“Go home, n*gg**! Go back to Africa!” Hazel Bryan menjerit terhadap Elizabeth Eckford, wanita berkulit hitam dalam gambar. Gambar ini ditangkap di depan Central High School, Little Rock (ibu negeri Arkansas) pada 4 September 1957.

Kedua-dua Hazel dan Elizabeth hanya berumur 15 tahun. Elizabeth ialah salah seorang daripada 9 orang pelajar African-American (“Little Rock Nine”) yang menghadiri Central High School, 3 tahun selepas kes “Brown vs. Board of Education” (1954) di mana Mahkamah Agung US melarang pemisahan (“segregation”) pelajar African-American dari pelajar berkulit putih di sekolah, satu amalan di negeri-negeri Selatan (“South” – negeri seperti Texas, Alabama, Georgia, Arkansas) sejak 1896. Semua pelajar di Central High School ialah pelajar berkulit putih.

Kemasukan mereka dihalang oleh Arkansas National Guard, di bawah arahan Orval Faubus, Gabenor Arkansas; dan diejek oleh pelajar kulit putih seperti Hazel. Sepatutnya Elizabeth akan masuk ke sekolah bersama-sama dengan 8 orang rakan yang lain, tetapi perubahan pada saat akhir menyebabkan Elizabeth terpaksa jalan berseorangan dan dikepung oleh pelajar-pelajar berkulit putih. Elizabeth gagal memasuki sekolah dan lari menangis di hentian bas.

Berita itu mengejutkan Presiden Eisenhower. Lantas Eisenhower meletakkan National Guard di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan dan menghantar tentera persekutuan untuk mengiringi Little Rock Nine di sekolah.

Golongan African-American kebanyakannya berketurunan dari hamba Afrika yang bekerja di ladang kapas di South. Apabila Abraham Lincoln dari Parti Republikan dilantik sebagai Presiden pada tahun 1861, South di bawah parti Demokrat telah mengumumkan untuk keluar daripada US, dan menubuhkan “Confederate States of America”. Lincoln anggap itu sebagai pemberontakan, maka beliau mengisytiharkan perang. Perang Saudara Amerika (American Civil War) tamat dengan kekalahan Confederate States pada tahun 1865.

Semasa perang (tahun 1863), Lincoln telah memperakukan pindaan Ke-13 (“13th Amendment”) kepada Perlembagaan US yang menghapuskan sistem perhambaan. Golongan African-American bukan lagi hamba, tetapi “free and equal”. Namun kesamarataan hanya di atas kertas. African-American yang kini berstatus “Freeman” masih dipinggirkan di South dari segi politik, ekonomi dan sosial. Kerajaan negeri-negeri South mengenakan “poll tax” dan “literacy test” ke atas pengundi. African-American yang tiada pendidikan dan tiada pendapatan dengan secara automatiknya hilang hak mengundi.

Selepas undang-undang Jim Crow dilaksanakan mulai 1896, golongan African-American mula berhijrah ke negeri-negeri Utara (“North”). Jim Crow ni lebih kurang seperti Apartheid. Di bawah undang-undang Jim Crow, orang African-American tak boleh berkongsi satu tempat dengan orang berkulit putih. Ada papan tanda “Colored Only” di restaurant, di stesen keretapi, di pawagam dan tempat-tempat lain. Demokrat beranggapan bahawa Jim Crow tidak menyalahi Pindaan Ke-13. Bagi mereka, Jim Crow ialah “equal but separate”.

Dari perspektif South, tindakan keluar daripada persekutuan US pada tahun 1861 bukan pemberontakan, tapi hak negeri (“states right”), dan hak itu telah pun diperuntukkan dalam Perlembagaan. Mereka beranggapan bahawa pembebasan hamba ialah satu konspirasi North untuk mendominasi South. North mempunyai industri dan tidak memerlukan hamba, tidak seperti ekonomi South yang masih bersifat tradisional. Selain isu hamba, isu ekonomi juga antara punca konflik North dan South. Industri North memerlukan tariff yang tinggi untuk mengurangkan import dan membangunkan industri tempatan; South pula memerlukan perdagangan bebas untuk melariskan jualan kapas.

Menjelang 1950-an dan 1960-an, Parti Demokrat telah berpecah kepada Northern Democrat yang menyokong pemberian hak sivil kepada golongan African-American dan Southern Democrat yang masih mempertahankan Jim Crow. Pada 1964, Presiden Johnson (berasal dari Texas, tapi berpendirian Northern Democrat) meluluskan Civil Rights Act yang menamatkan Jim Crow. Akta tersebut dibantah oleh Southern Democrat, dan mereka telah keluar daripada parti Demokrat dan menyertai parti Republikan. Calon presiden dari Republikan ketika itu, Barry Goldwater, juga membantah akta tersebut, bukan sebab Goldwater rasis, tapi atas hujah mempertahankan “states right”. Hari ini, masih terdapat “unholy alliance” di antara Tea Party, libertarians dan politikus South (kini dah tukar menjadi Republikan) yang memperjuangkan “states right” dalam pelbagai isu.

Pada tahun-tahun seterusnya, Hazel menyesali tindakannya, dan cuba menebus kesalahan. Dia hanya dapat berjumpa Elizabeth balik 40 tahun kemudian, pada tahun 1997. Mereka cuba menjadi kawan, namun gagal kerana terdapat parut yang tak dapat disembuhkan, terutamanya selepas media mensensasikan cerita mereka. Anak Elizabeth, Erin, ditembak mati oleh polis pada 2003.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang Pegawai Tadbir Dan Diplomatik, graduan dalam bidang Hubungan Antarabangsa Dan Pertahanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya.

Comments are closed.