Kata pemuisi Anatole France, “Selagi manusia tidak mencintai haiwan, selagi itu sebahagian jiwanya tidak terbangun… pegun.” Dan memang betul pun. Sebab itu ada pepatah lain menyebutkan, “Kalau memiliki jiwa ini maksudnya mampu menghulur kasih, setia, dan syukur, maka sebetulnya haiwan itu lebih berjiwa ketimbang ramai manusia.” Yakni, lebih manusiawi.

Dan pepatah ini amat sesuai bagi memulakan kisah kali ini. Iaitu, kisah tentang seekor gorila bernama John Daniel. Kalau buat carian, catatan perihal John semuanya dimulakan dari detik kematian ibu bapanya yang ditembak mati di Gabon.

Saat itu, Gabon berada di bawah jajahan Perancis (1885-1960). Jadi, munasabah bila ramai menuding tentera Perancis sebagai penyebab kematian tersebut. John sendiri kemudian diambil dan dijual dari satu tempat ke satu tempat – sampailah ia tiba di sebuah pasar raya di London.

The Patriots berada di PBAKL 2022 bermula 3 June sehingga 12 June. Jumpa di sana!

Nama pasar raya itu ialah Derry & Toms. Sekarang, premisnya dihuni oleh H&M, Gap, Sony Music UK, dan Warner Music UK. Kalau lihat, memang besar premisnya. Tapi masa itu (tahun 1918), Derry & Toms selamba saja jual gorila macam John… dan laku pula tu.

Harga jualannya sekitar £300. Kalau ikut nilai sekarang, ia lebih kurang £25,000 (bersamaan RM137,775). Pembelinya dilaporkan bernama Rupert Penny, seorang mejar tentera. Bila sebut tentera, memang tahulah yang dia ini berharta. Kalau pun tak kaya, kurang-kurang kehidupannya terjaga.

Cuma itulah. Bukan Rupert yang jaga gorila yang dia beli. Dia sekadar beri nama saja. Soal menjaga, ia diserahkan bulat-bulat kepada adik perempuannya, Alyce yang tinggal di kampung Uley, Gloucestershire.

Seganlah… gorila pun ada gambar sebelah makwe lawa

Sepanjang dalam jagaan Alyce, John memang dimanjakan. Siap diberi nama manja ‘Sultan’ lagi. Dia ada bilik sendiri dan hobi sendiri. Hampir setiap hari, dia akan berjalan ke sekolah bersama para pelajar… sampai banyak media yang menuding John sebagai gorila yang bersekolah. Sahih tidak dakwaan itu, tiada siapa pasti. Sebab tiada gambar bukti. Yang ada sekadar gambar John melepak bersama budak sekolah sahaja. Macam dalam gambar di atas.

Mereka pun memang rajin melayan dan bermain dengan John. Sampai selalu juga dia dibawa keliling kampung menaiki kereta sorong. Kalau situasi ini berlaku di Malaysia, mungkin upih pinang lah yang menjadi kenderaan.

Aktiviti begini membuatkan John dikenali semua penduduk kampung. Dia sendiri pun memang mesra dengan semua. Terutama dengan tukang kasut. Boleh kata tempat lepak kegemarannya adalah di tempat tukang kasut bekerja. Ralit mungkin, melihat orang menggilap dan membaiki kasut.

Namun antara semua, hal paling nadir (rare) adalah John tahu rumah mana yang ada cider (arak epal) sedap. Dan dia tidak segan silu untuk singgah dan minum  bersama tuan rumah. Memang peramah habis.

Dan apa yang best, John buat semua ini secara santun. Peribadinya pun berbudi dan tertuntun. Dia bukan setakat pandai membuang hajat dan mandi sendiri. Tapi juga tahu mengemas katil, menutup lampu, dan menemani Alyce makan malam di restoran mewah. Mudah kata, bela John ni memang senang dan menyenangkan. Dia tak mengular, membiawak, mahupun membuaya…. macam pembaca.

Legend

Cuma itulah. Hal baik biasanya susah nak berkekalan. Dalam tiga tahun, badan John membesar – dari 14.5 kg ke 95 kg. Untuk jaga gorila sebesar itu dalam rumah memang mustahil. Jadi mahu tidak mahu, Alyce perlu cari alternatif.

Mahu dihantar ke zoo, Alyce berfikir dua kali. Begitu juga kalau dilepaskan ke habitat liar. Risau John yang dah biasa dimanja nanti tak terbela. Lantas hendak dijadikan cerita, Alyce didatangi seorang agen. Agen ini memperkenalkan diri sebagai wakil perunding dari sebuah pusat jagaan haiwan di Amerika. Dia menawarkan kira-kira £1,000 untuk membeli John.

Dengan latar belakang begitu, Alyce pun lantas bersetuju – tanpa dia tahu yang dia sedang ditipu. John memang dibawa ke Amerika. Tetapi destinasinya bukan pusat jagaan haiwan. Sebaliknya ruang pameran.

Iya, John sebenarnya dibeli oleh syarikat sarkas Barnum & Bailey – syarikat sama yang memiliki gajah Jumbo. Justeru tanpa restu, dia menjadi bahan tatapan di zoo Madison Square Garden, New York. Keadaan begini memang berlainan habis dengan kehidupan lamanya di Uley.

Tuntas, kesihatannya pun merudum. Barnum & Bailey yang tidak mahu rugi pula pantas mengutus surat kepada Alyce. Bunyi surat itu lebih kurang begini, “John jatuh sakit. Mungkin sebab rindukan kamu. Jadi, boleh datang ke sini? Kami akan tanggung serba-serbi. Emergency.”

Cukup dengan lima ayat ringkas ini, emosi Alyce dijentik. Mana tidak, tiga tahun dia menjaga John. Macam anak sendiri. Lantas apalagi, dia pun berangkat ke Amerika. Namun sayang seribu kali sayang, sampai saja di sana, John sudah pun meninggal dunia. Katanya akibat pneumonia.

‘Hokage Kampung Uley; John-sama’

Jasad John bagaimana pun tidak disemadikan. Ia diserahkan kepada Muzium Sejarah Alam New York untuk dipelihara dan dipamerkan. Sampai hari ini pun, ia masih berada di sana – kecuali pada 2017, di mana John dihantar balik ke kampung untuk menyerikan pameran seni di Prema Art Centre, Uley.

Uley memang tidak melupakan John. Kisah dan gambar-gambarnya diabadikan di dalam buku sejarah kampung, yang disusun oleh penjaga arkib Uley Society. Tak cukup setakat buku, kampung itu turut mendirikan memorial khusus buat John sebagai ingatan buat generasi akan datang – betapa pada sekurun yang lalu, Uley pernah diceriakan oleh seekor gorila bernama John Daniel.

RUJUKAN

Christodoulou, Holly. (2017, 26 January). Who was John Daniel? Gorilla who lived in a Gloucestershire village, went to school and drank cider with locals. The Sun.

Smith, Mark. (2017, 26 January). The ‘almost human’ gorilla who drank tea and went to school. The Guardian.

Ward, Jason. (2021, 6 February). The Gorilla Who Was Brought up as a Boy in a English Village. History of Yesterday.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Leave A Reply