Tersebutlah kisah, terdapat emas bertan-tan milik sebuah kerajaan yang kaya dan kuat beberapa ratus tahun dahulu. Lebih kurang 20 tahun sebelum jatuhnya dinasti Ming, keadaan di selat Melaka mula bergolak kembali setelah lama berlalu peristiwa kejatuhan Melaka ke tangan petualangan Iberia. Ketika itu Maharaja Moghul sedang sibuk membelek pelan pembinaan Taj Mahal yang dibina untuk isteri tercinta. Walaupun gemilangnya Melaka sudah lama sirna, namun kegemilangan emporium Melayu tersebut telah disambung semula oleh sebuah lagi kuasa Melayu di selatan semenanjung, di sebuah negara yang bersinar bak Jauhar dari Golkonda.

Pada kurun ke 17 berlaku lah sengketa antara dua kerajaan Melayu yakni Jambi dan Johor. Johor nak tuntut balik wilayah Tungkal yang asalnya milik Johor daripada kerajaan Jambi pada tahun 1629. Namun Sultan Pangiran Jambi buat bodoh saje sebab wilayah itu dah dihadiah pada bininya. Akibatnya pada tahun 1655 Johor menghasut orang-orang Tungkal untuk memberontak. Maka si Pengiran Jambi pon rasa tak senang duduk, tetapi penduduk Tungkal tetap mahu berada dibawah Sultan Johor dan keluar dari jajahan Jambi.

Bagi menyelesaikan masalah, pada tahun 1659 diadakanlah perdamaian melalui perkahwinan yakni diantara puteri Pangiran Ratu Jambi dengan Raja Muda Johor. Namun perdamaian tak bertahan lama. Sementara itu di Johor lain pula ceritanya. Sultan Abdul Jalil Shah III diselubungi dengan pelbagai kerisauan. Baginda takut jika Raja Muda Bajau akan menggunakan Jambi untuk rampas takhta Johor dan baginda juga risau kalau Jambi mintak bantuan Mataram untuk serang Johor.

Raja Muda Bajau kemudian balik ke Johor pada bulan september 1660. Beliau janji akan balik semula ke Jambi untuk jemput bininya bila dah siap bina rumah di Johor. Sultan Abdul Jalil Shah lll yang tahu keadaan ini mula ambil peluang maklumkan pada Jambi pada tahun 1663 bahawa demi keselamatan maka bini Raja Muda tak dibenarkan datang ke Johor. Pada masa yang sama Raja Muda Bajau pulak dikata telah bertunang dengan anak Laksamana Tun Abdul Jamil. Maka maroh lah Pangiran Jambi lalu dia menuntut agar Raja Muda menceraikan bininya di Jambi atau datang untuk jemputnya ke Johor.

Persengketaan ini bukan hanya sengketa politik tetapi juga melibatkan ekonomi perdagangan di Selat Melaka. Dua buah kerajaan Melayu ini adalah kerajaan perdagangan antarabangsa yang pesat. Sumber kekuatan maritim dua kerajaan ini adalah daripada ‘mengkong’ laut mereka atau Orang Laut yang telah berkhidmat kepada kerajaan-kerajaan Melayu di Selat Melaka sejak dari zaman Srivijaya sehinggalah Melaka jatuh ke tangan Portugis. Kekuatan armada laut Johor dibantu oleh Orang Laut sekitar perairan Johor dan Kepulauan Riau-Lingga manakala Jambi mendapat sokongan Orang Laut dari perairan sekitar Jambi.

Sengketa yang berlanjutan diantara Jambi dan Johor telah membimbangkan orang Belanda. Sebab hal ini beri kesan kepada aktiviti perdagangan di Selat Melaka. Selain itu Belanda juga nak jaga hubungannya dengan Jambi untuk pastikan bekalan Lada dari Jambi tak putus. Disebabkan hal ini Belanda kononnya pilih jalan tengah iaitu untuk mendamaikan kedua-dua pihak. Namun pada pendapat koi, campurtangan Belanda dalam hal ini ada motif tersirat yang licik. Dapat dilihat kemudiannya kemuncak daripada sengketa diantara Melayu ini telah memberikan keuntungan kepada Belanda.

Belanda makin tak senang bila mereka dapat maklumat di Batu Pahat ande kira-kira 600 buah kapal perang Johor yang berlabuh. Mereka juga dapat berita beberapa bulan kemudian ada 5 buah kapal perang serta dua ribu orang perajurit Johor sedang bersiap siaga di pulau Lingga. Maka Belanda hantor lah wakilnya ke Johor untuk berbincang dan mencari jalan supaya perniagaan Lada diantara Belanda dengan Jambi tidak terganggu. Namun mereka gagal. Pada 30 November 1666 sekali lagi Belanda hatar wakil ke Johor untuk bincang dan mencari jalan damai antara Jambi dengan Johor namun tetap tak berjaya.

Akibatnya pada bulan Mei 1667, Johor dengan Palembang pergi serang Kuala Jambi dengan tujuh buah kapal perang dan membakor kawasan tersebut. Laksamana Tun Abdul Jamil kemudiannya turut mengepalai armadanya yang terdiri daripada 50 buah perahu perang untuk menyerang Jambi. Hal ini berlarutan apabila Jambi beberapa tahun kemudian bertindak balas dengan menyerang dua buah jajahan Johor iaitu Tungkal dan Inderagiri pada bulan Ogos 1670. Tindakan tersebut telah mengundang kemarahan Johor dan angkatan Laksamana Tun Abdul Jamil datang menyerang Jambi semula.

Serangan dilakukan oleh Johor menyebabkan Pangiran Dipati Anum berang dan bersumpah untuk serang Johor. Akhirnya masa kelat dan masam Johor tiba jua. Armada Jambi yang dipimpin oleh Pangiran Dipati Anum melancarkan serangan besar-besaran pada tahun 1673 terhadap Johor. Angkatan Jambi bukan sendirian tetapi dibantu oleh Belanda, Palembang serta petualang Bugis yakni Daeng Mangika. Serangan mengejut ini berjaya memusnahkan kota Johor Lama. Nah, kat sini kita dapat tengok yang Belanda main peranan jahatnya, talam dua muka. Malah Daeng Mangika juga sama licik. Sebelum ni dalam perang 1667 beliau memihak kepada Johor, tapi dalam perang besar ini beliau memihak kepada Jambi pula.

Di sinilah bermulanya penjarahan yang besar dalam sejarah peperangan kerajaan Johor di Semenanjung sejak serangan Chola terhadap Kedah Tua yang membawa balik gerbang-gerbang bertatah emas permata. Malah penjarahan yang berlaku di Johor ini juga barangkali hampir sama hebat dengan apa yang dilakukan oleh Portugis terhadap Kota Melaka kurang lebih seratus lima puluh tahun lalu. Jambi berjaya menjarah banyak harta benda daripada Johor. Andaya menyebut diantara jumlah harta rampasan yang berjaya dibawa balik Jambi dan sekutunya adalah:

• 95 pucuk meriam besi
• 140 buah kapal.
• Tawanan perang seramai 1268 orang.
• Pelbagai jenis senjata api berupa istinggar, pemuras, lela dan lain-lain.
• DAN EMPAT TAN EMAS.

Anda bayangkanlah betapa kayanya kerajaan Johor ketika itu. Saya pasti emas-emas berkenaan bukan sahaja dapat daripada istana sultan tetapi juga dirampas daripada para pembesar, orang-orang kaya, para pedagang serta rakyat kota Johor Lama. Jika ditukar kepada nilai emas kini ianya lebih kurang RM 645206524.80. Lebih daripada setengah billion nilai emas yang dirampas dari Johor Lama. Kita perlu ingat, ini adalah nilai kekayaan lebih kurang 500 tahun lepas. Kalau tahun 1950-an harga Nasi Lemak pon main satu dua sen je, anda bayangkanlah kalau anda ada beratus juta pada tahun 1673, tak ke banyak tu? Pada zaman tu nilai emas tersebut adalah sangat-sangat besar berbanding zaman sekarang. (zaman sekarang 2 billion pun macam sikit rasanya).

Kekalahan teruk Johor kepada Jambi pada tahun 1673 ini bukanlah pengakhiran bagi Kesultanan Melayu Johor. Walaupun empat tan emas Johor dirampas oleh Jambi namun peliknya Johor mampu bangkit semula beberapa tahun kemudian dan mampu siapkan kelengkapan perang yang lebih besor untuk balas serangan pada Jambi. Mungkin emas empat tan tu hanya sebahagian kecil daripada simpanan emas milik Johor dan selebihnya berjaya dibawa lari oleh Sultan Johor sebelum dirampas Jambi. Berkemungkinan dengan baki emas dan kekayaan yang lain tersebut lah maka Johor mampu bangkit semula.

Serangan pada tahun 1679 adalah serangan terbesar yang dilancarkan oleh Johor pada Jambi. Johor telah kumpul kekuatan besar iaitu sebanyak 300 buah kapal perang untuk serang Jambi. Angkatan ini diketuai oleh Laksamana Tun Abdul Jamil. Dalam serangan ini Johor dibantu oleh Palembang dan orang Bugis yang diketuai oleh Daeng Mangika yang telah bertukar pihak dan bersekutu dengan Johor pula akibat berselisih faham dengan Pangiran Jambi. Manakala pasukan Jambi telah dapat bantuan si Belanda bedebah. Pihak Belanda telah beri persenjataan dan dana untuk Jambi. Dalam serangan itu Jambi berjaya dikalahkan dan dipaksa untuk bayar ganti rugi atas serangannya terhadap Johor Lama pada tahun 1673.

Jambi dipaksa untuk bayar sebanyak 10 000 rijksdaalders kepada Johor. Selain itu Jambi juga diarah untuk kembalikan semula jumlah emas 4 tan yang telah dirampas mereka dalam perang 1673. Tapinya kerajaan Jambi tak mampu nak penuhi permintaan itu dan sebagai pendahuluan Pangiran Jambi telah berikan dua pucuk meriam besi, tiga kati emas dan duit sebanyak 3000 rijksdaalders, selain daripada membebaskan tawanan yang dibawa dari Johor dalam perang 1673 dulu.

Kejayaan ini telah berjaya memulihkan maruah Johor yang dikalahkan oleh Jambi sebelum ini. Namun sengketa diantara Melayu dengan Melayu ini akhirnya merugikan kedua-dua belah pihak. Selama 14 tahun rakyat Johor dan Jambi tidak aman akibat pertelingkahan. Sejarah mencatatkan pada waktu akan datang, betapa kedua-dua kerajaan ini menerima padah daripada persengketaan ini.

~ASJ~

Sumber:

• Mohd Akbal bin Abdullah dan Abdullah bin Sulaiman, Pemelayuan: Pengalaman Etnik Bugis di Johor Berdasarkan Naskah-Naskah Sejarah Tradisional Melayu Johor, Pusat Pengajian Kemanusiaan dan Komunikasi Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn, Parit Raja,Batu Pahat, Johor.

• Abdullah Zakaria Bin Ghazali, Malaysia – Indonesia Dalam Sejarah: Liku-Liku Hubungan Serumpun Sehingga Kurun Ke-19, Jabatan Sejarah university Malaya Kuala Lumpur.

• Ahmad Jelani Halimi, Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu.

• Barbara Watson Andaya, To Live As Brothers: Southeast Sumatra in the Seventeenth and Eighteenth Centuries, Honolulu: University of Hawaii Press, 1993.

• Fachruddin Saudagar, Perang Jambi-Johor, kertas kerja dari Arkib Negara Malaysia, 2004.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Sejarah) UKM. Bukan pakar sejarah tetapi peminat seumur hidup.

Leave A Reply