Mahatma Gandhi merupakan tokoh paling berpengaruh dan terkenal dalam proses Gerakan Kemerdekaan India semasa India dijajah British sehingga mencapai kemerdekaan pada 15 Ogos 1947. Gandhi bersama pengikutnya telah berjuang untuk mendapatkan kebebasan India daripada pihak penjajah.

Beliau lahir pada 2 Oktober 1869 di Porbandar, Gujarat, India iaitu di sebuah bandar yang terletak di antara sempadan Bombay dan Karachi. Beliau dibesarkan dalam sebuah keluarga yang mengamalkan agama Hindu. Nama sebenar beliau ialah Mohandas Karamchand Gandhi dan nama Mahatma adalah berasal daripada gabungan bahasa Sanskrit iaitu Maha yang bermaksud ‘Besar’ dan Atma bermaksud ‘Jiwa’. Beliau digelar Mahatma oleh pengikutnya kerana mempunyai jiwa dan cita-cita yang besar dalam perjuangannya. Bapanya, Karamchand Uttamchand Gandhi merupakan seorang ahli politik dan merupakan seorang diwan atau menteri di Porbandar.

Walaupun Karamchand tidak mempunyai pendidikan formal, namun pengalaman dan ilmunya menjadikan beliau seorang pentadbir yang cekap (Deats 2005).  Semasa berusia 22 tahun iaitu pada tahun 1891, Gandhi telah melanjutkan pelajaran di Universiti College dalam bidang undang-undang dan bercita-cita untuk menjadi seorang peguam. Setelah tamat pengajiannya, Gandhi kembali semula ke Bombay untuk mempraktikkan undang-undang. Namun apabila tidak berjaya, Gandhi telah menerima tawaran bekerja di Dada Abdullah & Co yang merupakan sebuah firma guaman India Muslim yang terletak di Afrika Selatan (Shanker 1969).

Gandhi menghabiskan masa selama 21 tahun di Afrika Selatan bekerja sebagai wakil undang-undang untuk pedagang India Muslim di bandar Pretoria. Afrika Selatan merupakan sebuah koloni British seperti India. Hal ini menyumbang kepada berlakunya diskriminasi dan ketidakadilan terhadap rakyat negara yang dijajah. Diskriminasi terutamanya akibat faktor warna kulit sering terjadi di negara jajahan British seperti di India dan juga Afrika Selatan.

Gandhi yang tinggal di Afrika Selatan juga mengalami nasib yang sama dimana beliau pernah dihalau keluar dari gerabak kereta api kelas pertama kerana kengganannya untuk berpindah ke gerabak kelas ketiga apabila disuruh oleh pegawai British atas dasar apartheid (Gandhi 2002). Persekitaran di Afrika Selatan yang penuh dengan kekerasan, ketidakadilan dan diskriminasi oleh pihak penjajah telah membentuk perjuangan, kepimpinan dan falsafah politik Gandhi. Hal ini telah menjadi titik permulaan terhadap perjuangan Gandhi dimana beliau telah mula berfikir tentang isu keadilan sosial dan hak rakyat yang sering ditindas penjajah Barat. Kejadian diskriminasi yang sering berlaku ini telah membuat Gandhi berusaha mengembangkan falsafah politiknya iaitu Ahimsa yang bermaksud tanpa kekerasan dalam melawan ketidakadilan yang berlaku dalam sistem sosial.

Mahatma Gandhi kembali ke India pada tahun 1915 dan pada ketika itu beliau telah menjadi seorang yang terkenal kerana kepimpinan, falsafah politiknya dan kelantangan beliau dalam bersuara melawan penjajahan. Pada ketika ini juga beliau dikenali dengan Mahatma yang bermaksud berjiwa besar kerana kesungguhan beliau ingin mengubah nasib rakyat negaranya (Todd 2013). Gandhi telah dilantik sebagai pemimpin Parti Kongres Kebangsaan India pada tahun 1920 dan mula memperjuangkan kemerdekaan India. Kejayaan terbesar beliau sepanjang memimpin  parti ini adalah keupayaannya untuk mengubah dasar parti tersebut yang bersifat elit kepada parti fleksibal yang dianggotai oleh pelbagai lapisan masyarakat India.

Parti ini telah berubah menjadi sebuah gerakan massa yang disertai oleh golongan atasan dan golongan bawahan yang menyebabkan gerakan menuntut kemerdekaan semakin rancak (Brown 1974). Selain itu, Gandhi juga terlibat secara langsung bersama pengikutnya dalam memperjuangkan kemerdekaan dimana beliau telah melancarkan gerakan melawan penjajahan tanpa menggunakan kekerasan serta berpegang teguh dalam memperjuangkan kebenaran iaitu berdasarkan konsep Satyagraha.

Salah satu pendekatan tanpa kekerasannya ialah dengan menganjurkan perarakan bersama pengikutnya. Antara perarakan yang terkenal ialah Salt March yang berlangsung pada 12 Mac 1930 menentang tindakan British meningkatkan cukai terhadap penjualan garam dan menghalang rakyat India menjual garam. Pendekatannya tanpa kekerasan telah menginspirasikan ramai orang dan hal ini secara tidak langsung menyebabkan beliau diiktiraf sebagai Bapa Kemerdekaan India selepas India mendapat kemerdekaan pada tahun 1947.

Namun, pada 30 Januari 1948, tokoh negarawan India ini telah ditembak mati oleh seorang ekstrimis Hindu yang bernama Nathuram Godse yang mendakwa  Gandhi terlalu berpihak kepada golongan Muslim kerana dengan falsafahnya tanpa kekerasan akan menyebabkan kaum Hindu terancam (Hardiman 2003). Pembunuhan Gandhi telah menyebabkan India kehilangan tokoh pejuang yang hebat dalam memperjuangkan keamanan. Namun, falsafah politiknya tetap hidup dan berjaya mempengaruhi beberapa tokoh lain seperti Martin Luther King.

Karya

Dengan semangatnya yang sering mendukung tema-tema kemanusiaan, Gandhi telah menghasilkan beberapa karya untuk menyebarkan pemikiran, ideologi dan falsafah politiknya. Beliau menulis tentang pandangannya terhadap semua aspek penting dalam kehidupan manusia termasuklah berkaitan kesederhanaan, keamanan, masalah politik di India, masa depan negara India dan juga berkenaan tips kesihatan.

Gandhi telah berjaya menerbitkan beberapa akhbar atau jurnal mingguan seperti Young India, Harijan dan Indian Opinion yang diterbitkan semasa Gandhi di Afrika Selatan. Media massa ini menjadi sumber utama dalam gerakan politik Gandhi untuk membangkitkan kesedaran kepada rakyat India. Sebagai contoh, jurnal Young India yang diterbitkan pada tahun 1919 hingga 1932 berkisarkan tentang ideologi Gandhi iaitu tanpa kekerasan dalam perjuangan menuntut kemerdekaan India. Jurnal ini juga membincangkan tentang masalah ekonomi yang berlaku seperti peningkatan taraf kemiskinan, cukai barangan yang membebankan dan masa depan sektor perindustrian India yang semakin kritikal.

Selain itu, jurnal Young India juga mengisahkan beberapa tindakan Gandhi yang terkenal dalam menentang penjajahan seperti Salt March yang berlaku pada tahun 1930 dan juga tentang aktiviti berpuasa yang sering dilakukan beliau untuk menguatkan semangat spiritualnya. (Young India Januari 1919). Penulisan ini telah meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat India terutamanya dalam aspek keadilan sosial, penerapan nilai-nilai moral, kesamarataan dan hak asasi manusia.

Demi mengangkat tema-tema kemanusian dalam falsafah politiknya, Mahatma Gandhi telah memperjuangkan sifat berpegang teguh dan sentiasa memperjuangkan kebenaran. Usaha ini dikenali sebagai Satyagraha yang merupakan perkataan berasal daripada bahasa Sanskrit iaitu Satya bermaksud kebenaran dan Agraha bererti berpegang dengan teguh. Hal ini telah menyebabkan beliau menulis karyanya yang bertajuk Satyagraha In South Africa dan diterbitkan pada tahun 1928. Karya ini menceritakan tentang pengalaman Gandhi sepanjang 21 tahun bekerja di Afrika Selatan dimana beliau melihat dan merasai penindasan dan diskriminasi yang dilakukan oleh pihak penjajah.

Menurut falsafah Gandhi, dunia ini bergantung kepada kebenaran atau Satya dimana setiap kejadian yang berlaku di dunia ini (seperti penindasan dan keganasan) adalah berpunca daripada tidak berpegang teguh kepada kebenaran. Hal ini demikian kerana, kebenaran adalah sumber utama rujukan manusia dalam menentukan baik atau buruk sesuatu perkara. Dalam pada itu, kebenaran ialah perkara yang tidak boleh diubah atau dimanipulasi kerana ia bersifat mutlak (Nagler 2014). Selain itu, menurut beliau, berpegang teguh kepada kebenaran juga mampu membuatkan perjuangan tanpa keganasan untuk menang menentang penindasan.

Oleh itu, dalam Satyagraha In South Africa, Gandhi telah mengeluarkan beberapa prinsip asas Satyagraha. Antaranya ialah tanpa keganasan, kebenaran, tidak mencuri, melawan nafsu dan menghormati agama lain (Gandhi 1968). Prinsip dan penekanan nilai-nilai murni ini menjadi pegangan utama perjuangan Gandhi dan beliau telah berjaya menyebarkan prinsip-prinsip ini kepada para pengikutnya.

Selain itu, Mahatma Gandhi mengimpikan untuk menjadikan India sebagai sebuah negara yang mampu mentadbir secara berdikari dan sentiasa berada dalam keadaan aman selepas mendapatkan kemerdekaan. Oleh itu, Gandhi telah menulis tentang masa depan negara India yang diimpikannya dalam karyanya India of My Dream yang diterbitkan pada tahun 1947 iaitu setahun sebelum kematian beliau. Perbincangan-perbincangan hebat Gandhi dalam jurnal Young India juga dimuatkan dalam karyanya ini untuk memudahkan rakyat India memahami situasi sebenar perjuangan kemerdekaan ini. Antara konteks utama di dalam India of My Dream adalah mengenai kepentingan mempertahankan semangat nasionalisme. Menurut Gandhi, semangat nasionalisme dapat memberikan kebaikan kepada seluruh dunia apabila India bangkit selepas kemerdekaan.

Kemudian, beliau juga menyeru rakyat India supaya sentiasa mengamalkan Ahimsa untuk bersatu padu dan berdamai dalam membina semula negara. Selain itu, Gandhi juga membincangkan tentang kadar pengangguran yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat India. Menurutnya, ini merupakan salah satu punca utama yang membuatkan rakyat India semakin tersepit dalam sistem sosial (Gandhi 1947). Dalam karyanya juga, Gandhi berjanji untuk membentuk sebuah perlembagaan yang akan membebaskan rakyat India daripada kemiskinan dan penindasan serta akan mewujudkan sebuah masyarakat yang sama dari segi taraf dalam sistem sosial (Misra 2008).

Karya-karya agung Gandhi ini telah berjaya mempengaruhi ramai rakyat India untuk menjadi pengikutnya dan ideologi serta falsafahnya membuatkan beliau digelar Bapa Kebangsaan India.

Falsafah Politik

Mahatma Gandhi merupakan seorang pejuang kemerdekaan dan juga pemimpin spiritual di India ketika zaman penjajahan British.  Falsafah politik beliau adalah berdasarkan nilai-nilai kemanusiaan dan berteraskan ketuhanan serta agama Hindu. Asas falsafah politik beliau adalah berdasarkan yang diajarkan oleh agamanya dalam kitab Bhagavad Gita iaitu kitab sanskrit agama Hindu yang terkandung nilai-nilai murni, falsafah, konsep dharma dan juga karma. Sebelum kemunculan Mahatma Gandhi sebagai pemimpin spiritual di India, telah muncul pecahan daripada agama Hindu yang dikenali sebagai Jainisme yang muncul setikar abad ke-5.

Agama ini menekankan prinsip ahimsa, aparigraha, satya dan brahmacharya kepada pengikutnya dan mempunyai matlamat utama iaitu untuk kehidupan yang sejahtera dan tanpa keganasan (Vijay 2012). Pada masa yang sama, agama ini juga tidak membincangkan persoalan tentang ketuhanan ataupun Sang Pencipta tetapi lebih kepada persoalan tentang kehidupan yang sejahtera. Prinsip-prinsip daripada Jainisme ini juga telah diadaptasi oleh Mahatma Gandhi dalam perjuangannya ke arah kemerdekaan India dan membela nasib golongan yang ditindas.

Hal ini telah menyebabkan falsafah politiknya sering dikaitkan dengan idea-idea moral, tanggungjawab sosial serta nilai-nilai murni yang wujud dan diterapkan dalam konsep dharma iaitu kehidupan yang baik dalam agama Hindu (Bhattacharrya 1969). Perkara ini seterusnya menyebabkan falsafah politik beliau tidak lari dan terpesong daripada ajaran agama Hindu. Pada masa yang sama, menurut Gandhi, kitab ini adalah kamus spiritualnya dan dapat memandu segala tindakan beliau ke arah kebenaran. Istilah-istilah serta konsep yang terdapat dalam kitab Bhagavad Gita seperti aparigraha iaitu tidak mementingkan kebendaan dan samabhava yang bermaksud tetap pendirian telah mempengaruhi fikiran Gandhi dan perbuatannya. Pada masa yang sama, Gandhi juga telah mempelajari dan mendalami kitab-kitab agama lain seperti Adi Granth iaitu kitab agama Sikh, Bible dan lain-lain.

Beliau mendapati kewujudan unsur-unsur nilai murni yang sama dalam agama-agama lain yang menyeru para pengikut mereka untuk melakukan kebaikan terhadap sesame makhluk. Lalu, hal ini membentuk peribadi Gandhi yang tidak bersikap perkauman, penyayang dan akan membantu sesiapa sahaja tanpa mengira perbezaan agama dan latar belakang mereka.

Menurut Dhirendra Mohan Datta (1972), “the nuclear element of Gandhi`s thought was his idea of God” yang bermaksud teras pemikiran Gandhi adalah ideanya tentang Tuhan. Hal ini menjelaskan bahawa pemikiran dan falsafah beliau adalah berteraskan Tuhan dan agamanya. Pada masa yang sama, Gandhi pernah mengatakan bahawa tidak pernah wujud politik tanpa persaudaraan dan tiada persaudaraan tanpa adanya agama serta sesiapa yang mengatakan bahawa politik harus dipisahkan daripada agama sebenarnya orang atau golongan tersebut tidak memahami konsep agama itu sendiri (Andrews 2008). Perjuangannya bukan sahaja kepada penganut agama Hindu, malah kepada penganut agama Islam dan Kristian di India kerana matlamatnya adalah untuk menyatupadukan seluruh rakyat India supaya dapat hidup bersatu padu dan harmoni walaupun berlainan agama.

Teras ideanya ini merupakan langkah beliau untuk menerapkan ajaran agamanya untuk mengispirasi dunia dan meninggalkan kekerasan, memerlihara hak asasi manusia dan memperjuangkan kemerdekaan. Secara amnya, falsafah politik Mahatma Gandhi tidak terpisah daripada nilai agama dan berteraskan tentang perjuangan tanpa kekerasan dan perjuangan ini menjadi nadi utama dalam gerakan nasionalismenya untuk membebaskan rakyat India daripada penindasan pihak penjajah.

Pendekatan Gandhi dalam menyebarkan falsafah politiknya adalah melalui kaedah penulisan dan juga mendidik pengikutnya. Beliau telah memperkenalkan ajaran Satyagraha iaitu berpegang dan menuntut kebenaran. Secara khususnya, Satyagraha bermaksud usaha mencari kebenaran tanpa jemu serta berpegang terhadapnya dengan teguh kerana tindakan ini merupakan jalan mengabdikan diri kepada Tuhan dan langkah untuk mencapai tujuan ini adalah melalui Ahimsa (Gandhi 1968). Ajaran ini menekankan untuk tidak bertoleransi dan mengamalkan sikap berkompromi dalam menuntut kebenaran. Kesannya, pada 12 Mac 1930, Gandhi bersama 78 orang pengikutnya telah melakukan perarakan yang dikenali sebagai Salt March iaitu perarakan yang membantah kenaikan cukai garam dan rakyat India tidak dibenarkan untuk mengambil garam sendiri malah dipaksa untuk membelinya daripada British.

Perarakan ini sejauh 390 kilometer dari Ahmedabad menuju kearah Dandi iaitu sebuah bandar di tepi pantai untuk mendapatkan garam secara percuma dari air laut. Pada masa yang sama, perarakan ini telah disertai hampir 80 ribu rakyat India yang lain untuk menunjukkan bantahan mereka terhadap cukai dan dasar yang dilaksanakan British yang membebankan rakyat India (Ackerman & DuVall 2000). Perarakan secara aman ini dan menekankan konsep Satyagraha dimana rakyat India telah berani menentang penjajahan secara aman kerana mereka telah mengetahui kebenaran bahawa mereka adalah manusia yang mempunyai hak untuk bersuara dan asasi yang lain.

Tindakan Gandhi berasama pengikutnya menyebabkan 60 ribu orang pengikutnya telah ditahan dan Gandhi dituduh sebagai penghasut yang ingin menjatuhkan kerajaan British. Hal ini menyebabkan populariti dan ketokohan Mahatma Gandhi semakin terkenal di dunia dan falsafahnya telah mempengaruhi pemimpin lain untuk berjuang menentang penindasan penjajah.

Pada masa yang sama, dalam falsafah politik Mahatma Gandhi, beliau juga memperkenalkan konsep Ahimsa iaitu perkataan ahim yang berasal daripada Bahasa Sanskrit yang bermaksud tidak menyakiti. Secara khususnya, Ahimsa menitikberatkan nilai-nilai murni seperti bersatu, berdamai, tidak menyakiti orang lain serta lebih kepada spiritual (Shiva 2011). Konsep ini juga diterapkan dalam ajaran agama Hindu, Buddha dan Jainisme yang mempengaruhi pemikiran Gandhi untuk tidak melawan penindasan dengan keganasan.

Menurut Gandhi, tindakan menyakiti orang lain itu bukan sahaja memberi kecederaan fizikal malah mencederakan mentalnya dan akan mendorong kepada berlakunya keganasan, penindasan serta pembunuhan. Menurutnya lagi, dalam mengamalkan Ahimsa, kita perlu melihat musuh sebagai individu yang mencari kebenaran dan setiap kezaliman yang dilakukan mereka adalah kerana mereka tidak menemui kebenaran hakiki. Oleh itu, Gandhi menolak keganasan walaupun dalam perjuangan membebaskan India kerana walaupun seolah-olah mendatangkan kebaikan, namun ia tidak akan kekal selama-lamanya. Dalam falsafah politiknya, beliau percaya dan yakin bahawa Ahimsa merupakan satu tenaga yang wujud dalam diri setiap manusia yang mampu membawa ke arah mencari satya iaitu kebenaran (Tahtinen 1976).

Secara umumnya, dengan mengamalkan nilai-nilai murni seperti bersatu, berdamai dan tidak menyakiti orang lain (Ahimsa) kita mampu untuk menemui kebenaran yang mutlak (satya) dalam kehidupan. Hal ini akan mewujudkan sebuah masyarakat yang mampu untuk menjalani kehidupan yang aman, bersatu padu dan sejahtera walaupun berbeza dari segi agama dan latar belakang. Ini merupakan impian Mahatma Gandhi untuk mewujudkan sebuah negara bangsa India yang mampu hidup secara aman dan harmoni. Selain itu, pada pandangan Gandhi setiap agama termasuklah Islam mempunyai konsep Ahimsa kerana konsep tanpa keganasan dan tidak menyakiti orang lain adalah bersifat universal dan wujud didalam setiap ajaran agama (Prabhu & Rao 1966).

Oleh itu, dalam setiap tindakan Gandhi walaupun dalam menentang penjajahah yang zalim, beliau tidak menggunakan kekerasan malah melalui cara yang aman dan tidak menimbulkan keganasan seperti mengkritik di akhbar, mogok, berpuasa, ucapan dan perarakan. Hal ini jelas menunjukkan setiap agama yang wujud di dunia mementingkan kesejahteraan hidup antara manusia walaupun berlainan agama kerana unsur-unsur nilai murni adalah bersifat universal yang telah sedia ada dalam diri setiap manusia. Falsafah politiknya ini telah menarik minat jutaan rakyat India untuk menjadi pengikutnya dan sanggup untuk mengambil risiko ditangkap oleh pihak British kerana dengan mengamalkan konsep satyagraha dan ahimsa ini mampu membuatkan manusia berani melawan penindasan kerana telah mengetahui kebenaran yang mutlak.

Kesamarataan dan Menolak Kasta

Pengalamannya selama 21 tahun di Afrika Selatan telah banyak membentuk keperibadian dan falsafahnya. Beliau menyaksikan dan mengalaminya sendiri diskriminasi kaum yang sangat teruk semasa dasar apartheid dilaksanakan. Pada ketika itu, bangsa India dan Afrika samada peniaga mahupun buruh dianggap sebagai golongan kelas kedua dan sering ditindas oleh bangsa kulit putih. Gandhi merasainya sendiri apabila beliau telah dihalau keluar dari gerabak kereta api kelas pertama kerana kengganan beliau untuk berpindah ke gerabak kelas ketiga apabila disuruh oleh pegawai British kerana dasar apartheid ingin mengasingkan bangsa kulit putih dan bangsa kulit hitam kerana kulit putih dianggap lebih mulia dan berkuasa.

Selain itu, Gandhi juga pernah dihalau dari beberapa hotel di Afrika Selatan hanya disebabkan beliau berkulit hitam (Gandhi 2002). Kejadian ini merupakan satu tamparan yang hebat kerana beliau merasai sendiri kesan negatif apabila ditindas dan hal ini telah meningkatkan semangatnya untuk menyertai politik dan mula mempersoalkan hak golongan yang ditindas sebagai manusia.

Afrika Selatan merupakan platform pertama Mahatma Gandhi dalam memperjuangkan hak kesamarataan bangsa India di Afrika Selatan yang sering ditindas dan dihina. Pada tahun 1894, beliau telah melibatkan diri dalam politik di Afrika Selatan dengan menubuhkan Kongres Natal India iaitu merupakan sebuah organisasi yang menentang diskriminasi terhadap bangsa India dan Afrika melalui mengemukakan petisyen kepada British untuk menuntut hak mereka (Shanker 1969). Pada tahun 1905, Gandhi  menentang undang-undang baru yang diperkenalkan British iaitu The Asiatic Registration Bill yang melibatkan semua buruh Asia untuk membawa kad pendaftaran yang bukan sahaja merupakan butiran peribadi malah status kasta mereka terpapar di kad tersebut.

Kad pengenalan ini akan memudahkan pegawai British mengesan bangsa India terutamanya kasta terendah untuk menghalang mereka daripada menggunakan perkhidmatan awam seperti bas, kereta api, hospital dan lain-lain. Oleh itu, Gandhi telah melancarkan kempen  penentangan terhadap undang-undang ini yang dikenali sebagai Truth Force yang berteraskan konsep satyagraha dan kempen ini disertai oleh ribuan rakyat India di Afrika Selatan (Gandhi 2002).

Sekembalinya beliau ke India pada tahun 1915, Gandhi melihat diskriminasi yang berlaku dalam kalangan bangsanya sendiri iaitu dengan amalan sistem kasta iaitu kelas sosial dalam masyarakat. Perkara ini telah lama wujud dalam tamadun India. Amalan sistem kasta ini mula berkemang semasa Era Vedik sekitar 800 hingga 1500 Masihi kerana dalam kitab agama Hindu iaitu Rig Veda menyatakan terdapat empat jenis kelas masyarakat utama iaitu Brahmin yang bertugas sebagai penteda atau pentafsir agama, Kshatriya iaitu golongan pahlawan, Vaishyas iaitu pedagang dan Shudras iaitu golongan buruh.

Hal ini menyebabkan mereka yang lahir selain daripada empat golongan tersebut dianggap sebagai golongan kasta rendah yang dipanggil dalit atau untouchables iaitu tidak boleh disentuh (Upinder Singh 2008). Golongan ini sering disisihkan dalam masyarakat Hindu sendiri kerana dianggap kotor dan mereka juga terpaksa melakukan kerja-kerja seperti mengangkat najis, membersihkan longkang dan lain-lain. Pada masa yang sama, golongan untouchables ini juga tinggal di kawasan petempatan yang berasingan dengan kasta lain dimana mereka tinggal bersama golongan sendiri di tempat yang kotor dan tidak dibenarkan bergaul dengan kasta lain.

Walaupun Mahatma Ganhdi merupakan seorang penganut setia agama Hindu dan lahir sebagai Vaishyas, namun beliau tidak menyokong sistem kasta ini kerana baginya setiap manusia itu adalah sama dan perlu dilayan secara sama rata. Pada masa yang sama, memperjuangkan kesamarataan di India merupakan cabaran yang paling sukar bagi beliau. Hal ini demikian kerana, ia dianggap menentang salah satu ciri asas dalam amalan agama Hindu. Menurut beliau, pembebasan kasta yang sering teraniaya dan terhina adalah langkah pertama untuk menebus maruah India.

Langkah pertama beliau dalam membela nasib kasta ini adalah dengan menukar nama golongan kasta ini kepada Harijan yang bermaksud anak Tuhan. Pada 8 Mei 1933, Gandhi telah berpuasa selama 21 hari dan melancarkan kempen untuk membela golongan kasta untouchables (Gandhi 1990). Usaha beliau dalam kempen dan menukar nama kasta ini telah membuahkan hasil apabila kasta ini semakin lama semakin diterima dalam kalangan masyarakat. Walaupun perjuangan Gandhi untuk menghapuskan sistem kasta ini dianggap berjaya, namun pada hari ini sistem kasta masih berlaku di India dan merupakan salah satu amalan tradisi India yang sukar dihapuskan kerana ia telah lama dipraktikkan dan berakar umbi dalam kalangan masyarakat Hindu di India.

Perjuangannya yang penuh kelembutan dan keikhlasan dalam menuntut kesamarataan bagi golongan yang ditindas telah menyebabkan beliau menjadi terkenal diseluruh dunia. Falsafah politiknya telah menginspirasikan ramai tokoh yang memperjuangkan hak asasi golongan ditindas seperti Nelson Mandela, Martin Luther King Jr dan Malcom X.

Brahmacharya

Brahmacharya merupakan salah satu ajaran yang tidak terlalu menonjol berbanding ajaran-ajaran yang lain. Ajaran ini memusatkan diri pada pengendalian hawa nafsu (seksual), dimana ia beranggapan bahawa segala kejahatan di muka bumi ini dapat dikurangkan apabila manusia dapat mengendalikan hawa nafsu kerana nafsu dapat menghancurkan peradaban manusia itu sendiri (Tri Murni, 1994). Gandhi sememangnya terkenal dengan falsafah politiknya yang berteraskan ketuhanan dan agama, konsep brahmacharya ini juga dibincangkan dalam kitab Rig Veda yang merupakan sebuah ajaran agama Hindu terhadap peningkatan spiritual dalam kehidupan seperti pengawalan hawa nafsu yang diterapkan dalam ajaran Gandhi (Gonda 1977). Brahmacharya ini juga berkait rapat dalam mencari kebenaran iaitu satyagraha. Hal ini demikian kerana, menurut ajaran Hindu, melalui pengamalan brachmacharya para penganut akan berjaya mencari brahman iaitu usaha dalam mencari kebenaran yang mutlak atau supreme reality. Seorang lelaki atau perempuan sepenuhnya mengamalkan brahmacharya adalah benar-benar bebas daripada nafsu.

Aparigraha

Secara umumnya, Aparigraha bererti memberikan harta pada orang lain. Meskipun demikian, sebenarnya Aparigraha bukan bererti seseorang tidak boleh memiliki harta duniawi tetapi ia merupakan proses kepada pengabdian pada Tuhan dan perkhidmatan sesama manusia. Menurut Gandhi, seluruh aliran sosial harus disusun semula untuk membentuk masyarakat perwalian. Dalam masyarakat ini, pemilikan dilihat sebagai titipan iaitu apa-apa yang aku miliki membolehkan untuk kamu pergunakan; iaitu alat pengeluaran merupakan milik bersama. Kesannya, tindakan ini akan memenuhi keperluan asas setiap manusia (www.scribd.com).

Aparigraha membawa kepada kebajikan sosial. Perkara yang baik dan kewujudan bersama secara aman diibaratkan seperti kanak-kanak yang baru lahir; suci. Aparigraha juga dapat dikaitkan dengan ekologi. Aparigraha ialah satu keadaan yang ideal seperti garis lurus geometri yang kita sendiri tidak mampu untuk sampai ke sana. Tetapi, selagi kita mempunyai badan kita harus mencuba untuk merealisasikan dengan sebaik mungkin.

Gandhi mempunyai gaya hidup yang sangat bersederhana. Walaupun beliau lahir dalam keluarga yang kastanya tinggi, beliau tidak mementingkan harta. Hal ini disebabkan beliau melihat para pemimpin yang tamak dan rakus dalam memiliki harta tidak dapat membantu rakyat untuk maju. Ditindas pula, ada lah. Pengalamannya di Afrika Selatan banyak mengajar beliau mengenai isu racist dan kepimpinan yang tidak telus.

Pemerintahan Terbaik

Sathya membawa makna seseorang pemimpin perlu berpegang teguh terhadap kebenaran dan memperjuangkannya secara telus dalam sebarang keadaan. Kebenaran yang dipegang oleh pemimpin perlu membawa kepada kebaikan bersama tanpa mengorbankan pihak lain. Melalui konsep sathya ini, jelas menunjukkan bahawa harus ada ruang kebebasan dalam kalangan rakyat untuk memberi kritikan bagi mencapai kebaikan bersama. Pemimpin tidak boleh merasa tertekan sekiranya rakyat memberi kritikan demi kebaikan bersama (Dear, John (ed.), 2007).

Bagi konsep Dharma pula, ia menerapkan tentang kebajikan tanpa memperhitungkan kepentingan sendiri atau golongan tertentu tetapi untuk kebaikan orang ramai. Ia bertujuan untuk mencapai jalan kebaikan yang membawa kemaslahatan kepada masyarakat, bangsa dan negara. Di sini pula kita dapat melihat konsep kebebasan politik itu dari sudut dimana semua rakyat  berhak untuk mendapat kebajikan tanpa diskriminasi (ibid).

Negara-negara maju seperti Amerika dan British amat mementingkan kebajikan rakyat mereka. Walaupun mereka mengamalkan sistem kapitalis, tetapi kebajikan rakyat mereka tetap dijaga. Sebagai contoh, rakyat mereka yang tiada rumah atau homeless disediakan sebuah tempat dipanggil soup kitchen untuk mengedarkan keperluan seperti makanan dan ubat-ubatan kepada golongan yang tidak bernasib baik ini.

Pada masa yang sama, Shanti pula lebih tertumpu kepada kedamaian pada setiap masa. Menumpukan kedamaian bagi menghasilkan kebahagiaan bagi semua rakyat amat dituntut dalam perjuangan Gandhi. Kalau dilihat melalui konsep shanti ini, kebebasan yang diberikan kepada rakyat untuk melakukan apa-apa sahaja asalkan tidak mengganggu kebebasan rakyat yang lain. Ini bermaksud, jika rakyat diberi kebebasan tanpa menganggugugat kebebasan yang lain, maka kedamaian mampu dihasilkan dan akhirnya wujud kebahagiaan kepada semua rakyat (ibid).

Konsep Ahimsa pula mengajar pemimpin untuk tidak menggunakan kekerasan dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Kekerasan bukannya suatu penyelesaian masalah malah mengundang kepada rasa kebencian dan rasa dendam. Seseorang pemimpin tidak seharusnya menggunakan kekerasan. Rakyat harus dapat merasakan bahawa diri mereka dihargai oleh pemimpinnya dan dilayan seperti rakyat yang berdaulat kerana mereka telah memilih pemimpin. Dalam konteks kebebasan politik ini, Gandhi menyeru pemimpin supaya menjauhi segala bentuk keganasan dan kekejaman dalam memimpin rakyat. Gandhi sangat berpegang pada konsep Ahimsa. Bahkan sehingga akhir hayatnya, beliau tetap berpegang teguh dengan konsep ini. Kejayaan yang beliau capai adalah kerana beliau bertindak secara praktis mengikut garis panduan ini. (Hafidz, Masykurudin, 2006)

Berbalik kepada konsep yang diterapkan oleh Gandhi iaitu Bantahan Awam atau dikenali sebagai Salt March. Beliau telah mengajak pengikutnya berarak ke suatu tempat sebagai protes terhadap tindakan British pada ketika itu menaikkan cukai garam. Dalam konteks kebebasan politik, rakyat boleh meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap pemimpin dengan mengadakan pelbagai bentuk demonstrasi. Maka atas dasar inilah, Gandhi telah memulakan gerakan beliau dengan berarak ke arah Dandi iaitu suatu sebuah bandar yang terletak lebih kurang 384 km dan terletak di tepi laut dan garamnya boleh didapati secara percuma.

Setibanya beliau di sana, beliau telah mencubit sedikit garam dari pasir pantai dan kesan perbuatan Gandhi itu, beribu-ribu rakyat India telah turun ke pantai dan mendapatkan garam percuma sebagai simbolik bantahan mereka terhadap undang-undang British. (ibid)

Jelaslah di sini bahawa kebebasan politik itu bukan sahaja ditonjolkan dalam pilihan raya, malah ia juga merangkumi pelbagai bentuk bantahan samada secara formal atau tidak. Sesebuah kerajaan harus membenarkan rakyatnya berpartisipasi dalam politik. Janganlah hanya kerana ingin terus berkuasa, segala kritikan dikatakan cemuhan dan kebenaran dikatakan pengkhianatan.

Negara Ideal

Dalam bidang sosial negara, Mahatma Gandhi juga terkenal dengan tujuh prinsip sosial yang dibuatnya. Ketujuh-tujuh prinsip tersebut membincangkan tentang segala tindakan yang harus dielakkan kerana boleh menghancurkan diri seseorang bahkan boleh menghancurkan sebuah negara.

Antara konsep tersebut adalah kaya tanpa bekerja. Ia merupakan amalan untuk mendapatkan sesuatu tanpa modal atau usaha. Hanya memanipulasi pasaran, aset, orang dan barang, sehingga anda tidak perlu bekerja atau menghasilkan nilai tambah. Sekarang banyak pekerjaan yang berkenaan dengan memupuk kekayaan tanpa bekerja. Apa dia? Perkara tersebut sering disebut dengan rasuah! Mengumpul banyak wang tanpa membayar cukai, mengambil keuntungan daripada dana-dana kerajaan tanpa menanggung sebahagian beban kewangan yang wajar, dan menikmati semua keuntungan daripada status dalam suatu warganegara dan keanggotaan suatu badan hukum tanpa mahu memikul risiko atau tanggungjawab (www.scribd.com).

Ramrajya iaitu negara yang demokratik merupakan buah fikiran Gandhi sendiri. Sesebuah negara yang dicirikan oleh desentralisasi kekuasaan iaitu kuasa tidak sewenang-wenangnya diserahkan kepada pemerintah pusat tetapi kuasa dibahagikan kepada peringkat daerah (Gram Swaraj) supaya rakyat dapat menyelesaikan masalahnya sendiri. Menurut Gandhi, bentuk pemerintahan seperti ini dapat mewujudkan kedaulatan rakyat serta dapat memberi ruang aliran atau pemikiran individu.

Sistem pemerintahan yang demokratik mula dilaksanakan di India pada tahun 1947 selepas merdeka daripada Inggeris. Namun, demokrasi di India mula berkembang pada masa pemerintahan penjajah. Kerajaan Inggeris memperkenalkan pilihan raya pada masyarakat India, memperkenalkan fungsi awam yang baik, melakukan sosialisasi atas pemilihan elit politik melalui sistem politik. Negara India menggunakan sistem parlimen kerajaan persekutuan republik berperlembagaan. Parlimen terdiri atas Majlis Tinggi (Rayja Sabha) dan Majlis Rendah (Lok Sabha).

Presiden merupakan ketua pentadbiran, yang saat ini dijabat oleh Presiden Pranab Mukherjee, sementara ketua dalam pemerintahan adalah perdana menteri. Pada masa kini, India dipimpin oleh Perdana Menteri Narendra Modi yang terpilih dalam pilihan raya yang diadakan pada 7 April hingga 12 Mei 2014 selepas parti Perikatan Demokratik Nasional yang dipimpin oleh Parti Bharatiya Janata berjaya menang besar dan memperoleh 336 kerusi. Maka Parti Bharatiya Janata dan sekutunya memperoleh hak untuk membentuk kerajaan majoriti terbesar semenjak pilihan raya umum tahun 1984 (Anonim. 2012).

Pilihan raya umum India 2014 diadakan untuk membentuk Lok Sabha ke-16 dan memilih ahli parlimen daripada 543 bahagian pilihan raya di India. Pilihan raya umum ini berlangsung dalam sembilan peringkat dari 7 April hingga 12 Mei 2014, sehingga menjadikannya pilihan raya terpanjang dalam sejarah India. Menurut Suruhanjaya Pilihan raya India, 814,5 juta penduduk India mempunyai hak suara, dengan penambahan sebanyak 100 juta daripada pemilihan sebelumnya pada tahun 2009, sehingga menjadikannya pilihan raya terbesar di dunia. Diperlukan sekurang-kurangnya 273 kerusi daripada 543 kerusi di India untuk memenangi pilihan raya (Anonim, 2014).

India dibahagikan kepada 28 bahagian (yang dibahagikan lagi ke dalam daerah), enam Rantau Persatuan, dan Wilayah Ibu Kota Nasional Delhi. Negara-negara dipimpin oleh pemerintah yang dilantik sendiri, sementara Wilayah-wilayah Persatuan diperintah seorang pengurus yang dilantik kerajaan perpaduan (union government), beberapa antaranya mempunyai kerajaan yang dilantik. (Aanonim, 2015)

Kenikmatan tanpa suara hati merupakan salah satu godaan bagi para eksekutif masa kini. Banyak orang menganggap dirinya telah berjaya lalu merasa bebas untuk melakukan apaapa sahaja yang diingininya. Mereka mencari kenikmatan padahal kenikmatan tanpa suara hati hanya menimbulkan luka dan sakit hati bagi orang-orang lain. Suara hati adalah tempat bersemayamnya kebenaran dan prinsip-prinsip abadi monitor dalaman hukum alam. Belajarlah untuk memberi dan menerima, tidak hidup mementingkan diri sendiri, peka, penuh perhatian. Jika tidak, maka tidak akan ada rasa tanggungjawab sosial dalam kegiatan-kegiatan kenikmatan kita. (www.kadnet.org)

Bagaimanapun berbahayanya pengetahuan yang sempit, jauh masih lebih berbahaya pengetahuan tanpa jati diri yang kuat dan berprinsip. Perkembangan intelektual yang murni tanpa perkembangan jati diri dalaman yang sama halnya dengan menyerahkan kereta berkuasa tinggi ke tangan remaja yang ketagihan dadah. Malangnya, ada saja orang yang tidak suka dengan pembinaan jati diri kerana mereka menganggap, “Itu adalah urusan sistem nilai anda.” Tetapi anda boleh mendapatkan satu set nilai umum yang diluluskan semua orang, bahawa kebaikan, keadilan, maruah, sumbangan, dan integriti adalah patut untuk dipertahankan. Tiada seorang pun akan menentang dalam hal ini. Jadi, marilah memulakan dengan nilai-nilai yang tidak boleh dipertikaikan kemudian memasukkan nilai-nilai itu ke dalam sistem pendidikan, latihan dan pembangunan syarikat kita. Marilah mencapai keseimbangan yang lebih baik antara perkembangan watak dan intelektual. (www.wikihow.com)

Bagi Adam Smith, setiap transaksi perniagaan merupakan cabaran moral agar kedua-dua belah pihak memperoleh keputusan yang adil. Keadilan dan kemahuan baik dalam perniagaan adalah tiang penyangga sistem perdagangan bebas yang disebut sebagai kapitalisme. Sistem ekonomi kita merupakan hasil daripada demokrasi berperlembagaan dengan pemenuhan hak-hak minoriti juga. Semangat menang-menang adalah semangat moral, semangat saling menguntungkan, semangat keadilan bagi semua yang terlibat.

Apabila ilmu pengetahuan semuanya menjadi teknik dan teknologi, ilmu pengetahuan dengan cepat akan merosot menjadi manusia melawan kemanusiaan. Teknologi berasal daripada paradigma ilmu pengetahuan. Jika hanya sedikit sekali tujuan kemanusiaan yang ingin dicapai oleh teknologi, maka kita akan menjadi mangsa teknologi kita sendiri. Walaubagaimanapun, teknologi harus bersandar pada dinding yang benar; iaitu kemanusiaan. Apabila tidak, maka evolusi atau bahkan revolusi dalam ilmu pengetahuan takkan atau sedikit sekali membawa kepada kemajuan manusia yang nyata dan berharga.

Tanpa pengorbanan kita mungkin aktif dalam kumpulan agama tetapi tidak hidup beriman. Kumpulan agama hanyalah tirai sosial agama. Tidak ada kerjasama nyata dengan orang-orang, atau berusaha lebih keras lagi, atau cuba menyelesaikan masalah-masalah sosial kita. Melayani keperluan orang lain memerlukan pengorbanan, sekurang-kurangnya pengorbanan kesombongan dan prasangka diri kita sendiri. Jika sebuah agama hanya dilihat sebagai suatu sistem hierarki biasa, penganutnya tidak akan mempunyai semangat perkhidmatan atau semangat ibadah yang mendalam. Sebaliknya mereka akan menumpukan perhatian pada ritual lahiriyah dan semua bentuk-bentuk luar agama yang boleh dilihat. Namun, mereka bukan orang-orang yang berpusat pada Tuhan atau prinsip. (www.mkgandhi.org)

Sistem ekonomi iaitu khadi memberi kesedaran kepada rakyat India yang mundur dari segi ekonomi serta cuba membebaskan daripada eksploitasi industri Barat yang menimbulkan pengangguran. Pada zaman ini, India ekonominya berkembang 7.3 peratus pada suku terakhir tahun 2015, sehingga India boleh dikatakan lebih maju daripada China yang mencatatkan pertumbuhan 6.8 peratus pada tempoh yang sama. Data yang dikeluarkan pada hari Isnin oleh Pejabat Statistik Pusat India itu menunjukkan sedikit penurunan berbanding suku tahun sebelumnya, ketika negara itu mencatatkan pertumbuhan 7.4 peratus.

Kerajaan India telah melaporkan tahap pertumbuhan per suku yang telah melepasi China dalam setahun terakhir. Dianggarkan tahap pertumbuhan tahunan untuk 2015-16 menjadi 7.6 peratus, naik daripada 7.2 peratus tahun lalu dalam bentuk produk domestik kasar. India telah berkembang maju dan telah menjadi salah satu negara pemacu ekonomi dunia. Tetapi sayangnya, masih ramai rakyat India yang buta huruf, miskin, tiada rumah dan menganggur di negara tersebut. Di negara India sekarang, terdapat perbezaan ketara antara orang miskin dan orang kaya. Orang kaya akan menjadi terlebih kaya dan orang miskin akan jatuh menjadi fakir miskin.

Pada zaman ini, banyak ahli politik menghabiskan banyak wang untuk membina citra, walaupun imej itu dangkal, tiada isi semata-mata hanya untuk memperoleh suara dan jabatan. Apabila perkara ini berlaku, maka sistem politik akan terlepas daripada hukum-hukum alam. Seperti dalam Deklarasi Kemerdekaan Amerika Syarikat misalnya menulis, “Kami percaya kebenaran-kebenaran ini dengan sendirinya, bahawa manusia diciptakan setara, bahawa mereka diberkati oleh Pencipta dengan hak-hak tertentu yang melekat pada dirinya, antara lain hak akan kehidupan, kemerdekaan, dan pencarian kebahagiaan”.

KESIMPULAN

Mahatma Gandhi merupakan tokoh besar di India yang membawa perubahan sangat besar dalam sistem pemerintahan India dan masyarakat di sana secara khususnya. Perubahan besar yang terjadi disebabkan oleh beberapa ajaran daripada Mahatma Gandhi yang memberi pengaruh sangat besar terhadap perubahan tersebut. Secara garis besar, falsafah ajaran itu terbahagi seperti berikut; Falsafah Gandhi tentang Tuhan, Manusia dan Alam Sebagai Tri-Tunggal, Antropologi-Metafisik Gandhi tentang Manusia Sebagai Pelaku, Kosmologi-Metafisik Gandhi tentang Alam Sebagai Landasan,Teologi-Metafisik Gandhi tentang Tuhan Sebagai Pencapaian tertinggi.

Sepanjang kehidupannya, beliau telah menerbitkan pelbagai karya yang boleh menjadi rujukan sehingga sekarang. Antara karyanya adalah Young Indian, Harijan dan Indian Opinion, Sathyagraha In South Africa dan India of My Dream. Karya karya beliau telah banyak dibukukan dan dapat dilihat antara mesej dan falsafah politiknya yang ingin disampaikan oleh beliau telah diterima oleh seluruh dunia.

Ahimsa, Satyagraha, Aparigraha, Brahmacarya, dan Asteya iaitu merupakan ajaran kitab Veda yang diamalkan oleh Mahatma Gandhi dalam kehidupan beliau dan diajarkan kepada pengikutnya. Ajaran tersebut turut mempengaruhi beliau dalam pembuatan keputusan dan politik. Menurtu Gandhi, jika kita dapat menerapkan semua ajaran tersebut maka masalah-masalah yang terjadi di sekitar kita ini baik kerana perbezaan-perbezaan yang ada, akan terjadi tanpa ada kekerasan. Selain itu, Mahatma Gandhi juga terkenal dengan tujuh prinsip sosial yang memberikan pemahaman terhadap manusia tentang nilai-nilai hidup dalam Negara. Kebebasan politik merupakan isu yang diketengahkan oleh Gandhi semasa memperjuangkan kemerdekaan India.

Mahatma Gandhi menolak sistem kasta dan menolak racism dalam kalangan masyarakat. Untuk membina sebuah negara dan masyarakat yang harmoni, keadilan perlu wujud dalam semua perkara, bukan melihat pangkat, warna kulit atau keturunan. Semua manusia adalah sama menurutnya. Perjuangan beliau telah memberikan inspirasi kepada ramai manusia di India mahupun di seluruh dunia untuk menentang ketidaksamarataan dan diskriminasi. Antara kejayaan perjuangan beliau, setiap negara telah mempunyai undang-undang hak asasi manusia yang dipantau oleh Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Pengalaman beliau di Afrika Selatan telah banyak mengajar beliau tentang isu ketidaksamarataan sehingga tokoh Afrika Selatan iaitu Nelson Mandela telah dipenjarakan kerana memperjuangkan hak orang kulit hitam. Pada masa yang sama, Mahatma Gandhi juga menolak sistem kasta di India kerana sistem ini menindas serta menutup kemajuan orang india. Hal ini kierana, sistem kasta menghadkan komunikasi antara manusia daripada kasta tinggi dan rendah. Komunikasi itu penting untuk menyelesaikan satu masalah dan mengejar arus pembangunan.

Selain itu, keinginan seksual yang tinggi akan memusnahkan pemikiran serta akan menyebabkan kemusnahan pada sesebuah negara. Mahatma Gandhi percaya sekiranya seseorang itu dapat mengawal keinginan nafsunya, maka dia telah berjaya mencapai tahap bebas seksual. Pada zaman sekarang ini, jika dapat dilihat dengan mata kasar, sememangnya keinginan seksual ini telah melakukan sebegitu banyak  kerosakan di dunia.

Pada hari ini, manusia sanggup saling membunuh atau mencabul kehormatan orang lain semata-mata untuk memuaskan keinginan seksual mereka. Oleh itu, menurut Gandhi, keinginan seksual itu haruslah dikawal dengan mengamalkan Brahmacharya.

Pemerintahan yang terbaik adalah apabila pemimpin menjalankan tanggungjawab mereka dengan telus dan cekap. Mahatma Gandhi menyatakan bahawa seseorang pemimpin perlu berpegang pada kebenaran, melakukan kebajikan, mendamaikan serta tidak menggunakan kekerasan. Perkara-perkara ini penting unutk menjamin pengurusan sesebuah jabatan, institusi, negara dan lain-lain terus lancar. Sekiranya seorang pemimpin tidak berpegang pada kebenaran maka jahillah orang-orang yang dipimpin oleh beliau. “The end justify the means” kata yang dikeluarkan oleh Nicollo Machiavelli yang membenarkan seseorang pemimpin untuk tidak berpegang pada kebenaran.

Sebagai contoh, Amerika tidak berpegang pada kebenaran apabila mereka sanggup memulakan peperangan bersama Afghanistan selepas tragedi 9/11 yang meragut banyak nyawa. Tetapi akibat daripada peperangan tersebut jutaan nyawa telah terkorban. Ini melanggar prinsip ahimsa yang menolak kekerasan dan pemimpin itu turut menolak pendamaian dan kebajikan sesebuah negara.

Berpegang pada prisip ketuhanan. Mahatma Gandhi menginginkan sebuah negara yang aman, sejahtera, kaya, dan tiada keganasan. Secara ringkasnya, kekayaan tanpa perlu melakukan apa-apa yang dimaksudkan oleh Mahatma Gandhi adalah kekayaan dari segi rohani dan spritual. Secara tidak langsung mampu mengayakan seseorang itu dari segi harta. Pada zaman Abasiyyah, umat Islam berada pada zaman kegemilangannya sebelum jatuh diserang tentera monggul. Umat Islam pada zaman tersebut kaya dengan sifat rohaninya dan berpegang teguh pada agamanya serta kaya denga harta yang mereka miliki. Pada zaman tersebut boleh dikatan tiada orang miskin langsung. Itulah yang ingin dicapai oleh Mahatma Gandhi.

Oleh itu, ajaran serta perjuangan Gandhi yang meliputi nilai kemanusiaan, moral dan juga aspek ketuhanan merupakan suatu falsafah politik yang seimbang dan stabil. Hal ini telah menyebabkan beliau menjadi seorang ikon pejuang yang telah banyak menginspirasikan tokoh lain dalam menentang ketidaksamarataan dan diskriminasi.

Artikel ditulis oleh Ahmad Danial untuk The Patriots.

Rujukan

Ackerman, P. & DuVall, J. 2000. A Force More Powerful: A Century of Non-Violent Conflict. UK: Palgrave Macmillan.

Andrews, C.F. 2008. Mahatma Gandhi’s Ideas Including Selections from His Writings. Vancouver: Read Books Publishers.

Buddhadeva Bhattacharyya. 1969. Evolution of Political Philosophy of Gandhi. Calcutta: Calcutta Book House.

Brown, J.M. 1974. Gandhi’s Rise to power : Indian Politic 1915-1922. New York: Cambridge University Press.

Dear, John: Siti Farida (pnyt). 2007. Intisari Ajaran Mahatma Gandhi: Spiritualitas, Sosio-Politik dan Cinta Universal. Bandung: Penerbit Nusamedia.

Deats, R. 2005. Mahatma Gandhi, Nonviolent Liberator: A Biography. NewYork: New City Press.

Dhirendra Mohan Datta. 1972. The Philosophy of Mahatma Gandhi. Wisconsin: University of Wisconsin Press.

Gandhi, M.K: Louis Fischer (pnyt). 2002. The Essential Gandhi: An Anthology of His Writings on His Life, Work, and Ideas. New York: Vintage Book.

Gandi, M.K: Shriman Narayan (pnyt). 1968. Satyagraha In South Africa : Volume Two. Ahemadabad: Navajivan Publishing House.

Gandi, M.K: Krishna Kripalani (pnyt). 1947. India of My Dream. Ahmedabad: Navajivan Publishing House.

Gandhi, M.K: Mahadev Desai (pnyt) 1990. Autobiography: The Story of My Experiments With Truth. New York: Dover Publications.

Gonda, Jan. 1997. Change and Continuity in Indian Religion. The Hague: Mouton & Co Publisher.

Hardiman, D. 2003. Gandhi in His Time and Ours: The Global Legacy of His Ideas. New York: Columbia University Press.

Misra, A.D. 2008. India of My Dream. Insipiring Thoughts Of Mahatma Gandhi, hlm 86. New Delhi: Concept Publishing Company.

Nagler. M.N. 2014. The Nonviolence Handbook: A Guide for Practical Action. San Francisco: Berrett-Koehler Publication Inc.

Prabhu, R.K & Rao, U.R. 1966. The Mind Of Mahatma Gandhi: Encyclopaedia of Gandhi`s Thought. Ahmedabad: Jitendra T Desai Publisher.

Shanker, R. 1969. The Story of Gandhi. New Delhi: Children Book Trust.

Shiva, B. 2011. The History of India – From Ancient to Modern Times, Hawaii: Himalayan Academy Publications.

Singh, U. 2008. A History of Ancient and Early Medieval India: From the Stone Age to the 12th Century. India: Dorling Kindersley Pvt. Ltd.

Todd, A.M. 2013. Mohandas Gandhi. New York: Info Base Learning.

Tahtinen, U. 1976. Ahiṃsa: Non-violence in Indian Tradition. Michigan: University of Michigan Press.

Vijay, K.J. 2012, Acharya Amritchandra’s Purushartha Siddhyupaya: Realization of the Pure Self, With Hindi and English Translation, Uttarakhand: Vikalp Printers.

Mkgandhi, 2007. Conclusion: A Gandhian Ethics

http://www.mkgandhi.org/conflict_reso/chap09.htm

South Asian American Digital Archive. 2013. Young India January 1919. https://www.saada.org/item/20130823-3123 [19 Mei 2016].

Tri Murni, Mahatma Gandhi Pejuang Tanpa Kekerasan. 1994.

http://www.kadnet.org/web/index.php?option=com_content&view=article&id=635:mahatma-gandhi-perjuangan-dan-pemikirannya&catid- [25 Mei 2016].

Wikihow, 2007. Follow Gandhi’s Principles.

http://www.wikihow.com/Follow-Gandhi%27s–Principles [25 Mei 2016].

http://www.scribd.com/doc/44514547/Mahatma-Gandh [17 Mei 2016].

Hafidz, Masykurudin. 2006. Mahatma Gandhi: Dari Satyagraha Menuju Negara Kesejahteraan.

http://www.islamemansipatoris.com/penulis.php?id=63 [17 Mei 2016].

Anonim. 2011. Story of Indian Democracy. http://www.fpri.org/articles/2011/06/story-indian-democracy.html [18 Mei 2016].

Anonim. 2012. India.

http://www.journalofdemocracy.org/country/india.html [17 Mei 2016]

Anonim. 2014. Pemilihan Umum India 2014.

http://id.wikipedia.org/wiki/ Pemilihan_umum_India_2014 [18 Mei 2016].

Anonim. 2015. Democracy and Progress India. https://www.whitehouse.gov/blog/2015/01/28/democracy-and-progress-india.html, [17 Mei 2016].


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.