Pada petang 10 Mei 2025, dunia menarik nafas lega. Dua negara kuasa nuklear iaitu India dan Pakistan akhirnya bersetuju menghentikan semua bentuk tindakan ketenteraan. Gencatan senjata ini dianggap sebagai langkah penyelamat bagi Asia Selatan yang terlalu lama bergolak dengan ketegangan ketenteraan dan retorik nasionalis.
Perjanjian ini menetapkan semua operasi darat, udara dan laut dihentikan serta-merta pada jam lima petang waktu India. Peluru meriam, serangan udara dan pergerakan laut diberhentikan serentak. Namun, senyap yang terhasil tidak bermakna keamanan mutlak. Dalam era moden, serangan tidak semestinya datang dengan bunyi letupan. Serangan siber masih kekal sebagai senjata tersembunyi yang belum disentuh dalam rundingan.
Gencatan ini dikatakan tercapai hasil usaha diplomatik Amerika Syarikat. Nama Donald Trump, yang kini kembali ke pentas politik antarabangsa, muncul sebagai individu yang mengaku memudahkan rundingan. Dalam kenyataan di platform Truth Social, Trump menyatakan bahawa kejayaan ini adalah hasil campur tangan langsung beliau, dibantu oleh Setiausaha Negara Marco Rubio dan Naib Presiden JD Vance. Dalam sidang media tergempar, beliau menyifatkan dirinya sebagai “pemutus konflik”.
Namun begitu, realiti di lapangan lebih rumit. India sebagai anggota penting pakatan QUAD dan rakan strategik Amerika berada dalam kedudukan serba salah. Sebarang pelanggaran gencatan boleh menjejaskan kredibiliti geopolitik Delhi. Tambahan pula, tekanan dalaman dari sayap kanan nasionalis turut mengekang ruang diplomasi mereka.
Pakistan pula kelihatan lebih bersedia untuk berdamai dari segi naratif antarabangsa. Meskipun mengalami kerosakan ketenteraan dalam siri serangan terdahulu, Islamabad menampilkan pendekatan lebih berhati-hati dan tidak membalas secara melulu. Beberapa laporan awal menyatakan ruang udara Pakistan dibuka lebih awal daripada India, namun tiada bukti rasmi menyokong dakwaan ini. Kedua-dua negara dilihat mengambil langkah-langkah separa dalam pemulihan hubungan.
Satu isu besar yang masih tergantung ialah Perjanjian Air Sungai Indus. India menggantung perjanjian itu selepas serangan berdarah di Pahalgam, Kashmir, yang mengorbankan 26 pelancong Hindu.
Delhi menuduh militan berpangkalan di Pakistan sebagai dalang, namun beberapa laporan bebas dan risikan antarabangsa menyatakan kemungkinan serangan itu adalah “false flag” direka untuk mencetuskan reaksi balas dan mendapatkan sokongan awam bagi tindakan ketenteraan. Rundingan mengenai pengurusan air kekal dibekukan sehingga kini.
India turut mengekalkan sekatan terhadap pesawat tentera Pakistan, namun tiada kenyataan rasmi menyebut tarikh penamatan sekatan tersebut. Sekatan ini dilihat lebih bersifat simbolik untuk menunjukkan ketegasan Delhi terhadap ancaman keselamatan tetapi pada masa sama, ia memberi bayangan bahawa ketidakpercayaan masih menebal.
Ketua Operasi Ketenteraan dari kedua-dua negara dijadualkan bertemu pada 12 Mei bagi menetapkan garis panduan pemantauan gencatan serta protokol pelanggaran. Ini dilihat sebagai langkah penting untuk membina asas kepercayaan antara dua kuasa nuklear yang sentiasa berada di bawah tekanan domestik dan serantau.
China pula memerhati perkembangan ini dengan teliti. Ketergantungan India kepada rundingan tajaan Amerika membuka ruang untuk Beijing menilai semula posisi strategik Delhi dalam BRICS, RIC dan SCO. Sebarang kelemahan dalam diplomasi India boleh memberi ruang kepada China mengukuhkan pengaruhnya di rantau ini.
Beberapa jam selepas pengumuman gencatan, kedua-dua pihak saling menuduh berlaku pelanggaran. Letupan dilaporkan di kawasan sempadan Kashmir, dipercayai berpunca dari pertempuran kecil di sektor Gurez. Insiden ini mengingatkan dunia betapa rapuhnya perdamaian di rantau ini. Ia hanya memerlukan satu insiden untuk mencetuskan krisis baharu. Silap-silap disebabkan hilang basikal atau buah mangga kena petik pun boleh menyebabkan peperangan seterusnya.
Terdapat spekulasi bahawa Turki dan Arab Saudi turut memainkan peranan di belakang tabir dalam memudahkan dialog tidak rasmi, namun tiada pengesahan rasmi daripada mana-mana pihak. Wajah dominan tetap Washington, yang menggunakan pengaruh ekonomi dan ketenteraan untuk memujuk kedua-dua negara menamatkan pertempuran.
Dalam naratif geopolitik, Pakistan dilihat lebih berjaya mengawal persepsi awam antarabangsa. Walaupun terkesan secara taktikal, mereka tampil sebagai pihak yang rasional dan tidak bertindak melulu. India pula cuba menyeimbangkan imej sebagai kuasa ekonomi dan ketenteraan. Satu permainan halus yang penuh risiko.
Untuk negara seperti Malaysia dan ASEAN, kestabilan Asia Selatan bukan isu jauh. Dua kuasa ekonomi bergolak bermakna gangguan bekalan global, pelaburan tergendala dan harga komoditi yang tidak menentu. Keamanan mereka adalah kepentingan kita juga.
Namun, damai ini masih terlalu tipis. Tanpa kepercayaan, ia hanya menjadi persinggahan sebelum babak seterusnya. Dan seperti biasa, ia mungkin bermula dari satu perkara yang kecil: satu peluru sesat, satu radar yang tersalah tafsir, satu kapal yang tersasar. Dalam dunia yang tidak stabil, damai bukan sekadar hentikan tembakan. Ia memerlukan keberanian politik dan kesediaan untuk percaya. Dua perkara yang sangat sukar di sempadan Kashmir.

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Ilmu, inspirasi, makna, ketepatan, dan keindahan.

Comments are closed.