Sukan lumba kereta sentiasa menangkap imaginasi peminat sukan permotoran terutama sukan Formula 1 (F1). Kita pasti akan merasa tidak senang duduk melihat aksi perlumbaan dari aksi kejar-mengejar dan potong-memotong antara pelumba, keributan di lorong pit dan kejayaan pelumba meraih trofi atau menduduki tempat podium. Namun di sebalik keghairahan dan kecanggihan teknologi yang membawa sukan ini ke hadapan, aspek keselamatan tidak pernah dilupakan. Antara pengenalan dari segi keselamatan untuk sukan Formula Satu ialah pengenalan pelindung kokpit Halo.
Sejarah Pengenalan Halo
Isu pelindung kokpit bukanlah sesuatu yang baru kerana ia sudah diperjuangkan sejak tahun 2009 lagi. Ia bermula apabila pelumba merangkap anak kepada juara dunia John Surtees, Henry Surtees terbunuh akibat terkena roda yang tertanggal dari kereta Jack Clarke semasa perlumbaan Formula 2 (F2) di litar Brands Hatch, United Kingdom pada tahun 2009. Seminggu selepas kematian Surtees, giliran pelumba legenda F1 Brazil, Felipe Massa mengalami nasib sama apabila beliau terkena spring yang tercabut dari suspensi kereta Rubens Barrichello semasa sesi kelayakan Grand Prix Hungaroring, Hungary. Bagaimanapun, beliau terselamat dan hanya mengalami keretakan di bahagian tengkorak selepas menjalani pembedahan kecemasan untuk menyelamatkan nyawanya.
Lima tahun selepas insiden Surtees dan Massa, isu perlindungan kokpit kembali menarik perhatian apabila pelumba Marussia, Jules Bianchi mati sembilan bulan selepas berlanggar dengan kren yang membawa kereta pelumba Sauber, Adrian Sutil selepas tersasar dari trek perlumbaan Suzuka semasa Grand Prix Jepun. Walaupun siasatan menunjukkan perlanggaran tersebut tidak akan memberi kesan walaupun kereta Bianchi dipasang pelindung kokpit, ia sudah menimbulkan suara-suara yang mahukan pelindung kokpit pada kereta lumba mereka. Ini disusuli pula kematian bekas pelumba Jaguar dan Minardi, Justin Wilson pada tahun 2015. Wilson yang memandu untuk siri perlumbaan IndyCars mati apabila serpihan dari kereta lain terkena padanya. Ini memaksa Persatuan Pelumba Grand Prix (GPDA) mendesak pelindung kokpit tambahan diletakkan pada kokpit para pelumba.
Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) sebenarnya sudah menggerakkan kerja kajian dan penyelidikan (R&D) berkenaan pelindung kepala tambahan yang membawa kepada peraturan HALO untuk peraturan teknikal tahun 2017 dan ujian di atas litar pada awal tahun 2016. Tetapi selepas mendapat aduan pelumba dan pasukan yang merasakan ianya dilaksanakan secara terburu-buru tanpa mengambil kira keperluan litar yang berbeza, Kumpulan Strategi F1 bersetuju untuk menangguhkan pengenalan Halo hingga tahun 2018 dan lebih banyak ujian dijalankan semasa sesi ujian litar yang dilakukan pada hari Jumaat setiap minggu perlumbaan.
Sebelum Halo menjadi pilihan FIA, ada pula yang mencadangkan FIA untuk menggunakan pelindung kokpit alternatif yang diberi nama Shield. Ia pertama kali diperkenalkan semasa sesi mesyuarat Kumpulan Strategi F1 pada April 2017. Pelindung kokpit ini mula diuji pada sesi ujian Grand Prix British 2017 tetapi dipendekkan sesi ujian selepas juara dunia merangkap pelumba Ferrari, Sebastian Vettel mengadu tidak dapat melihat dengan jelas pada skrin pelindungnya. Dengan FIA kesuntukan masa dan pasukan-pasukan F1 memerlukan kelulusan daripada persekutuan berkenaan rekaan kereta tahun 2018, Halo merupakan satu-satunya pilihan yang terbaik untuk FIA dan Kumpulan Strategi F1. Jika mereka memilih untuk tidak memasukkan pelindung kokpit, sudah pasti FIA bakal berhadapan implikasi tindakan undang-undang jika berlaku kemalangan yang membawa kepada kecederaan parah atau kematian dalam kalangan pelumba sekiranya Halo terbukti dapat melindungi mereka.
Halo
Konsep Halo mula dicadangkan kepada FIA oleh pasukan Mercedes selepas organisasi itu mula melihat rekaan sangkar pelindung hadapan. Prototaip pertama Halo diperbuat daripada besi dan diuji dengan ujian statik di Pangkalan Tentera Udara Diraja (RAF) Bentwaters pada tahun 2015. Prototaip tersebut diuji bila ditembak tayar seberat 20 kilogram dari meriam berkuasa nitrogen dengan kelajuan 225 kilometer sejam. Prototaip seterusnya diperbuat daripada besi dan diliputi dengan lapisan karbon kemudian diuji oleh Ferrari di litar ujian mereka semasa sesi ujian musim sejuk pada Februari 2016. Selepas sesi ujian, para pemandu melaporkan mereka masih dapat melihat dengan baik walaupun ada pelindung pada bahagian hadapan dan bahagian atas kokpit.
Kemudian pada Grand Prix Austria 2016, prototaip Halo yang lebih ringan dan kuat dari titanium dikenali sebagai Halo 2 diperkenalkan. Salah satu perubahan pada Halo 2 ialah lengkungan pelindung dilebarkan bagi menambahbaik penglihatan dan mengurangkan risiko pelumba berlanggar dengan pelindung kokpit sekiranya berlaku perlanggaran. Ujian pemandu keluar dari Halo 2 dijalankan di lorong pit Litar Red Bull Ring, Austria sebelum diuji di atas litar di Silverstone. Satu siri ujian dijalankan semasa sesi latihan Jumaat minggu perlumbaan bagi membolehkan semua pelumba dari senarai 2016 berjaya menamatkan satu pusingan semasa pelindung diletakkan pada kereta mereka.
Halo: Ya/Tidak
Debat berkenaan Halo ini berlegar kepada beberapa perkara iaitu keselamatan, astetik, penglihatan, bagaimana pelumba dapat keluar dan DNA lumba kereta itu sendiri. Semasa ditanya berkenaan Halo, juara bertahan Lewis Hamilton mengganggap Halo alat paling hodoh yang pernah diperkenalkan F1. Tetapi pelumba Mercedes itu mengubah fikirannya berkenaan Halo selepas FIA membentangkan hasil kajian mereka kepada para pelumba semasa Grand Prix Hungary 2016. Hamilton menambah, “Saya amat mengambil berat penerangan baik yang diberikan mereka. Saya amat mengambil berat berkenaan soal keselamatan. Menariknya di sini, walaupun Halo tidak kelihatan menarik dari segi rupa atau astetik perlumbaan, ia memberi peluang 17% untuk menyelamatkan nyawa pelumba. Tetapi ia masih boleh diperbaiki untuk peringkat seterusnya, siapa tahu ia mempunyai kanopi dan pada ketika itu boleh menyelamatkan pelumba dengan kadar 100%.”
1. Penglihatan
Di sebalik rupanya yang besar dan tebal, Halo sama sekali tidak mengganggu penglihatan pelumba semasa ia diuji. Wujud kebimbangan Halo akan memberi kesan sekiranya ia diuji di litar yang mempunyai perubahan ketinggian berbeza seperti litar Spa-Francorchamps yang boleh menyebabkan pelumba terperangkap dalam titik buta. Tetapi selepas menguji Halo 2 semasa sesi latihan Grand Prix Belgium, juara dunia 2017 Nico Rosberg berpandangan ia sama sekali tidak memberi perbezaan. Rosberg menambah, “Tiada masalah sama sekali, anda tidak akan perasan bahagian atas pun. Dan ia sebenarnya boleh diturunkan lagi kerana Prototaip Le Mans (LMP) lebih rendah lagi. Jadi, ia boleh saja direndahkan lagi.”
Pelumba Renault yang mewakili Force India ketika itu, Nico Hulkenberg pula merasakan walaupun mempunyai Halo sesuatu yang pelik tetapi ia tidaklah mengganggu penglihatannya semasa memandu. Sementara pelumba Haas, Romain Grosjean pula menyelar Halo dan merasakan ia membuatkan dirinya tidak sihat. Tetapi sebagai satu badan kolektif, GPDA dilihat menyokong usaha FIA menyediakan perlindungan kokpit tambahan untuk para pelumba.
2. Ujian pengeluaran pemandu
Antara kritikan terhadap cadangan perlindungan kokpit tambahan pada kereta F1 dan F2 ialah ia menyukarkan pemandu untuk keluar dari kereta mereka. Malah, ada yang menganggap Halo itu sendiri satu halangan yang menyukarkan pemandu keluar. Tetapi selepas siri ujian diadakan, FIA berpuas hati dengan ujian pengeluaran pemandu yang dikenakan terhadap Halo dan melihat ia lebih banyak menawarkan kelebihan daripada keburukan. Bagi bekas juara dunia dan pemandu McLaren, Fernando Alonso menganggap Halo sesuatu yang baik tanpa mengira berapa lama masa diperlukan untuk beliau keluar dari kereta selepas apa yang berlaku ke atas dirinya di Australia pada tahun 2016. Malah, berdasarkan kajian FIA, Halo bukan saja tidak akan menghalang pelumba seperti Alonso keluar dari kereta. Bahkan sebaliknya, ia memberi ruang kepada pelumba berusaha keluar dari kokpit kereta.
iii. Astetik vs Keselamatan
Sebaik cadangan Halo ini ditimbulkan, walaupun ramai bersetuju dengan idea tersebut, tak semua yang menyokong. Selain Grosjean, bekas juara dunia merangkap penasihat Mercedes, Niki Lauda menganggap pengenalan Halo merosakkan DNA F1 itu sendiri. Tetapi tidak ramai tahu seiring dengan perubahan masa, pelbagai langkah keselamatan diperkenalkan bagi menjadikan sukan tersebut lebih selamat kepada para pelumbanya.
Pada tahun 1996, kokpit getah berbusa diperkenalkan dalam F1. Walaupun ia dilihat mengubah rupa kereta lumba itu sendiri, ia sudah menyelamatkan nyawa pelumba pada tahun pertama pengenalannya. Bekas doktor F1, mendiang Profesor Sid Watkins mendedahkan dalam bukunya, Beyond The Limits berkenaan kemalangan yang dialami pelumba Belanda Jos Verstappen semasa Grand Prix Belgium 1996. Watkins menyifatkan pengenalan kokpit getah berbusa membantu menyelamatkan Verstappen dari mengalami kecederaan teruk di kepala yang berisiko membawa kematian. Walaupun debat sama ada ia diperlukan atau tidak masih berterusan, peluang pelumba terselamat sebanyak 17% merupakan sesuatu yang tidak seharusnya dipandang enteng semua pihak termasuk FIA.
Aplikasi dunia sebenar
Selepas diperkenalkan untuk kalendar perlumbaan F1 tahun ini, keupayaan Halo akhirnya terbukti menerusi satu insiden yang berlaku semasa Grand Prix Belgium 2018 semalam. Semasa pusingan pertama perlumbaan, tatkala Vettel dan Hamilton sedang sibuk merebut kedudukan pertama, kesilapan Hulkenberg mengakibatkan kereta Alonso terbang hingga berada di atas kokpit pelumba Sauber Charles Leclerc sebelum berada di tepi litar. Semasa ia terbang, kereta tersebut berlanggar dengan Halo Leclerc. Semua pemandu yang terlibat dengan insiden tersebut terselamat dan disahkan sihat oleh pasukan perubatan.
Selepas tamat perlumbaan yang menyaksikan Vettel bergelar juara, admin Twitter F1 menunjukkan gambar keadaan Halo kereta Sauber yang dipandu Leclerc selepas berlanggar dengan tayar kereta Alonso. Rosberg yang kini berkhidmat sebagai duta F1 membalas tweet mereka, “Kita boleh tamatkan diskusi Halo sekarang. Ia boleh menyelamatkan nyawa!” Alonso menambah, “Saya lihat ulang tayang insiden dan itu sudah cukup menunjukkan kebaikan halo. Kita tidak perlukan sebarang bukti tetapi ini sesuatu yang baik.”
Leclerc menyifatkan dirinya bukan peminat Halo tetapi beliau merasakan ia sesuatu yang baik selepas apa yang berlaku pada pusingan pertama perlumbaan. Pengarah perlumbaan Charlie Whiting menyifatkan ia masih terlalu awal dan perlu disiasat terlebih dahulu punca kemalangan. Pada masa sama, Whiting merasakan Halo sebenarnya sesuatu yang berguna kepada para pelumba dan menganggap mana-mana pemandu yang terselamat dari kemalangan tanpa Halo merupakan satu keajaiban.
SUMBER
- Benson, Andrew. (2018). BBC. F1 halo: Charles Leclerc crash shows value of device – Fernando Alonso. https://www.bbc.com/sport/formula1/45316834
- BBC. (2015). Jules Bianchi: F1 driver dies from Suzuka crash injuries. https://www.bbc.com/sport/formula1/33578770
- Edmondson, Laurence. (2017). ESPN. What is Halo and why is it being introduced in F1 for 2018? http://www.espn.com/f1/story/_/id/20111099/what-halo-why-being-introduced-f1-2018
- Hamilton, Maurice. (2009). The Guardian. Felipe Massa suffers skull fracture in freak accident during qualifying. https://www.theguardian.com/sport/2009/jul/25/felipe-massa-fernando-alonso-hungarian
- Saunders, Nate. (2018). ESPN. Nico Rosberg: We can end the Halo debate now. http://www.espn.com/f1/story/_/id/24483555/nico-rosberg-end-halo-debate-now
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih