Kalau ditanyakan kepada saya, apakah persamaan antara saya dan Hamka, maka sudah tentulah saya mengatakan bahawa pegangan dan pemahaman tentang definisi Melayu saya dan Hamka memang agak sama. Sehingga hari ini, saya masih memegang definisi Melayu yang dibawa oleh ulamak yang saya rasa sangat terbilang pada zamannya.
Definisi Melayu yang dibawa oleh Hamka adalah sama seperti mana takrif bangsa Arab yang dibawa oleh Rasulullah. Menurut Rasulullah S.A.W seperti mana yang diungkapkan oleh Hamka, Arab itu ialah seorang yang berbicara bahasa Arab dalam kehidupannya. Maka begitu juga Hamka yang membawa kepada perbahasan makna Melayu dengan mengatakan bahawa Melayu itu ialah mereka yang – berfikir, merasa, menangis, ketawa, tidur dan bangun dalam bahasa Melayu. Maka atas definisi Melayu yang sama itulah saya mendefinisikan Melayu seperti hari ini.
Baik, sebelum kita berbicara lebih lanjut tentang liku-liku kehidupan dan perjuangan Hamka, maka izinkanlah saya bercerita sedikit perihal peribadi dan kehidupan awal beliau. Hamka ialah nama pena beliau yang membawa maksud kepada Haji Abdul Malik bin Abdul Karim. Ulamak hebat ini lahir pada 17 Februari 1908 di Kampung Molek, Maninjau, Sumatera Barat, Indonesia. Beliau ialah anak kepada seorang tokoh agama terkenal di Indonesia iaitu Syeikh Abdul Karim bin Amrullah yang merupakan pelopor kepada Gerakan Islah di tanah Minangkabau pada masa itu.
Hamka mempunyai kemahiran bahasa Arab yang tinggi sehinggakan beliau mampu menyelidiki beberapa buah karya ulamak dan ilmuwan dari bumi Arab dan antaranya ialah karya Zaki Mubarak, Jurji Zaidan (George Zeidan, seorang novelis Lubnan beragama Kristian), Abbas al-Aqqad, Mustafa al-Manfaluti dan Hussai Haikal. Bukan itu sahaja, Hamka juga tidak ketinggalan meneliti karya sarjana-sarjana dari bumi Perancis, Inggeris dan Jerman. Antaranya ialah karya-karya daripada Albert Camus, William James, Freud, Arnold Toynbee, Jean Sartye, Karl Marx dan Pierre Letti.
Bahkan pada usia 16 tahun lagi Hamka telah berhijrah ke Yogjakarta lalu dari penghijrahan itu, Hamka menerima pendedahan ilmu daripada sarjana dan tokoh-tokoh Indonesia sendiri seperti Haji Oemar Said Chokroaminoto, Raden Mas Surjoparanoto, Haji Fakhrudin, Ar Sutan Mansuir dan Ki Bagus. Kemudian, Hamka pada usia 19 tahun telah berlayar untuk menunaikan fardhu haji dan berada di Mekah selama 6 bulan.
Sepanjang hidup Hamka, beliau jarang menerima pendidikan formal. Ini diulas oleh salah seorang ilmuwan terkenal Muttaqien yang dipetik berkata tentang keperibadian Hamka:
“Tidak pernah mengalami sekolah yang formal. Lebih banyak belajar pada ayahnya Dr. Abdul Malik Amrullah dan iparnya Buya St. Mansur dan membaca sendiri, tetapi pengetahuannya sangat mendalam. Ia mempelajari ilmu, melalui bahasa Arab, dan pengetahuan bahasa Arabnya sudah termasuk dalam barisan sasterawan Arab, kerana ia telah dapat mendalami karya-karya sastera dalam bahasa Arab dan ia dapat membuatnya pula. Banyak ulasannya, sajak dan prosa Arab, baik yang klasik maupun yang moden.”
Hamka pada usianya bukan sahaja dikenali sebagai seorang ulamak, bahkan turut dikenali sebagai seorang penulis novel, sejarawan, wartawan, editor, dan juga seorang politikus. Kehebatan Hamka ini diulas oleh seorang ulamak, sasterawan dan mantan Gabenor Acheh iaitu A. Hashjmy.
“Buya Hamka yang hidup sekitar 300 tahun setelah Hamzah Fansuri adalah seorang ulama besar, ahli tafsir yang telah menyelesaikan tafsirnya selama almarhum dalam tahanan orde lama, sejarahwan yang telah banyak mengarang buku-buku sejarah, wartawan yang amat tajam penanya, ahli tasawwuf atau filsafat yang terkenal dengan Tasauf Modennya, pemikir dan pembahas yang cepat tanggap seperti yang sering saya saksikan dalam berbagai seminar, pemimpin umat yang mempunyai pendirian tangguh, orator yang kalau berpidatomembuat para pendengarnya terpaku di tempat.”
Hamka turut dikenali sebagai ulama “roman” atas usaha dakwahnya ketika itu yang dilabelkan sebagai lebih moden menggunakan pelbagai jenis media dan wadah dalam menyebarkan Islam. Antaranya beliau menulis novel cinta, tetapi dalam novel cinta tersebut, begitu sarat sekali dengan falsafah Islam dan kritikan sosial ke atas masyarakat ketika itu. Sepanjang Hidup Hamka, Hamka telah mengarang lebih daripada 90 karya dan antara karya Hamka yang yang terkenal dalam bidang sastera ialah Di Bawah Lindungan Kaabah, Merantau Ke Deli dan juga karya beliau yang paling saya kagumi, iaitu Tenggelamnya Kapal Van Der Wijk.
Tetapi banyak juga karya agung beliau dalam pelbagai bidang ilmu seperti buku Sejarah Ummat Islam, Ekspansi Ideologi, Tasawwuf Modern dan juga Tafsir al-Azhar.
A Hashmy ada bercerita tentang gaya moden Hamka berdakwah dengan ulasan seperti di bawah:
“Lucunya, apabila Buya Hamka melalui jalan-jalan di kota Medan, anak-anak nakal yang telah terpengaruh dengan propaganda para ulama kolot tersebut menyorak-nyorak: Hallo Ulama Roman, Hallo Ulama Roman van der Wijck!”
Ketokohan Hamka terserlah dalam memandang isu Melayu membatasi erti sempadan negara dan juga etnik. Seperti mana yang dijelaskan di awal artikel ini, Hamka memberi definisi Melayunya sendiri yang sangat bertepatan dengan pegangan saya juga tentang erti Melayu itu.
Buktinya, Hamka dikatakan turut menyambut kemerdekaan Tanah Melayu sehingga melahirkan rasa terharunya pada kemerdekaan Malaysia. Namun segala tindakan Hamka ini disalah ertikan oleh Soekarno sebagai pro-Malaysia sehingga memenjarakan Hamka. Apabila dipenjarakan atas tuduhan pro-Malaysia inilah Hamka menghabiskan hidupnya dalam penjara mengarang Kitab Tafsir Al-Azhar.
Saya simpulkan sikap pro-Malaysia yang didakwa oleh Soekarno itu sebenarnya semangat Melayu yang sangat tinggi yang tertanam dalam jiwa Hamka. Menurut rekod, atas sifat pro-Malaysia oleh Hamka itu, maka beliau dituduh melanggar undang-undang Anti Subversif Pempres No. 11, iaitu tuduhan merencanakan pembunuhan Presiden Soekarno. Bercakap tentang semangat Melayu yang sangat tinggi yang dimiliki oleh Hamka, saya tertarik untuk memetik pandangan Hamka tentang semangat kebangsaan yang ditentang segelintir manusia yang baru sahaja mengenali agama sehingga mahu membuang jauh erti bangsa Melayu dalam jati diri mereka.
Menurut Hamka, semangat kebangsaan itu harus hadir atas semangat Islam, bukannya berlandaskan semangat chauvanisme yang menurut beliau, akan membawa kepada semangat kebangsaan yang terlalu ekstrim. Beliau memetik semangat kebangsaan melampau yang diamalkan oleh Nazi yang mengangkat bangsa Jerman terlalu berlebih-lebih sehingga munculnya ideoogi Aryan Master Race yang merujuk kepada bangsa Jerman. Mungkin atas alasan ini jugalah, di mana Hamka menulis tafsir Al-Azhar ketika dipenjarakan oleh Soekarno dahulu kaya dengan bahan-bahan tempatan baik berupa sejarah mahupun budaya serantau.
Namun, apa yang dilakukan oleh Soekarno ke atas Hamka langsung tidak pernah menimbulkan rasa dendam daripada Hamka. Dicatatkan bahawa sebelum Soekarno menghembuskan nafasnya yang terakhir, Soekarno telah berwasiatkan agar Hamka diberi amanah mengetui pengurusan jenazahnya. Hamka dengan lapang dada menerima wasiat daripada Soekarno itu. Namun ketika ditanyakan kepada Hamka kenapa mahu membantu manusia yang telah mendendami Hamka dan memfitnahnya. Bahkan ada tuduhan mengatakan bahawa Soekarno jauh dari tuhan dan munafik. Namun dengan tenang Hamka menjawabnya.
“Hanya ALLAH sahaja yang layak menghakiminya. Saya harus berterima kasih dengan Soekarno. Kalau beliau tidak menyumbat saya jauh ke dalam penjara, nescaya saya tidak akan mampu menyiapkan Tafsir Al-Azhar. Satu hal lagi jangan dilupakan bahwa almarhum membangunkan 2 buah masjid yang monumental, satu masjid Baiturrahim di Istana Merdeka. Satu lagi masjid terbesar di Asia Tenggara, Masjid Istiqlal. Semoga ini menjadi amal yang tak terhingga untuk Soekarno.”
Begitu besar hatinya Hamka meski disumbat jauh ke dalam penjara atas fitnah seorang manusia, namun Hamka tetap setia menguruskan jenazah orang yang memfitnahnya bahkan tidak pernah menyimpan dendam langsung ke atas Soekarno.
Apabila bercakap mengenai soal Hamka menguruskan jenazah Soekarno, saya rasa perlunya saya akhiri artikel ringkas mengenai ketokohan Hamka ini dengan menceritakan sedikit perihal hidup Hamka pada saat hujung hayatnya.
Untuk pengetahuan para likers yang saya kasihi, di Indonesia terdapat dua paksi yang berbeza pendapat dalam soal fatwa agama. Dua organisasi agama ini juga sangat berpengaruh di negara Indonesia. Organisasi tersebut ialah Muhammadiyah yang dianggotai oleh Hamka sendiri manakala Nahdhlatul Ulamak. Umumnya yang kita boleh faham di sini, Muhammadiyah ialah kaum muda manakala Nahdhatul Ulamak ialah golongan kaum tua. Konflik Kaum Muda vs Kaum Tua memang berlaku di alam Melayu. Maka ketika usia mudanya, Hamka memang keras menentang amalan-amalan agama yang dilabel oleh Muhammadiyah sebagai bidaah. Antaranya ialah tentang membaca doa Qunut ketika solat.
Namun, ada sebuah kisah yang saya kira sangat menarik untuk dikongsikan dengan kalian yang berkisarkan tentang Hamka ketika di penghujung hayatnya. Diceritakan bahawa ketika Hamka mengimamkan solat di sebuah masjid yang dimana majoritinya ialah mereka yang sefahaman dengan Nahdatul Ulamak. Dalam solat subuh tersebut, seluruh jemaah terkejut entah kenapa Hamka tiba-tiba membaca doa Qunut yang sememangnya tidak sinonim dengan organisasi Muhammadiyah yang pernah diketuai oleh Hamka. Kisah ini ditulis dalam buku bertajuk “Wisdom of Gontor” karya Tasirun Sulaiman, halaman 47 yang diterbitkan oleh “Penerbit Mizania” pada 2009 menurut laman portal berita Republika dari Indonesia. Versi yang lain pula menceritakan apa yang dijawab oleh Hamka ketika bertanyakan tentang soal itu seperti berikut:
“Dulu aku hanya membaca satu kitab sahaja. Hari ini aku sudah meneliti banyak kitab. Ternyata ilmu Islam itu sangatlah luas.”
Bercakap tentang soal ini, teringat saya akan sebuah kisah yang melibatkan Hamka dalam soal pembacaan doa Qunut. Sekali lagi kisah ini adalah berkisarkan perbezaan pendapat antara dua organisasi Islam terbesar di Indonesia. Kisah ini dialami oleh dua tokoh utama Nahdhatul Ulama dan Muhammadiyah, iaitu KH. Idham Chalid dan juga Hamka.
Ditakdirkan bahawa ketika dalam perjalanan menunaikan haji dalam sebuah kapal, kedua-dua tokoh ini pernah sekapal. Dan babak istimewa ini berlaku saat solat subuh di mana KH. Idham Chalid mengimamkan solat sambil jemaah kapal tersebut dan salah seorang daripadanya ialah Hamka menjadi makmum. Diceritakan ketika solat itu, KH. Idham Chalid tiba-tiba meninggalkan bacaan doa Qunut walhal menurut pegangan Nahdlatul Ulama, Qunut ialah sunat yang dituntut. Ketika usai solat sahaja, Hamka bertanyakan kepada KH Idham Calid.
“Mengapa Pak Kiyai Idham Chalid tidak membaca Qunut?”
Maka jawab KH. Idham Chalid.
“Saya tidak membaca doa Qunut kerana yang menjadi makmum saya ialah Pak Hamka. Saya tidak mahu memaksa orang yang tidak berqunut dalam solatnya agar ikut berqunut.”
Keesokan harinya, giliran Hamka pula mengimamkan solat manakala KH. Idham Chalid pula menjadi makmum. Dalam solat Subuh kali ini, sekali lagi solat subuh di dalam kapal itu dilanda kejutan. Hamka yang tidak pernah dilihat membaca doa Qunut tiba-tiba membaca Qunut dalam solatnya.
“Saya membaca doa Qunut adalah kerana makmum saya merupakan tokoh besar NU yang sudah biasa berqunut. Saya tidak mahu memaksa orang biasa berqunut untuk tidak berqunut.”
ALLAHUAKHBAR! Begitu rendahnya peribadi mereka berdua, menghormati perbezaan antara satu sama lain. Atas sebab inilah juga, Hamka ketika di lewat usianya direkodkan pernah menyatakan bahawa tidak menyenangi konflik antara kaum Muda-Tua yang menurutnya lebih banyak memecahbelahkan ummah atas soal khilaf yang sudah lama diselesaikan oleh para ulamak, meski pada usia mudanya Hamka juga terlibat dalam konflik itu.
Sepanjang riwayat Hamka, Hamka menerima Doktor Kehormat dari Universiti al-Azhar Mesir pada tahun 1959, Guru Besar (Profesor) oleh Universiti Moestopo Jakarta pada tahun 1960 dan juga Doktor Kehormat oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1974.
Betapa besarnya hati seorang ulamak ketika itu. Hamka menurut saya ialah seorang ulamak yang sangat hebat peribadi, ilmu dan sumbangan kepada masyarakat Islam khususnya untuk bangsa Melayu. Beliau bukan sahaja arif dalam soal agama, bahkan menggariskan definisi Melayu yang baru yang sehingga hari ini dipegang oleh kita semua.
Ingatlah kata-kata Hamka wahai umat Melayu yang membaca artikel ini.
“Melayu itu ialah mereka yang – berfikir, merasa, menangis dan ketawa, tidur dan bangun dalam bahasa Melayu.” – Hamka
Rujukan:
1. Artikel Utusan bertarikh 20/04/2001, tulisan Siddiq Fadzil yang bertajuk Martabat umat Melayu menurut Hamka.
2. Makalah terbitan UKM yang bertajuk Nilai Mencapai Kehidupan Sejahtera: Pandangan Hamka, tulisan Abdul Rahman Abdul Aziz
3. https://
5. http://
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih
1 Comment
Menarik . Saya juga meminati Pak Hamka. Pemikiran dan pengetahuan beliau cukup luas & mendalam . Penggunaan kata yang indah dalam karya beliau mengandungi makna tersirat disebaliknya.. Terima kasih , admin.