Kelmarin tadi, tertularnya sebuah kempen menyeru rakyat yang tersangat memerlukan bantuan agar mengibarkan bendera putih di halaman rumah supaya pihak yang mampu dapat menyalurkan pertolongan sebaik mungkin.
Sambil admin meneliti fenomena inisiatif ini, teringatkan pula kisah lagenda meriwayatkan asal-usul tanglung merah semasa Tahun Baru Cina.
Diceritakan, pada ambang kejatuhan Dinasti Ming, bangkitnya pemberontakan pimpinan ‘Raja Rempuh’ (闯王) yakni Li Zicheng 李自成. Demi merancang serangannya di samping memahami keadaan semasa bandar Kaifeng, beliau menyamar sebagai pedagang untuk masuk ke situ. Dalam tinjauannya, terdengar sembang pakcik² bawang bahawa kekejaman Raja Rempuh boleh mengalahkan setan, apatah lagi mukanya macam setan.
Sambil Li Zicheng menurunkan bakul berasnya, salah seorang pakcik bawang memanggilnya untuk bertanyakan sama ada ura-ura Raja Rempuh tersebut sahih atau tidak. Pada detik inilah, Li Zicheng merebut peluang ini untuk membetulkan salah tanggapan mereka, di samping menyuntik rancangan rahsia kepada mereka. Kata beliau:
“Aku juga terdengar kata, barang siapa yang menggantungkan tanglung merah di depan rumahnya, maka datanglah bantuan Raja Rempuh apabila berlaku bencana besar.” ujar Li Zicheng. Tambah beliau lagi, sebarkanlah khabar baik ini di kalangan marhaen sahaja.
Pada masa yang sama, kerajaan Dinasti Ming juga merancang dalam penghapusan pemberontakan ini. Oleh sebab bandar Kaifeng terletak berdekatan tebing Sungai Kuning (黄河), maka gabenor Kaifeng dengan sengajanya memerintahkan agar pintu empangan sungai tersebut dibuka demi melemaskan tentera Li Zicheng. Namun siapa sangka, air deras ini turut membanjiri bandar Kaifeng juga!
Air banjir terus naik sehinggakan penduduk Kaifeng terpaksa naik ke bumbung demi menyelamatkan diri. Golongan kayangan juga tidak terkecuali. Melihat para fakir menjerit meminta tolong sambil memegang tanglung merah, si kayangan mentertawakan ‘kebodohan’ mereka menggunakan tanglung di siang hari.
Pasukan tentera Li Zicheng pula berjaya meluncur masuk ke dalam bandar Kaifeng dengan sampan dan rakit. Dek menakluki Kaifeng, mereka cuba menyelamatkan marhaen seramai boleh. Berpandukan arahan Li Zicheng, mereka hanya menyelamatkan sesiapa yang mempunyai tanglung merah. Melihat bantuan tersebut dari jauh, si kayangan terkejut dan kesal kerana mentertawakan para fakir sebelum ini.
Maka, demikianlah riwayat ini. Agar dikenang jasanya, tanglung merah akan menghiasi kediaman mereka setiap Tahun Baru Cina.
Kendatipun kisah ini tidak lain hanyalah mitos, namun ia sebenarnya disulami daripada kisah benar. Sejarah menyaksikan bahawa pada tahun ke-15 Congzhen 崇祯 (1642), bandar Kaifeng pernah ditengelami banjir besar angkara kesilapan kerajaan Dinasti Ming dalam usaha menamatkan pengepungan Li Zicheng. Seramai 300,000 daripada sejumlah 378,000 penduduk telah terkorban dalam bencana ini. Bahkan, Kaifeng menjadi kota mati sehingga tahun 1662.
Dinasti Ming digulingkan pada tahun 1644 setelah Li Zicheng berjaya menakluki Beijing. Istana Kota Larangan yang dibina atas impian Maharaja Yongle, pencetus kembara pelayaran Laksamana Zheng He, dibakar habis-habisan. Lebih menyedihkan, Maharaja Congzhen men.cabu.t nyawanya dengan mengg.antu.ng diri pada sebuah pohon seberang Kota Larangan yang musnah di depan matanya.
Berbekalkan kemenangan ini, Li Zicheng mengisytiharkan bahawa Mandat Syurga telah berpindah kepadanya dan seterusnya menubuhkan Dinasti Shun(大顺). Namun mandat ini tidak bertahan lama dalam tangannya. Pasukan tentera Manchu pimpinan Putera Dorgon dan Panglima Wu Sangui berjaya menumpaskan kerajaan Shun dalam Pertempuran Gerbang Shanhai (山海关) dan Aisin Gioro Fulin mengisytiharkan dirinya sebagai Maharaja Shunzi Dinasti Qing.
Sebenarnya, tanglung berwarna telahpun wujud lebih awal lagi, sepertimana tercatat dalam Nan Shi 南史, zaman Dinasti Tang.
Dewasa ini, tanglung merah menjadi lambang ceria yang mewarnai suasana Tahun Baru Cina sebagai perhiasan bertuah. Malah, ia menjadi salah sebuah lambang kebudayaan tradisional Cina. Walau bagaimanapun, kisah mitosnya sebagai alat seruan S.O.S. saranan Li Zicheng semakin dilupakan.
N/T: Tidak kira apa cara sekalipun, marilah kita bersama-sama membantu jiran-jiran kita yang memerlukan dengan sebaik boleh, kerana kita adalah umat rahmat, kerana Nabi kita Rasulullāh ﷺ diutuskan sebagai rahmat sekalian alam; apatah lagi kembara Laksamana Zheng He mengeratkan lagi silaturahim sesama negara.
RUJUKAN:
1) Kempen Bendera Putih
• ‘Kibar bendera putih supaya kami tahu’, Harian Metro, 29 Jun 2021
• 网民发起互助运动 缺粮缺必需品请“挂白旗”求助,东方日报,2021年6月29日
2) Lagenda tanglung merah
• Goh Pei Ki, Fu Chunjiang, Koh Kok Kiang; Origins of Chinese Festivals, Singapore: Asiapac, 2000: p.34-41
• “In southwest Henan the ‘Red Lantern Dance’ was first performed to celebrate the triumphs of Li Zicheng and Zhang Xianzhong” Lihat Anne Elizabeth McLaren, Chinese Popular Culture and Ming Chantefables, Brill, 1998: p.93
3) Sumber² Dinasti Ming:
• Ming Shilu, bab 12《明崇祯实录,卷之十二 怀宗端皇帝十二》:「臣等守甚力,贼愤城不下,凿渠决河,以致不守
• Ming Shi, bab Rekod Maharaja Zhuanglie《明史,庄烈帝本纪》:「九月,贼决河灌开封」
• Ming Shi, bab Biografi Yang Wenyue 《明史,杨文岳传》:「贼既灌开封」
4) Nan Shi, bab 1《南史,卷一:宋本纪上第一》「壁上挂葛灯笼」
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih