Sejarah awal Norway, dan Scandinavia secara umum, dicirikan dengan kehadiran pelaut, pedagang dan pahlawan gagah. Ia turut diperkayakan dengan mitologi masyarakat tempatan di samping sejumlah nama-nama besar yang bercita-cita tinggi. Putera-putera gagah dari daratan utara ini menguasai laluan-laluan laut Eropah utara selama berkurun-kurun dan dengan tangan mereka sendirian, berupaya mengubah sejarah banyak negara. Walau bagaimanapun, kekuatan mereka ini tidak pernah muncul sebagai entiti tunggal yang dominan.
Sebaliknya, mereka terpecah dan terbahagi kepada sejumlah kerajaan kecil yang setiap satunya diperintah oleh pembesar masing-masing – setiap seorang menginginkan rampasan harta terbesar dan serangan yang paling berjaya. Begitulah keadaannya di sana, sebelum muncul seorang lelaki yang menyatukan mereka semua dan membentuk sebuah kerajaan baru lagi luas, di mana seorang pemerintah tunggal menjadi penguasa. Lelaki ini bernama Harald Fairhair.
Dianggap secara meluas sebagai raja pertama Norway, figura sejarah yang kabur identitinya ini masih menjadi bahan perdebatan dalam kalangan ilmuwan sehingga ke hari ini. Adakah beliau benar-benar wujud? Adakah saga-saga yang memerihalkannya itu benar dan sahih? Pada hari ini dan di dalam artikel ini, kami akan cuba memberikan jawapan kami yang tersendiri, seiring kita meneroka kisah mengujakan mengenai lelaki di sebalik negara Norway moden – Harald Fairhair.
JEJAK-LANGKAH BAPANYA – HARALD FAIRHAIR MERAIH KUASA
Pada era Viking, masyarakat yang celik huruf di Norway dan Scandinavia tidak wujud secara meluas, begitu juga dengan bahan-bahan bertulis melainkan inskripsi-inskripsi berbahasa rune. Bahan-bahan bertulis hanya datang ke sana bersama agama Kristian. Dalam erti kata lain, tidak banyak sumber bertulis pada zaman awal melainkan sejumlah saga yang ditulis pada beberapa kurun setelah sesebuah peristiwa itu berlaku. Dalam masyarakat Viking, jasa-jasa besar dan wira-wira hebat dijadikan sebagai subjek lagu mahupun hikayat. Namun, ianya hanya hadir dalam bentuk lisan.
Puisi Skaldic merupakan satu tradisi yang besar di utara – skald-skald (pemujangga) yang mahir diambil khidmatnya oleh para raja untuk mendendangkan pujian ke atas jasa-jasa yang mereka lakukan. Seringkali, ianya melibatkan penokokan tambah. Dalam satu sudut, pemujangga sebegini merupakan unit propaganda yang penting di zaman pertengahan awal Scandinavia dan hakikat ini turut difahami oleh Harald.
Walau bagaimanapun, tradisi lisan mempunyai kecenderungan untuk hilang atau pupus seiring pergerakan masa dan catatan-catatan yang memerihalkan Harald Fairhair – yang jumlahnya tidak lebih dari sedozen – dihimpunkan pada masa terkemudian, sesudah hayatnya berakhir. Sumber-sumber rujukan utama berkenaan kisah hidup beliau boleh didapati di dalam sejumlah saga, terutama sekali Heimskringla yang mengandungi Saga of Halfdan dan Saga of Harald Fairhair. Begitu juga dengan saga Orkneyinga, saga Floamanna, saga Egil dan beberapa saga yang lain. Antara sumber rujukan lain yang penting juga adalah Historia Norwegiae karangan Theodricus Monachus. Dalam kalangan saga-saga yang disebutkan ini, tiada yang berusia melebihi kurun ke-12 Masehi.
Halfdan sendiri dilahirkan sebagai putera kepada seorang raja kecil – Gudrod Si Agung dan isterinya, Asa Haraldsdottir si puteri raja Kerajaan Agder, sebuah lagi kerajaan kecil yang lain. Bapa Halfdan dibunuh semasa beliau masih lagi bayi. Lantaran itu, ibunya melarikan diri dan kembali ke kerajaan bapanya, Agder di mana beliau membesarkan puteranya itu. Hikayat menganjak masa sekitar 19 tahun kemudian, di mana Halfdan Si Hitam mewarisi gelaran Raja Agder dan beliau dengan pantas mempamerkan kebolehannya dalam memerintah, terutama apabila beliau dengan jayanya meluaskan wilayah dan menambah lagi perbendaharaan kerajaan.
Maklumat-maklumat yang dapat kita perolehi daripada sumber-sumber ini antara lain adalah Harald sudah pun ditakdirkan untuk memikul tanggungjawab besarnya itu memandangkan bapanya sudah pun memulakan rancangan untuk menyatukan kerajaan-kerajaan kecil di bawah satu panji. Bapanya itu bernama Halfdan Si Hitam (Halfdanr Svarti), dilahirkan sekitar 810M di dalam sebuah dinasti legenda Scandinavia, iaitu Ynglings. Kedua-dua saga kurun ke-12M iaitu Heimskringla dan Fagsrkinna memerincikan kepada kita beberapa maklumat penting berkenaan Halfdan, dan juga sejumlah sejarah tentang Harald Fairhair.
Kempen penaklukan ke atas kerajaan-kerajaan kecil di sekeliling Agder yang dilancarkannya dengan penuh berhati-hati dan bertaktikal jelas sekali merintis jalan untuk puteranya agar menyambung usahanya menyatukan kesemua kerajaan ini. Halfdan pertama sekali menakluk separuh Vingulmark, sebuah kerajaan kecil yang diperintah oleh Raja Gandalf Alfgeirsson. Kemudian, beliau menundukkan pla Raumarike, sebuah kerajaan yang beliau kuasai selepas memenangi sejumlah konflik dengan para pemerintahnya.
Setelah itu, menerusi perkahwinan yang licik, beliau berjaya merampas kerajaan Sogn. Beliau mengahwini puteri raja Sogn dan dikurniakan seorang putera. Putera ini dinamakan sebagai pewaris takhta Sogn, namun beliau mangkat pada usia muda justeru meninggalkan takhta untuk Halfdan, bapanya.
Menerusi kelicikan, peperangan yang bertaktikal dan permainan politik yang cerdik, Halfdan Si Hitam berupaya meluaskan wilayah kekuasaannya dan membina sebuah kerajaan yang besar. Namun malangnya, rancangan beliau itu tersungkur lemas ke dalam lautan luas – secara harfiah – apabila pedati yang mengangkutnya terjatuh ke dalam ais di Randsfjorden. Halfdan dan seluruh pengiringnya pada waktu itu mati lemas. Beliau meninggalkan seorang pewaris untuk menggantikan kedudukannya, iaitu Harald Fairhair.
Sejurus sahaja selepas kemangkatan Halfdan, Harald yang masih muda dan pakcik merangkap pelindungnya, Guthorm, menerima ancaman. Berikutan kemangkatan Halfdan, kerajaan-kerajaan yang beliau takluki sebelum ini dengan mudah boleh melakukan pemberontakan, cuba untuk merebut semula kemerdekaan yang dirampas. Faktor yang memberi kesukaran buat Harald adalah kerajaan yang diwariskan kepadanya tidak bersifat tunggal – geografinya berselerak dan tidak saling terjalin-hubung sekaligus ianya sukar untuk ditadbir.
HARALD FAIRHAIR MENJAMIN TAKHTA DAN KEKUASAANNYA
Tidak lama kemudian, situasi buruk itu berlaku dan Harald Fairhair yang masih muda dengan pantas dihadapkan dengan realiti menjadi seorang raja. Seteru pertama beliau adalah Hake Gandalfsson, putera raja bagi kerajaan Vingulmark yang penguasa sebelumnya, iaitu Gandalf Alfgeirsson diguling dan dibunuh oleh Halfdan. Saudara-saudara Hake, iaitu Hysing dan Helsing turut terbunuh dalam pertempuran yang berlangsung pada beberapa tahun lalu.
Dengan niat mahu menuntut bela, Hake berhasrat mahu menggulingkan Harald yang dianggapnya masih belum banyak pengalaman. Lantas, beliau pun menghimpunkan sebuah angkatan tentera yang besar dari Vestfold, berjumlah kira-kira 300 orang pahlawan dengan lengkap bersenjata. Pada zaman pertengahan awal Viking, angka sebegini sudah cukup besar dan sukar pula untuk ditewaskan. Saga-saga yang memerihalkan situasi ini menceritakan kepada kita bagaimana Harald dan Guthorm dengan liciknya menewaskan Hake Gandalfsson dengan jumlah tentera yang jauh lebih kecil, berkemungkinan menerusi helah serangan hendap.
Menerusi kecekapannya mentadbir kerajaan, Harald berupaya membangunkan pasukan tentera yang lebih besar dengan tujuan untuk menjamin kuasanya. Hal ini ternyata merupakan suatu langkah yang bijak kerana kelak, beliau bakal berhadapan dengan ujian terbesarnya. Sebuah angkatan lawan terbentuk di Norway, di mana mereka bermaksud untuk merebut semula kerajaan-kerajaan yang dikuasai oleh Harald dan cuba untuk menghalangi usahanya untuk menyatukan Norway.
Angkatan ini melibatkan Sulki, si raja bagi Kerajaan Rogaland berserta saudarnaya, Earl Soti. Kemudian, Eirik si raja Hordalan bersama mereka ikut serta Kjotvi Si Kaya yang merupakan raja Kerajaan Agdir dan puteranya, Thorir Haklang. Angkatan ini turut melibatkan dua orang bersaudara yang memerintah Telemark, iaitu Hadd si Keras (Hadd the Hard) dan Hroald Hrygg.
Mereka inilah musuh terbesar yang dihadapi Harald. Kedua-dua belah pihak berusaha keras untuk menghimpunkan seramai mungkin tentera. Konflik mereka ini memuncak pada tahun 872M, apabila meletusnya Pertempuran Hafrsfjord di kawasan berhampiran Stavanger. Pada masa itu, pertempuran ini dilihat sebagai salah sebuah pertempuran terbesar di Norway.
Kemenangan Harald Fairhair di Hafrsfjord dianggap secara luas dalam kalangan masyarakat tempatan sebagai episod kelahiran sebuah kerajaan Norway yang merdeka dan bersatu. Sejarah sememangnya senada dengan dakwaan tersebut, memandangkan sesudah berakhirnya pertempuran itu, Harald mengisytiharkan dirinya sebagai raja tunggal Norway – tanpa ada seorang pun seteru untuk merebut gelaran tersebut.
Jumlah tentera yang besar ini bertembung dalam sebuah pertempuran laut di fjord yang merupakan sebahagian dari kawasan Rogaland. Kebanyakan seteru Harald tumbang dalam pertempuran ini – misalnya Eirik terbunuh, Sulki dan Soti terjatuh (lemas) sementara Thorir Haklang pula menjadi gila lantas dibunuh. Bapanya, Kjotvi Si Kaya adalah satu-satunya yang terselamat. Beliau melarikan diri sebaik sahaja melihat pasukannya mengalami kekalahan besar. Nama beliau tidak lagi disebutkan sesudah itu.
Harald Fairhair tidak hanya menjalinkan persekutuan, malah beliau menampilkan imejnya sendiri sebagai monarki sebenar Norway. Bukti lanjut berkenaan kestabilan pemerintahan Harald ke atas seluruh Norway adalah situasi di mana raja Denmark mengetuai rundingan-rundingan serius sebelum bersetuju untuk menyerahkan puterinya untuk dikahwini.
Selepas meraih kemenangan yang besar itu, Harald dengan pantas bertindak mengukuhkan pemerintahannya. Sekali lagi, beliau mempamerkan kecerdikannya dalam berdiplomasi dengan mengahwini puteri seorang raja Denmark. Pada masa itu, Denmark merupakan kerajaan yang paling hampir dengannya dan paling berkuasa di selatannya justeru Harald mahu menjadikan mereka sebagai sekutu.
Sejumlah besar puisi-puisi pemujangga (skaldic) yang dihasilkan semasa tempoh kehidupan Harald Fairhair masih wujud sehingga ke hari ini. Ianya banyak memberikan fakta sejarah mahupun penokokan tentang beliau. Antaranya seperti sebuah hikayat yang diromantiskan, di mana Harald dikisahkan memutuskan mahu menyatukan Norway. Seiring berjalannya puisi dan hikayat itu, Harald diperihalkan telah jatuh cinta dengan seorang gadis yang bernama Gyda, salah seorang gadis tercantik di Norway.
Namun, Gyda menolak luahan cintanya dan menyatakan bahawa beliau hanya akan menerima cinta raja yang menguasai seluruh Norway. Lantaran itu, Harald pun bersumpah untuk memenuhi impian tersebut demi meraih cinta Gyda.
Sebuah lagi pemerincian yang bersifat romantis antara lain adalah yang menyebutkan bahawa Harald bersumpah untuk tidak menyisir rambut sebelum impiannya untuk menjadi Raja Norway tertunai. Lantaran itu, beliau dikenali sebagai Harald Lufa (Harald Si Rambut Serabai). Selepas kempen penaklukannya selesai, hikayat menceritakan bagaimana beliau dijamu di Maeri oleh Earl Rognvald.
Gelaran yang satu itu juga merupakan satu metafora yang sangat menarik – metafora yang direka dan dimasukkan oleh penghikayat Kristian pada kurun-kurun selepas kemangkatan Harald. Metafora ini bersifat jelas – seorang pembesar memotong rambut serabai milik seorang pahlawan (metafora bagi Viking yang bersifat berpuak-puak dan bersalahan dengan agama Kristian) dan mendedahkan penampilan seorang raja yang memiliki rambut yang cantik (metafora bagi pengaruh Kristian yang lebih bertamadun).
Pembesar yang sama itu kemudiannya menyisir rambut Harald yang sudah tumbuh panjang, menunjukkan kepada semua yang ada di sana akan betapa cantiknya rambut beliau. Maka, Harald pun meraih gelaran Harald Fairhair. Perkara ini sudah tentu merupakan penokokan daripada pemujangga dan tidak memiliki sebarang asas dalam sejarah sebenar, walaupun Earl Rognvald itu merupakan seorang figura sejarah realiti – salah seorang pendokong terawal Harald semasa beliau baru sahaja dimahkotakan, bersama Earl Atli.
Kemenangan Harald Fairhair di Hafrsfjord dan kenaikan kuasanya sebagai seorang monarki turut memberikan pengaruh kepada negara-negara jiran – terutama sekali petempatan di Iceland. Sebilangan besar bangsawan, pahlawan dan keluarga mereka yang menentang Harald dalam konflik ini memilih untuk melarikan diri berbanding menerima nasib di tangan beliau. Dan destinasi pilihan mereka adalah Iceland yang baru sahaja ditemui dan belum lagi diduduki pada masa itu.
Harald Fairhair juga meluaskan pengaruhnya hingga ke Orkneys dan Scotland. Para Viking yang memerintah di sana dituntut untuk membayar ufti dan memperakui beliau sebagai raja mereka.
PERANG PARA PUTERA & CUCU HARALD FAIRHAIR
Dalam penulisan-penulisan pada tempoh yang lebih terkemudian, ada diperihalkan tentang dua orang putera Harald iaitu Erik Bloodaxe dan Haakon the Good. Haakon yang lebih muda dihantar ke istana Raja Athelstan di England, sama ada sebagai tawanan diplomatik mahupun utusan. Walau apapun statusnya, beliau meluangkan masa mudanya di Anglo-Saxon dan Denmark-England. Sementara itu, abangnya, Erik Bloodaxe mewarisi takhtwa Norway selepas kemangkatan Harald Fairhair. Menjelang masa-masa itu, Erik sudah pun mempunyai putera-puteranya sendiri.
Apapun, sebaik sahaja mendarat di Norway, Haakon mula menubuhkan persekutuannya yang tersendiri. Beliau menawarkan janji untuk menghapuskan cukai yang dikenakan ke atas hartanah warisan, yang mana cukai ini dimulakan oleh bapanya, Harald Fairhair. Beliau turut menjalinkan persekutuan dengan Sigurd, Earl of Lade dan dengan pantas menubuhkan pengaruh yang kuat di Norway, baik secara langsung mahupun tidak langsung.
Namun sejurus Erik menjadi raja, Haakon Haraldsson berlayar dari England dalam cubaan untuk merampas takhta dari abangnya. Tidak seperti Erik dan lain-lain di Norway yang masih mengamalkan kepercayaan pagan, Haakon menganut agama Kristian yang menjadi kelaziman Anglo-Saxon. Terdapat kemungkinan bahawa ekspedisi beliau ini menerima sokongan daripada masyarakat Inggeris.
Erik Bloodaxe kelak menyedari bahawa keadaan politik tidak menyebelahinya dan beliau sendiri dikelilingi oleh para musuh di samping tidak mempunyai ramai sekutu. Lantaran itu, beliau pun melarikan diri ke Orkneys, dan dari sana, bergerak ke Jorvik di Northumbria. Di sana, beliau dibunuh bersama puteranya, Haeric dalam Pertempuran Stainmore yang berlangsung pada 954M ketika menentang Earl of Bernicia.
Namun, putera-puteranya masih kekal menjadi kekuatan yang menentang Haakon di Norway. Mereka mengetuai sejumlah pertempuran berdarah dalam memerangi pasukan tentera Haakon. Dalam pertempuran pertama yang berlangsung di Avaldsnes, Haakon meraih kemenangan dan salah seorang putera Erik, iaitu Guttorm terbunuh. Pada tahun berikutnya, Pertempuran Rastarkal meletus dan Haakon meraih satu lagi kemenangan. Kali ini, putera Erik yang bernama Gamle pula terkorban.
Gelaran Raja Norway kemudiannya diserahkan kepada Harald Greycloak, putera kepada Erik Bloodaxe yang tertua dalam kalangan mereka yang terselamat. Namun, pemerintahan cucu Harald Fairhair ini ditandai dengan tahun-tahun yang penuh dengan peperangan di Norway dan beliau pada akhirnya dibunuh oleh persekutuan raja Denmark, Harald Bluetooth yang menjadi Raja Norway selama beberapa tahun sebelum beliau sendiri digulingkan dan dibunuh. Kitaran ini terus-menerus berulang.
Beberapa tahun sesudah mengalami kekalahan ini, tepatnya pada tahun 961, tiga orang putera Erik Bloodaxe yang masih hidup kembali ke Norway dan memberikan kejutan kepada Haakon dalam Pertempuran Fitjar. Namun, pertempuran ini tetap jua dimenangi oleh Haakon walaupun beliau terpaksa membayarnya dengan nyawanya sendiri. Beliau mengalami kecederaan parah dan mangkat akibat daripada itu.
PEDANG YANG TIDAK PERNAH BERSARUNG
Tidak diragukan lagi bahawa sejarah Norway dan permulaannya sebagai sebuah negara ditandai oleh sifat gemar berperang dan tamak masyarakat Norsemen. Berpegang pada gaya hidup Viking, perubahan gaya hidup mereka daripada pahlawan laut kepada pedagang tidak berjalan dengan licin. Sebaliknya, ia ditandai dengan sejumlah peperangan dan pembunuhan. Namun, Harald Fairhair, figura yang walaupun kabur identiti serta kesahihan riwayat hidupnya, sangat penting untuk dikenang.
TERJEMAHAN:
Aleksa Vuckovic. (13 Disember 2019). The Story of Harald Fairhair, First King of Norway. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/harald-fairhair-0012999
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih