat asal pemerkasaan Hangeul adalah untuk menyemai nasionalisme dan patriotisme, tapi langkah peminggiran Hanja pula menyebabkan generasi baharu tak dapat nak mengaitkan diri dengan sejarah silam. Lama-kelamaan penghargaan terhadap tradisi pun jadi semakin pupus, macam mana nak nasionalis dan patriotik?
Sebab itu Jepun masih kekalkan Kanji, walaupun orang mengadu susahnya tulisan Bahasa Jepun, kena belajar Hiragana, Katakana dan Kanji. Dengan masih mengutamakan Kanji, orang Jepun tak kira tua atau muda masih mampu membaca buku-buku klasik yang dihasilkan pada 200 tahun atau 500 tahun yang lepas. Itu mempermudahkan pewarisan budaya dan tradisi dari generasi ke generasi.
Selain Korea, orang Vietnam, Mongolia dan Turki juga mengalami masalah yang sama apabila mereka masing-masing menggantikan Chu Nom, tulisan Mongol Lama dan tulisan Uthmaniah (berasaskan Arab) dengan aksara Rumi/Latin. Bahasa Melayu pun.
Rumi pada asalnya dicipta untuk membantu membaca Jawi, bukan nak menggantikan Jawi. Tapi disebabkan mengejar kemudahan dan juga sentimen sempit menolak unsur “Arab” dan “Islam” dalam Bahasa Melayu, Jawi semakin hari semakin dipinggirkan.
Maka tidak hairan, satu hari nanti, hanya “pakar” saja yang boleh membaca tulisan lama, macam keadaan di Korea Selatan hari ini.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih