Pada Disember bulan lepas, warga Amerika menyaksikan berlakunya penutupan sesetengah jabatan kerajaan oleh pentadbiran Rumah Putih berikutan pertelagahan belanjawan antara Presiden Donald Trump dengan Kongres untuk membina tembok sempadan di sempadan Amerika Syarikat-Mexico. Penutupan agensi-agensi kerajaan ini sudah memasuki hari ke-22, lebih lama berbanding tempoh penutupan sama yang berlaku semasa era Bill Clinton antara 1995 hingga 1996. Dan impak dari pertelagahan ini perlahan-lahan dirasai di seluruh negara.
Impak ekonomi
Dari segi ekonomi, buat masa ini ia tidaklah memberi kesan teruk berbanding tempoh penutupan sama pada tahun 2013. Ini kerana pada tahun 2013, kerajaan mengalami kerugian sebanyak $20 bilion akibat penutupan selama 16 hari. Menurut Joel Prakken, ketua pakar ekonomi Amerika di IHS Markit, selagi mana penutupan ini bersifat sementara, impak ke atas ekonomi negara Uncle Sam itu bersifat kecil sahaja.
Namun, pertelingkahan ini mengakibatkan banyak jabatan kerajaan ditutup termasuk Jabatan Negara dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri. Dan akibat penutupan ini, 800,000 pekerja persekutuan tidak akan mendapat gaji pertama mereka minggu ini. Selain pekerja persekutuan, kontraktor-kontraktor yang ada kontrak dengan kerajaan persekutuan juga akan terjejas. Ada yang sudah terkesan sehingga tidak dapat membayar bil-bil bulanan mereka. Ada juga yang langsung tidak terkesan berikutan pendapatan yang diterima sebelum ini dapat menampung kehidupan mereka dengan syarat penutupan ini bersifat sementara. Buat masa ini, kebanyakan yang terasa berada di kawasan tumpuan pekerja persekutuan seperti Washington DC di mana berdasarkan analisis Moody’s memberi kesan kepada satu daripada enam bentuk pekerjaan.
Tidak seperti tempoh penutupan sebelum ini, ia tidak membabitkan sebahagian besar jentera kerajaan dengan bil hanya mencecah 25% daripada belanjawan Kongres yang disalurkan untuk perbelanjaan kerajaan. Dan dengan separuh daripada staf yang bekerja tanpa gaji masih bekerja, ia sekurang-kurangnya mengurangkan gangguan dari tersebar luas. Walaupun penutupan ini turut memberi kesan kepada taman-taman negara di mana kebanyakan taman ditutup, pelancong-pelancong masih boleh berbelanja di tempat lain sekaligus mengurangkan kesan gangguan ekonomi.
Tetapi sekiranya ia dibiarkan berterusan, penangguhan bayaran gaji dan kehilangan cek akan memberi kesan kepada kehidupan warga Amerika. Pada Jumaat lepas, agensi penarafan S&P memberi amaran kos penutupan akan menyebabkan kerajaan mengalami kerugian sebanyak $3.6 bilion dan jumlah tersebut akan bertambah sebanyak dua kali ganda, melebihi kos pembinaan dinding sempadan yang berjumlah $4.5 bilion. Sektor perniagaan pula memberi amaran mereka akan kehilangan data-data ekonomi tertentu terutama data jualan runcit yang pasti akan menyukarkan mereka menentukan hala tuju ekonomi Amerika untuk bulan-bulan seterusnya. Ini diakui sendiri Pengerusi Rizab Persekutuan Jerome Powell yang melihat tempoh penutupan yang berpanjangan akan memberi kesan buruk kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Impak penutupan agensi-agensi kerajaan
1. Laman-laman sesawang kerajaan tidak dilindungi kerana sijil-sijil keselamatan yang berperanan sebagai pelindung laman-laman ini sudah luput tarikhnya. Menurut laman sesawang perkhidmatan internet Netcraft, lebih 80 laman sesawang yang menggunakan .gov sudah luput tarikh sijil keselamatannya. Antara laman sesawang yang terjejas ialah Jabatan Keadilan, Mahkamah Rayuan dan Agensi Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA).
2. Pekerja-pekerja persekutuan yang terjejas mula menjual aset mereka di laman-laman sesawang jualan atau bekerja sambilan bagi membolehkan mereka mendapat wang segera untuk melunaskan bil-bil bulanan.
3. Terima kasih kepada penutupan agensi-agensi kerajaan, ia memberi kesan kepada keupayaan Pentadbiran Dadah dan Makanan (FDA) untuk memeriksa kualiti makanan terutama makanan berisiko seperti keju dan makanan laut.
4. Bilangan pegawai keselamatan dan pengawal trafik udara menurun selepas tempoh penutupan berlaku dengan pengawal trafik bergelut untuk mengawal trafik 43,000 penerbangan setiap hari.
5. Renjer-renjer taman bergelut mengawal situasi di taman-taman negara terutama membabitkan situasi kecemasan. Perkara sama turut menimpa staf-staf yang bergelut menyelenggara taman-taman untuk terus beroperasi.
6. Gangguan kepada persiapan Pentadbiran Atmosfera dan Laut Kebangsaan (NOAA) untuk musim ribut taufan.
7. Negeri-negeri terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk menyelenggara monumen dan mercu tanda negeri yang seharusnya dibiayai kerajaan persekutuan. Contohnya, negeri New York terpaksa berbelanja $65,000 setiap hari untuk memastikan Statue of Liberty kekal bersih dan dibuka kepada pelancong.
8. Bandar-bandar kecil yang menjadi tumpuan kakitangan persekutuan terpaksa memendekkan waktu operasi atau menutup terus perniagaan mereka.
9. Gangguan pada kerja-kerja saintifik terutama yang memerlukan dana seperti kerja penyelenggaraan teleskop Hubble.
10. Penutupan kebanyakan cawangan Muzium Smithsonian kecuali Bangunan Capitol.
11. Gangguan kepada program-program penting orang asli Amerika termasuk kesihatan dan makanan.
12. Gangguan kepada program pembiayaan dan pinjaman golongan tani yang terkesan dengan perang dagang Washington dengan China.
Ketika ini, Kongres dan Senat meluluskan satu undang-undang bagi memastikan semua kakitangan kerajaan persekutuan yang terkesan mendapat bayaran segera selepas tempoh penutupan ini berakhir. Dan Trump bersedia menandatangani undang-undang itu bagi membolehkan dana disalurkan secepat mungkin. Bagaimanapun, ia hanyalah sedikit saguhati jika dibandingkan tekanan yang dihadapi kakitangan kerajaan yang tidak tahu berapa lama tempoh penutupan ini akan berterusan. Jika Trump merasakan tekanan ini akan mendorong Kongres mengubah pendirian berkenaan idea dindingnya, maka beliau salah kerana Speaker Kongres Nancy Pelosi sudah menyatakan pendirian menolak idea berkenaan. Justeru, tidak mustahil bagi presiden Amerika itu menggunakan kuasa kecemasan untuk meluluskan belanjawan dinding tetapi ia sudah pasti akan menimbulkan reaksi tidak popular dalam kalangan penyokongnya sendiri termasuk menantunya Jared Kushner.
Mengapa idea tembok Trump satu cadangan mengarut
1. Halangan muka bumi terutama gunung-ganang, gurun dan haluan sungai. Jika idea tersebut diteruskan, ia akan mencetuskan perbalahan undang-undang membabitkan perjanjian Amerika-Mexico berkenaan Rio Grande yang dimeterai pada tahun 1889 dan gangguan terhadap penduduk yang menetap di kawasan sempadan kedua-dua belah negara.
2. Gangguan kepada kelestarian ekosistem yang wujud di kawasan sempadan terutama membabitkan hidupan liar. Selain itu, ia akan menjejaskan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam yang dijalankan membabitkan kedua-dua negara dan menjejaskan bilangan pelancong yang bertumpu ke kawasan berkenaan terutama Taman Negara Big Bend.
3. Bil pembinaan dan penyelenggaraan yang melampau antara $12-15 bilion (Mitch McConnell), $21.6-25 bilion (Jabatan Keselamatan Dalam Negeri) dan $70 bilion untuk kos pembinaan dengan $150 juta untuk kos selenggara (Demokrat).
4. Gangguan logistik yang perlu dihadapi mana-mana pembina yang ‘bertuah’ sekiranya dianugerahkan kontrak membina tembok pada skala yang besar. Dan selepas siap, ia akan menjadi satu cabaran logistik bagi pihak berkuasa untuk meronda dan menyelenggara tembok berkenaan.
5. Isu tanah membabitkan pemilik-pemilik ladang dan puak-puak orang asli Amerika.
6. Gangguan kepada kegiatan ekonomi bandar-bandar sempadan kedua-dua negara terutama dari segi pengangkutan dan perindustrian. Jika wujud gangguan pada kawasan-kawasan ini, lebih empat juta warga Amerika akan menganggur. Kos operasi juga pasti akan bertambah memandangkan kos operasi di Mexico jauh lebih murah berbanding di Amerika.
SUMBER
1. BBC. (2018). US partial government shutdown becomes longest on record. https://www.bbc.com/news/world-us-canada-46848435
2. BBC. (2018). #ShutdownStories: The impact of the government shutdown. https://www.bbc.com/news/world-us-canada-46739180
3. BBC. (2018). US government shutdown leaves websites insecure. https://www.bbc.com/news/technology-46836905
4. Rodgers, Lucy dan Stylianou, Nassos. (2017). BBC. 6 things that could topple Donald Trump’s border wall. https://www.bbc.co.uk/news/resources/idt-d60acebe-2076-4bab-90b4-0e9a5f62ab12
5. Sherman, Natalia. (2018). BBC. How much has the shutdown hit the US economy? https://www.bbc.com/news/business-46815847
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih