Umum semua peminat permainan video mengetahui, bahawa kejayaan sesuatu konsol itu banyak bergantung pada koleksi permainan video yang mereka pamerkan. Seperti yang saya pernah tulis dahulu, Playstation mengambil kesempatan di atas realiti ini, dan menawarkan koleksi-koleksi permainan video yang menarik perhatian pengguna lantas membunuh pesaing mereka, Sega. Sejak itulah wujudnya terma “console exclusives” ataupun permainan video yang eksklusif untuk konsol ataupun platform tertentu. PC dengan permainan-permainan RTS (real time strategy mereka) seperti Starcraft, Playstation dengan siri Uncharted dan The Last of Us dan Nintendo dengan siri Mario mereka. Namun begitu, tak banyak permainan video yang mempunyai hubungan mendalam dengan konsol mereka melainkan antara Halo dan Xbox. Hubungan simbiosis dua hala yang wujud antara Xbox dan Halo membawa mereka kearah kejayaan yang mereka kecapi sekarang sehingga Microsoft berjaya memampankan pengaruh mereka sebagai antara gergasi industri permainan video dunia.

Xbox: Jawapan Kepada Dominasi Playstation

Pada penghujung dekad 1990-an, ramai pembangun dan pengaturcara permainan video mula mejauhi platform PC. Ini menyebabkan Microsoft yang ketika itu mendominasi industri PC sedunia dengan Windows berasa terancam. Kebanyakan pembangun permainan video ketika itu tertarik dengan kapasiti Playstation 2 yang bakal dilancarkan dan kit pembangunan yang ditawarkan oleh Sony. 4 orang jurutera Microsoft dari kumpulan yang membina DirectX (Aplikasi Antara muka Pengaturcaraan untuk grafik permainan komputer) berkumpul dan menjana idea mereka untuk membina sebuah konsol untuk menjadi benteng kepada peluasan pengaruh Playsation.

Berbekalkan sebuah prototaip yang dihasilkan dari komputer Dell yang telah diubah suai, mereka berempat menemui Ed Fries, Ketua Pembangun Permainan Video Microsoft dan mencadangkan supaya Microsoft melancarkan konsol mereka sendiri yang mereka beri nama DirectX Box. Sewaktu pembangunan, nama itu dipendekkan kepada Xbox, dan menurut bekas eksekutif Microsoft, nama itulah yang menjadi pilihan pengguna sewaktu kaji selidik dilakukan.

Bill Gates, yang ketika itu CEO Microsoft mengumumkan Xbox kepada orang awam sewaktu Game Developers Conference tahun 2000.  Para pembangun dan pengaturcara tertarik dengan teknologi dan kemampuan yang dipaparkan oleh Xbox. Xbox ketika itu jika dibandingkan dengan Playstation 2 yang baru sahaja dilancarkan di Jepun, merupakan sebuah mesin yang lebih berkuasa. Ia mempunyai kemampuan pemprosessor yang lebih mampan, mempunyai ruang penyimpan memori (hard disk drive) dan ianya disertakan bersama dengan Xbox Live. Microsoft bijak membuat pilihan, dan melihat tahun 2000 sebagai  tahun kebangkitan permainan video atas talian.

Disebabkan itulah, Xbox direka dengan meletakkan kemampuan bermain permainan video atas talian sebagai keutamaan. Xbox Live adalah satu servis platform atas talian yang menawarkan koleksi permainan video yang boleh dibeli secara digital dan juga kemampuan untuk berhubung dengan pemain lain. Ini memungkinkan permainan video atas talian yang ketika itu popular di PC (dengan permainan seperti Half-Life dan Counter Strike) dialami oleh mereka yang bermain menggunakan konsol. Ketika itu pula, Sony nampaknya seperti tidak berminat dengan permainan atas talian, di mana konsol Playstation 2 mereka dilancarkan tanpa servis atas talian seperti yang dilakukan Xbox.

Namun begitu, Microsoft sedar, walaupun konsol mereka mempunyai kapasiti dan kemampuan untuk permainan atas talian, ia tidak membawa makna apa-apa jika tiada permainan video yang sesuai dan menarik perhatian berada di dalam koleksi mereka. Ketika itu, permainan video bergenre FPS (first-person shooter) tidaklah begitu popular di konsol. Ini disebabkan oleh rekaan FPS itu sendiri yang lebih senang dimainkan menggunakan tetikus berbanding dengan menggunakan controller ataupun joystick.  Walaupun ketika itu, sudah ada beberapa permainan video bergenre FPS di konsol seperti GoldenEye 007 (yang popular di Nintendo 64) dan juga Medal of Honor, belum ade lagi permainan video bergenre FPS yang benar-benar popular dan hebat di konsol. Disinilah, Halo:Combat Evolved memainkan peranannya.

Halo: Combat Evolved

Halo: Combat Evolved adalah sebuah permainan video bergenre FPS yang dibangunkan oleh Bungie Studios. Pada permulaanya, ketika Bungie ingin membangunkan permainan video Halo ini, ianya dirancangkan sebagai sebuah permainan komputer bergenre TPS (Third-Person Shooter). Halo pertama kali didedahkan pada orang awam oleh CEO Apple, Steve Jobs sewaktu Macworld Conference and Expo. Ramai pengunjung berasa terpegun dengan demo yang ditunjukkan oleh Bungie dan dunia yang dipaparkan dalam Halo. Halo berkisar tentang kapal pengangkut tentera manusia yang terhempas di sebuah dunia berbentuk cincin (ringworld) dan terpaksa berdepan dengan ancaman makhluk asing Covenant. Halo ketika itu bakal diterbitkan sebagai permainan komputer di platform MacOs dan juga Windows.

Microsoft yang tertarik dengan persembahan dan premis yang dibawa Halo berminat untuk menjadikan Halo sebagai salah satu permainan video dalam koleksi Xbox yang bakal dilancarkan. Tetapi, Microsoft mendapati yang jika Halo dilancarkan untuk kesemua platform (konsol dan juga komputer), ia tidak akan menjana keuntungan dan faedah jangka panjang untuk Microsoft. Microsoft lantas mengambil keputusan yang bijak.

Microsoft membeli Bungie Studios dengan perjanjian bernilai $ 25 juta dan ini membolehkan Microsoft menerbitkan Halo sebagai permainan video eksklusif hanya untuk Xbox. Dibawah seliaan Microsoft, Bungie menukar format dan genre Halo dari third-person kepada first person shooter dan menambahkan fungsi multiplayer di dalam permainan video Halo untuk mengambil kesempatan di atas fungsi atas talian yang ditawarkan Xbox. Microsoft kemudian menambah perkataan Combat Evolved pada Halo (sebagai penarik minat) dan melancarkannya pada bulan November 2001 bersamaan dengan hari pelancaran Xbox.

Strategi Microsoft membuahkan hasil. Dalam 4 tahun sahaja selepas dilancarkan, Halo:Combat Evolved terjual sebanyak 5 juta unit di seluruh dunia. 15 juta Xbox juga berjaya dijual oleh Microsoft dalam tempoh yang sama. Ini menjadikan Halo:Combat Evolved dimiliki oleh 1/3 dari pemilik Xbox yang mempunyai sehingga 400 koleksi permainan video. Halo: Combat Evolved diangkat sebagai permainan video yang merevolusikan genre FPS.

Banyak tropes-tropes dan konsep permainan video diketengahkan oleh Halo: Combat Evolved yang menjadi perintis dan ditiru oleh banyak permainan video selepasnya. Antaranya ialah konsep perisai (yang ditiru oleh Bioshock:Infinite, Borderlands), “regenerating health bar” (yang ditiru oleh siri Call of Duty), “split screen multiplayer” dan banyak lagi konsep-konsep baru yang diperkenalkan oleh Halo: Combat Evolved menjadikannya antara mahakarya permainan video sebaris dengan lagenda seperti Mario dan Tomb Raider. Ramai pengkritik berpendapat, yang Xbox hanya berjaya disebabkan oleh populariti Halo:Combat Evolved

Legasi

Hubungan kerjasama dua hala antara Microsoft dan Bungie Studios membawa manfaat dan faedah yang besar kepada kedua-dua belah pihak. Bungie Studios yang selama ini tidak pernah membangunkan permainan video yang popular, berjaya melancarkan sebuah permainan video yang bukan sahaja popular, malah berjaya mencipta sebuah francais dan jenama yang dikenali seluruh dunia. Halo menawarkan plot yang menarik sehingga protagonis utamanya Master Chief disanjung sebagai antara ikon permainan video dan berdiri sama tinggi dengan Mario, Lara Croft dan juga Sonic The Hedgehog.

Lagu tema Halo juga cukup ikonik dan menarik minat orang ramai termasuklah artis Hollywood sendiri. Disebabkan populariti dan pengaruh yang dibawa oleh Halo, Halo berjaya menempatkan dirinya sebagai salah satu pop culture yang diminati oleh orang ramai. Malah ketika Halo 2 dilancarkan beberapa tahun selepas itu, hasil jualan hari pertamanya mengatasi kutipan box-office hari pertama bagi beberapa filem terkemuka antaranya Spider Man 2.

Xbox juga tidak ketinggalan. Disebabkan oleh populariti Halo yang memuncak, jenama Xbox berjaya menembusi pasaran konsol sedunia dan meletakkan Microsoft sebaris dengan Nintendo dan juga Sony. Malah Xbox 360 yang dilancarkan pada tahun 2005 berjaya mengatasi jualan Playstation 3 dengan terjual lebih dari 77 juta unit diseluruh dunia. Sejak dilancarkan, Xbox sudah berjaya menempatkan diri mereka di lebih 100 juta buah rumah di seantero dunia, menjadikan ia jenama konsol terbaik selepas Playstation. Ternyata hubungan simbiosis di antara Xbox dan Halo membuahkan hasil. Jika tiadanya Halo, maka tidak mungkin Xbox dapat berdiri sepeti sekarang.

Rujukan:

Dudley, Briar (2011), ‘Exclusive: Microsoft loses last Xbox founder, mobile PC visionary’. Brier Dudley’s Blog.https://www.webcitation.org/5yxFmYCBa?url=http://seattletimes.nwsource.com/html/technologybrierdudleysblog/2015137144_its_the_end_of_an.html

Microsoft (2000), ‘Xbox Brings “Future-Generation” Games to Life’. Microsoft.com. https://news.microsoft.com/2000/03/10/xbox-brings-future-generation-games-to-life/

Hill, Jason (2004), ‘Xbox wears a Halo of success’. TheAge.com.au. https://www.theage.com.au/news/Livewire/Xbox-wears-a-Halo-of-success/2004/11/03/1099362207594.html

Lopez, Vincent (1999), ‘HEAVENLY HALO ANNOUNCED FROM BUNGIE’. IGN.com http://www.ign.com/articles/1999/07/22/heavenly-halo-announced-from-bungie

Kent, Steven L (2004), ‘Xbox Timeline’. GameSpy.com https://web.archive.org/web/20090425202720/http://archive.gamespy.com/articles/january04/Xboxtimeline/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang jurutera muda yang meminati teknologi, sejarah dan paling utama sekali, permainan video. Motto hidupnya adalah: "Kalau tak perlu buat,jangan harap aku nak layan. Kalau perlu,sepantas kilat aku kerjakan." Beliau berhasrat mengumpul ilmu sebanyak mungkin dan menyebarkannya demi kemajuan bangsa,agama dan tanah air.

Comments are closed.