Bila angkatan perang Bani Umayyah pimpinan Tariq bin Ziyad tiba di pesisir pantai Sepanyol pada tahun 711 Masihi, ia sebenarnya menandakan permulaan penguasaan umat Islam ke atas bumi tersebut. Selama lebih 700 tahun, bumi Sepanyol atau Andalusia ditadbir dengan baik oleh umat Islam. Tetapi semua itu berubah selepas kejatuhan Granada ke tangan Raja Ferdinand dan Ratu Isabella dari Aragon pada tahun 1492 kerana ia turut menandakan bermulanya cita-cita imperialisme negara-negara Eropah terutama Sepanyol ke luar benua berkenaan termasuk Dunia Baru dan Kepulauan Nusantara.

Titik awal kejatuhan

Peristiwa kejatuhan Granada dan Andalusia secara keseluruhannya bukan bermula pada abad ke-15 tetap sudah bermula sejak abad ke-11 lagi. Ini bermula selepas kemangkatan khalifah terakhir Bani Umayyah di Andalusia, al-Mansur pada tahun 1002 selepas memerintah Andalusia selama 24 tahun. Sejak itu, Andalusia yang disatukan di bawah pemerintahan Bani Umayyah berpecah kepada 30 negeri kecil di mana mereka saling berperang sesama sendiri sehingga menjadi buah catur kerajaan-kerajaan Kristian yang mahu mendapatkan semula Sepanyol dari tangan umat Islam.

Perpecahan sebegini bagaimanapun dapat dibendung semasa era dua buah kerajaan iaitu Al-Murabitun dan Al-Muwahidun. Kerajaan al-Murabitun di Sepanyol diasaskan oleh Yusuf bin Tashfin pada tahun 1090. Baginda bukan saja berjaya menyatukan Sepanyol tetapi juga menjadi duri dalam daging kepada kerajaan-kerajaan Kristian di Sepanyol ketika itu. Apabila kuasa kerajaan berkenaan semakin pudar, giliran al-Muwahidun pula mengambil alih tampuk pemerintahan dan meneruskan rentak cemerlang yang ditinggalkan kerajaan al-Murabitun. Antara pencapaian mereka ialah berjaya menewaskan pasukan besar Kristian di Alarcos pada tahun 1195. Tetapi kerajaan berkenaan turut dihantui oleh masalah perpecahan dalaman dan reputasi mereka musnah selepas tewas di Las Navas de Tolosa pada tahun 1212, satu kekalahan yang memalukan umat Islam ketika itu.

Sejak itulah, kerajaan-kerajaan kecil di Andalusia saling berperang sesama sendiri dan ada ketikanya, sanggup berpakat dengan kerajaan Kristian untuk memerangi jiran mereka sendiri. Ini mengakibatkan satu per satu negeri jatuh ke tangan kerajaan-kerajaan Kristian sepanjang abad ke-13. Satu-satunya kerajaan yang menongkah arus dan dapat bertahan dari asakan mereka ialah Granada dan ia menjadi tumpuan umat Islam yang melarikan diri selepas wilayah kediaman mereka jatuh ke tangan kerajaan Kristian Sepanyol. Granada dijatuhkan sedikit demi sedikit pada tahun 1480-an sebelum akhirnya tumbang pada tahun 1492.

Selepas kejatuhan banyak wilayah Islam seperti Valencia dan Cordoba di tangan kerajaan Kristian Sepanyol, Granada yang sudah menikmati pembangunan sehingga menjadi bandar kelima terbesar di Sepanyol ketika itu menerima lebih ramai penduduk yang melarikan diri dari keganasan jentera perang kerajaan-kerajaan tersebut. Dan bagi sesiapa yang melihat keindahan bandar berkenaan, ia mengingatkan ramai terhadap bandar Damsyik di Syria. Wilayah tersebut pernah dikuasai Bani Umayyah, Bani Hud dan akhir sekali Dinasti Nasrid yang diasaskan oleh Muhammad bin al-Ahmar. Dinasti Nasrid memerintah wilayah berkenaan sehinggalah ia jatuh ke tangan kerajaan Aragon pada tahun 1492. Granada dilihat sukar ditembusi berikutan kedudukannya di tempat yang berbukit, kawasan pedalaman hanya boleh dilalui oleh beberapa jalan gunung dan laluan mencabar yang dikawal oleh istana atau bandar-bandar berkubu. Dan pelabuhannya di kawasan berbatu sepert Malaga dan Almeria tidak memberi akses mudah kepada sesiapa yang hendak pergi ke kawasan pedalaman. Bagi penduduk Granada sendiri, mereka bersedia mempertahankan wilayah berkenaan kerana inilah wilayah terakhir dikuasai umat Islam di Semenanjung Iberia.

Granada mula mencapai kegemilangannya semasa pemerintahan Dinasti Nasrid di mana pelbagai jenis barang tekstil dieksport ke luar, pembinaan saluran pengairan dan aktiviti pertanian rancak dijalankan. Tetapi semua ini dimulakan menerusi pembinaan Alhambra oleh pengasas dinasti berkenaan, Muhammad bin al-Ahmar. Pada awalnya, ia dibina sebagai sebuah kubu pertahanan bersesuaian dengan kata-kata yang menjadi pegangan baginda, “Tiada penakluk selain Allah.” Ia berkemampuan menempatkan tentera seramai 40,000 orang. Tetapi lama-kelamaan, selepas menjalani proses penambahbaikan, ia menjadi tumpuan ramai termasuk Charles V. Semasa meninjau kawasan sekitar dari tingkap balkoni istana berkenaan, baginda bertitah, “Betapa malanglah manusia yang kehilangan semua ini!”

Reconquista

Selepas Gibraltar jatuh ke tangan Ferdinand IV dari Castille pada tahun 1309, baginda menghalau keluar penduduk Islam dari Gibraltar. Antara yang terkesan dengan insiden ini seorang lelaki tua yang menghadap baginda sambil berpaut pada sebatang tongkat. Lelaki berkenaan berkata, “Raja Castille, apalah salah patik terhadap tuanku? Moyangmu menghalau patik keluar dari Seville. Kemudian nendamu Alfonso menghalau patik keluar dari Xerez dan ayahandamu menghalau patik dari Tarifa. Kemudian patik tiba di sini dengan harapan mahu mati dengan aman tetapi kebencian tetap mengikuti patik. Beritahu patik satu tempat di mana patik boleh mati tanpa gangguan orang Kristian.” Ferdinand IV dengan biadap bertitah, “Lintasilah laut lepas itu.” Ini merupakan satu bentuk ekspedisi Reconquista pertama iaitu mendapatkan semula wilayah Sepanyol dari tangan umat Islam. Aktiviti Reconquista ini bukan saja menghalau umat Islam keluar dari Iberia tetapi juga menindas dan mengeluarkan mereka dari Afrika Utara juga.

Jika anda merasakan tiada sebarang penindasan ke atas umat Islam selepas kerajaan Kristian kembali berkuasa, anda salah. Di wilayah utara misalnya di mana mereka menetap di bawah pentadbiran kerajaan Kristian, orang Islam dan Yahudi dipaksa berlutut setiap kali paderi membawa air suci melalui kawasan mereka. Jika mereka gagal berbuat demikian, mereka akan dipukul oleh orang ramai. Di Aragon, sesetengah penduduk bertindak biadap dengan mendirikan rumah di atas kawasan perkuburan umat Islam yang sudah wujud beberapa lama. Ada yang bertindak lebih berani dengan menukar kawasan perkuburan sebagai rumah pelacuran. Selain itu, orang Islam dan Yahudi turut dipaksa memakai kippa dan serban berwarna biru bersaiz buah oren dan dipaksa menghadap sekumpulan kanak-kanak di mana mereka dihina dan diketawakan. Semua ini digerakkan oleh polisi gereja ketika itu sebagai cara mengukuhkan kedudukan Kristian di Eropah terutama Sepanyol.

Reconquista tidak hanya tertumpu di Sepanyol sahaja tetapi turut dilebarkan ke negara-negara Afrika Utara. Pada tahun 1260, armada laut Alfonso X menyerang pelabuhan Sale dan berjaya kembali dengan rampasan harta perang dan tawanan perang yang ramai. Apa yang dilakukan Alfonso X bukanlah sesuatu yang baru kerana ia pernah digerakkan oleh Raja Louis IX dari Perancis ke atas Tunisia dan meneruskan cita-cita Ferdinand III yang mahukan beberapa wilayah Afrika menjadi milik kerajaan Castille. Gerba dan Qarqannah di Tunisia merupakan wilayah utama Aragon di Afrika selepas ditawan antara 1284 hingga 1286. Ini kemudiannya disusuli oleh Ceuta yang jatuh ke tangan Portugal pada tahun 1415, Melilla (Sepanyol/1497), Oran (1505) dan akhirnya, kawasan-kawasan lain di pesisir Afrika Utara. Bagi memastikan agenda mereka ini tidak bertindih antara satu sama lain, Dinasti Castille dan Aragon turut memeterai perjanjian bagi menentukan wilayah yang tertakluk di bawah pengaruh mereka termasuk Perjanjian Monteagudo yang dimeterai pada tahun 1291. Perjanjian sebegini menyebabkan penduduk-penduduk Islam sentiasa terdedah kepada ancaman lanun berlesen yang digerakkan oleh kerajaan-kerajaan ini.

Bagi Ferdinand dari Aragon, penguasaan mereka ke atas Granada seharusnya tidak berhenti di situ saja. Ini menyebabkan angkatan perangnya meluaskan serangan ke atas Afrika Utara di mana satu persatu wilayah Islam jatuh sama ada ke tangan Portugal atau Sepanyol. Cita-cita mereka mudah saja, menjarah kekayaan wilayah-wilayah ini, memaksa penduduknya murtad dan menganut agama Kristian atau berhadapan prospek dibunuh dan bandar mereka dibakar. Namun, kerajaan-kerajaan ini berhadapan dengan tentangan sengit penduduk tempatan yang enggan membiarkan identiti dan agama mereka dirobek begitu saja.

Skrip di Afrika Utara ini sangat berbeza dengan skrip pertembungan orang-orang Eropah dengan orang-orang tempatan di Amerika Utara dan Amerika Tengah. Pertembungan sebegitu mengakibatkan lebih 80 hingga 90% populasi mereka hilang sama ada dibunuh atau mati akibat wabak penyakit yang dibawa orang Eropah. Tetapi itu tidak menghalang kuasa-kuasa Eropah memperdagangkan penduduk di Afrika sebagai hamba di mana sehingga abad ke-18 menyaksikan lebih 100 juta orang Afrika mati akibat perhambaan. Dan tidak seperti populasi orang tempatan di Amerika Utara dan Amerika Tengah, penduduk Islam mendapat bantuan bukan saja oleh pemerintah tempatan tetapi juga satu kuasa baru yang muncul di Anatolia, Turki Uthmaniyah terutama selepas menawan Constantinople pada tahun 1453. Dari situlah, berlakunya pertembungan sengit membabitkan kuasa-kuasa ini bukan saja di Laut Mediterranean tetapi juga sehingga ke rantau Nusantara terutama pada awal abad ke-16.

Granada

Cubaan menakluk Granada sudah digerakkan sejak awal abad ke-14 lagi tetapi sentiasa berakhir dengan kegagalan. Namun, semua itu dicemari bukan saja dengan isu perebutan takhta membabitkan anggota Dinasti Nasrid tetapi juga godaan yang dilontarkan kerajaan Castille dan Aragon kepada sesiapa saja yang mahu membantu mereka. Selain masalah dalaman yang membelenggu Dinasti Nasrid, dinasti ini juga terganggu akibat pemerintah yang lemah dan pukulan psikologi yang dilemparkan pihak Kristian menerusi kemenangan mereka dalam Perang Sungai Salado yang berlaku pada tahun 1340. Kejayaan menawan garison pertahanan Tarifa dan membunuh ramai tentera Islam merupakan satu kejayaan besar bagi pihak Castille selepas kemenangan di Las Navas de Tolosa satu kurun sebelumnya. Isu perebutan takhta dilihat semakin meruncing sehingga ke tahap berlakunya pembunuhan. Sultan Yusuf I misalnya mangkat akibat dibunuh pada tahun 1354. Begitu juga dengan individu bertanggungjawab merampas kuasa dari Sultan Muhammad V, Ismail II yang dibunuh bagi membolehkan baginda berkuasa tanpa sebarang gangguan.

Selain isu perebutan takhta dan masalah dalaman yang melanda Granada, Granada turut diancam oleh pakatan kerajaan Kristian dengan bala tentera Mongol pimpinan Timurlaine. Rancangan sebegini sebenarnya sudah dirancang pada akhir abad ke-14 dan awal abad ke-15 di mana mereka mengancam kedudukan Granada di Barat sementara tentera Mongol mengancam kedudukan Uthmaniyah di sebelah Timur. Mereka sudah berpakat untuk sama-sama menyerang kedua-dua kawasan ini bagi menamatkan terus duri dalam daging terhadap kedua-dua kerajaan ini. Tetapi rancangan tersebut terbantut selepas Timurlaine mangkat pada tahun 1405 semasa merancang menyerang China.

Tetapi, itu sama sekali tidak mematahkan rancangan Aragon dan Castille untuk memusnahkan Granada. Mereka mengancam kestabilan wilayah berkenaan dengan melancarkan serangan hendap, merosakkan tanaman dan mencuri haiwan ternakan penduduk. Kempen mereka turut disokong oleh pihak gereja yang melarang sebarang jualan barang terhadap penduduk beragama Islam. Malah, mereka menekankan kempen penawanan Granada ini sama penting dengan kempen perang salib untuk merampas Baitulmaqdis yang digerakkan beberapa abad sebelumnya.

Di sebalik kekalahan dan kehilangan wilayah yang teruk, masih ramai yang berjuang habis-habisan mempertahankan Granada. Ini menyebabkan Ferdinand dari Aragon terpaksa menanti selama 10 tahun sebelum berjaya merampas wilayah berkenaan pada tahun 1492. Dan siapa sangka, pertempuran membabitkan pemerintah Granada, Boabdil dengan bapa saudaranya, Muhammad al-Zenghal yang terus menentang pihak Kristian membawa kepada kejatuhan wilayah berkenaan. Boabdil yang dianggap lemah digula-gulakan dengan janji kewangan untuk mengalahkan angkatan perang al-Zenghal dan seterusnya melemahkan kekuatan umat Islam yang berkubu di Granada. Selain digula-gulakan dengan janji kewangan, mereka juga dijanjikan keamanan dan keselamatan sekiranya menyokong baginda. Tindakan Boabdil ini mencetuskan perpecahan dalam kalangan umat Islam dan mencetuskan perang saudara antara mereka.

Tetapi tindakan Boabdil yang menyerahkan Granada tanpa melawan kepada angkatan perang Ferdinand dan Isabella merupakan satu detik yang memalukan. Ini kerana baginda sekali lagi digula-gulakan dengan janji penduduk tidak akan diapa-apakan dan harta mereka tidak akan dirampas. Selain itu menerusi perjanjian rahsia ini, baginda juga diberi satu wilayah kecil di Alpujarras di selatan Granada dan dibayar 30,000 wang emas. Bagi Aisha, bonda Boabdil menganggap apa yang dilakukan puteranya sesuatu yang memilukan. Maka, terkeluarlah kalimah-kalimah ini, “Menangislah seperti seorang wanita untuk apa yang kamu tidak boleh pertahankan seperti seorang lelaki.”

Penindasan dan pengkhianatan

Jika Boabdil merasakan perjanjian tersebut akan dihormati oleh Aragon dan Castille, baginda salah. Sejak itu, penduduk Islam dan Yahudi sentiasa ditindas oleh kerajaan Kristian di mana perjanjian dimeterai sebelum ini boleh diibaratkan seperti menanam tebu di tepi bibir. Masjid dimusnahkan, penduduk dipaksa murtad dan memeluk agama Kristian atau diseksa sehingga mati atau murtad. Ia sesuatu yang amat menyedihkan yang menimpa penduduk Islam di Sepanyol ketika itu. Tetapi, cita-cita Aragon tidak terhenti setakat Granada dan proses kristianisasi di Afrika Utara sahaja, baginda mahukan tenteranya mengulangi kejayaan menawan Baitulmaqdis. Namun, di sebalik kedudukan kerajaan Uthmaniyah yang jauh, itu tidak menghalang mereka membantu wilayah-wilayah di Afrika Utara yang terjejas dengan serangan Sepanyol setakat termampu seperti membawa seberapa ramai penduduk Islam ke tempat yang selamat.

Namun, jika Sepanyol dan negara-negara Eropah lain merasakan tiada balasan di sebalik jenayah perang dan kemanusiaan mereka, sangkaan mereka meleset sama sekali. Pada awal abad ke-16 Masihi, kapal-kapal yang dipimpin Hayruddin Barbarossa (inspirasi kepada Kapten Barbarossa dalam siri filem Pirates of the Carribean) menjadi duri dalam daging kepada armada-armada kuasa-kuasa Eropah di Mediterranean. Salah satu kapten kapalnya bernama Caccia Diabolo melancarkan serangan mengejut ke atas Valencia pada Oktober 1529 dengan menyelamatkan ramai penduduk Islam dan menawan ramai penduduk Kristian.

Selain itu, Sepanyol turut dikejutkan dnegan pemberontakan Alpujaras yang berlaku dari 1568 hingga 1571. Mereka berlawan bermati-matian melawan tentera Sepanyol semata-mata untuk memelihara akidah mereka dari dipadamkan oleh pihak gereja. Mereka turut mendapat bantuan dari sukarelawan di Anatolia dan Afrika Utara selain bantuan logistik dari Algiers. Tetapi pihak Sepanyol juga tidak berdiam diri dengan meminta bantuan Perancis dan Jerman untuk memerangi pemberontak-pemberontak ini dan melepaskan banduan-banduan dari penjara untuk membantu melawan mereka. Dan tindak balas mereka terhadap pemberontak amat kejam. Selain menjadikan anggota keluarga wanita mereka sebagai hamba, ada juga yang dibunuh dan dirogol beramai-ramai. Dan jika tempoh perang sudah berakhir sekalipun, masih ada briged tentera yang meronda tanpa kawalan pegawai pemerintah mereka dengan merompak rumah penduduk, merosakkan hartanah dan merogol wanita-wanita. Walaupun Sepanyol berjaya menamatkan pemberontakan tersebut, harga yang dibayar terlalu mahal iaitu maruah dan moraliti mereka sebagai sebuah negara.

Pada awal abad ke-17, kumpulan-kumpulan terakhir umat Islam Sepanyol dikeluarkan pada tahun 1609 dan 1610. Mereka ini sentiasa diprovokasi untuk mengeluarkan perkataan tertentu yang membolehkan mereka ditahan, diseksa, diusir atau dibunuh. Kebanyakan mangsa kekejaman polisi gereja yang tiada minat menunjukkan toleransi terhadap penganut agama lain dibakar hidup-hidup. Di Valencia saja misalnya pada tahun 1531, 58 orang dibicarakan di mahkamah atas kesalahan murtad dengan 45 tertuduh dibakar hidup-hidup, kebanyakan mereka merupakan orang Islam. Dari tahun 1549 hingga 1622, pihak gereja bertanggungjawab membunuh 1,817 orang lelaki dan 758 perempuan di Zaragoza. Kesalahan mereka bagi orang Islam hanyalah kerana mematuhi prinsip syariah yang menjadi teras agama. Hernando de Palma misalnya dituduh mengajar dan mengamalkan ajaran Islam oleh pihak gereja sebelum diseksa dan akhirnya dibakar di Toledo pada tahun 1606.

Jenayah kejam sebegini tidak datang tanpa sebarang balasan. Terima kasih kepada sikap semberono kerajaan-kerajaan ini mengakibatkan Sepanyol sekali lagi ditimpa kesukaran kerana tidak tahu bagaimana menguruskan kemudahan yang ditinggalkan pemerintah-pemerintah Islam sebelumnya. Bahkan, ramai cendekiawan yang menyifatkan gerakan inkuisisi yang digerakkan gereja bukan saja membunuh perkembangan ilmu tetapi juga memusnahkan peluang negara dari terus mara ke hadapan. Mungkin atas sebab itulah, ada yang sanggup menyeludup buku-buku hasil ilmuan Islam terdahulu terutama yang lahir di Sepanyol sebagai bahan rujukan mereka seperti di Mexico walaupun sedar ia boleh mengakibatkan mereka dihukum mati.

SUMBER

Zaimeche, Salah. MuslimHeritage.com. Granada: The Last Refuge of Muslims in Spain. http://muslimheritage.com/article/granada


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.