Apabila siri televisyen British Broadcasting Council (BBC), Sherlock dilancarkan pada tahun 2010, siri yang diterbitkan oleh penerbit Doctor Who, Steven Moffatt ini mencetuskan fenomena di seluruh dunia. Dan siri televisyen ini juga membantu melonjakkan nama pemegang watak versi moden Sherlock Holmes, Benedict Cumberbatch dan Dr. John Watson, Martin Freeman di seantero dunia. Walaupun latar masanya ialah zaman hari ini tetapi elemen-elemen yang terkandung dalam novel yang dikarang Sir Arthur Conan Doyle masih dikekalkan termasuk kemampuan Holmes membuat tekaan dan menyelesaikan misteri-misteri yang sukar. Maka tidaklah mengejutkan apabila Moffat dan rakan penerbitnya, Mark Gatiss menambah satu lagi elemen pada Holmes iaitu istana memori (mind palace).
Apa itu istana memori (mind palace)? Ia sebenarnya satu teknik mengingat bagi membolehkan seseorang itu menyimpan maklumat pada satu lokasi yang diketahui dan menggunakannya pada masa yang sesuai. Menurut mitos, teknik ini diperkenalkan oleh seorang penyair Yunani bernama Simonides dari Ceos. Pada satu ketika, Simonides menghadiri sebuah jamuan atas jemputan seseorang. Selepas beberapa lama dalam majlis, beliau mahu keluar sebentar untuk bertemu dengan dua orang lelaki. Namun apabila Simonides melangkah keluar, dua kenalannya itu tidak kelihatan dan dewan yang menjadi tempat jamuan berlangsung tiba-tiba runtuh yang mengakibatkan kematian ramai hadirin. Walaupun banyak mayat hancur kerana ditimpa runtuhan, Simonides mampu mengenalpasti semua yang berada dalam jamuan tersebut berdasarkan lokasi mereka dalam dewan semasa peristiwa tersebut berlaku. Teknik inilah yang kita hari ini kenali sebagai istana memori atau nama lainnya seperti teater memori dan seni memori.
Untuk mewujudkan sebuah istana memori, bayangkan sebuah tempat yang dapat digunakan untuk simpan memori kita terutama maklumat-maklumat yang dianggap penting. Kita boleh pilih mana-mana tempat sama ada rumah kita sendiri, restoran, hotel, bandaraya terkenal atau laluan ke tempat kerja/sekolah/universiti. Selepas itu, pilih apa imej yang anda mahu pilih bagi setiap informasi yang kita mahu ingat. Kebanyakan pakar mencadangkan jika mahu menggunakan teknik ini, mereka mencadangkan kita memilih imej yang pelik bagi sesebuah informasi. Ini kerana imej-imej ini sebenarnya membantu menguatkan lagi ingatan kita. Contoh kita rancang nak beli barangan dapur seperti cili atau bawang, boleh pilih imej yang berkait dengan objek. Kita tahu cili terutama cili padi pedas jadi kita boleh guna imej cili terbakar. Bila nak kupas bawang, memang tak tahan sampai ke tahap keluar air mata jadi boleh guna imej bawang menangis teresak-esak.
Jadi kenapa orang zaman dahulu menggunakan teknik ini? Sebab paling mudah ialah kos. Ini kerana semasa kegemilangan tamadun Rom dan Yunani, kos untuk menulis amat mahal dan mengambil masa yang lama. Jadi untuk elak situasi sebegini, kebanyakan cendekiawan Rom dan Yunani seperti Cicero menggunakan kaedah ini untuk mengingat ucapan atau syarahan mereka dengan menetapkan turutan apa yang perlu dikatakan dalam satu ruang memori yang kompleks. Kaedah ini diteruskan sehingga ke Zaman Pertengahan di mana cendekiawan dan biarawan mengingat teks-teks keagamaan. Namun selepas penciptaan mesin pencetak oleh Martin Luther, teknik ini sudah tidak lagi digunakan kerana akses pada buku semakin mudah dan keperluan untuk mengingat semakin tidak diperlukan.
Namun ia kembali mendapat perhatian pada akhir abad ke-20 terutama pada kejohanan-kejohanan memori antarabangsa. Di sini, peserta-peserta menggunakan teknik ini untuk mengingati bilangan objek yang banyak mengikut tertib. Seorang peserta bernama Simon Reinhard memegang rekod mengingati sekotak kad pakau paling pantas dengan catatan masa 21.19 saat dalam Kejohanan Terbuka Jerman pada tahun 2011. Dua tahun selepas itu, Reinhard sekali lagi mencatatkan satu rekod membanggakan dengan berjaya mengingat 370 kad mengikut tertib. Bagi Alex Mullen pula, pasti anda tidak menyangka pelajar jurusan perubatan dari Universiti Mississippi ini sebenarnya juara dunia dalam bab mengingat. Mullen memegang rekod dunia kerana mengingat bilangan nombor sebanyak mungkin dalam tempoh sejam iaitu 3,029 dan memegang enam rekod Amerika Syarikat dalam bab ini termasuk mengingati 3,888 nombor binari dalam tempoh 30 minit.
Nampak macam mustahil kan lebih-lebih lagi selepas membaca pencapaian-pencapaian menakjubkan oleh dua individu ini. Mesti ada yang kata mereka ini mempunyai saiz otak berbeza dengan orang biasa seperti kita. Hakikatnya, mereka ini sama saja dengan kita dari segi saiz otak. Buktinya, sekumpulan saintis dari University College London diketuai Eleanor Maguire mengimbas otak 10 individu yang menduduki kedudukan teratas dalam kejohanan memori sedunia. Melalui kajian ini, Maguire berharap apa perbezaan dalam otak mereka yang memberi kemampuan luar biasa dari segi memori. Namun selepas imbasan dibuat, tiada perubahan struktur otak yang dapat dikesan. Sebaliknya, pasukan Maguire mengesan bagaimana pemilihan tiga bahagian dalam otak termasuk pemanduan arah. Bagi individu-individu seperti Mullen dan Reinhard, mereka ingat dengan berjalan sekitar istana memori mereka, teknik sama yang digunakan Holmes dan musuhnya, Charles Augustus Magnussen (Lars Mikkelsen) dalam siri televisyen Sherlock.
Melihat kepada teknik dan sejarah di sebalik istana memori, tidaklah mengejutkan mengapa pencipta watak ikonik ini, Sir Arthur Conan Doyle tidak menyebut perihal ini dalam semua cerita membabitkan Holmes. Sebaliknya, Doyle menyifatkan memori ciptaannya kepada kewujudan sebuah ruang tersusun dan berisi bernama loteng otak. Kuncinya di sini ialah ia digunakan untuk simpan maklumat yang disifatkan berguna dan hanya boleh diakses serta digunakan bila maklumat tersebut dirasakan berguna. Jika tidak, maklumat tersebut akan hilang dari memori kita. Menurut Maria Kornikova, penulis buku Mastermind: How to Think Like Sherlock Holmes, istana memori sebenarnya membantu kita menyimpan maklumat lebih spesifik. Atas sebab itu, Holmes hanya menyimpan maklumat yang benar-benar penting saja dan membuang semua memori lain keluar termasuk benda yang bersifat remeh-temeh.
Namun jika ada menyangka istana memori perlu dibina dengan lokasi sebenar, tidak juga. Ini dibuktikan melalui satu eksperimen yang dijalankan oleh sekumpulan saintis dari Universiti Alberta di Kanada diketuai Jeremy Caplan. Dalam eksperimen tersebut, satu kumpulan diminta membina istana memori menggunakan bangunan yang mereka tahu. Kumpulan kedua diminta membina istana memori berdasarkan struktur maya sementara kumpulan ketiga diminta mengingat tanpa menggunakan teknik istana memori. Hasilnya, kedua-dua kumpulan berjaya mengingati semua maklumat dengan tepat dan lebih baik berbanding kumpulan ketiga.
Christopher Madan, seorang penulis bersama untuk kajian ini menyifatkan tidak mustahil membina istana memori berdasarkan imaginasi tetapi ia sedikit sukar kerana ia menambah satu lagi lapisan maklumat untuk diingat. Contohnya, versi Magnussen untuk istana memorinya ialah bilik kebal kediamannya, Appledore. Menurut Madan, membina istana memori berdasarkan sebuah bilik yang besar dan kosong tidak akan berkesan tetapi jika ia mempunyai lokasi-lokasi yang boleh dikenalpasti, ia masih boleh dicapai. Sepanjang siri ketiga Sherlock, kita dapat lihat versi istana memori Magnussen iaitu bilik stor yang menyimpan maklumat semua mangsa dan bilik projektor untuk melihat peristiwa-peristiwa yang berlaku termasuk peristiwa Holmes menyelamatkan Watson dari dibakar dalam unggun api Guy Fawkes sempena mengingati peristiwa Gunpowder Plot.
Walau bagaimanapun, tidak semua elemen istana memori yang dianggap benar-benar terjadi dalam dunia sebenar. Contoh paling mudah ialah Magnussen mengakses maklumat dari Appledore bergerak. Semua maklumat itu timbul seolah-olah seperti melihat ia pada skrin komputer. Holmes menyangka semua ini terjadi kerana Magnussen memakai cermin mata Google Glass yang berdaya maju tetapi terkejut bila semua maklumat itu datang dari istana memori Magnussen itu sendiri. Bagi pakar memori dari Universiti California, Larry Squire, bila melihat adegan Magnussen mengakses maklumat seperti melihat skrin, ia sebenarnya tidak betul dari segi biologi dan menyifatkan pihak produksi menggunakan lesen kreatif pada aspek ini untuk menunjukkan bagaimana pesaing Holmes beroperasi.
SUMBER
- Zielinski, Sarah. (2014). Smithsonianmag.com. The Secrets of Sherlock’s Mind Palace. https://www.smithsonianmag.com/arts-culture/secrets-sherlocks-mind-palace-180949567/
- Thomson, Helen. (2016). BBC. The man who thinks like Sherlock. http://www.bbc.com/future/story/20160411-the-man-who-thinks-like-sherlock-holmes
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih