Berapa ramai umat Islam terutamanya di Amerika Syarikat mengetahui perkara ini? Jika ada yang pernah mengunjungi Supreme Court of United States, atau pernah mengikuti perkembangan isu tuntutan petisyen oleh Majlis Perhubungan Amerika-Islam pada tahun 1997, mungkin ada yang tahu.

Petisyen tersebut adalah desakan oleh pemimpin Islam untuk memadamkan ukiran dinding marmar di dalam bangunan pengadilan tersebut yang menggambarkan imej Nabi Muhammad S.A.W.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Ya, Utusan Allah digambarkan dalam bentuk ukiran bersama-sama lapan belas lagi tokoh bersejarah yang lain sebagai pendiri undang-undang yang paling hebat dalam sejarah. Ini satu pengiktirafan yang baik kan? Ramai yang setuju tetapi ia menimbulkan masalah kerana wajah baginda digambarkan tanpa ditutup atau ditapis seperti kebanyakan gambaran yang muncul selepas kebangkitan Islam dahulu.

Ia berada pada dinding yang berada di atas ruang tempat duduk wartawan di dalam bangunan SCOTUS (Supreme Court of United States) terdapat ukiran marmar berbentuk imej yang menggambarkan Nabi Muhammad S.A.W. Diukir dalam bentuk dekorasi dinding, imej itu menunjukkan baginda memegang sebilah peda.ng dan senaskah kitab suci Al-Quran, dan Rasulullah digambarkan berdiri di samping lapan belas tokoh “para pendiri hukum yang teragung dalam sejarah”.

Bermula dari Moses (Nabi Musa a.s.), Konfusius, Napoleon hingga lah John Marshall, beberapa di antara tokoh-tokoh bersejarah ini dipaparkan pada dekorasi dinding di sepanjang bahagian koridor selatan ruangan dalaman SCOTUS tersebut. Dikatakan, baginda digambarkan mewakili ‘ketegasan’ dan ‘keadilan’.

Gambaran Nabi Muhammad S.A.W. (yang dikaburkan)

Gambaran imej Nabi Muhammad S.A.W. itu jarang menjadi perhatian. Kecuali pada tahun 1990-an di mana kontroversi pernah tercetus yang memuncak dengan seruan oleh beberapa pemimpin Islam untuk memadamkan ukiran di dinding itu kerana Islam melarang Nabi Muhammad S.A.W. digambarkan sama ada dalam bentuk lukisan potret mahu pun ukiran dan patung.

Pada tahun 1997, beberapa pemimpin Muslim meminta pentadbiran SCOTUS untuk menghapuskan ukiran tersebut. Majlis Perhubungan Amerika-Islam dan kumpulan Muslim yang lain menulis surat dan membuka petisyen kepada pihak pentadbiran SCOTUS yang mendesak agar sekurang-kurangnya wajah pada ukiran itu dibuang atau dilapisi dengan cara ledakan pasir.

Ketua Hakim Negara ketika itu, William Rehnquist walau bagaimanapun menolak petisyen itu sebelum kontroversi tersebut diselesaikan melalui fatwa yang dikarang oleh Sheikh Taha Jaber al-Alwani, seorang ilmuwan Islam yang berpengaruh, menurut sebuah artikel tahun 2009 dalam Jurnal Hukum dan Keagamaan dari Universiti Hamline.

Pandangan dari segi hukum Islam yang ditulis oleh Sheikh Taha Jaber al-Alwani menyimpulkan:

“Apa yang saya lihat di SCOTUS selayaknya diberi penghargaan dan ucapan terima kasih dari orang-orang Muslim Amerika. Ini adalah sikap positif terhadap Islam yang dicipta oleh arkitek dan lain-lain pembuat keputusan seni bina Mahkamah Agung di Amerika. 

Insya Allah, ia akan membantu memperbetulkan kebanyakan kesalahan maklumat yang tidak bermanfaat yang menyelubungi Islam dan umat Islam di negara ini.

Dalam budaya yang warisan sasteranya dipenuhi dengan gambaran-gambaran penghinaan terhadap Nabi Muhammad S.A.W., ada sedikit kelegaan apabila kita mendapati mereka yang berada di Mahkamah Agung Amerika Syarikat dapat mengatasi prasangka buruk ini, dan menggambarkan baginda sebagai sebahagian daripada insan-insan yang paling hebat dalam sejarah manusia. 

Bukankah usaha itu merupakan satu isyarat mulia yang seharusnya diperoleh dari kita yang percaya bahawa baginda adalah Nabi dan Rasul, setiap dorongan, penghargaan, dan rasa syukur, bukannya penentangan, kecaman, dan kemarahan?”

Sheikh Taha yang pada waktu itu bertugas sebagai profesor fekah di Arab Saudi dan sebagai ketua Majlis Perundangan Islam (Fiqh) Amerika Utara, mengeluarkan fatwa tersebut atas untuk menyokong ukiran itu dikekalkan atas dasar maslahan umum, umat Islam selaku kaum minoriti di Amerika Syarikat bukan dalam posisi untuk menuntut sesuatu, lebih-lebih lagi jika ia bukan melibatkan sera.n.gan atau penghin.aan yang ketara terhadap Islam.

Dia menyatakan bahawa bentuk hujah undang-undang Islam tradisional juga tidak melarang keseluruhan gambaran dan beliau menyeru umat Islam agar lebih menghargai sikap positif yang dilakukan pemerintah bukan Islam terhadap Islam.

Lembaran maklumat yang diterbitkan oleh pejabat kurator Supreme Court of U.S  mengatakan ukiran yang berusia 80 tahun itu adalah “usaha yang disengajakan oleh pengukirnya, Adolph Weinman, hanya untuk menghormati Muhammad dan ia tidak mewakili gambaran rupa Muhammad.” Justeru, Majlis Perhubungan Amerika-Islam telah menganggap isu itu telah ditutup. 

Islam amat menitikberatkan larangan menggambarkan imej Nabi Muhammad S.A.W. kerana kebimbangan akan berlaku perkara-perkara yang khurafat mengaitkan gambaran baginda, namun karya dalam bentuk lukisan yang menggambarkan baginda boleh ditemui sejauh hingga ke era Kekhalifahan Abbasiyah, yang kebiasaannya diamalkan di kalangan orang-orang Syiah.

Al-Quran tidaklah secara jelas atau secara tersirat menyatakan larangan terhadap gambaran rupa fizikal Nabi Muhammad S.A.W., tetapi terdapat beberapa hadis yang jelas melarang umat Islam daripada membuat gambaran secara visual seperti melalui lukisan.

Hilya karya Hafiz Osman pada abad ke-17

Namun, di pertengahan zaman pemerintahan Empayar Uthmaniyah sebagai khalifah, hinggalah hari ini, larangan menggambarkan imej baginda mula dikuatkuasakan secara serius dan efektif. Di Empayar Uthmaniyah, para seniman menggantikan imej potret yang menggambarkan rupa paras baginda dengan seni kaligrafi yang mengandungi teks-teks yang memuji atau menggambarkan keindahan paras rupa baginda.

Teks-teks tersebut menghiasi panel seni kaligrafi yang dikenali sebagai seni Hilya Turki, ia biasanya dikelilingi oleh bingkai yang lutsinar dan akan dimasukkan ke dalam buku atau kitab muraqqa, atau diletakkan dalam bingkai kayu untuk digantung di dinding.

Struktur tradisi kaligrafi yang lebih terperinci dimulakan pada abad ke-17 oleh ahli kaligrafi Uthmaniyah bernama Hâfiz Osman. Walaupun karyanya berisi gambaran kukuh dengan penerangan yang menarik tentang penampilan Nabi Muhammad S.A.W., mereka tetap mematuhi batas dan larangan tegas pemerintah Uthmaniyah dalam had menggambarkan rupa baginda.

Hilya karya Mehmed Tahir Efendi

Justeru, mereka hanya dibenarkan menggambarkan penampilannya dalam bentuk teks kaligrafi dan membiarkan para pencinta kekasih Allah pada waktu itu menggambarkan rupa Rasulullah S.A.W. mengikut imaginasi sendiri berdasarkan gambaran dari teks kaligrafi.

Format seni Hilya Uthmaniyah biasanya dimulakan dengan “Bismillah” yang dipaparkan di bahagian atas, dan di tengahnya terdapat petikan dari surah Al-Anbiyaa’ ayat ke 107: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”. 


Hilya abad ke-18 ditulis pada kelopak bunga mawar merah jambu yang melambangkan Nabi Muhammad S.A.W.

Manakala, lazimnya di dalam Hilya terdapat empat petak berasingan yang biasanya berada di sekeliling bahagian tengah, ia sering diisikan dengan nama-nama para khalifah Rashidun, iaitu Abu Bakar, Umar, Uthman, dan Ali, masing-masing diakhiri dengan “radhi Allahuanhu”.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Berikut adalah apa yang ditulis di dalam laman web Supreme Court of US mengenai ukiran tersebut:

“Muhammad (c. 570 – 632) The Prophet of Islam. He is depicted holding the Qur’an. The Qur’an provides the primary source of Islamic Law. Prophet Muhammad’s teachings explain and implement Qur’anic principles. The figure above is a well-intentioned attempt by the sculptor, Adolph Weinman, to honor Muhammad, and it bears no resemblance to Muhammad. Muslims generally have a strong aversion to sculptured or pictured representations of their Prophet.”

RUJUKAN:

Office of the Curator (2003-05-08). “Courtroom Friezes: North and South Walls” (PDF). Information Sheet, Supreme Court of the United States.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

•MALAY• •MUSLIM• •TERENGGANU• •NATIONALIST• •CONSERVATIVE•

Comments are closed.