Suatu ketika dahulu, golongan yang berlebihan berat badan ataupun gemuk seringkali di rendah-rendahkan oleh masyarakat. Ini kerana kita beranggapan orang gemuk tidak menjaga kesihatan dan makan seperti tiada lagi hari esok. Walau bagaimanapun, stigma tersebut semakin pudar hari demi hari.
Pertambahan golongan berlebihan berat badan ataupun gemuk membuatkan ia tampak semakin normal. Kalau tidak percaya cuba kembali waktu kecil dahulu, kita pasti golongan gemuk sangat sukar untuk ditemui. Tetapi hari ini, di mana-mana sahaja kita dapat temui mereka. Buktinya, hari ini sekitar 1.9 bilion populasi manusia miliki lebihan berat badan dan 650 juta daripadanya alami masalah gemuk.
Tambah mengerikan lagi, lebih 4 juta orang telah direkodkan meninggal kerana berat badan berlebihan pada tahun 2017. Situasi telah melayakkan masalah lebihan berat badan dan gemuk sebagai ancaman utama manusia di kebanyakan negara. Malaysia juga turut tidak terkecuali kerana 50.1% daripada populasi dewasa di Malaysia miliki masalah lebihan berat badan dan gemuk.
Peratusan yang tinggi itu telah melayakkan Malaysia menjadi negara paling gemuk di Asia Tenggara dan antara tergemuk di Asia. Jika masalah ini tidak diatasi, kita bakal berhadapan dengan peningkatan mereka yang diserang penyakit tidak berjangkit seperti seperti kencing manis. Buat pengetahuan anda semua, 30% daripada keseluruhan pesakit kencing manis miliki masalah gemuk. Jadi mahu tak mahu, pembaca semua perlu diet.
Walau bagaimanapun tahukah anda, lebihan berat badan pernah dianggap sebagai lambang kekayaan ketika zaman pertengahan di Eropah. Kenapa boleh jadi begitu pula? Tanggap itu muncul kerana Eropah yang sedang berada di zaman kegelapan seringkali dilanda wabak penyakit yang cukup dahsyat. Ditambah lagi dengan kejatuhan Empayar Rom yang memberi peluang kepada para warlord untuk mentadbir tanah sendiri. Kesannya, berlaku penindasan terhadap golongan petani oleh warlord.
Apabila terkena penyakit dan ditindas, golongan ini akan kelihatan sangat kurus. Secara tidak langsung, orang Eropah mula beranggapan kurus itu adalah berpenyakit, miskin dan hina. Manakala bagi golongan gemuk, mereka dianggap sebagai kaya, sihat, kacak dan cantik. Bukan itu sahaja, watak orang gemuk yang kaya juga diabadikan dalam karya seni di Eropah. Kalau tak percaya boleh tengok dua gambar dekat bawah;
Dua gambar itu adalah berasal daripada novel Don Quixote dan drama William Shakespeare. Jadi senang cerita, menjadi gemuk ketika itu adalah seperti anda sedang memandu Mustang sewa dan Honda Ketam second hand recon pada hari ini. Masalah lebihan berat badan dan gemuk semakin menjadi para apabila Eropah memasuki era revolusi perindustrian 1.0.
Tanggapan silam seperti gemuk adalah lambang kekayaan, sihat dan cantik masih lagi diterima pakai secara meluas. Ini berpunca daripada pandangan golongan atasan terhadap golongan bawahan yang banyak bekerja di kawasan kilang dan lombong. Kalau diperhatikan ramai golongan pekerja miliki badan yang kurus dan langsing. Jadi golongan atas ini tidak mahu disamakan dengan golongan pekerja.
Walau bagaimanapun, pada akhirnya masyarakat Eropah mula menerima bahawa lebihan berat dan gemuk banyak memberikan kesan buruk kepada kehidupan mereka. Usaha-usaha daripada pakar perubatan juga dipuji kerana telah mengubah tanggapan orang Eropah.
Kesimpulannya kepada yang mengalami masalah berat badan berlebihan dan gemuk, anda sebenarnya teramatlah kaya jika hidup di Eropah pada zaman pertengahan. Apa-apapun, ingat jangan sesekali menghina bentuk fizikal orang lain kerana kita semua adalah ciptaan yang sempurna. Tetapi jagalah baik-baik ciptaan ini agar kita tidak terkena penyakit yang berbahaya.
Buat anda yang miliki berat badan berlebihan dan gemuk, William Shakespeare ada puisi untuk anda:
My beauty as the spring doth yearly grow; My flesh is soft and plump, my marrow burning.
RUJUKAN:
Code Blue. (2019, November 30). More malaysians overweight, obese in 2020. Dipetik daripada https://codeblue.galencentre.org/2021/11/30/more-malaysians-overweight-obese-in-2020/
Sermo. (2015, Jun 24). The history of obesity—stone age through the renaissance. Dipetik daripada https://www.sermo.com/blog/insights/history-obesity-stone-age-renaissance/
Sumińska, M., Podgórski, R., Bogusz-Górna, K., Skowrońska, B., Mazur, A., & Fichna, M. (2022). Historical and cultural aspects of obesity: From a symbol of wealth and prosperity to the epidemic of the 21st century. Obesity Reviews, 23(6), 1-13. https://doi.org/10.1111/obr.13440
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih