Bila kita berbicara tentang Hannibal, saya percaya perkara pertama timbul dalam minda anda ialah Dr. Hannibal Lecter, pembunuh bersiri fiksyen terkenal ciptaan penulis novel, Thomas Harris. Dan saya takkan terkejut jika nama ini disebut, anda bayangkan Lecter versi Sir Anthony Hopkins atau versi Mads Mikkelsen muncul dalam imaginasi anda. Saya tak berminat dengan Hannibal itu, saya hendak bercerita tentang Hannibal Barca, seorang jeneral Carthage dan salah seorang komander tentera paling berjaya dalam sejarah. Kebijaksanaannya dalam berstrategi bukan saja membuatkan Rom hampir berputih mata malah mendorong mereka menggunakan strategi-strategi Hannibal dalam kempen-kempen ketenteraan seterusnya. Di sebalik kebijaksanaan dan ketokohan beliau, ada banyak perkara menarik tentang Hannibal yang tidak diketahui umum.

1. Barca – Sepantas Kilat

Bapa Hannibal, Jeneral Hamilcar Barca seorang jeneral Carthage yang licik dan dinamik. Ketokohan beliau sudah diketahui umum terutama semasa Perang Punic Pertama di mana antara 247-241 Sebelum Masihi, Hamilcar menggerakkan kempen perang gerila ke atas tentera Rom sehinggalah mereka dihalau keluar dari Sicily. Dan atas jasa beliau, Carthage berjaya mengembangkan wilayah mereka ke Semenanjung Iberia (Sepanyol moden). Ini dilakukan dengan kempen serangan kilat terutama satu insiden serangan pantas di selatan Itali. Berikutan kejayaannya dengan taktik sebegini, askar-askar yang berjuang bersama Hamilcar memberi gelaran Baraq atau Barca. Dalam Bahasa Semitik, Baraq diterjemahkan sebagai sepantas kilat. Dan Hannibal bukan saja berterusan menggunakan nama gelaran bapanya malah turut meneruskan taktik sama yang memberi kejayaan kepada Hamilcar semasa hayatnya. Annaeus Florus, seorang sejarawan Rom abad kedua Masihi menyamakan Hannibal dan bala tenteranya dengan panahan kilat seperti yang tercatat dalam buku Epitome of the Histories.

2. Sumpah kebencian Rom mungkin satu rekaan

Semasa Hannibal masih kecil, beliau berkeinginan mengikuti bapanya, Hamilcar yang sedang sibuk melancarkan kempen perluasan wilayah Carthage di Iberia. Terdapat pelbagai versi cerita tentang sumpah ini. Satu versi menyatakan bila mana beliau menyatakan hasrat kepada bapanya untuk ikut sama dalam kempen perang di Iberia, Hamilcar bersetuju dan memaksanya bersumpah untuk menjadi musuh Rom selama-lamanya. Satu lagi versi seperti yang dipaparkan dalam dokumentari saluran History, Barbarians Rising ialah Hamilcar membawanya ke satu kamar pengorbanan. Di hadapan nyalaan api kamar tersebut, beliau memaksa Hannibal bersumpah untuk tidak menjadi sekutu Rom selamanya. Sejarawan Rom, Polybius dan Livy menyatakan versi sama tetapi mengubah cara Hannibal bersumpah dengan membasahkan tangannya dengan darah dan melafazkan sumpah sama. Sumber lain menyatakan sumpah Hannibal seperti mana yang dinyatakan George C. Scott sebagai Jeneral George S. Patton dalam filem Patton, “Aku bersumpah bila mana umurku mengizinkan, aku akan menggunakan api dan besi untuk menahan takdir Rom.” Walaupun ada sesetengah versi dipertikai kesahihannya, namun kebencian Carthage terhadap Rom benar-benar wujud dan atas sebab kukuh seperti kehilangan dominasi Laut Mediterranean pada Rom.

3. Operasi menyeberangi gunung bukanlah segila seperti yang disangka.

Figure 1: Gambaran bala tentera Hannibal menyeberangi Alps untuk menyerang Rom.

Bila mana kita berbicara tentang kejayaan Hannibal, pencapaian paling menonjol bagi beliau ialah serangan mengejut Carthage ke atas Rom pada 218 Sebelum Masihi. Sesiapapun menyangka tindakan menyeberangi Pergunungan Pyrennes, Pergunungan Alps dan sungai-sungai pada musim sejuk dengan bala tentera yang besar ialah satu tindakan gila dan boleh memakan diri. Hakikatnya, operasi ketenteraan sebegini sudah dirancang bertahun-tahun sebelum serangan tersebut dilancarkan. Semua aspek bersifat pro dan kontra sudah dipertimbangkan bukan saja oleh Hannibal tetapi juga oleh abang iparnya, Hasdrubal Si Cerah (Hasdrubal The Fair) dan bapanya, Hamilcar. Sebelum Hannibal, Hasdrubal sudah melihat serangan ke atas Rom melalui jalan darat sebagai munasabah. Justeru, jika ada mengatakan pihak Rom tidak tahu langsung berkenaan rancangan ini, ianya sebenarnya salah dan ini dibuktikan dengan pembunuhan Hasdrubal oleh seorang askar upahan berbangsa Celtic pada 221 Sebelum Masihi.

Bila mana Hannibal mengambil alih kepimpinan tentera selepas kematian Hasdrubal, objektifnya sentiasa berkait dengan menyeberangi kawasan pergunungan dan memanfaatkan kelebihan konflik atas daratan. Beliau sedar sebarang cubaan untuk menyerang Rom dari laut adalah mustahil berikutan kekalahan Carthage dalam Perang Punic Pertama, lebih spesifik Pertempuran Mylae dan Pertempuran Cape Economus.

Berikutan itu, pada tahun 220 Sebelum Masihi, beliau mula mengekalkan hubungan baik dengan Padane Gauls di Lembah Po (moden utara Itali). Hasil daripada hubungan tersebut, wujud persetujuan membabitkan pengagihan makanan, duit dan penginapan. Namun, Hannibal tidak mahu bergantung kepada diplomasi semata-mata. Bagi memastikan serangan yang dilakukan benar-benar berhasil, beliau turut menghantar pengintip di setiap laluan bagi mendapatkan laluan terbaik menyeberangi Pergunungan Alps. Perkara terakhir yang mahu dibimbangi beliau ialah tatkala askar-askarnya keletihan melalui jalan yang dipilih tapi terpaksa berhadapan dengan ketumbukan tentera Rom yang sedia menanti. Dengan langkah tersebut, Hannibal bukan saja menghantar mesej jelas kepada Rom tentang kekuatan Carthage tetapi juga merampas sebarang kelebihan strategik daripada memihak musuhnya. Dan Polybius menyatakan secara jelas dalam catatannya bahawa Hannibal sentiasa mempertimbangkan semua pilihan, melihat keadaan semulajadi sesebuah kawasan, memanipulasi sentimen kebencian rakyat tempatan pada Rom dan mempunyai pemandu-pemandu yang dapat membantu mereka melepasi kawasan pergunungan.

4. Senang sama-sama, susah sama-sama.

Semua komander tentera ada perwatakan berbeza-beza. Sesetengah mempunyai keyakinan diri yang tinggi seperti Iskandar Agung (Alexander The Great), Patton dan Field Marshall Erwin Rommel. Sementara ada mempunyai personaliti berkarisma kepada tentera-tentera mereka seperti Rasulullah s.a.w, Khalid ibnu Walid r.a dan Hannibal sendiri. Dalam catatannya, antara bukti karisma Hannibal menurut Livy ialah kemampuannya menyatukan semua askarnya di bawah satu pasukan walaupun datang dari pelbagai latar belakang berbeza tapi boleh memenangi siri pertempuran dengan Rom selama 15 tahun. Satu ironi semua tentera upahan ini yang dahulunya berjuang atas nama duit dan rampasan perang, boleh bersatu dan melakukan perkara-perkara yang memerlukan pengorbanan yang tak terkira untuk pemimpin mereka.

Selain karisma, ada sisi sensitif di sebalik pengurusan beliau. Teks-teks klasik menunjukkan Hannibal tidur bersama tentera-tentera biasa di luar dalam keadaan kesejukan. Ada teks turut menunjukkan beliau sanggup berlapar bersama mereka bila mana bekalan makanan mereka semakin berkurangan. Namun paling penting, askar-askar ini mempercayai sepenuhnya pertimbangan Hannibal semasa dalam pertempuran. Pendek kata, sebarang arahan yang diberi akan dipatuhi dan diikuti atas dasar percaya kepada jeneral Carthage yang berkaliber ini.

5. Pelontar, bukan pemanah sebagai pilihan.

Figure 2: Tentera berkuda Numidia menjadi mimpi ngeri Rom dalam kempen perang Hannibal.

Sejarah menunjukkan lewat abad ketiga Sebelum Masihi, Rom dikenali dengan maniples, subbahagian tentera dalam legion mereka di mana anggotanya ialah askar-askar infantri berat. Berikutan itu, taktik mereka mudah saja kerana ketika itu lawan mereka hanyalah askar-askar musuh yang tidak berdisiplin dan mudah ditundukkan dengan disiplin yang tinggi dan pergantian semasa di medan perang. Menyedari taktik perang biasa tidak akan mengalahkan maniples ini, Hannibal memilih askar-askar yang punya latar belakang melontar yang mantap dari Afrika dan Sepanyol. Beliau memilih askar-askar ini kerana mereka berkemampuan melastik atau melontar dengan ketepatan yang mengagumkan mengikut jarak yang diberi. Ketepatan mereka amat menakutkan ke atas tentera Rom sehinggakan pemanah biasa digantikan dengan pelastik atau pelontar lembing ini.

Selain menggunakan pelontar atau pelastik, Hannibal turut memanfaatkan keupayaan tentera berkuda berbangsa Numidia melontar lembing semasa menunggang kuda. Mereka amat berani menunggang kuda tanpa menggunakan tali kekang, hanya menggunakan tali sekeliling leher kuda dan kayu ranting semasa beri arahan. Adakalanya semasa pertempuran terutama Pertempuran Trebbia, tentera berkuda ini diberi arahan bergerak bengkang-bengkok dan pantas dengan tujuan menarik perhatian dan menimbulkan perasan tidak puas hati legion-legion Rom. Ditambah pula dengan penghinaan dan celaan yang dilempar mereka pada tentera-tentera Rom ini, lama-kelamaan walaupun dengan disiplin dan kelengkapan yang dimiliki, mereka terpaksa berundur atau mati dibunuh.

6. Cannae dipilih atas sebab makanan dan provokasi

Figure 3: Gambaran pertempuran sengit antara Rom dengan Hannibal dalam Pertempuran Cannae.

Bila kita menyebut Pertempuran Cannae, sejarawan menyifatkan pertempuran tersebut sebagai satu insiden yang menconteng arang Rom. Manakan tidak, Rom kehilangan ramai askar semasa berlawan dengan Hannibal dengan bilangan tentera yang terkorban atau tertawan berbeza-beza mengikut kiraan sejarawan. Livy menyatakan 50 ribu terbunuh sementara Polybius meletakkan angka 70 ribu tentera terkorban. Dan Hannibal ada sebab tersendiri memilih kawasan ini. Cannae pada ketika itu merupakan antara kawasan pengeluar makanan penting untuk Rom. Walaupun Rom mencari alternatif dengan mendapatkan bekalan makanan dari Pulau Sicily, pengeluaran makanan di utara Itali terutama di wilayah Apunia di mana Cannae terletak masih memainkan peranan penting. Bila mana Hannibal mara bersama bala tenteranya ke Cannae pada Jun 216 Sebelum Masihi, ia sebenarnya satu provokasi beliau kepada Rom untuk melawannya secara berhadapan. Dan bila mereka mendirikan khemah, khemah mereka berhampiran dengan tanaman-tanaman yang sedia dituai. Ini bukan saja memberi akses makanan secara berterusan kepada tentera Carthage tetapi juga menyuntik moral mereka yang berjuang pada ketika itu.

7. Karisma dan keterampilan.

Semasa Pertempuran Cannae, bilangan kedua-dua tentera Rom dan Carthage amat ramai dengan Polybius meletakkan anggaran 80 ribu tentera Rom melawan 50 ribu tentera Carthage. Walau bagaimanapun, sejarawan moden hari ini menganggarkan bilangan mereka sebenarnya tidaklah setinggi anggaran Polybius. Apapun anggaran yang diberi, yang pasti, kelibat tentera Rom yang ramai menggusarkan sesetengah anggota tentera Rom. Dan seorang pegawai tentera bernama Gisgo tampil ke hadapan dan menyuarakan kebimbangannya pada Hannibal.

Sebagai seorang pemimpin dan komander tentera, Hannibal boleh saja menghukum atau menyelar komen yang menjahanamkan moral sebegini. Tetapi sebaliknya, beliau berpusing kepada pegawai tersebut dan berkata, “Ada satu perkara yang kamu tidak perasan.” Gisgo bertanya, “Apa dia, tuan?” Hannibal menjawab, “Dalam semua askar musuh yang ramai itu, tidak ada seorang pun dari kalangan mereka yang ada nama Gisgo.” Mendengar jawapan beliau, semua pegawai dan tentera ketawa terbahak-bahak pada ketika itu, sekaligus menenangkan kegelisahan yang dialami mereka.

8. Ironi Cannae

Ironi di sebalik kemenangan dalam Pertempuran Cannae, ia turut menandakan bermulanya kejatuhan Hannibal. Walaupun mendapat sokongan daripada sekutu dan koloni yang berpaling tadah daripada Rom, ini memaksa beliau menyediakan garison untuk menjaga kota dan koloni yang bersumpah setia kepadanya. Dan ini menjadi satu masalah kepada beliau kerana askar-askar upahan yang berjuang tidak ada pengalaman dalam soal pengepungan kota atau menjaga sempadan baru. Dan ini mendorong mereka ini untuk meninggalkan Hannibal secara beramai-ramai.

Bukan itu saja, berikutan kekalahan Rom dalam Pertempuran Cannae mendorong mereka mengubah taktik kepada perang gerila dan komunikasi terhad atau taktik Fabian yang diperkenalkan Quintus Fabius Maximus Verrucosus. Rom sedar taktik perang konvensional tidak akan dapat mengalahkan Hannibal lalu mereka mengerahkan tentera Rom melancarkan taktik serang dan lari tatkala mereka keluar mencari keperluan penting seperti makanan dan air. Ini menambah lagi tekanan pada bala tentera Hannibal sekaligus meletakkan mereka dalam keadaan lemah. Walaupun Carthage cuba menghantar bantuan ketenteraan diketuai adik Hannibal, Hasdrubal tetapi mereka berjaya disekat oleh tentera Rom yang diketuai Publius Cornelius Scipio (Africanus) di utara Itali pada tahun 208 Sebelum Masihi.

Figure 4: Gambaran Pertempuran Zama yang menamatkan Perang Punic Kedua dan penentangan Carthage di bawah pimpinan Hannibal.

Setelah berjaya menghalang bantuan tiba pada Hannibal, Scipio mengetuai bala tentera Rom untuk menyerang Iberia dan New Carthage (bandar moden Cartagena), sekaligus memotong talian bantuan pada Hannibal di Itali dan menghalau saki-baki tentera Carthage kembali ke tempat asal mereka. Setelah Iberia berjaya ditawan, beliau menyerang pula Afrika Utara, memaksa Hannibal dan saki-baki askar yang setia dengan beliau kembali ke Carthage untuk berhadapan dengan Scipio. Walaupun yakin dengan keupayaan unit gajah dan veteran perang yang baru saja kembali dari Itali, Hannibal kehilangan sokongan tentera berbangsa Numidia berikutan tindakan raja mereka, Masinissa yang berpaling tadah dan menyokong Rom pula. Akibatnya, Carthage mengalami kekalahan besar dengan 20 ribu askar terbunuh sementara 20 ribu lagi jadi tawanan perang. Hannibal bersama ribuan tentera Carthage lain berjaya melarikan diri sekaligus menamatkan terus Perang Punic Kedua.

9. Negarawan dan ahli reformasi

Walaupun mengalami kekalahan teruk dalam Pertempuran Zama, ini bukan bermakna pengakhiran kepada Hannibal. Sebaliknya, disebabkan imej popular beliau sebagai jeneral perang Carthage terbilang, beliau dipilih sebagai salah seorang daripada dua ketua majistret (suffete/shophet) Carthage. Walaupun jawatan tersebut nampak tidak penting tetapi ia menjadi platform kepada beliau mengembalikan semula kemakmuran Carthage. Cabaran besar menanti beliau; Carthage bukan lagi empayar gah seperti pada zaman kegemilangannya dan dibebani dengan hutang perang yang dikenakan Rom berikutan kekalahan dalam Perang Punic Kedua.

Antara reformasi yang dilaksanakan Hannibal ialah:

i) Meminda perlembagaan dan mendapatkan persetujuan majoriti untuk mengehadkan tempoh perkhidmatan ahli majlis pemerintah kepada dua penggal berbanding seumur hidup sebelum ini. Melalui pindaan yang dibuat, majlis dapat mengekang penggunaan kuasa tanpa had yang digunakan ahli-ahli majlis Carthage sebelum ini.

ii) Mengubah sistem pentadbiran sedia ada menjadi lebih cekap dan berkesan. Hannibal sedar sistem sedia ada dimanipulasi oleh kelompok tertentu termasuk golongan bangsawan dan terdedah kepada unsur rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan dan individu yang enggan membayar cukai. Melalui perubahan yang dibuat, ketirisan dana Carthage dapat dikurangkan dan menambah lagi pendapatan dalam kantung tahunan mereka.

iii) Melatih askar-askar Carthage menjadi petani dan meningkatkan lagi aktiviti perdagangan. Peningkatan aktiviti sebegini ditambah dengan reformasi Hannibal menyebabkan Carthage kembali makmur dan kaya semula. Kekayaan Carthage sangat banyak sehinggakan mereka boleh saja menyelesaikan hutang perang yang dikenakan Rom dalam satu pembayaran saja iaitu lapan ribu talent (unit pemberat pada zaman Yunani dan Rom) dengan tempoh pembayaran 40 tahun yang dianggap mustahil.

Namun langit tidak selalu cerah bagi Hannibal. Walaupun menjadi pujaan rakyat jelata, tempoh perkhidmatan beliau sebagai ketua majistret bakal berakhir dan kedudukannya ibarat telur di hujung tanduk. Berikutan reformasinya itu, Hannibal mencipta ramai musuh dalam kalangan ahli politik dan golongan bangsawan. Ini ditambah pula dengan kecurigaan Rom dengan populariti beliau dan kemakmuran Carthage. Susulan itu, pihak Senat Rom menghantar satu suruhanjaya untuk menyiasat dakwaan (dakwaan palsu) yang mendakwa Hannibal berhubung dengan Raja Anthiochus III dari Empayar Seleucid, musuh ketat Rom di sebelah bahagian Anatolia (Turki). Sedar akan rancangan mereka dan tidak mempercayai orang sebangsanya sendiri, beliau bersara dan berangkat secara senyap-senyap ke Ephesus, istana Anthiochus III dan meneruskan penentangan pada Rom.

9. Periuk ular

Walaupun diburu Rom pada tahun-tahun terakhir kehidupannya, ini tidak menghalang Hannibal daripada bersekutu dengan pemerintah-pemerintah yang menentang Rom. Selepas terpaksa melarikan diri berikutan kekalahan Raja Anthiochus III, beliau mendapat perlindungan pemerintah Bithynia, Prusias I. Pada ketika itu, Prusias I sedang berperang dengan pemerintah Pergamon, Eumenes II. Berikutan kekalahan berterusan Bithynia dalam konflik perang darat, baginda memberi peluang kepada Hannibal mengetuai angkatan laut Bithynia menghadapi ancaman angkatan laut Pergamon. Walaupun bilangan kapal Pergamon melebihi bilangan kapal pimpinan beliau, ini tidak menghalang Hannibal merancang satu taktik licik untuk memberi kemenangan kepada angkatan beliau. Beliau mengarahkan semua kapal mengisi periuk mereka dengan pelbagai jenis ular berbisa. Walaupun taktik sebegini nampak pelik, semua anggota tentera laut Bithynia segera melakukannya. Angkatan laut Pergamon yang melihat tindakan pelik ini mengetawakan mereka dan mencabar mereka berlawan dengan pedang bukan periuk. Bila mana periuk-periuk tersebut dilancarkan ke kapal-kapal Pergamon, kapal-kapal mereka dipenuhi dengan pelbagai jenis ular berbisa. Tidak diketahui sama ada perkara ini benar-benar berlaku atau sekadar taktik psikologi Hannibal untuk menakutkan mereka. Apapun, ia berhasil membantu Bithynia menang dalam pertempuran tersebut. Dan pada dua siri pertempuran laut seterusnya, beliau berjaya mengakali Eumenes II dan menang dalam kedua-dua siri pertempuran tersebut.

10. Sang jeneral sebenarnya seorang penulis

Siapa sangka di sebalik keberanian dan kebijaksanaannya mengakali permainan Rom, Hannibal sebenarnya turut menulis tentang pengalamannya semasa perang dan strategi yang digunakan musuh-musuhnya. Ini tidak menghairankan kerana semasa beliau membesar terutama semasa bapanya berperang di Sicily semasa Perang Punic Pertama, beliau mendapat pendidikan menyeluruh. Bukan itu saja, kejayaan jeneral-jeneral Yunani seperti Iskandar Agung dan Pyrrhus dari Epirus turut mendorong beliau membawa tutornya dalam kempen ketenteraannya. Contohnya, semasa melancarkan serangan mengejut ke atas Rom melalui Pergunungan Alps, Hannibal membawa seorang sejarawan Spartan bernama Sosylos.

Dan ianya tidak terhenti di situ saja. Semasa duduk dalam buangan selepas tamat Perang Punic Kedua, beliau menulis buku dalam Bahasa Yunani di mana satu buku menceritakan kempen musuhnya di Asia Kecil, Gnaeus Manlius Vulso. Buku itu merupakan panduan ketenteraan dalam menghadapi serangan Rom pada penduduk Pulau Rhodes. Livy dalam catatannya menceritakan semasa berada di Itali, Hannibal turut mengarahkan kempen ketenteraan beliau diabadikan dalam bentuk tablet-tablet gangsa di sebuah kuil di Crotone, selatan Itali. Bagaimanapun, kuil tersebut musnah kerana perang dan gempa bumi.

Sumber:

1. Mandal, Dattatreya. (2016). Realm of History. 10 Fascinating Things You Should Know About Hannibal Barca. https://www.realmofhistory.com/2016/01/15/10-fascinating-things-you-should-know-about-hannibal/

2. Mandal, Dattatreya. (2015). Realm of History. 10 Amazing Facts About The Roman Army of Early Republic. https://www.realmofhistory.com/2015/09/06/10-facts-you-should-know-about-the-roman-army-of-the-early-republic/

3. Livius.org. Hannibal Barca. http://www.livius.org/articles/person/hannibal-3-barca/

4. History.com. Hannibal. http://www.history.com/topics/ancient-history/hannibal

5. ReverseSpins.com. Patton, The Second Coming of Hannibal. http://www.reversespins.com/patton.html

6. Nepos, Cornelius. Hannibal.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply