Seorang sahabat mencadangkan kepada saya sebuah artikel untuk saya ringkaskan apakah formula-formula yang menjadikan tamadun Melayu kita sebuah tamadun yang sangat gemilang pada zaman silam? Merasakan bahawa cadangan beliau itu sangatlah bagus, maka saya mengambil inisiatif menulis artikel ini. Semoga artikel ini mampu membuka mata kita tentang kegemilangan tamadun Melayu itu sendiri.
- Orang Melayu Bangsa Yang Sangat Bertoleransi
Saya berani katakan bahawa kalau dicari bangsa yang tidak perkauman di dunia, saya boleh tunjukkan orang Melayu. Abaikan komen-komen marah netizen yang tidak puas hati apabila agama dan bangsa mereka dipertikaikan kerana realiti tidaklah sedemikian.
Bukti toleransinya orang Melayu ialah apabila dapat dilihat pada dalam organisasi pentadbiran di Melaka sendiri. Pada zaman lewat Melaka, dapat dilihat golongan Tamil Muslim dan mamak turut menguasai dan menjadi pembesar bersama dengan orang Melayu.
Bahkan, atas dasar keterbukaan orang Melayulah ini kita dapat melihat bagaimana pelabuhan Melaka menjadi tumpuan pedagang seluruh dunia dan mereka selesa berdagang dengan orang Melayu. Kalau tidak, tak akanlah sampai 84 buah bahasa yang dipertuturkan di Melaka, dari segala bangsa seperti Gujerat, Benggali, Tamil, Cina, Arab, Jepun, Korea dan banyak lagi.
2. Orang Melayu Bangsa Yang Pandai Berniaga
Masakan tidak, kekuatan ketamadunan Melayu adalah berasaskan amalan perdagangan. Mereka suka membuka pelabuhan untuk dikunjungi oleh pelbagai bangsa di dunia, berdagang dengan mereka disamping mereka sendiri menjadi pelaut yang handal berdagang segingga ke Yaman dan China untuk menjual dan membeli barang-barang keperluan yang ada dengan mereka.
Sebab itu apabila membicarakan tentang tamadun Melayu, kita tidak akan terlepas bercakap dengan kehebatan kemahiran perdagangan yang dimiliki oleh orang Melayu. Akan ada banyak catatan yang membicarakan tentangnya. Sebagai contoh, lihat dibawa:
“Lima kurun dahulu, Melaka dikunjungi 2,000 kapal sehari iaitu sesibuk pelabuhan Singapura moden kini, yang menjadikannya satu daripada tiga pelabuhan yang tersibuk di dunia …
Di situ terdapat orang-orang Gujerat, Tamil,Bengali daripada India berniaga dengan orang Melayu, Cina dan Arab secara harmonis; bandar raya dengan 100,000 penghuni, 84 bahasa dituturkan di pasar.
Sultan yang memerintah, telah memastikan keselamatan Selat Melaka daripada lanun, dan barangan dapat disimpan dalam ratusan gudang dengan selamat. Jika ada sebarang pertelingkahan undang-undang yang berwibawa dilaksanakan ke atas orang tempatan dan asing seadilnya.”
(Simon Elegant, Far Eastern Economic Review (IO Jun, 1999:45)
Bayangkan ya tuan-tuan dan puan-puan apabila setiap hari, dicatatkan ada 2000
buah kapal datang berlabuh di pelabuhan untuk berniaga dengan orang Melayu? Kalau tidak kerana toleransi yang dimiliki orang Melayu dan pandainya mereka berniaga, nescaya pelabuhan tempat perdagangan orang Melayu tidak akan menjadi sebuah pelabuhan bertaraf dunia seperti mana yang dicatatkan oleh sejarah.
i. “Maka segala dagang atas angin dan bawah angin sekeliannya datang ke Melaka: terlalu ramai Bandar Melaka pada zaman itu. Maka segala orang Arab dinamainya Malakat, ertinya perhimpunan segala dagang, kerana banyak jenis dagangan ada disana.”(Sejarah Melayu, edisi 2000, hlm 80)
ii. “… bandar raya Melaka ini adalah pelabuhan yang terkaya dengan jumlah pedagang borong yang terbesar dan perkapalan Serta perdagangan yang sungguh banyak yang boleh didapati di seluruh dunia. ” (Duerto Barbarossa)
iii. “Melaka merupakan sebuah kota yang dilahirkan untuk perdagangan, lebih baik daripada kota-kota lain di dunia, di hujung monsoon dan di pangkal monsoon yang lain. Melaka dikelilingi dan terletak di pertengahan dan perdagangan serta perniagaan di antara bangsa yang berlainan kerana daripada ribuan batu dari mana-mana arah mesti datang ke Melaka.” (A.Cortesao: 1967:268)
iv. “Tiada pelabuhan yang sebesar Melaka diketahui dan tiada yang berdagang barangan yang secantik dan semahal itu.” (Suma Oriental of Tome Pires, Armando Cortesao, 1944:286).
Orang Melayu menjadi hebat pada zaman kegemilangan mereka adalah kerana kehebatan mereka berniaga dan berdagang sehingga kerajaan mereka memilik pelabuhan paling besar dalam sejarah dunia!
3. Orang Melayu Menguasai Teknologi
Hari ini, bangsa yang hebat adalah bangsa yang menguasai teknologi. Sama juga ketika orang Melayu zaman silam. Catatan sejarah menceritakan kepada kita betapa mereka ketika itu menguasai teknologi. Orang Melayu Sungai Batu menguasai teknologi besi, dan ketika itu pula betapa besi ialahs alah satu sumber untuk membuat senjata. Tak hairanlah kenapa Kedah berada dalam catatan-catatan Arab. Sebagai contoh:
“Apabila saya sampai di Kalah, saya dapati tempatnya amat indah dengan tembok-tembok kota, taman-taman bunga dan aliran mata-mata air dari bumi. Saya lihat lombong bijih timah yang tidak ada tolok bandingnya dalam dunia ini. Di dalam kota ada tukang-tukang membuat pedang “qala’I” iaitu pedang Hindi yang tulen.” – Abu Dulaf 940 Masehi
Pedang Qalai dan Pedang Hindi pula dikatakan oleh Al-Kindi antara pedang terbaik dunia ketika itu dalam kitabnya ar-Risalah ba’da Ikhwanuhu as-Suyuf. Selain itu, kita dapat melihat gambaran tentang kerajaan Kedah Tua ketika itu yang digambarkan sebagai mempunyai tembok kota, taman-taman bunga dan aliran mata air. Bahkan mempunyai lombong bijih timah yang terbaik di dunia. Ini menunjukkan juga teknologi pembinaan kota dan perlombongan milik orang Melayu berada ditahap terbaik dunia ketika itu.
Bahkan penguasaan orang Melayu ke atas teknologi berterusan apabila menguasai teknologi senjata api pada zaman peralihan ke zaman moden. Ini dapat dirujuk pada catatan-catatan Portugis tentang kekuatan Melaka.
“Sejak Portugis memulakan operasi mereka di Timur, tidak pernah lagi mereka menyerang mana-mana kedudukan pertahanan yang begitu kuat sebagaimana jambatan Melaka, di mana ianya memiliki banyak senjata api dan begitu ramai tentera yang bersedia untuk mati sebagai bala tentera Melaka.” – Fernao Lopes De Castanheda, History Of The Exploration And Conquest of The Indies By The Portuguese
Dalam catatan ini, dikatakan bahawa tentera Melaka ialah tentera terbaik yang pernah dihadapi oleh Portugis. Dalam catatan-catatan yang lain pula, dikatakan bahawa orang Melayu membina kubu pertahanan dari batu dan kayu, mempunyai senjata api dan meriam yang kalau dihitung berjumlah lebih 8000 unit. Bahkan dikatakan bahawa orang Melayu sangat mahir membina parit dan berperang menggunakan periuk api dalam melawan kekuatan Portugis.
Tidak hairanlah kerana menguasai teknologi, orang Melayu mampu membina binaan agung seperti candi Borubudur yang dibina oleh Dinasti Sailendra. Sepanjang pembinaan Borubudur, dikatakan bahawa 55, 000 meter padu batu konkrit diguanakan untuk membina Borubudur. Bahkan Borobudur juga dilengkapi oleh sistem aliran dan pemparitan yang sempurna di mana terdapat 100 muncung air pancut di bina pada setiap sudut dan tingkat untuk tempat aliran air. Bahkan, ketika Borobudur dibina, ia juga dibina bersama dengan terdapat lebih 2672 arca dinding pelbagai aktiviti manusia dan haiwan dan 504 stupa loceng. Di setiap tingkat, arca-arca dipahat pada ketulan-ketulan baru tumpat dan disusun sehingga menjadi sebuah cerita dan pengajaran bagi mereka yang rajin mengkaji dan mentelaah.
Sebab itu kapal-kapal terbaik selalu datang dari Kepulauan Melayu. Berikut ialah catatan-catatan berkaitan kapal-kapal Kepulauan Melayu:
“Anunciada (kapal Portugis yang terbesar yang berada di Melaka pada tahun 1511) sama sekali tidak menyerupai sebuah kapal bila digandingkan dengan Jong Jawa.” Tom Pires, Suma Oriental (1515).
– “Bangsa Melayu dikatakan mula berlayar sekurang-kurangnya millennium pertama Masihi (1000 – 0 SM). Ini dapat dibuktikan dengan penemuan tinggalan zaman gangsa Peradaban Sa-Hyunh (700-250 Masihi) yang boleh dijumpai seluruh Asia Tenggara.”
(Sumber: Maritime Souhteast Asia To 1500: Lynda Shaffler)
– “Orang Cina juga tahu penduduk pulau ini sebagai pembina dan kru kapal laut serta akan terlibat perdagangan laut. Orang Cina sebenarnya telah banyak belajar daripada mereka. Orang Melayu mula membina kapal yang diperbuat dari tikar anyaman yang diperkukuhkan dengan buluh, sekurang-kurangnya beberapa beratus-ratus tahun SM dan ketika masa Dinasti Han (206 SM hingga 221 SM), orang Cina telah menggunakan layar itu.” – Lynda Shaffler, Maritime Southeast Asia to 1500
– “Memandangkan tiada bukti kukuh yang dapat mengesahkan kewujudan kapal besar dari rantau lain, dapatlah disimpulkan bahawa bangsa Melayu adalah yang pertama sekali membina kapal besar (1,000 tan ke atas) bermula dari kurun pertama masehi. Pada kurun ketiga pula kapal 7 tiang yang boleh dianggarkan melebihi 2,000 tan muncul dari dunia Melayu.” (Sumber: http://depts.washington.edu/silkroad/texts/weilue/appendices.html)
– Kemajuan maritim yang dialami oleh bangsa Cina adalah berlaku sesudah Maharaja Song melantik bangsa Melayu Champa menjadi Pegawai Maritim yang sekaligus menjadi Shahbandar di Fujian. Kemudian setelah China dikuasai oleh Monggul, jawatan tersebut kekal disandang oleh warga China berbangsa Melayu Champa malah Maharaja Yuan melantik Pu Shou Keng sebagai perekacipta kapal perang dinasti Yuan. (Paul D. Buell, 2009).
– “Flor De La Mar mempunyai geladak haluan dan geladak buritan yang tertinggi antara galleon milik Portugis, dan ini cuma sekadar hampir menyamai geladak Jong Melayu sahaja…” (Portuguese Documents On Malacca mukasurat 213)
– “Dinding Jong Melayu begitu tinggi sekali sehinggakan orang Portugis tidak mampu memanjatnya (apabila menyerang jong), dan dinding jong setebal empat lapis tidak rosak sedikitpun oleh peluru meriam” (Portuguese Documents On Malacca mukasurat 213)
– “Flor De La Mar mempunyai geladak haluan dan geladak buritan yang tertinggi antara galleon milik Portugis, dan ini cuma sekadar hampir menyamai geladak Jong Melayu sahaja…” (Portuguese Documents On Malacca mukasurat 213)
Tentunya, semua kehebatan teknologi perkapalan orang Melayu ini adalah diiringi ilmu laut orang Melayu itu sendiri seperti yang dicatat dibawah:
“Bangsa Melayu berlayar dengan bantuan bacaan angin dan bintang, melalui pembacaan akan bentuk dan warna awan, atau melalui pembacaan warna air laut, melalui gelombang dan juga alunan ombak lautan. Orang Melayu dapat mengenal pasti lokasi sebuah pulau sejauh 30 batu jauhnya melalui pembacaan pada spesis burung, ikan dan batu karang yang ada di dalam lautan, sambil dibantu oleh alunan ombak.”
(Sumber: Maritime Souhteast Asia To 1500: Lynda Shaffler)
4. Melayu Bangsa Beragama
Betapa orang Melayu sebagai bangsa yang kuat beragama adalah saya kira sebagai salah satu daripada tiang kepada peradaban Melayu sebagai bangsa spiritual. Sama ada ketika setia dengan akidah Islam atau ketika mengganut agama Buddha, orang Melayu sentiasa menyumbang untuk agama mereka.
Menurut catatan Ibnu Battuta ketika singgah ke sebuah kerajaan Melayu, iaitu Pasai pada abad ke-14 mendapati bahawa Istana Pasai menjadi pusat peradaban ILMU ISLAM yang terhebat pada zaman itu. Para ulamak akan singgah di nusantara untuk mempelajari mengenai ilmu Islam. Dikatakan hampir setiap hari, istana Pasai dikunjungi oleh ramai orang bijak pandai dari seluruh dunia.
Kalau kita lihat pada jiran Pasai, iaitu Melaka, yang turut seperti Pasai menjadi pusat penyebaran Ilmu pada seluruh Nusantara dan dunia Islam. Melaka, dicari oleh para ulama untuk mempelajari segala ilmu. Dalam masa yang sama, antara university terawal dalam dunia Islam iaitu Universiti Baitulrahman di Acheh.
Untuk pengetahuan semua, Universiti Baitulrahman yang sangat terkenal dalam Tamadun Melayu telah menawarkan lebih daripada 13 fakulti untuk penuntut. Antara fakulti yang ditawarkan ialah Fakulti Undang-Undang, Fakulti Akauntasi, Fakulti Perubatan, Fakulti Kimia, Fakulti Perlombongan, Fakutlti Ilmu Peperangan, Fakulti Matametik, bahkan ketika abad ke-17, seorang pengembara Perancis mengatakan tiada seorang pun yang tidak buta huruf di Acheh dan setiap orang Acheh, akan memahami lebih daripada 2 bahasa.
Betapa selepas kedatangan Islam, orang Melayu benar-benar mengadaptasikan Islam dalam kehidupan mereka. Sebagai contoh, keris yang menjadi lambang persenjataan orang Melayu diadun dengan falsafah Islam. Lok keris 5 melambangkan rukun Islam. Lok keris 7 melambangkan tawaf. Lok keris 13 melambangkan rukun solat manakala lok keris 17 pula melambangkan solat lima waktu.
Betapa sebenarnya banyak ulama-ulama Melayu hebat agung yang lahir selepas kedatangan Islam. Hamzah Fansuri terkenal dengan syair-syair hebat yang menerangkan tentang wahdatul wujud. Tidak lupa juga ulama merangkap saintis Melayu agung seperti Sheikh Wan Ahmad Al-Fattani atau nama ulama yang sentiasa mekar sehingga hari ini dikalangan kita iaitu Hamka.
Nama-nama ulama Melayu masyur sehingga sampai ke benua Mekah kerana ilmu mereka seperti Syeikh Daud Al-Fatani, Tok Kenali, Syeikh Abdul Samad Al-Palembangi, Syeikh Abdul Kadir Mandili, Syeikh Mohmmad Sail Al-Linggi dan Syeikh Arshad Al-Banjari. Tidak ketinggalan mereka yang diberi tempat untuk mengajarkan Islam di Mekah seperti Syeikh Mohammad Abdul Qadir Al-Mandili.
Untuk era ketika orang Melayu beragama Buddha, Empayar Srivijaya harus menjadi rujukan kita. menurut I-Ching, untuk menyambungkan pengajian dalam agama Buddha di India, setiap sami adalah wajib untuk singgah di Srivijaya yang menjadi pusat pengajian agama Buddha di dunia. Bahkan betapa banyak kitab-kitab agama Buddha lahir dalam jumlah yang mencecah ribuan buah dari Srivijaya. I-Ching kemudian menterjemahkan kitab-kitab agama yang dikarang dalam Bahasa Melayu ini ke dalam Bahasa Cina dan dibawa ke negaranya.
Diceritakan bagaimana Maharaja Srivijaya, iaitu pemerintah Srivijaya yang digelar Balaputradeva telah membiaya pembinaan sebuah kuil di Universiti Nalanda (salah sebuah pusat pengajian ilmu terkemuka di dunia berasaskan agama Buddha) serta 5 buah perkampungan disekitarnya bagi memastikan pembinaan tersebut berjalan lancar.
Bahkan seorang guru agama Buddha terkenal Tibet iaitu Atisa (982-1054), salah seorang intelektual Buddha abad ke-11 yang berasal dari Bengal telah menuntut ilmu di Srivijaya sebelum beliau dijemput untuk menyebarkan Buddhism di Tibet. Di Srivijaya, Atisa telah dididik oleh seorang pendeta Buddha berbangsa Melayu dan berdarah diraja yang dikenali dengan nama Dharmakirti Suvarnadvipa.
Kesimpulan
Saya berpendapat bahawa kalau orang Melayu pada zaman ini mahu kembali menguasai dunia seperti nenek moyang mereka, kiranya janganlah ditinggalkan 4 jati diri Melayu seperti mana yang dibahaskan oleh saya. Toleransi, Ekonomi, Teknologi dan Agama. Hilang salah satu daripada tiang kekuatan Melayu, maka hilanglah kegemilangan yang pernah kita bina dahulu.
Wallahualam.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih