Bila kita berbicara tentang hari-hari terakhir Adolf Hitler semasa Perang Dunia Kedua, kita dapat bayangkan suasana ngeri dalam bunker yang digambarkan bekas pengawal Nazi, mendiang Rochus Misch dalam setiap siri dokumentari membabitkan Hitler. Pada ketika itu, Hitler mati dengan menembak diri sendiri sementara isterinya, Eva Braun mati kerana mengambil racun sianida. Tetapi ada satu kejutan pada tahun 2009 yang membuatkan kita mempertimbangkan semula apakah benar semua yang digambarkan Misch atau ada satu kisah lain yang tidak diketahui umum berkenaan peristiwa tersebut.

Hari-Hari Terakhir Perang Dunia Kedua

Seperti yang diketahui umum, situasi perang tidak lagi menyebelahi Jerman pada tahun 1945. Cubaan Jerman melakukan satu lagi serangan di Ardennes dari Garisan Siegfried (Siegfried Line) untuk menghalau keluar tentera Bersekutu keluar dari Belgium dan kembali semula ke Perancis gagal. Dengan semua tentera Jerman dipaksa berundur dari semua arah, harapan Jerman untuk menang ibarat mimpi pada siang hari. Dan bila mana tentera Amerika berjaya menyeberangi Sungai Elbe pada 11 April dan pihak Soviet menyeberangi Sungai Oder serta melancarkan operasi penawanan Puncak Seelow (Seelow Heights), kebimbangan pihak Jerman bahawa Berlin bakal menjadi medan perang terakhir Eropah jadi satu realiti.

Bagi Hitler sendiri, ia satu hakikat yang terpaksa ditelan. Askar sedia ada dimiliki semakin berkurangan dan yang hanya boleh mempertahankan Berlin sekarang ialah kanak-kanak, wanita dan golongan warga emas. Dengan senjata yang dimiliki hanya sekadar memperlahankan kemaraan tentera dari memasuki Berlin, senario kejatuhan Berlin semakin jelas. Puncak Seelow telah ditawan pihak Soviet pada 19 April, membuka ruang kepada serangan besar-besaran Askar Merah (The Red Army) ke atas Berlin. Dan ironi, pada hari lahir beliau iaitu pada 20 April, Berlin dihujani serangan artileri dan roket Katyusha (Stalin’s organ) buat kali pertama. Pada petang 21 April, tentera Soviet sudah berada di pinggir bandar tersebut.

Pada masa inilah, pemimpin-pemimpin Nazi menunjukkan belang masing-masing untuk menyelamatkan diri mereka. Contoh mudah, pada 22 April, selepas menerima hakikat Jerman sudah kalah, Hitler berunding dengan doktor-doktor peribadinya tentang cara-cara membunuh diri. Mendengar khabar sedemikian, Hermann Goring menghantar telegram ke bunker untuk meminta izin Hitler mengambil alih pemerintahan Reich berdasarkan dekri Hitler pada tahun 1941. Bagaimanapun, bagi sesetengah pegawai lain seperti Martin Bormann, beliau percaya perbuatan Goring satu pengkhianatan pada Die Fuhrer. Hitler membalas telegram tersebut dengan menyatakan Goring boleh dihukum bunuh sekiranya enggan meletak jawatan. Lewat hari yang sama, Hitler memecat Goring daripada semua jawatan yang diterimanya. Pada 28 April pula, ketua Schutzstaffen, Heinrich Himmler membuat rundingan rahsia dengan pihak Bersekutu atas alasan Himmler mengawal kerajaan ketika itu tetapi ditolak sama sekali. Berang dengan tindakan Himmler, Die Fuhrer mengarahkan Himmler ditahan sementara pegawai pengiringnya merangkap wakil SS di bunker, Hermann Fegelein dihukum bunuh.

Gambar 2: Tindakan Himmler berunding dengan pihak Bersekutu di belakang Hitler menimbulkan kemarahan Die Fuhrer.

Bila mendengar perkhabaran Tentera Merah semakin menghampiri Bangunan Kanselor Reich (Reich Chancellery) dan sahabat baiknya merangkap diktator Itali, Benito Mussolini dihukum bunuh oleh kelompok pejuang Itali, ini menambah lagi tekad Hitler untuk membunuh diri. Ini kerana selepas Mussolini dan perempuan simpanannya dibunuh, kelompok partisan Itali menggantung mayat mereka berdua dari kaki hingga ke kepala. Kemudian, selepas diturunkan, mayat diktator Itali itu dibuang dalam longkang bersama mayat perempuan simpanannya di mana mereka meludah mayat kedua-dua individu tersebut. Dan bagi Hitler sendiri, pastinya beliau tidak mahu menjadi tarikan utama pihak Soviet dan beliau boleh saja dimalukan sepuas-puasnya oleh Stalin sebelum dihukum bunuh.

Gambar 3: Imej Mussolini digantung selepas mati oleh pejuang partisan membuatkan Hitler tidak mahu alami nasib sama seperti sahabatnya itu.

Justeru pada 29 April, satu perkahwinan ringkas diadakan di bilik peta dalam bunker antara Hitler dan Eva Braun. Selepas bersarapan dengan Braun, beliau membawa setiausaha beliau, Traudl Junge ke satu bilik lain bagi menentukan wasiat dan arahan yang perlu dilaksanakan selepas kematiannya. Pada waktu tengah hari, sangsi dengan pemberian racun sianida pihak SS, Hitler meminta salah seorang doktor peribadinya, Werner Haase menguji sianida tersebut pada anjing kesayangan beliau, Blondi. Blondi mati serta-merta selepas menelan pil tersebut.

Bunuh Diri

Pada 30 April, Hitler dan Braun hidup sebagai suami isteri dalam 40 jam saja. Pada hari sama, Jeneral Wilhelm Keitel memberitahu beliau Tentera Merah semakin menghampiri bunker dan semua askar yang bertempur sama ada mati, ditawan atau terpaksa bertahan dari serangan bertali arus mereka. Friedrich Weidling, ketua barisan pertahanan memohon kebenaran melancarkan serangan untuk melepaskan diri daripada kepungan tentera Soviet, satu permintaan yang ditolak Hitler beberapa hari sebelum itu. Pada hari itu, pada mulanya, Weidling menyangka permohonannya ditolak kerana Die Fuhrer tidak bersuara berkenaan hal tersebut tetapi tidak lama selepas kembali ke Benderblock, beliau diberi kebenaran melancarkan serangan. Pada waktu tengah hari, Hitler, dua setiausaha dan seorang chef peribadi makan tengah hari bersama. Kemudian, beliau dan isterinya mengucapkan selamat tinggal kepada semua staf dan pegawai yang berada dalam bunker termasuk Martin Bormann dan Joseph Goebbels sekeluarga sebelum masuk dalam bilik bacaan.

Menurut versi rasmi yang dikeluarkan, pada pukul 3.30 petang, beberapa saksi mendengar bunyi tembakan kuat dari dalam bilik bacaan. Staf-staf yang memasuki bilik tersebut melihat kedua-dua Hitler dan Braun sudah tidak bernyawa. Saksi turut menyatakan mereka mencium bau almond terbakar, satu tanda pengenalan bagi sianida telah digunakan. Menurut Misch, kepala Hitler berada di atas meja dengan darah mengalir keluar belah kanan tempurung kepalanya. Bagi Braun, doktor yang memeriksa mengesahkan isterinya mati kerana mengambil pil sianida. Berdasarkan rekod, tiada siapa yang boleh memasuki ruang peribadi Hitler pada masa kematian Hitler iaitu antara 3.00 hingga 4.00 petang.

Gambar 4: Keadaan bunker Hitler selepas beliau dikatakan membunuh diri. Sumber gambar: http://www.bbc.com/news/world-europe-37797141

Pegawai pengiring Hitler, Otto Gunsche mengumumkan kematian Hitler dan seperti apa yang diminta dalam wasiatnya, staf dan pegawai membawa kedua-dua mayat keluar ke bahagian taman di belakang Bangunan Kanselor melalui pintu kecemasan bunker untuk dibakar. Semasa mayat dibakar, pegawai dan staf yang ada memberi tabik Nazi sebagai tanda penghormatan kepada beliau. Namun, disebabkan suhu di luar berubah-ubah sepanjang masa memaksa mereka mencurah beberapa gelen petrol pada mayat untuk mempercepatkan proses pembakaran. Selain membakar mayat, mereka turut membakar apa-apa barang yang boleh digunakan pihak Soviet untuk mengenalpasti mayat Hitler termasuk permaidani yang ada kesan darah beliau. Berikutan bedilan tentera Soviet yang bertubi-tubi menghujani Berlin, kedua-dua mayat ditanam dalam satu lubang bom yang dangkal pada 6.30 petang.

Gambar 5: Posisi dalam bunker dan tempat di mana Hitler membunuh diri. Sumber gambar: http://futility.typepad.com/futility/2006/04/hitlers_bunker_.html

Hitler Mati

Berita kematian Hitler mula diketahui umum terutama rakyat Jerman. Pada 1 Mei, Laksamana Karl Donitz yang mengambil alih pentadbiran kerajaan berdasarkan wasiat Hitler mengumumkan kematian beliau dan meminta rakyat Jerman menangisi pemergian Fuhrer mereka kerana beliau berjuang dengan berani semasa di Berlin. Untuk mengelak lebih banyak kehilangan nyawa dan meningkatkan peluang mereka untuk berunding dengan pihak Bersekutu, Donitz mengarahkan mereka berundur ke sebelah barat. Walaupun ia berjaya menyelamatkan 1.8 juta tentera dari ditawan Tentera Merah, masih ramai yang terkorban kerana pertempuran terus berlaku sehingga 8 Mei.

Gambar 6: Karl Donitz mengetuai kerajaan Flensburg seperti yang diarahkan Hitler dalam wasiat dan arahannya.

Di Rusia, Stalin mendapat berita kematian Hitler pada pagi 1 Mei. Maklumat tersebut diberikan Jeneral Hans Krebs kepada Jeneral Vasily Chuikov dengan harapan untuk berunding dan mendapat syarat-syarat penyerahan kalah yang boleh diterima. Namun, hasrat itu ditolak Stalin, sebaliknya beliau mahukan pihak Jerman menyerah kalah tanpa sebarang syarat, mahukan mayat Hitler ditemui dan pengesahan apa yang dikhabarkan itu benar-benar berlaku. Pada 2 Mei, hasrat Stalin tercapai apabila sekumpulan unit tentera Soviet berjaya masuk ke Bangunan Kanselor dan menemui dua mayat dan dua anjing dalam sebuah lubang yang dangkal. Sementara dalam bunker, Krebs dan seorang lagi pegawai, Wilhelm Burgdorff membunuh diri dengan menembak diri mereka.

Tahu sekiranya berita kematian Hitler tersebar luas, Stalin mengarahkan semua maklumat berkenaan insiden tersebut ditahan dan tidak dilepaskan kepada pihak Bersekutu lain iaitu pihak Amerika Syarikat dan Britain. Stalin turut mengarahkan semua mayat yang ditemui di Bangunan Kanselor dan bunker termasuk Joseph Goebbels sekeluarga ditanam dan dipindahkan beberapa kali oleh SMERSH, sebuah unit perisikan tentera sebelum akhirnya ditanam di fasiiliti baru organisasi tersebut di Magdeburg. Pada 4 April 1970, Pengarah KGB, Yuri Andropov mengarahkan semua mayat dikeluarkan dari Magdeburg, dibakar sampai jadi abu, dikumpul dan ditabur di Sungai Biederitz. Serpihan tulang rahang dan tempurung kepala Hitler dibawa balik ke Rusia dan disimpan dalam arkib KGB. Tujuan operasi tersebut dilaksanakan ialah kebimbangan kepimpinan Parti Komunis Soviet dan KGB bahawa tempat pengebumian Hitler menjadi tempat pemujaan kelompok neo-Nazi.

Berikutan pihak Soviet saja yang tahu berkenaan berita kematian Hitler, mereka terus menyebarkan cerita Hitler masih hidup dan menuduh pihak Bersekutu melindungi Hitler. Maka dari sinilah, cerita-cerita Hitler dilihat di mana-mana muncul. Banyak cerita di mana sukar bagi pihak perisikan untuk mengesahkan cerita tersebut benar atau tidak. Bila Harry Truman bertemu dengan Stalin semasa Persidangan Potsdam dan bertanya sama ada Hitler hidup atau sudah mati, Stalin menjawab tidak dengan tegas. Bagi Stalin dan pemimpin lain selepasnya, ini hanya sekadar permainan politik untuk mengekalkan prestij Rusia atau Soviet Union sebagai kuasa besar yang harus tidak dipandang rendah. Bukti daripada permainan ini ialah lebih 2 juta dokumen yang dinyahsulitkan oleh agensi-agensi perisikan semasa pasukan penyiasat Hunting Hitler meneruskan siasatan mereka pada musim kedua siri tersebut. Namun, apakah ini benar-benar pengakhiran seorang diktator atau ia sebenarnya membuka pintu pada satu kemungkinan lain?

Hitler Atau Bukan Hitler

Teori Hitler masih hidup dan berjaya melarikan diri dari Berlin ternyata menimbulkan minat ramai. Ini ditambah ramai sangsi dengan versi rasmi yang dikeluarkan kerana bagi yang mengkaji personaliti Hitler, ini bukanlah sifat Hitler yang mudah mengaku kalah begitu saja pada hari-hari terakhir perang. Dan tidak ada sebarang bentuk dokumentasi sama ada dalam bentuk gambar atau lakaran. Atas sebab itu, sebuah rancangan dokumentari saluran History pada tahun 2009, Mystery Quest melancarkan satu siasatan untuk menyiasat teori tersebut dan memeriksa kesahihan serpihan tengkorak tersebut.

Pakar tulang dan ahli arkeologi dari Universiti Connecticut, Dr Nick Bellantoni diberi tugas memeriksa struktur tempurung Hitler dan dokumentasi pihak Rusia berkenaan tempurung tersebut. Semasa hendak melakukan pemeriksaan, Bellantoni hanya dibenarkan memeriksa tempurung kepala tersebut. Sementara tulang rahang Hitler masih lagi disimpan arkib dan tidak diberi akses kepada umum. Semasa pemeriksaan awal, beliau sudah merasakan ada sesuatu tidak kena dengan tempurung tersebut. Menurut beliau, tempurung kepala lelaki seharusnya lebih keras tetapi bagi tempurung ini, ianya tidak keras mengikut apa yang dinyatakan. Dan pada bahagian sutur kepala, Bellantoni berpandangan sutur tempurung tersebut menjurus kepada individu berumur 40-an. Ini sama sekali berlawanan dengan fakta umur Hitler ialah 56 tahun pada April 1945.

Figure 7: Serpihan tempurung kepala Hitler yang diperiksa Bellantoni. Sumber gambar: http://www.telegraph.co.uk/history/world-war-two/6766845/Adolf-Hitler-skull-fragment-is-genuine-evidence-of-suicide-insists-Russia.html

Bellantoni diberi tempoh sejam saja oleh pihak arkib Rusia untuk memeriksa semua dokumentasi dan mengambil sampel DNA pada semua barang yang diambil dari bunker termasuk sofa di mana Hitler dikatakan membunuh diri. Selepas selesai memeriksa dan mengambil sampel, beliau menghantar sampel kembali ke Universiti Connecticut untuk analisis selanjutnya. Ketua makmal genetik universiti tersebut, Dr Linda Strausbaugh menutup makmal selama tiga hari untuk mengkaji sampel DNA Hitler secara eksklusif. Menurut Strausbaugh, proses dan kawalan yang dilakukan sama seperti di makmal jenayah. Beliau terkejut bila mendapati ada sedikit sampel DNA yang boleh diekstrak keluar. Strausbaugh mengulangi proses tersebut menerusi proses salinan molekular untuk mendapatkan bahan yang cukup untuk analisis selanjutnya. Dan hasilnya tanpa disangka-sangka menyaksikan DNA yang diambil dari tempurung kepala Hitler sebenarnya DNA seorang wanita yang berumur antara 20-an hingga 40-an.

Walaupun keputusan yang dikeluarkan benar-benar mengubah fakta yang kita ketahui hari ini, pihak Rusia masih bertegas bahawa tempurung tersebut memang milik Hitler. Dan pada 28 April tahun ini, pihak arkib Rusia mengumumkan mereka bakal menguji sekali lagi DNA pada tempurung tersebut dan seorang waris keluarga beliau sedia menyerahkan sampel DNA sebagai sampel perbandingan. Walau apapun keputusan DNA yang dibuat, selagi mana satu lagi ujian DNA tidak dibuat pada serpihan rahang yang disimpan dalam arkib bagi benar-benar mengesahkan itu memang Hitler, selagi itu ramai berpandangan versi rasmi yang dikeluarkan bersifat satu pembohongan dan Hitler sebenarnya hidup selepas 30 April 1945.

Sumber:

1. Goni, Uki. (2009). The Guardian. Tests on skull fragment cast doubt on Adolf Hitler suicide story. https://www.theguardian.com/world/2009/sep/27/adolf-hitler-suicide-skull-fragment

2. Tkachenko, Maxim. (2009). CNN. Official: KGB chief ordered Hitler’s remains destroyed. http://edition.cnn.com/2009/WORLD/europe/12/11/russia.hitler.remains/index.html

3. Trevor-Roper, Hugh. (1947). MI5. https://www.mi5.gov.uk/hitlers-last-days

4. Rothman, Lily. (2015). Time. How the World Learned of Hitler’s Death. http://time.com/3829048/death-of-hitler-history/

5. Walker, Peter. (2017). The Independent. Adolf Hitler’s ‘last bodyguard’ reveals what happened in Nazi leader’s final minutes in the Berlin bunker. http://www.independent.co.uk/news/world/europe/adolf-hitler-last-bodyguard-rochus-misch-nazi-leader-s-final-minutes-berlin-bunker-eva-braun-a7642871.html

6. Jamieson, Alastair. (2009). The Telegraph. Adolf Hitler skull fragment is genuine evidence of suicide, insists Russia. http://www.telegraph.co.uk/history/world-war-two/6766845/Adolf-Hitler-skull-fragment-is-genuine-evidence-of-suicide-insists-Russia.html

7. Russia Beyond. (2017). Russia ready to provide Hitler’s skull to scrutinize its authenticity. https://www.rbth.com/news/2017/04/28/russia-ready-to-provide-hitlers-skull-to-scrutinize-its-authenticity_752619

8. Mystery Quest. (2009). Episod 1: Hitler’s Escape. https://www.youtube.com/watch?v=TfhI0X0tbuo


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply