Jauh sebelum Mokhtar Dahari,
beliau merupakan pemain bola yang terhebat di zamannya. Insan tersebut ialah
tidak lain dan tidak bukan ialah Abdul Ghani Minhat. Gelaran Raja Bola yang
dianugerahkannya cukup membuktikan kehebatan beliau di atas padang. Namun siapakah
beliau dan apakah kehebatan Abdul Ghani Minhat ini?
Abdul Ghani bin Minhat merupakan
anak jati Negeri Sembilan. Dilahirkan di Kampung Solok, Rantau pada 23 Desember
1935. Minat Ghani terhadap bola sepak sejak beliau kanak-kanak lagi. Ketika
zaman kanak-kanaknya, Ghani sering bermain bola sepak yang diperbuat daripada
getah bersama rakan-rakannya. Pada
usianya berumur 10 tahun, Ghani mewakili sekolahnya, Sekolah Kebangsaan
Princess Road bagi acara bola sepak
hanya dengan berkaki ayam sahaja. Ini kerana pada ketika itu, hanya mereka yang
berpendapatan tinggi sahaja mampu membeli but bola sepak. Walaupun demikian, ianya tidak menghalang
untuk Ghani mencipta nama dengan melakukan skil skil lincahan beliau yang
menarik.
Kelincahan beliau di atas padang
menarik perhatian para pemerhati yang terdiri daripada kalangan pegawai polis.
Para pegawai polis itu kemudiannya menghadiahkan Ghani sepasang but untuk
menajamkankan lagi skilnya di dalam sukan. Pada usianya 17 tahun, Ghani
terpilih untuk bermain bersama Pasukan
Polis Depot Selangor yang bermain di dalam Liga Selangor. Ianya menjadi
batu loncatan buat beliau untuk mewakili Selangor pada 1955 bagi merebut semula
Piala HMS Malaya selepas 6 tahun. Ternyata, Ghani tidak menghampakan harapan
Selangor. Beliau menjaringkan satu gol semasa perlawanan final Piala HMS di
antara Selangor dan Singapura yang berkesudahan Selangor 2 SIngapura 1.
Di peringkat antarabangsa, nama
Ghani mula digeruni oleh pihak lawan. Ini kerana status beliau sebagai salah
seorang penyerang profilik di rantau Asia pada ketika itu. Ketika debut beliau
bersama Malaya di bawah bimbingan Neoh Boon Hean, Ghani telah menjaringkan 7
gol ketika menewaskan Kemboja 9-2 pada 1956. Beliau juga menghasilkan satu gol
beliau yang menakjubkan, iaitu apabila beliau melakukan voli daripada jarak 40
meter semasa menentang Vietnam semasa Pesta Bola Merdeka 1957. Meskipun Ghani
gagal membantu Malaya memenangi piala tersebut, beliau berjaya membantu Malaya
menggondol hatrik bagi Piala Merdeka dari tahun 1958 hingga 1960. Malah, pada
tahun 1960, beliau telah mencetak sebanyak 34 gol di dalam 9 perlawanan sahaja.
Ghani juga menjadi tonggak utama semasa Malaya menggondol pingat emas di dalam
Sukan SEAP yang diadakan di Rangoon pada 1961.
Semasa Piala Asia 1962 yang
berlangsung di Jakarta, Ghani telah mencetak 11 Gol ketika Malaysia menentang
Filipina yang berkesudahan 15-1 di dalam peringkat kumpulan dan 4 gol ketika
menewaskan Vietnam bagi merebut tempat ketiga di dalam acara tersebut. Rekod
Ghani ini masih bertahan sehingga ke hari ini.
Pada tahun 1963, sebuah
perlawanan persahabatan diadakan di antara pasukan Malaysia dan Elthracht
Frankfurt yang berkesudahan Malaysia tewas 4-2. Namun, dua gol yang dijaringkan
oleh Ghani telah menarik minat kelab Jerman tersebut untuk membawa masuk
beliau. Selepas itu, Ghani menggembara
ke serata Eropah untuk menimba ilmu bersama Robert Choe. Ketika di sana,
beberapa kelab Eropah seperti FC Koln dan Cardiff City pernah cuba untuk mendapatkan
khidmat beliau. Namun, beliau menolak kesemua tawaran tersebut. Selepas PestaBola Merdeka 1963, Ghani terus
menggantung butnya dari persada antarabangsa lalu menumpukan kariernya terhadap
pasukan Selangor.
Selama di Selangor, Ghani telah
menjulang kelab tersebut ke peringkat antarabangsa. Ghani membantu Selangor
melayakkan diri ke peringkat akhir sebelum ditewaskan oleh Hapoel Tel Aviv
semasa Kejohanan Kelab-Kelab Asia.
Sepanjang bersama Selangor, beliau berjaya membantu kelab tersebut menjuarai Piala
Selangor sebanyak 8 kali. Pada 1963, Ghani berjaya menjaringkan 106 gol di
dalam 15 buah perlawanan termasuk aksi final ketika menewaskan Pulau Pinang
6-2, menewaskan Terengganu 18-0 dan 9 gol ketika menewaskan Negeri Sembilan.
Rekod beliau ini masih lagi bertahan hingga ke hari ini. Pada tahun yang sama,
Ghani juga telah dianugerahkan gelaran Raja Bola oleh Persatuan Bola Sepak
Selangor (FAS).
Ghani bersara sebagai pemain pada
1968 selepas membantu Selangor memenangi Piala Malaysia. Selepas itu, beliau
dihantar oleh Persekutuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ke Jepun untuk mengambil
lesen kejurulatihan. Beliau merupakan rakyat Malaysia pertama yang berjaya
mendapatkan lesen tersebut. Pada 1969, Ghani dilantik menjadi jurulatih
Malaysia bagi menggantikan Peter Veelapan. Sepanjang mengendalikan skuad
Harimau Malaya itu, Malaysia menjadi naib johan di dalam Pesta Bola Merdeka
1969, Piala Raja Thai dan pingat gangsa di dalam Sukan SEAP. Selepas itu,
beliau meletakkan jawatannya sebagai jurulatih lalu berkahwin dengan wanita
pilihannya.
Selepas berkahwin, beliau menjadi
jurulatih pasukan Selangor sebanyak dua kali, iaitu pada 1970 hingga 1973 dan
1983 hingga 1985. Sepanjang menjadi jurulatih Selangor, beliau berjaya membawa
selangor menjuarai Piala Malaysia 4 kali, Liga Malaysia, Piala FAM dan Piala
SUmbangsih kesemuanya sekali.
Pada 28 September 2012, Abdul Ghani Minhat telah pulang ke
rahmatullah akibat penyakit jantung di Institut Jantung Negara. Beliau
kemudiannya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya. Sebagai
menghargai karier dan sumbangan beliau di dalam sejarah bola sepak tanah air,
Abdul Ghani Minhat pernah dianugerahkan beberapa kebesaran seperti Anugerah
Mangku Negara (AMN) pada 1967, Darjah
Dato’ Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (D.S.S.A.) yang membawa gelaran Dato pada
2001, Panglima Jasa Negara (P.J.N.) pada 2009 dan Panglima Setia Mahkota
(P.S.M.) yang membawa gelaran Tan Sri pada 2012.




No comments yet