Pada tanggal 31 Ogos ini, kita akan menyambut ulangtahun kemerdekaan negara yang ke-64. Bagi umat Islam, kita baru sahaja menyambut Awal Muharram dengan ketibaan tahun baharu 1443 Hijrah pada 10 Ogos yang lalu. Pada masa yang sama, kita masih lagi berpe.r.ang dengan pandemik Covid-19 yang saban hari meragut nyawa ramai kenalan dan insan yang kita sayangi. Oleh itu, sambutlah kemerdekaan negara pada tahun ini dengan cara sederhana dan sentiasa patuhi S.O.P yang telah ditetapkan.
Sepertimana yang kita semua tahu, kemerdekaan yang kita kecapi pada masa kini adalah hasil perjuangan titik peluh tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan tanah air sejak berzaman lagi seperti Raja Haji fisabilillah, Tok Janggut, Mat Kilau, Tunku Kudin, Dato’ Bahaman, Rentap, Mat Salleh, Sharif Masahor, Antanum, Hj. Abdul Rahman Limbong, Dol Said, Leftenan Adnan Saidi dan ramai lagi.
Sebelum pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu, telah wujud pelbagai persatuan dan gerakan politik di tanah air, tetapi kebanyakannya lebih bersifat kenegerian. Selepas tentera Jepun mundur dari Tanah Melayu dan kemudiannya British datang semula ke Tanah Melayu dengan mengemukakan dasar Malayan Union, hal tersebut telah membangkitkan kemarahan orang-orang Melayu di seluruh Tanah Melayu yang menentang keras dasar pentadbiran British tersebut. Semangat nasionalisme mulai membara dalam kalangan rakyat Tanah Melayu. Di Tanah Melayu, semangat nasionalisme pada awal abad ke-20 banyak dipelopori dan digerakkan oleh golongan guru atau lepasan maktab perguruan.
Dalam akhbar Merdeka, keluaran kedua, Januari 1986, Shaharom Husain, seorang sasterawan, budayawan dan sejarawan Johor ada menulis berkenaan tiga jenis gerakan awal nasionalisme di Tanah Melayu selepas zaman pendudukan Jepun. Mereka semua bermatlamatkan pembebasan Tanah Melayu daripada belenggu penja.jah.an dan membentuk sebuah negara merdeka tetapi berbeza fahaman ideologi, bentuk pemerintahan negara tersebut dan cara perjuangannya.
Secara umumnya, gerakan nasionalisme sebelum kemerdekaan Tanah Melayu terbahagi kepada dua iaitu sama ada berhaluan kanan atau kiri. Dalam pensejarahan nasionalisme Melayu, konsep gerakan haluan kiri khasnya pada lewat 1940-an dan 1950-an merujuk kepada kelompok yang bertentangan dengan parti utama Melayu iaitu UMNO yang akan dijelaskan dalam penulisan ini.
Jenis gerakan nasionalisme pertama ialah berhaluan kanan dan lebih bersifat bersederhana dalam perjuangannya. Matlamat perjuangan mereka adalah usaha ke arah kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang berdaulat dan berpelembagaan. Antara gerakan parti politik utama jenis pertama ini ialah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR / UMNO) yang diasaskan oleh beberapa orang tokoh seperti Dato’ Onn Jaafar pada tahun 1946. Sebelum penubuhan UMNO, Dato’ Onn Jaafar yang juga Menteri Besar Johor (1947-1950) ketika itu pernah memimpin Pergerakan Melayu Semenanjung Johor. Selain beliau, Zainal Abidin bin Ahmad, seorang tokoh sarjana Melayu yang amat dikenali dengan gelaran Pendeta Za’ba juga adalah salah seorang tokoh yang turut memainkan peranan penting dalam penubuhan parti tersebut. Sebelum itu, beliau pernah memimpin Persekutuan Melayu Selangor.
Jenis gerakan nasionalisme yang kedua pula berhaluan kiri seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan pada tahun 1945 di bawah pimpinan tokoh-tokoh nasionalis kiri seperti Dr. Burhanuddin al-Helmy, Ishak Hj. Muhammad dan Ahmad Boestamam. Matlamat perjuangan mereka ialah membentuk sebuah negara besar yang dikenali sebagai Melayu Raya iaitu gabungan bersama Tanah Melayu dan Indonesia. Oleh itu, mereka lebih bekerjasama dengan gerakan parti politik Indonesia. Indonesia merdeka pada tahun 1945. Pada 17 Ogos yang lalu, rakyat Indonesia baru sahaja menyambut ulangtahun kemerdekaan negara republik mereka itu yang ke-76.
Sebenarnya PKMM merupakan kesinambungan daripada parti Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang ditubuhkan sekitar tahun 1937 oleh Ibrahim Hj. Yaakob. Ketika awal zaman pendudukan Jepun, pihak Jepun membiarkan sahaja KMM bergerak bebas kerana perjuangan KMM ketika itu menentang pihak British. Walau bagaimanapun, pada tahun 1945, pihak Jepun telah membubarkan parti tersebut kerana dilihat mulai menunjukkan penentangan terhadap mereka pula. Kemudiannya, PKMM telah ditubuhkan bagi menggantikan parti tersebut. Tetapi, PKMM juga tidak bertahan lama kerana ramai pemimpinnya telah ditangkap oleh pihak British dan parti tersebut bubar pada akhir 1940-an.
Dr. Burhanuddin al-Helmy kemudiannya menyertai Parti Islam Se-Malaya (PAS) yang ditubuhkan pada tahun 1951 bagi memperjuangkan kemerdekaan penuh Tanah Melayu sebagai sebuah negara Melayu Islam yang menjalankan perundangan Islam. Beliau dilantik sebagai Presiden PAS pada tahun 1956 dan memegang posisi tersebut sehingga beliau meninggal dunia pada tahun 1969. PAS pada asalnya merupakan kesinambungan daripada parti Hizbul Muslimin, sebuah parti politik Islam pertama di Tanah Melayu yang ditubuhkan pada tahun 1948, tetapi parti tersebut juga tidak bertahan lama kerana diharamkan oleh British atas alasan berhaluan kiri.
Sementara, jenis gerakan nasionalisme yang ketiga pula bersifat jauh lebih radikal dan ekstrimis iaitu Parti Komunis Malaya (PKM) yang bermatlamat menjadikan Tanah Melayu sebuah negara republik komunis di bawah Moscow atau Peking ketika itu. Walaupun parti politik yang ditubuhkan pada tahun 1930 tersebut kebanyakannya dianggotai oleh bangsa Cina, tetapi terdapat juga orang Melayu yang menganggotai dan memimpin parti tersebut seperti Abdullah CD, Shamsiah Fakeh dan Rashid Mydin. Tokoh pemimpin PKM yang paling digeruni ialah Chin Peng yang meninggal dunia pada tahun 2013 ketika masih dalam buangan di Thailand.
Disebabkan PKM banyak terlibat dengan pelbagai aktiviti jenayah keganasan dan kezaliman di Tanah Melayu (kemudiannya Malaysia) seperti peristiwa pertempuran berdarah di Balai Polis Bukit Kepong, Muar yang masyhur dalam sejarah pada tahun 1950 yang mengorbankan ramai nyawa anggota polis, parti tersebut telah diharamkan dan dibubarkan pada tahun 1989. Ramai dalam kalangan ahlinya termasuk pemimpinnya sendiri iaitu Chin Peng yang dicop sebagai musuh negara kerana mengganggu gugat keamanan negara tidak dibenarkan kembali ke Malaysia.
British perlu menghadapi ketiga-tiga jenis gerakan nasionalisme yang dinyatakan tersebut. Untuk menghadapi ancaman komunis yang lebih radikal dengan aktiviti-aktiviti keganasan, pihak British bekerjasama dengan UMNO yang lebih bersifat sederhana dalam perjuangannya. Selain itu, kebanyakan ahli tertinggi UMNO ketika itu berlatarbelakang pendidikan tinggi dari Barat (Inggeris) yang boleh bertolak ansur dan tawar menawar di meja rundingan dengan pihak British tetapi pada masa yang sama mereka faham benar dan cekap menghadapi tindak tanduk diplomasi pihak British yang licik itu.
Terdapat banyak lagi parti gerakan nasionalisme di Tanah Melayu yang pernah muncul selain yang disebutkan di atas sebelum kemerdekaan Tanah Melayu sama ada berhaluan kanan mahupun kiri seperti PETA (Pejuang Tanah Air), MPAJA (Malayan Peoples Anti-Japanese Army), API (Angkatan Pemuda Insaf), AWAS (Angkatan Wanita Sedar), Force 136, KRIS (Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung), Parti Rakyat Malaya (PRM), Parti Kemerdekaan Malaya (IMP), Parti Negara dan banyak lagi. Ada yang menggunakan konsep perjuangan dengan senjata dan ada juga memegang konsep perjuangan tanpa senjata. Selain itu, perjuangan nasionalisme turut disebarkan melalui penerbitan akhbar-akhbar dan majalah-majalah rasmi parti atau persatuan.
Selain parti-parti gerakan nasionalisme berhaluan kanan seperti UMNO dan parti-parti politik yang lain dalam Parti Perikatan pimpinan Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj yang berjaya membentuk kerajaan setelah Tanah Melayu berjaya mencapai kemerdekaan, tidak boleh dinafikan juga peranan penting tokoh-tokoh nasionalis kiri seperti Ibrahim Hj. Yaakob, Dr. Burhanuddin al-Helmy dan Ishak Hj. Muhammad yang turut sama berjuang dalam usaha mencapai kemerdekaan daripada belenggu penja.j.ah asing walaupun tidak mencapai matlamat pembentukan negara yang mereka perjuangkan.
Walau bagaimanapun, sudah tentu gerakan yang terlalu radikal dan ekstrimis seperti Parti Komunis Malaya (PKM) wajib kita tolak fahaman ideologi dan cara perjuangannya kerana mereka bukan sahaja mengganggu gugat keamanan negara, malah kezaliman dan jenayah keganasan mereka terhadap rakyat Tanah Melayu / Malaysia sendiri masih menjadi sejarah hitam yang tidak dapat dilupakan. Walaupun setelah puluhan tahun negara merdeka, mereka terus melakukan pelbagai jenayah keganasan dalam negara, sedangkan parti-parti kiri yang lain telah mengambil bahagian secara aktif dalam perkembangan politik tanah air yang menunjukkan amalan demokrasi berparlimen di Malaysia.
Tidak dinafikan kebanyakan gerakan pembebasan tanah air oleh tokoh-tokoh pejuang tanah air pada zaman dahulu (sebelum abad ke-19) mereka berjuang dengan senjata (pep.erang.an). Tetapi kita tidak boleh menyamakannya dengan konteks perjuangan pada zaman moden ini. Jadikan sejarah masa lalu sebagai pengajaran dan panduan bagi membangunkan negara pada masa kini. Pada akhirnya, kita mencapai kemerdekaan sebagai sebuah negara persekutuan yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan institusi raja berpelembagaan dengan cara diplomasi, maka menjadi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia bagi mengekalkan keamanan dan kedaulatan negara kita ini.
RUJUKAN:
-Shaharom Hussain, “Menegakkan Tanah Melayu Sukar dan Mencabar,” Merdeka, keluaran kedua, Januari 1986, hlm. 12.
-Shaharom Husain, “Kedurj.an.aan Jepun dan Bintang Tiga,” Merdeka, keluaran kedua, Jun 1984, hlm. 12.
-Shaharom Husain, “UMNO Ditubuh dengan Dato’ Onn Pemimpinnya,” Merdeka, keluaran kedua, April 1985, hlm. 12.
-Abu Talib Ahmad, “Aliran Kiri dalam Nasionalisme Melayu, 1945-57: Satu Pemerhatian,” Malaysia dari Segi Sejarah, Vol. 36, 2008, hlm. 24-51.
-Ishak Saat & Nazarudin Zainun, “Gerakan Melayu Raya di Malaya Sebelum Merdeka,” Kertas kerja Seminar Sambil Belayar (SSB) dari Sorong ke Raja Ampat, di Papua Barat, Indonesia, Julai 2017.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih