Pembuli sentiasa ada dalam kehidupan manusia tanpa mengira bangsa, agama, fahaman politik atau status kedudukan. Di Korea, warga biasa amat berbulu dengan perlakuan buli yang dilakukan oleh golongan kaya dan berkuasa negara itu sehingga mereka mempunyai satu gelaran khas kepada mereka: gapjil.
Gapjil merupakan gabungan dua perkataan Korea iaitu gap (orang yang berkuasa) dan jeul (penderaan). Dalam masyarakat Korea yang amat mementingkan kedudukan hierarki terutama status sosial, pekerjaan dan kekayaan, hal sebegini tidak dapat dielakkan.
Justeru, tidak hairanlah orang Korea yang bengang melawan kembali gapjil sejak kebelakangan ini. Di laman-laman sesawang, sepanduk dan pelekat di tandas, banyak pihak dari agensi kerajaan hinggalah polis dan kumpulan hak asasi awam mempromosikan talian aduan gapjil. Menerusi talian tersebut, orang awam dipelawa untuk mendedahkan perilaku jijik gapjil walau di mana saja mereka berada.
Sejak talian aduan gapjil ini diadakan, banyak salah laku gapjil didedahkan. Antara contoh perilaku yang didedahkan ialah penggunaan bahasa kesat dan keterlaluan, rasuah dan kegagalan melunaskan hak pekerja terutama soal gaji. Di peringkat universiti pula, ada pelajar mengadu perlu menurut kemahuan seksual pensyarah mereka sekiranya ingin lulus peperiksaan atau menamatkan pengajian.
Justeru, melihat kelompok berkuasa terutama chaebol (kelompok jutawan yang menguasai syarikat-syarikat utama Korea) jadi cacing kepanasan selepas perihal gapjil mereka didedahkan amat menggembirakan orang awam. Salah seorang yang terkesan akibat gapjil ialah isteri kepada calon pilihan raya presiden Korea Selatan, Lee Jae-myung.
Jae-myung yang diharap dapat meneruskan legasi Presiden Moon Jae-in malu besar selepas perihal gapjil isterinya, Kim Hye-kyung didedahkan kepada media. Semasa suaminya menjadi Gabenor Wilayah Gyeonggi, Hye-kyung dikatakan memperlakukan pegawai-pegawai kerajaan seperti khadam peribadinya. Ini termasuk menyuruh mereka membawakan dulang makanan kepadanya dan menemaninya membeli-belah. Akibat pendedahan tersebut, Jae-myung tewas tipis kepada pemenang pilihan raya Yoon Suk-yeol.
Bagi bekas pramugara Korean Air dan pemimpin parti pembangkang Parti Keadilan, Park Chang-jin, perkara ini sudah lama diketahuinya lebih-lebih lagi membabitkan bekas majikannya. Pada 2014, anak perempuan kepada bekas pengerusi Cho Yang-ho, Cho Hyun-ah memaksa penerbangan Korean Air 086 berpatah balik ke terminal selepas tidak suka cara kacang makadamia dihidangkan untuknya.
Dan orang yang dipersalahkan tidak lain tidak bukan Chang-jin. Beliau bukan saja dipaksa memohon maaf kepada Hyun-ah tetapi turut disepak keluar daripada penerbangan. Setelah itu, barulah Korean Air 086 dapat berlepas tanpa sebarang isu. Insiden ini dikenali sebagai insiden amukan kacang di Korea Selatan.
Keluarga Cho yang sinonim dengan Korean Air sekali lagi dibelenggu kontroversi pada 2018. Ini selepas pendedahan video dan audio isterinya Lee Myung-hee dan seorang lagi anak perempuan Yang-ho, Cho Hyun-min mendera pekerja tersebar. Akibatnya, kedua-duanya disingkirkan daripada semua jawatan syarikat yang dikawal keluarga Cho. Bagaimanapun, itu tidak cukup untuk menghalang Yang-ho disingkirkan sebagai pengerusi Korean Air pada 2019.
Satu sebab gapjil berleluasa ialah disebabkan oleh waktu bekerja Korea Selatan yang panjang. Akibatnya, gapjil berleluasa dalam pelbagai bentuk dari bekerja lama tanpa elaun lebih masa hinggalah gangguan seksual dan buli oleh pekerja-pekerja senior.
Satu contoh gapjil yang terkenal ialah “protokol diraja”. “Protokol diraja” di sini merujuk kepada tindakan anak-anak buah chaebol melayan mereka bak raja dengan memayungi mereka dengan payung atau menghalang pekerja-pekerja daripada menggunakan eskalator semasa digunakan oleh bos mereka. Antara yang terpalit akibat gapjil sebegini ialah ahli politik Kim Moo-sung. Moo-sung dicemuh pada 2017 selepas menolak beg bimbit miliknya terhadap seorang pembantu tanpa melihat.
Jadi, bagaimana gapjil bermula? Ramai warga Korea merasakan ia bermula semasa era negara itu diperintah oleh diktator junta tentera di mana mereka menggalakkan budaya perintah dan taat bagi menjamin kedudukan mereka. Tetapi itu juga mendorong ramai orang bangkit untuk memaksa seorang daripadanya hidup dalam buangan (Syngman Rhee) dan memaksa seorang lagi diktator membuka jalan kepada pilihan raya bebas dan adil pada 1987 (Chun Doo-hwan).
Kemarahan orang ramai terhadap gapjil turut didorong oleh rasa curiga mereka terhadap sistem kehakiman Korea Selatan. Bukan satu rahsia golongan elit yang didakwa di mahkamah terlepas atau mendapat hukuman ringan atas kesalahan mereka. Misalnya, pada 2007, pengerusi Hanwha Kim Seung-youn dipenjarakan untuk tempoh singkat walaupun didakwa memukul pekerja-pekerjanya.
Sementara Lee Kun-hee yang pernah menjadi pengerusi Samsung pernah mendapat pengampunan sebanyak dua kali pada 1997 dan 2009 walaupun didakwa atas kesalahan rasuah (1996) dan mengelak cukai (2008). Melihat trend sebegini, tidak hairanlah sesetengah individu yang tidak tahan dengan kerenah gapjil merekodkannya dengan alat perakam atau telefon pintar sebelum disebarkan kepada khalayak.
Antara yang terperangkap akibat pendedahan sebegini ialah bekas pengerusi Korea Future Technology, Yang Jin-ho. Rakaman video yang memaparkan chaebol itu menampar seorang pekerjanya pada 2018 tersebar luas pada ketika itu. Ketika ini, Jin-ho dipenjarakan selama tujuh tahun atas kesalahan mendatangkan kecederaan dan berlaku zalim kepada haiwan. Jin-ho kini berdepan risiko didakwa atas kesalahan menggelapkan wang. Watak chaebol ini menjadi asas kepada salah seorang antagonis drama bersiri Korea terbitan SBS, Taxi Driver.
Di sebalik kemajuan termasuk pergerakan anti-gapjil, Korea Selatan masih lagi di belakang dalam soal mewujudkan suasana kerja yang sihat. Dan ramai bimbang tanpa sebarang perubahan drastik, lebih ramai orang akan terus merana dengan perihal gapjil. Korea Selatan mungkin sebuah negara maju tetapi ia masih tercorot dari segi etika dan moral terhadap warganya sendiri.
RUJUKAN
Sang-hun, C. (2022, 26 Mei). South Korean Workers Turn the Tables on Their Bad Bosses. New York Times.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih