Tidak mungkin percaturan politik boleh menempuhi kesudahan. Selagi mana seseorang ini berpengaruh, rakyat semestinya mengikutinya. Dan punca ikutan itu ialah tarikan kuasa baginya.
Tetapi ada juga situasi yang mana ikutan sedemikian tidak dilihat, sebaliknya hanya wujud dalam bentuk perlembagaan sahaja. Disebabkan itulah permainan politik terlalu banyak pintasan dan pusingan. Ahli keluarga dan sahabat andai ibaratkan tiada nilai – sekelip mata bertukar musuh, seperti Abu Lahab misalnya.
Sifat persengketaan keluarga masih wujud dalam kalangan Arab pada hari ini. Pucuk kepimpinan diraja Saudi wajar dibuat contoh bahawa kemutlakan sebarang kuasa – monarki atau republik – memang akan mendatangkan musibah.
Pada 7 Mac 2020, pihak berkuasa Saudi dilaporkan telah memberkas tiga ahli keluarga diraja atas tuduhan pembelotan (Said, et al, 2020):
Putera Ahmad bin Abdulaziz dan anak saudaranya Muhammad bin Nayef terutamanya didakwa cuba menggulingkan Raja Salman (France-Presse, 2020).
Untuk menangkis percubaan tersebut, Putera Mahkota Muhammad bin Salman menggunakan kuasanya terhadap mereka sepertimana pernah dibuat terhadap alim ulama dan aktivis.
Pergolakan kuasa dalam Keluarga Diraja Saudi nampaknya berterusan sejak kemangkatan Raja Abdullah. Sejak tahun 2017 lagi, seorang demi seorang menghadapi tindakan undang-undang.
Malah ada yang meninggal dunia semasa dalam tahanan pun, seperti Ahmed al-Amari iaitu Dekan Kolej Qur’an di Universiti Islam Madinah (Al Jazeera, 2019).
Sistem Warisan Saudi
Sebuah monarki biasanya diwarisi golongan anakanda selepas kemangkatan seorang raja (atau ratu). Dunia Islam pula selalu mewariskan takhta kepada putera sahaja, berbeza dengan British dan Denmark.
Tetapi Saudi pula sangat berlainan kerana Saud bin Abdulaziz tidak diwarisi putera sulungnya iaitu Fahad yang hanya mengetuai Kementerian Pertahanan (1957-1960) sahaja.
Untuk memudahkan cerita, Arab Saudi merupakan sebuah negara diasaskan seorang penguasa berketurunan Emiriyah Nejad. Abdulaziz al-Saud atau Ibnu Saud dilahirkan pada 1875 telah menguasai wilayah Arab Saudi hari ini pada 23 September 1932.
Baginda telah mewujudkan dinasti yang sangat besar melalui sekurang-kurangnya 20 orang isteri. Takhtanya diwarisi anakanda iaitu Saud bin Abdulaziz yang berkuasa antara 1953 hingga 1964.
Kemangkatan raja ini pula menyaksikan pertabalan Faisal bin Abdulaziz. Dan kitaran sebegini diteruskan sehingga Raja Salman hari ini. Senang kata, semua Raja Saudi ialah anak Ibnu Saud.
Tetapi roda warisan ini mungkin bakal dipecahkan kerana Putera Mahkota sekarang ialah Muhammad bin Salman (cucu Ibnu Saud). Pembasmian sekarang bagaikan mengetepikan kelompok keluarga Raja Abdullah –
dan Muhammad dilihat telah menguasai cabang-cabang keselamatan, sekaligus membuatkan dirinya pemimpin paling berkuasa dalam Arab Saudi sejak Ibnu Saud sendiri (The Economist, 2017).
Pengukuhan Salmanisme Dalam Hierarki Saudi
Hubungan antara Salman dan anaknya Muhammad tidak langsung menunjukkan sebarang isyarat pertembungan. Sama ada kegiatan pembasmian semasa tidak diketahui ayahadanya pun sukar juga – kerana Raja Saudi berkuasa secara mutlak.
Salman selepas pertabalan menerima Muqrin bin Abdulaziz sebagai Putera Mahkota. Tiga bulan kemudian Muqrin digantikan Muhammad bin Nayef, yang merupakan anak saudara Salman.
Baginda pada tahun 2017 dikhabarkan terpaksa melepaskan sebarang tuntutan ke atas takhta Saudi (Hubbard, et al., 2017).
Secara asasnya, Muhammad bin Nayef ialah bapa saudara kepada Muhammad bin Salman. Hubungan kekeluargaan ini tidak menjadi penghalang dalam tuduhan pembelotan pada 6 Mac 2020.
Pertembungan dua Muhammad ini sangatlah unik. Kerana tangan Bin Nayef pernah dicium semasa penabalan Bin Salman sebagai Putera Mahkota (Bloomberg, 2020).
Realiti hari ini pula terlalu jauh berbeza. Bin Salman telah bertindak dengan pantas. Nasib Bin Nayef hanya boleh dirungkaikan dengan masa sahaja.
RUJUKAN:
Al Jazeera. (2019, January 22). Prominent Saudi scholar Ahmed al-Amari dies in prison: Activists. Retrieved from https://www.aljazeera.com/news/2019/01/prominent-saudi-scholar-ahmed-al-amari-dies-prison-activists-190121180756186.html
Bloomberg. (2020, March 9). Saudi crown prince once kissed hand of royal relative who could face death. South China Morning Post. Retrieved from https://www.scmp.com/news/world/middle-east/article/3074199/saudi-crown-prince-once-kissed-hand-royal-relative-coup
The Economist. (2017, November 9). The world should push the crown prince to reform Saudi Arabia, not wreck it. Retrieved from https://www.economist.com/leaders/2017/11/09/the-world-should-push-the-crown-prince-to-reform-saudi-arabia-not-wreck-it
France-Presse, A. (2020, March 7). Saudi Arabia detains three royal family members in latest crackdown. The Guardian. Retrieved from https://www.theguardian.com/world/2020/mar/07/saudi-arabia-detains-three-royal-family-members-in-latest-crackdown
Hubbard, B., et al. (2017, July 18). Saudi King’s son plotted effort to oust his rival. New York Times. Retrieved from https://www.nytimes.com/2017/07/18/world/middleeast/saudi-arabia-mohammed-bin-nayef-mohammed-bin-salman.html?rref=collection%2Fsectioncollection%2Fworld&action=click&contentCollection=world®ion=rank&module=package&version=highlights&contentPlacement=1&pgtype=sectionfront
Said, S., et al. (2020, March 6). Top Saudi Royal Family Members Detained. The Wall Street Journal. Retrieved from https://www.wsj.com/articles/top-saudi-royal-family-members-detained-11583531033
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih