Bayangkan anda sedang berjalan santai di sebuah bandar lama di Eropah pada abad ke-18.
Tiba-tiba, dari tingkat atas sebuah bangunan tinggi, seseorang menjerit “Gardyloo!”
Tetapi malangnya, terlambat. Anda dah disimbah dengan najis manusia!
Ya, itulah realiti kehidupan di Edinburgh, Scotland sekitar tahun 1700-an. Bandar ini pernah menjadi tempat yang sangat kotor dan tidak sihat dengan lebih 50,000 orang bersesak dalam kawasan yang kecil tanpa sistem sanitasi yang baik.
Bagaimana orang ramai menguruskan najis mereka? Mereka hanya membuangnya dari tingkap rumah terus ke jalan!
[Asal-usul “Gardyloo,” Amaran Sebelum Najis Melayang]
Perkataan “Gardyloo” berasal daripada frasa Perancis “Gardez l’eau!” yang bermaksud “Berhati-hati dengan air!”
Namun, dalam konteks Edinburgh, “air” yang dimaksudkan bukanlah air biasa, sebaliknya sisa buangan manusia.
Pada waktu itu, rumah-rumah di Edinburgh boleh mencapai 14 tingkat tinggi dan tidak mempunyai tandas atau sistem paip moden.
Penduduk hanya menggunakan baldi untuk mengumpulkan sisa buangan mereka sepanjang hari. Apabila baldi penuh, ia menjadi tugas wanita dan kanak-kanak untuk membuangnya melalui tingkap ke jalan di bawah.
Tetapi sebelum mencurah, mereka perlu menjerit “Gardyloo!” sebagai amaran kepada orang yang sedang berjalan di bawah.
Namun, tidak semua orang sempat mengelak. Jika anda cukup malang untuk terkena pancutan najis dari atas, anda boleh menjerit “Hold your hand!” dengan harapan si pencurah sempat menghentikan tindakan mereka.
Tetapi selalunya, nasib tidak menyebelahi para pejalan kaki dan mereka akan pulang dengan pakaian serta rambut yang busuk.
[Kehidupan di Edinburgh yang Penuh Najis]
Bandar Edinburgh pada masa itu bukan sahaja penuh dengan najis manusia, tetapi juga sangat berbau busuk.
Penduduk terpaksa membakar kertas perang (brown paper) di dalam rumah mereka untuk mengurangkan bau dari luar.
Bau busuk ini cukup terkenal hingga mendapat gelaran “The Flowers of Edinburgh,” tetapi ironi kerana “bunga” yang dimaksudkan sebenarnya adalah bau busuk dari jalanan!
Lebih teruk lagi, najis yang dibuang pada waktu malam dibiarkan di jalan sepanjang hari. Kerja pembersihan hanya dilakukan keesokan paginya oleh sekumpulan pekerja yang menggunakan kereta sorong untuk mengangkut sisa buangan ke luar bandar.
Tetapi pada hari Ahad, atas alasan agama, kerja pembersihan dihentikan. Ini bermakna najis akan kekal di jalan sehingga hari Isnin!
[Undang-undang “Nastiness Act,” Peraturan Buang Najis di Edinburgh]
Pada tahun 1749, pihak berkuasa Edinburgh memperkenalkan undang-undang yang dikenali sebagai “Nastiness Act” untuk mengawal tabiat buang najis ini.
Menurut undang-undang ini, penduduk hanya dibenarkan mencurah sisa buangan mereka antara jam 10 malam hingga 7 pagi. Ini bertujuan untuk mengurangkan risiko orang ramai terkena pancutan najis pada waktu siang.
Namun, yang mengejutkan ialah undang-undang ini tidak pernah dimansuhkan secara rasmi!
Secara teknikal, pada hari ini pun, masih sah di sisi undang-undang untuk membuang najis dari tingkap rumah di Edinburgh jika anda melakukannya selepas jam 10 malam!
Tetapi jangan cuba lakukan kerana orang sekarang tentu tidak akan sewenang-wenangnya memaafkan perbuatan ini.
[Bagaimana Edinburgh Berubah?]
Keadaan Edinburgh yang kotor berterusan sehingga pertengahan abad ke-19 apabila pihak berkuasa akhirnya membina sistem pembetungan yang lebih baik.
Projek pembinaan sistem pembetungan Water of Leith dan Balerno pada tahun 1864 membantu mengurangkan pencemaran dan meningkatkan kesihatan awam.
Penyakit seperti kolera dan tifoid yang sebelum ini berleluasa mula berkurangan.
Pada tahun 1976, Edinburgh akhirnya mendapat loji rawatan kumbahan moden di Seafield yang membantu membersihkan air sungai dan mengurangkan pencemaran.
Dengan adanya sistem ini, praktik membuang najis dari tingkap akhirnya menjadi sejarah.
Kisah Gardyloo mengingatkan kita tentang betapa pentingnya sistem sanitasi moden. Jadi, lain kali anda perlu bersyukur dengan kewujudan jamban.