Alam ciptaan Ilahi sentiasa mencetuskan pelbagai misteri yang membuatkan manusia tertanya-tanya. Contoh paling mudah, insiden serangan gajah di India. Dah naik minyak dan bunuh orang, ingat cerita ini sudah berakhir. Siapa sangka, gajah yang sama bikin onar di majlis pengebumian mangsanya dan memijak mayat si mati!

Ia sememangnya pelik bin ajaib. Tetapi itulah yang berlaku kepada Maya Murmu, seorang nenek berusia 70 tahun dari perkampungan Raipal, Mayurbhanj, Odisha. Semasa kejadian yang meragut nyawanya itu, wanita ini sedang sibuk mengambil air dari sebuah perigi.

Tiba-tiba, seekor gajah muncul dari arah yang tidak diketahui dan memijak mangsa tanpa sebarang provokasi. Murmu segera dibawa ke hospital selepas insiden itu dilihat oleh penduduk kampung tetapi diisytiharkan mati akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Selepas menyelesaikan semua urusan kematian dengan pihak berkuasa, sudah tiba masanya untuk menguruskan upacara pembakaran mayat wanita malang itu. Tetapi orang kampung dan waris keluarga mangsa terkejut beruk kerana semasa upacara berjalan, gajah yang sama kembali bikin onar!

Ini mengakibatkan semua orang yang menghadiri upacara tersebut terpaksa lari menyelamatkan diri. Sebaik menghampiri mayat mangsa, si gajah sekali lagi memijak mayat Murmu sambil disaksikan oleh orang ramai yang masih terkejut dengan apa yang berlaku. Hanya selepas haiwan tersebut telah berlalu pergi, barulah upacara pembakaran mayat dapat diteruskan tanpa sebarang insiden. Bagaimanapun, tidak diketahui sama ada wujud insiden lain membabitkan gajah sama dilaporkan.

Kawasan Perlindungan Semulajadi Dalma, tempat asal gajah yang mengamuk itu. Sumber: Joydeep 87/CC BY SA-4.0

Satu perkara yang membuatkan pihak berkuasa menggaru kepala ialah bagaimana gajah tersebut tersesat jauh dari habitat asalnya di kawasan perlindungan semulajadi Dalma. Ini kerana kawasan perlindungan tersebut terletak kira-kira 200 km dari Mayurbhanj. Tetapi satu perkara yang terus menghantui mereka ialah mengapa gajah tersebut menyerang Murmu habis-habisan?

Bagi ramai pakar gajah, serangan sebegini hanya akan berlaku sekiranya berlaku provokasi terhadap haiwan berkenaan. Ini disebabkan perilakunya yang baik dan lembut selagi mana tiada apa yang mengancam keselamatan dirinya, anak gajah atau kedua-duanya. Tetapi jika senario yang dinyatakan berlaku, ia memang akan naik minyak dan menyerang orang yang dianggap sebagai ancaman.

Gajah hanya akan mengamuk jika merasakan dirinya atau anak gajah terancam. Sumber: William Warby/CC BY SA-2.0

Namun begitu, dalam kes Murmu, tiada laporan yang menunjukkan wanita tersebut melakukan provokasi terhadap haiwan berkenaan. Begitu juga dengan serangan semasa upacara pembakaran mayatnya sedang dijalankan. Pakar-pakar hanya mampu berspekulasi amukan gajah tersebut berkemungkinan dicetuskan oleh bau pada badan mangsa atau melihat imej mangsa.

Spekulasi ini sebenarnya boleh dikaitkan dengan apa yang berlaku di Odisha ketika ini. Negeri India berkenaan kaya dengan pelbagai jenis mineral berharga seperti emas, nikel dan plumbum. Tetapi kebanyakan mineral ini wujud di kawasan hutan belantara sekaligus mengakibatkan habitat haiwan liar terjejas akibat aktiviti manusia.

Aktiviti perlombongan yang rancak dijalankan sekitar Odisha mengakibatkan pencerobohan habitat haiwan liar oleh aktiviti manusia. Sumber: Bikashkumargiri1997/CC BY SA-4.0

Pencerobohan habitat oleh manusia mengakibatkan konflik antara kedua-duanya tidak dapat dielakkan dan adakalanya membawa kepada kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda. Selain itu, perubahan iklim turut mengakibatkan peningkatan suhu dan kekurangan sumber air di habitat asalnya. Tidak mustahil gabungan dua faktor ini mendorong gajah itu keluar dari habitatnya di Dalma dan menuju ke Mayurbhanj.

Di Odisha sahaja, 42 ekor gajah dilaporkan mati dalam tempoh tujuh bulan dari April hingga Oktober tahun lepas. Dan dalam tempoh 20 tahun, 1,356 kematian gajah dilaporkan di negeri sama. Trend ini menunjukkan konflik gajah-manusia bakal menjadi lebih buruk lebih-lebih lagi dengan krisis perubahan iklim yang melanda dunia hari ini.

Suka atau tidak, manusia perlu berdamai dengan alam bagi menjamin kehidupan generasi seterusnya. Tetapi jika itu gagal dilakukan, makanya kita tidak secara langsung membunuh potensi dan keupayaan mereka.

Nota kaki

Onar – seerti dengan huru-hara, gempar dan kekacauan.

Naik minyak – naik marah sebelum mengganas.

RUJUKAN

Muzaffar, M. (2022, 14 Jun). Elephant kills 70-year-old woman and then returns to trample her corpse at funeral in India.

Fraga, K. (2022, 13 Jun). Wild Elephant Tramples Woman To Death In India — Then Returns To Her Funeral To Attack Her Corpse. AllThatsInteresting.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply