Gerakan intelektual di Barat bermula dengan kemahiran membaca dalam kalangan masyarakat. Selepas kejatuhan Rom hinggalah kurun ke-12 M, tidak sampai 50% daripada jumlah populasi di Itali yang pandai membaca, meskipun Itali merupakan wilayah Barat yang paling awal menitik beratkan soal pendidikan.
Sekolah mula ditubuhkan ketika zaman Dinasti Carolingian oleh Charlemagne (742M – 814M) pada sekitar tahun 800M. Tetapi ia tidak begitu aktif, malah kualiti dan kuantitinya juga sangat rendah. Selepas 200 tahun menghadapi peperangan dari pencerobohan Viking, sekolah-sekolah ditutup.
Pada sekitar tahun 1100M, sekolah mula aktif kembali, tetapi ditubuhkan di gereja dan biara. Maka, hanya golongan agamawan yang diberikan pendidikan asas. Pendidikan asas ini berbentuk kemahiran membaca bahasa Latin, dan fokus kepada bahan bacaan Bible dan doa.
Pada awalnya, pihak Gereja memberikan orang biasa pendidikan ini, tetapi terlalu sedikit jumlahnya dan diabaikan keistimewaannya selepas itu. Walaupun begitu, terdapat beberapa sekolah alternatif yang bebas daripada Gereja yang turut memberikan pendidikan asas ini yang boleh dihadiri oleh orang biasa.
Sehingga tahun 1200M, agamawan adalah golongan yang mendominasi pendidikan. Selepas itu, sekolah alternatif mula aktif menerima pelajar. Kebanyakan daripada pelajar tersebut melihat pendidikan sebagai sebuah status yang tinggi. Ada juga yang mahu memenuhi badan-badan kerajaan, dan juga seorang peniaga yang memerlukan kemahiran membaca, mengira dan mengkatalog dokumen.
Tidak lama selepas itu, penggunaan bahasa Latin sebagai bahasa utama ditukar kepada bahasa vernakular di Eropah dalam pendidikan. Sekolah alternatif ini juga mengaktifkan pendidikan bidang selain bidang agama.
Pada kurun ke-12 M juga, universiti ditubuhkan. Sistem universiti sememangnya berasal dari Eropah walaupun pendidikan tinggi sudah lama wujud sejak zaman Yunani lagi. Tetapi pendidikan era Yunani adalah bebas, tidak mempunyai kurikulum dan tidak berogranisasi seperti pendidikan tinggi di Eropah Zaman Pertengahan yang lebih berorganisasi dan mempunyai fakulti.
Istilah ‘universiti’ pada asalnya bermaksud persatuan yang mengumpulkan pelajar dan guru bertujuan pendidikan serta mempunyai hak dan kepentingan tersendiri. Lama-kelamaan istilah tersebut telah sinonim dengan institut pengajian tinggi.
Universiti pada masa itu menyediakan pendidikan tinggi yang tidak disediakan di sekolah dan lebih fokuskan kepada pengajian dalam bidang teologi, undang-undang, perubatan dan liberal arts. Liberal arts adalah pengajian teks-teks klasik Rom dan Yunani. Antara universiti terawal adalah Universiti Paris di Perancis, dan Universiti Bologna di Itali.
Sejajar dengan perkembangan institusi pendidikan, aktiviti penterjemahan dan pengajian teks-teks lama mula dijalankan. Karya-karya Yunani dan Rom serta kajian santifik oleh orang Arab mula diterjemah ke dalam bahasa Latin. Aktiviti ini sangat aktif di Sepanyol dan Sicily kerana interaksi dengan orang Arab dan Yahudi yang dapat membantu mereka untuk menterjemah.
Pada peringkat awal, banyak karya Yunani diterjemah melalui terjemahan bahasa Arab yang sedia ada kerana tidak ramai sarjana Barat pada waktu itu yang celik dalam bahasa Yunani. Kemudian, kemunculan sejumlah mereka yang mahir dalam bahasa tersebut mula menterjemah teks Yunani tanpa melalui apa-apa perantaraan bahasa lain.
Pada sekitar tahun 1260M, hampir semua karya Aristotle dapat dibaca dalam bahasa Latin, juga karya-karya saintifik Ptolemy, Euclid dan Galen. Sarjana Barat juga mula membaca karya-karya falsafah Islam seperti Ibnu Sina dan Ibnu Rushd. Pencapaian dalam aktiviti terjemahan dan pengajian ini, Barat mula membina pemikiran dan kajian santifik mereka sendiri.
Scholatism merupakan gerakan pemikiran yang terawal di Barat. Secara terminologi ‘Scholatic’ berasal daripada bahasa Latin ‘scholasticus’ yang bermaksud kaedah atau jalan pengajian sekolah. Ia bukan sekadar kaedah, tetapi sebuah pemikiran yang cuba menyatukan ilmu akal, iaitu ilmu yang diperoleh melalui pemerhatian, pengalaman dan penaakulan manusia, dengan ilmu wahyu.
Ilmu akal yang dirujuk adalah falsafah klasik, dan ilmu wahyu adalah ajaran Kristian. Dalam hal ini, terdapat sarjana Barat yang merujuk falsafah Islam kerana sarjana Islam juga cuba menyatukan falsafah Yunani dan ajaran Islam itu sendiri. Tambahan lagi, tidak terdapat perbezaan ketara antara Islam dan Kristian.
Antara tokoh terawal dalam gerakan ini adalah Peter Abelard (1079M – 1142M) yang mahir dalam ilmu teologi dan logik. Sumbangan terbesarnya dalam perkembangan Scholatism adalah karya Sic et Non (“Ya dan Tidak”) yang memaparkan koleksi kenyataan yang pernah diucapkan oleh ilmuan dua generasi awal Kristian (seperti tabi’in dan tabi’ tabi’in dalam Islam) seperti St. Ambrose, St. Augustine, St. Gregory dan St. Basil.
Abelard menimbulkan persoalan ‘ya’ dan ‘tidak’ kepada kenyataan tersebut. Seterusnya, kaedah Scholatis digunakan untuk menyatukan hujah-hujah yang digunakan untuk mengiyakan dan menidakkan kenyataan tersebut. Dalam karya tersebut, Abelard tidak memberitahu sebarang solusi dalam karyanya, tetapi beliau cuba membuktikan kesucian Bible, serta mahu teologi diajar dan dikaji secara menyeluruh seperti ilmu sains.
Gerakan Scholatism dikembangkan dengan kemunculan karya Book of Sentences oleh pelajar Alebard, Peter Lombard (1100M – 1160M) yang memuatkan segala persoalan asas teologi. Hujah-hujah persoalan tersebut diambil dari Bible dan autoriti Kristian lalu memberikan pertimbangan ke atasnya.
Seterusnya, Scholatism dikembangkan lagi dengan memasukkan pemikiran-pemikiran Yunani dan Islam setelah karya mereka diterjemah. Pada pertengahan kurun ke-13 M, sarjana Barat mengikuti kaedah Lombard yang fokus pada teologi Kristian, dan pada masa yang sama mereka juga ambil pertimbangan dengan kaedah sarjana Yunani dan sarjana Islam.
Dengan cara ini, mereka cuba membina sebuah sistem pemahaman terhadap alam yang mengharmonikan alam kepercayaaan dan ilmu alamiah yang sebelumnya dipisahkan (Judith G. Coffin, Robert C. Stacey, Robert E. Lerner & Standish Meacham, 2002).
Antara intelektualis yang cuba membawa keharmonian ini adalah St. Thomas Aquinas (1225M – 1274M) yang memegang prinsip akal dan rasional dapat mempertahankan kepercayaan dan iman. Beliau percaya bahawa, penciptaan alam adalah hasil daripada rahmat Tuhan. Maka, tidak menjadi satu kesalahan apabila mengkaji ilmu alamiah untuk mencapai kerangka teologi walaupun beliau sedar akan hakikat kepastian yang mutlak hanya dapat dicapai melalui wahyu dalam Bible.
Aquinas menggerakkan pemikiran ini dengan mengharmonikan falsafah Yunani, terutamanya pemikiran Aristotle, dan teologi Kristian. Beliau juga tidak menolak mengenai hal-hal berkaitan dengan kepercayaan yang tidak dapat dijelaskan dengan logik akal. Pada masa yang sama, Aquinas tidak memandang remeh terhadap akal dan rasional manusia. Antara karyanya yang terpenting adalah Summa Contra Gentiles dan Summa Theologica.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih