Bulan kelahiran insan agung yang jiwanya penuh cinta dan kemaafan telah bermula kini. Kehangatan cinta kepada Baginda semakin tersebar di sanubari umat ini, tak perlu teriakan jihad takfiri, demostrasi panas, hanya melalui majlis mahabbah Rasul yang penuh lunak dan damai, melalui bicara cinta serta kesenian sufi, Islam kembali kukuh dalam jiwa generasi umat kini di seluruh dunia.
Melalui cinta, pintu terbuka seluasnya lantaran semua insan perlukan cinta, bawalah obor cinta nescaya ramai yang mahu bersama menyalakannya. Mahatma Gandhi memperjuangkan kemerdekaan India dengan cinta dan kedamaian, Tuanku Abdul Rahman juga mengambil jalan kedamaian dan diplomasi dalam perjuangan meraih kemerdekaan Malaysia. Mereka menolak jalan kekerasan hingga musuh terpaksa tunduk kalah dengan mereka.
Rasulullah bukannya tokoh yang perjuangkan kemerdekaan negara, perjuangkan kemiskinan, perjuangkan wanita, perjuangkan hak hamba, perjuangkan keadilan dan kedamaian, Rasulullah melebihi segalanya kerana Baginda adalah Nabi yang diutuskan Allah untuk kebebasan yang lebih agung iaitu kemerdekaan manusia dari kekufuran, dari kejahatan nafsu ammarah kepada kejernihan nafsu, dari kesempitan dunia yang sebentar kepada akhirat yang abadi.
Lantaran Iman kepada Allah, Rasul, Kitabullah, Malaikat, Akhirat dan Qadha, manusia telah dilahirkan semula dengan kehidupan yang murni, mulia dan benar matlamatnya.
Tiada insan yang paling berjasa dalam membawa kemerdekaan insan ini melainkan Rasulullah, namun kini ramai umatnya kembali terbelenggu dalam penjajahan kufur, makhluk, nafsu syaitaniah dan dunia.
Maka kita umatnya yang ada kesedaran iman memikul amanah ini untuk membawa semua insan kepada kemerdekaan hakiki dengan pelbagai cara. Tiada pekerjaan yang paling mulia melainkan menyambung pekerjaan Rasulullah sebagai yang utama, tiada kalimah yang paling mulia melainkan mengajak manusia kepada Allah dan bebaskan diri dari belenggu kufur, nafsu syaitaniah dan dunia.
Memetik kata guru saya, “berjuang sebarkan cinta, dengan penuh cinta demi mencapai cinta.”
Saya mengimpikan anak-anak muda khususnya memeriahkan bulan maulid dengan mengadakan Qasidah Tribute (penghormatan kepada Rasulullah SAW) di tempat ramai orang sesuai dengan suasana.
Baik di sebahagian tempat di Indonesia dan juga masih terdapat budaya di sebahagian kampung di Malaysia yang mana anak-anak muda akan berarak kampung ke kampung memukul kompang sambil mengalunkan Selawatan dan Qasidah memuji Nabi. Ia juga salah satu cara menghormat bulan kelahiran Nabi agar masyarakat merasai kemuliaan dan kegembiraan menyambutnya.
Sebaiknya perarakan yang dibacakan Selawat dan Qasidah diatur hingga turut diikuti oleh generasi muda dan kanak-kanak secara santai. Sebaiknya, pilih lagu-lagu yang mudah agar semua dapat membacanya.
Sekiranya di Kuala Lumpur, boleh lakukan bermula dari tempat tertentu, setiap point sudah ada yang menunggu untuk bersama memeriahkan qasidah tribute tersebut hingga diikuti pelbagai golongan lelaki dan wanita bersama hatta non muslim memberi penghormatan cinta kepada Nabi Muhammad SAW sempena bulan kelahirannya walaupun sebentar cuma. Jika tanya kepada saya apakah temanya? Prophet Muhammad SAW for all antara yang boleh dicadangkan.
Lakukan dengan santai dan bebas dan yang penting wujudkan suasana penuh kegembiraan, penuh adab dan lagu pujian kepada Rasulullah SAW yang sesuai dengan tempat dan keadaan. Jangan rap dan hip hop pula sampai hilang adab.
Baru-baru ini penulis sempat menghadiri Qasidah Tribute di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur anjuran Persatuan Kebudayaan Ar Rumi Malaysia.
Setiap program dilakukan hendaklah ditularkan dalam media sosial agar ramai yang melihat dan mengikuti melakukannya di tempat masing-masing di seluruh negara sepanjang bulan Maulid ini.
Sempena bulan kelahiran Nabi kita juga, ayuh semarakkan lagi membantu pintu-pintu kecintaan Rasulullah iaitu faqir miskin, anak yatim, golongan yang lemah, mereka yang dizalimi, mereka yang perlukan bantuan dan lainnya.
Saya juga berhasrat melihat kemeriahan bulan Rabiulawal bukan hanya dinikmati orang Islam di Malaysia tetapi juga dinikmati bersama non-muslim. Saya fikir, perlu ada gerakan menganjurkan Talk atau bicara santai pengenalan siapa Sayyiduna Muhammad SAW di tempat yang lebih santai. Yela, kalau buat di Masjid, kan jadi isu non muslim masuk Masjid.
Sebenarnya, ramai non muslim nak tahu dan berkenalan siapakah Sayyiduna Muhammad SAW, jin kafir sekalipun berminat. Tetapi mungkin tiada pendekatan dan mereka juga malu nak mulakan.
Saya pernah menyambut Maulid di Sydney, anjuran The Rahma Islamic Association of Australia. Di padang luas, mereka berselawat dan berqasidah. Saya melihat non muslim juga turut hadir menyambut walaupun dengan gaya bertatoo, ‘free hair’ malah ada yang hanya berseluar pendek. Namun, para pendakwah sana menyambut mereka dengan penuh cinta.
Pada malam itu, di hadapan mata saya seorang gadis berbangsa Sepanyol, mungkin tiada kena mengena dengan Iker Casilas memeluk Islam di hadapan seorang Syaikh. Selepas bersyadahah, gadis itu berkongsi pengalaman beliau kenapa memilih Islam.
Katanya, dia hadir ke majlis maulid dan dia merasakan ‘fall in love with him’ (Sayyiduna Muhammad SAW) ‘deep deep’ dalam hatinya. Dia juga merasakan Sayyiduna Muhammad SAW mencintainya. Dia sebak dan sedih. Persoalan kehidupan dan kejiwaan terjawab !
Gugur air mata beliau lalu menyampaikan hasrat, malam itu menjadi saksi.
“Dan tiada lah Kami mengutuskanmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya”. Saba’ : 28
‘Main point’ yang ingin saya sampaikan ialah menyebarkan cinta Nabi bukan dalam bentuk majlis khusus dan tempat tertentu serta pakaian tertentu sahaja, tetapi bebas di mana jua dengan gaya santai sama ada duduk, berdiri atau berjalan tetapi mestilah dengan penuh adab agar seluruh insan memuliakan dan gembira dengan bulan kelahiran Nabi. Moga usaha sedikit ini menjadi asbab kita mendapat kecintaan Baginda SAW yang membawa kita kepada cinta Allah, lalu hati kita dikurniakan cahaya makrifat hingga tertanggalnya kotoran syirik yang membelenggu jiwa.
Angah Sunan, semoga impian menjadi kenyataan.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih