14 Januari 1964, boleh dibayangkan, reaksi sebilangan rakyat Amerika apabila saja mereka membuka lembaran tengah majalah Look, terpapar pada dua muka surat penuh, satu ilustrasi yang secara literalnya, itulah dia. Sangat mengganggu emosi dikala mereka sedang menikmati waktu santai yang penuh damai.
Ilustrasi yang dimaksudkan ialah, ‘The Problem We All Live With’, sebuah lukisan yang dihasilkan pada 1964 oleh Norman Rockwell, seorang ilustrator berkulit putih Amerika. Lukisan ini dihasilkan sebagai ilustrasi untuk majalah Look. Apa yang dapat kita lihat didalam lukisan ini ialah seorang kanak-kanak perempuan Afrika-Amerika yang berpakaian serba putih, daripada kasutnya sehinggalah reben rambut, berjalan tanpa sedikitpun menoleh.
Dia diiringi oleh empat orang marsyal, masing-masing berseragam penuh tanpa digambarkan bahagian muka. Di bahagian dinding duka itu, satu percikan penuh agresif kesan balingan sebiji tomato. Tertera juga satu contengan besar yang tertulis istilah kesat “NIGGER”, dan, jika anda dapat perhatikan pada bahagian atas sebelah kiri kanvas, secara kabur tertulis singkatan “KKK”. Dengan gambaran seperti ini, pastinya membuatkan ramai orang tertanya-tanya apakah motifnya?
Lebih-lebih lagi ilustrasi itu dihasilkan oleh Norman Rockwell, seorang ilustrator yang cukup terkenal dengan ilustrasi sebelumnya yang menggambarkan kehidupan rakyat Amerika yang indah dan sempurna, seolah-olah inilah dia apa yang disebut sebagai ‘American Dream’! Tetapi kali ini dia melakukan sesuatu yang bertentangan daripada kebiasaannya.
‘The Problem We All Live With’ merupakan lukisan sejarah, berdasarkan peristiwa sebenar yang berlaku ketika itu. Untuk mengetahui kisah disebalik lukisan ini, maka kita perlu berbalik kepada sejarah politik Amerika Syarikat. Fokusnya ialah pada gerakan hak-hak sivil, atau dikenali sebagai Black Movement.
Secara ringkas, Ia telah bermula pada pertengahan 1950an. Sebelum itu Amerika telah mengamalkan satu dasar pengasingan kaum (Racial Segregation) dengan satu doktrin yang disebut sebagai ‘separate but equal’ yang diguna pakai secara sah sejak 1897. Dasar ini telah memisahkan golongan Afrika-Amerika dengan golongan kulit putih dalam setiap perkara termasuklah perkhidmatan, kemudahan awam, dan peluang-peluang yang ada.
Dasar itu kemudiannya telah ditarik balik dalam kes Oliver Brown menentang the Board of Education of Topeka pada 1951. Dalam kes itu Brown mendakwa anaknya dinafikan untuk memasuki sebuah sekolah rendah di Topika, Kansas (yang semestinya didominasi oleh orang kulit putih). Sehinggalah pada 17 Mei 1954 dimana mahkamah agung telah memutuskan bahawa pengasingan kaum di sekolah awam adalah tidak berperlembagaan.
Ini secara langsung telah membuka satu jalan ke arah integrasi kaum di dalam sistem pendidikan. Semestinya keputusan ini telah mendatangkan pelbagai reaksi terutamanya oleh golongan kulit putih yang tidak berpuas hati dengan keputusan ini. Walau bagaimanapun, perkembangan kearah integrasi itu berjalan secara perlahan. Di New Orleans, sekolah integrasi dimulakan pada 1964, 6 tahun selepas keputusan mahkamah itu. Di sinilah terjadinya peristiwa yang digambarkan di dalam lukisan ini.
Watak protagonis didalam lukisan ini ialah Ruby Bridges, seorang kanak-kanak kulit hitam yang telah menggemparkan seluruh penduduk New Orleans. Lukisan ini ialah gambaran situasi dimana Ruby yang dikawal oleh empat orang marsyal sedang menuju ke sekolah rendah William Frantz yang terletak 5 blok daripada rumah Ruby, lebih dekat daripada sekolah sebelumnya.
Dia merupakan antara empat orang kanak-kanak kulit hitam pertama yang berjaya memasuki sekolah ‘orang putih’ setelah dia melepasi ujian saringan. Pun begitu, hanya dia seorang yang memasuki sekolah William Fantz. 14 November 1960 merupakan hari pertama Ruby pergi ke sekolah tersebut. Dia telah dijemput oleh empat orang marsyal di rumahnya.
Ditemani oleh ibunya, mereka dibawa menaiki kereta menuju ke ‘medan pertempuran emosi’. Diluar perkarangan sekolah, penunjuk perasaan telah menanti lebih awal sebelum ketibaan Ruby. Mereka membawa sepanduk dan kain rentang yang tertulis ayat-ayat rasis. “We want to keep our school white”, “We won’t go to school with negroes”, sehinggalah dalam satu kes, seorang wanita datang ke sekolah dengan membawa anak patung hitam di dalam sebuah keranda kayu.
Ruby melihat semua itu, ia sangat menakutkan. Ibu bapa, masing-masing telah membawa keluar anak-anak mereka daripada sekolah tersebut. Sehinggalah Ruby seorang sahaja yang ada di dalam kelas. Mujur ada seorang cikgu yang sudi mengajar dia. Tunjuk perasaan terus berlarutan. Sehari menjadi seminggu, seminggu menjadi sebulan, dan sebulan menjadi setahun, sehinggalah keadaan menjadi semakin reda.
Norman Rockwell, menghasilkan lukisan ini 3 tahun selepas kejadian berlaku iaitu pada tahun 1964. Sebelum itu, selepas kejadian Ruby berlaku, beberapa peristiwa yang lain telah menyusul. Antaranya, pada tahun 1961, sekumpulan perarakan keamanan telah diserang di Alabama ketika mencabar undang-undang pengasingan pengangkutan bas.
Kemudian pada tahun 1962, James Meredith, telah berjaya menjadi pelajar Afrika-Amerika pertama yang memasuki Universiti Mississippi. Diikuti pada tahun 1963, terjadi peristiwa dimana Medgar Evers, seorang ketua hak-hak sivil telah dibunuh. Tahun itu juga Rakyat Amerika mengikuti perarakan hak-hak sivil di Washington. Dan pada tahun 1964, Seluruh Amerika menyaksikan Presiden Johnson menandatangani Akta Hak-Hak Sivil. Gerakan ini diakhiri pada tahun 1968 dengan penuh duka dimana Martin Luther King Jr telah dibunuh.
Lukisan ini menggamarkan Ruby sebagai simbol keberanian orang kulit hitam menuntut hak-hak sivil. Pelukis sengaja tidak memaparkan wajah empat orang marsyal untuk memberikan tumpuan kepada Ruby sebagai fokus utama dalam karya. Walaupun lukisan ini bersandarkan kepada peristiwa nyata, tetapi lukisan ini bukanlah sepenuhnya menggambarkan keadaan ketika itu.
Dalam erti kata lain, lukisan ini telah diolah untuk membentuk satu komposisi yang menarik. Ini termasuklah balingan tomato pada bahagian dinding yang hanyalah satu penambahan subjek oleh pelukis, Balingan tomato sebagai satu perlambangan penindasan terhadap Ruby – sebagai mewakili orang kulit hitam. Pemakaian warna putih yang bertentangan dengan warna kulit Ruby menggambarkan bagaimana orang kulit hitam cuba berintegrasi dengan orang kulit putih.
Norman Rockwell, walaupun seorang berbangsa kulit putih, tetapi dia tidaklah menyokong apa yang dilakukan oleh orang putih terhadap Ruby. Dia seorang penyokong hak-hak sivil. Pernah diceritakan, ketika dia bekerja di The Saturday Evening Post, sebuah syarikat penerbitan sebelum dia berpindah kepada Look, dia telah disuruh oleh syarikat untuk membuang gambar seorang kulit hitam yang berada dalam sebuah kumpulan didalam sebuah lukisan yang sedang dihasilkan.
Katanya, polisi syarikat tidak membenarkan memaparkan orang kulit hitam melainkan untuk tujuan pengiklanan kerja industri-perkhidmatan. Polisi syarikat itu telah menjadi punca kepada dia meninggalkan syarikat penerbitan itu walaupun sudah lama bekerja dengannya.
‘The Problem We All Live With’ telah diangkat sebagai satu menifestasi hak-hak sivil. Gambaran peristiwa yang diceritakan mejadi satu rujukan dan penilaian kepada generasi mendatang bahawa integrasi dan kesamarataan yang dikecapi oleh rakyat Amerika ini dibina atas derita dan semangat perjuangan yang berliku oleh bangsa kulit hitam.
Jika tidak kerana perjuangan hak-hak sivil, tidaklah mungkin Obama menjadi Presiden. Atas penghargaan itu, Obama ketika beliau menjadi presiden telah ‘meminjam’ lukisan ini daripada Museum Norman Rockwell untuk dipamerkan di White House.
*Di Malaysia ada pula puak yang bermatian mempertahankan sekolah vernakular. Sangat menyedihkan.
RUJUKAN:
Bridges, Ruby, and Margo Lundell. Through My Eyes: New York: Scholastic Press, 2009.
Solomon, Deborah. American Mirror: the Life and Art of Norman Rockwell. New York, NY: Picador/Farrar, Straus and Giroux, 2014
Separate but Equal – Separate Is Not Equal. Accessed November 14, 2019. https://americanhistory.si.edu/brown/history/1-segregated/separate-but-equal.html.
History.com Editors. “Brown v. Board of Education.” History.com. A&E Television Networks, October 27, 2009. https://www.history.com/topics/black-history/brown-v-board-of-education-of-topeka.
Highlinemiddle. “How Ruby Bridges Impacted Society?” Social Change Blog, February 10, 2017. https://ganzgrade7.wordpress.com/2017/02/10/how-ruby-bridges-impacted-society/.
“President Obama Meets Civil Rights Icon Ruby Bridges.” National Archives and Records Administration. National Archives and Records Administration. Accessed November 14, 2019. https://obamawhitehouse.archives.gov/blog/2011/07/15/president-obama-meets-civil-rights-icon-ruby-bridges.
Artikel dikirimkan oleh Khaliq Az-Zahi untuk The Patriots.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih