Sejak berabad-abad lamanya, tradisi mengaitkan bunga dengan pelbagai sentimen tertentu yang merujuk kepada simbolik tersendiri telah berkembang dalam banyak komuniti dan bangsa di seluruh dunia. Setiap satu daripada jenis bunga di dunia mempunyai makna yang tersendiri, bergantung kepada susunannya, situasi, persekitaran serta kegunaannya dalam keadaan yang tertentu.

Kesemua ini sebenarnya adalah merujuk kepada floriografi, atau dalam istilah mudahnya, bahasa bunga. Apakah itu bahasa bunga? Dan, bagaimanakah sejarah floriografi ini bermula? Artikel ini akan membawa anda mengenali dan memahami simbolik yang terdapat di sebalik sekuntum bunga serta kegunaan setiap jenis bunga bagi acara yang berbeza.

Sejarah floriografi

Floriografi, atau bahasa bunga (language of flowers) adalah suatu istilah yang digunakan bagi menunjukkan  komunikasi menggunakan bunga, yang dicirikan melalui susunan dan gubahan bunga, warna bunga, dan jenis bunga yang digunakan. Dalam makna yang lain, floriografi ini juga boleh dirujuk sebagai simbolisme bunga.

Jika dilihat dari aspek sejarah, floriografi ini sebenarnya telah lama dipraktikkan oleh manusia sejak berabad yang lalu. Namun, pada waktu itu, ia bukan hanya memfokuskan kepada simbolisme bunga semata-mata, tetapi turut merangkumi penggunaan tumbuhan-tumbuhan dan herba yang lain.

Manusia pada awalnya hidup dikelilingi dengan alam semulajadi dan mempunyai sensitiviti tersendiri terhadap tumbuh-tumbuhan serta bunga-bungaan yang ada di sekitar mereka. Hubungan rapat dengan alam semulajadi ini pada asalnya adalah penting untuk kelangsungan hidup, namun seiring perkembangan manusia dan imaginasi yang mereka lakarkan, setiap tumbuh-tumbuhan, pokok dan bunga-bungaan ini diletakkan maksud simboliknya yang tersendiri.

Rekod terawal yang diperoleh dari Mesir, daerah Sumer (Iraq dan Kuwait pada hari ini), dan China mempunyai maklumat mengenai tumbuh-tumbuhan serta bukti-bukti yang menunjukkan tradisi berkaitan dengannya. Satu tablet Sumer yang datang dari 3000 tahun sebelum Masehi telah menyenaraikan berpuluh-puluh objek, termasuklah pohon cassia, buah ara dan daun thyme bersama penawar yang berkaitan dengannya.

Rekod mengenai simbolisme bunga yang terawal bermula pada sekitar abad ketujuh Masehi, di mana kalendar bunga purba China telah dihasilkan sebagai suatu tradisi yang mengaitkan bunga-bunga bermusim dengan sesuatu sentimen atau makna tertentu. Antara contoh bunga yang dimuatkan di dalam kalendar ini adalah plum blossom, iaitu mewakili Januari dan musim sejuk dan membawa erti kecantikan dan umur yang panjang.

Penggunaan kalendar bunga ini telah berkembang sehingga ke Jepun dan Timur Tengah, dan akhirnya memasuki Eropah dan Amerika Utara. Masyarakat Greek purba dan orang Roman mula memberikan bunga bermusim sebagai suatu hadiah untuk hari lahir. Pada sekitar tahun 1700-an, idea sélam, iaitu bahasa bunga dalam masyarakat Turki telah tersebar ke Eropah, yang akhirnya membentuk suatu fahaman tersendiri tentang bunga dan maksud di sebaliknya.

Sélam merupakan istilah dalam bahasa Turki bagi bunga atau objek, di mana ia merupakan suatu sistem mnemonic, iaitu bunga atau objek mempunyai ritma yang sama dengan ayat biasa, sebagai cara untuk mengingati ayat tersebut. Meskipun ia sebenarnya adalah sistem mnemonic, tetapi ia telah dikenali di Eropah sebagai suatu sistem yang mengaitkan bunga dengan sentimen tertentu. Dua individu yang bertanggungjawab memperkenalkan sélam ini di Eropah ialah Aubry de la Mottraye dan Lady Mary Wortley Montagu.

Idea floriografi atau simbolisme bahasa bunga ini telah berkembang pesat pada era Eropah Victorian dan Amerika Utara melalui migrasi budaya bersilang hasil idea serta mitos dari China, Jepun, Turki, Greece dan Rom. Floriografi ini telah mula dipopularkan di Perancis pada sekitar tahun 1810 hingga 1850, manakala di Britain, ia popular pada era Victorian, iaitu antara tahun 1820 hingga 1880, dan di Amerika Syarikat pula ia mula berkembang pada sekitar tahun 1830 hingga 1850.

Kalendar bunga

Kalendar tertua yang direkodkan yang mempunyai bunga pada setiap bulannya datang dari China purba. Berdasarkan lagenda masyarakat China, pada abad ketujuh, Ho Hsien-Ku, iaitu anak perempuan kepada seorang penjaga kedai di Daerah Hunan dikatakan telah memakan buah pic abadi yang diberikan oleh Dewa Panjang Umur, iaitu Canopus. Gadis ini akhirnya menjadi salah seorang daripada lapan dewa dewi abadi Taoist, iaitu dewi bunga dan mengisytiharkan bahawa setiap bunga harus diberikan tempat istimewa pada setiap bulan.

Kalendar bunga berkemungkinan merupakan antara kalendar tertua yang pernah wujud, dan sejak berabad-abad lamanya, ia telah disalin semula dan disebarkan ke seluruh dunia. Malah, setiap bunga yang ditampilkan pada setiap bulan juga adalah berbeza berdasarkan negara/tempat dan tradisi. Mengikut tradisi China, setiap bunga mempunyai maksud simboliknya, sebagai contoh, peach blossom, bunga pada bulan Februari adalah simbol kepada perkahwinan; bunga tree peony pada bulan Mac adalah simbol cinta dan kasih sayang manakala bunga teratai pada bulan Julai adalah simbol bagi kesempurnaan dan kesucian.

Seperti mana budaya China, kebudayaan Jepun turut kaya dengan simbolisme bunga. Contoh paling mudah adalah ikebana, iaitu seni gubahan bunga Jepun, yang mempunyai asas Buddhisme, berasal daripada budaya meletakkan bunga pada altar Buddha. Para penganut agama Buddha di Jepun mula mempersembahkan penawaran mereka di dalam bekas dengan susunan penuh simbolik dan menjelang pertengahan abad ke-15 Masehi, gaya klasik Ikebana mula dihasilkan. Permainan kad popular yang berkembang dengan 12 kad telah mewakili bunga pada setiap bulan di Jepun. Jenis-jenis bunga ini adalah berbeza berbanding bunga mengikut tradisi China.

Dalam dunia Barat, orang Roman purba telah mula meraikan sambutan hari lahir dengan menggunakan bunga sebagai hadiah. Pada asalnya, kalendar yang datang dari era pertengahan Eropah lebih memfokuskan kepada aktiviti pertanian dan agrikultur bagi mewakili setiap bulannya. Namun, menjelang abad kelapan Masehi, kalendar-kalendar di Eropah mula mengambil budaya yang menggunakan bunga dan tumbuh-tumbuhan yang biasa ditemui di Eropah sebagai simbolik setiap bulan. Dan akhirnya, kalendar di kawasan Amerika Utara turut mengikuti perkembangan ini.

Kalendar bunga purba China ini merupakan idea pertama yang menyatakan bunga sebagai simbol bagi menunjukkan musim dan bulan, dan turut menyatakan makna simbolik di sebalik setiap jenis bunga tersebut. Kalendar bunga di negara serta daerah lain di seluruh dunia adalah refleksi bagi setiap jenis bunga yang ada di kawasan tersebut.

Floriografi dan kesusateraan

Simbolisme bunga atau bahasa bunga ini merupakan antara elemen penting yang sering menjadi pilihan para penulis atau pemuisi dalam menulis karya mereka. Rekod terawal dalam kesusateraan yang menyatakan secara jelas tentang frasa ‘bahasa bunga’ ini adalah melalui tulisan Christopher Smart dalam karyanya, Jubilate Agno, yang ditulis pada sekitar tahun 1759 hingga 1763. Melalui karya ini, beliau menyebut:

“Kerana wujudnya bahasa bunga, kerana wujudnya setiap sebab bagi setiap bunga yang ada. Dan kerana ayat-ayat indah tidak bermakna jika tiadanya bunga.”

Menjelang awal tahun 1800-an, frasa ‘bahasa bunga’ telah mula dikenali di Eropah, dan senarai bunga-bungaan bersama maksud simboliknya mula disalin dan disebarkan. Frasa ‘bahasa bunga’ ini sebenarnya boleh merujuk kepada simbolik sesuatu jenis bunga yang membawa makna atau sentimen tertentu, namun kebiasaannya, pada zaman itu ia adalah merujuk kepada tradisi kesusasteraan era Victorian.

Asas kepada penghasilan buku mengenai bahasa bunga adalah melalui buku bergenre lama, iaitu almanac. Secara tipikalnya, buku mengenai bahasa bunga ini adalah sebuah ‘kamus’ berkaitan pelbagai jenis bunga, dengan makna, simbolik dan sentimen yang dikaitkan dengannya. Contoh paling mudah adalah bunga ros yang dikaitkan dengan cinta. Kebanyakan daripada buku-buku ini juga turut memuatkan puisi-puisi mengenai bunga serta sentimen yang mereka wakili. Sesetengah buku ini juga mempunyai kalendar atau permainan yang dipanggil floral oracle.

Berdasarkan sejarah, buku bahasa bunga yang pertama dihasilkan di Perancis adalah pada tahun 1810, oleh B. Delachenayes’s Abécédaire, yang bertajuk de Flore ou langage des fleurs. Penulisnya telah menyenaraikan satu glosari panjang mengenai jenis-jenis bunga. Pada tahun 1819, Charlotte de Latour telah menghasilkan buku yang bertajuk Le langage des fleurs yang akhirnya menjadi begitu terkenal. Buku ini mengandungi penerangan lengkap mengenai jenis-jenis bunga, maksud di sebaliknya dan telah disusun berasaskan musim dan bulan.

Dalam penulisan karya sastera, bunga adalah antara elemen terpenting yang membentuk sesuatu jalan cerita atau isi kandungan karya tersebut. Sebagai contoh, bunga ros, mempunyai berpuluh-puluh sentimen berbeza yang digambarkan dalam karya sastera, melalui warnanya, gubahannya serta jumlah ros yang dinyatakan.

Dalam karya sastera Melayu sendiri turut mempunyai simbolisme bunga yang tersendiri. Bunga dalam budaya Melayu banyak memberi perlambangan mengenai kecantikan gadis Melayu serta kesopanan yang mereka miliki. Terdapat sejumlah besar koleksi pantun Melayu yang mengambil metafora dan simbolisme bunga sebagai latar dalam kisahnya. Berdasarkan kajian yang dijalankan terhadap pantun Melayu, didapati bahawa bunga disimbolkan sebagai suatu kekaguman terhadap alam semesta, keajaiban yang berlaku pada alam sekitar serta sifat bagi pencinta bunga tersebut.

Sebagai contoh, dalam karya Hamzah Fansuri (Kalung Bunga, 2001), bunga kenanga digunakan bagi menggambarkan sifat seorang pencinta yang teguh dengan cintanya. Ia diekspresikan melalui sifat bunga itu sendiri yang tumbuh meliar dan tahan dalam pelbagai keadaan cuaca. Selain itu, bunga cempaka dan bunga tanjung juga sering digunakan sebagai simbolik dalam karya sastera Melayu bagi menunjukkan warisan adat pusaka Melayu. Ini adalah kerana kedua-dua jenis bunga ini adalah bunga yang digunakan bagi menyerikan halaman rumah, serta digunakan sebagai penyeri bagi air mandian untuk upacara tertentu.

Sentimen dalam floriografi

Secara asasnya, setiap jenis mempunyai maksud dan sentimen yang tersendiri bergantung kepada budaya dan tempat tertentu. Di sini disenaraikan beberapa jenis bunga yang sering dikaitkan dengan simbolik dan sentimen tertentu:

  • Ros

Bunga ros merah secara universalnya telah diterima sebagai suatu simbolik yang menunjukkan kasih sayang dan cinta. Malah, bilangan setiap kuntum ros yang diberikan oleh seseorang juga kini turut dikaitkan dengan sentimen berkaitan cinta ini. Sebagai contoh, tiga kuntum ros merah bermaksud “Saya cintakan awak”, manakala enam kuntum ros merah bermaksud “Saya ingin menjadi milik awak”.

  • Carnation

Secara tradisinya ia sering menjadi hadiah istimewa untuk Hari Ibu. Simboliknya adalah bagi menunjukkan kasih sayang ibu yang tidak pernah putus.

  • Teratai

Dalam budaya Cina, bunga teratai memberi perlambangan kejujuran, kebaikan, kecantikan dan kesucian.

  • Lili

Dalam mitos Roman, ia dikatakan sebagai bunga bagi Hera, yang melambangkan kesucian dan kecantikan.

  • Chrysanthemum

Nama bunga ini diambil daripada perkataan Greek, iaitu ‘chrys’ yang bermaksud emas dan ‘anthemion’ yang bermaksud bunga, yang sekaligus melambangkan optimis dan keceriaan. Masyarakat Jepun pula menganggap setiap kelopaknya adalah simbol kepada kesempurnaan.

Emoji bunga

Di Jepun, emoji bunga putih atau cherry blossom kebiasaannya digunakan oleh para guru untuk mengekspresikan ‘syabas’ buat para pelajar mereka, dan syarikat Apple telah memasukkan perkataan Jepun di dalam rekaan emoji bunga putih mereka. Kebanyakan daripada sentimen emoji bunga kontemporari pada hari ini sebenarnya boleh ditemui dalam kamus bahasa bunga era Victorian, yang antaranya membawa maksud pendidikan, penyatuan keluarga, ucapan selamat, kegembiraan, cinta, romantis dan kemanisan.

Kesimpulan

Bunga akan kekal sebagai salah satu cara bagi manusia mengekspresikan perasaan dan emosi yang mereka alami. Gubahan bunga serta jambangan bunga untuk majlis perkahwinan adalah simbolik kasih sayang dan cinta, dan pemberian bunga untuk orang tersayang juga adalah tanda simbolik emosi yang dimiliki. Walau apapun bahasa bunga yang anda pilih untuk menunjukkan emosi, ia pastinya bukan sesuatu yang salah dan bunga hanyalah perantaraan dalam melambangkan perasaan anda.

RUJUKAN:

Kandeler, R., & Ullrich, W. R. (2009). Symbolism of plants: examples from European-Mediterranean culture presented with biology and history of art: OCTOBER: Roses. Journal of Experimental Botany, 60(13), 3611–3613.

Loy, S. (2019). Spread of Flower Symbolism: From the Victorian Language of Flowers to Modern Flower Emoji. In Handbook of the Changing World Language Map (pp. 1–24).

Sheley, N. S. (2007). The ‘ Language of Flowers ’ as Coded Subtext: Conflicted Messages of Domesticity in Mary Wilkins Freeman’s Short Fiction. Working Papers on Design, 2, 1–25.

Shi, H. (2015). On the Characteristics and the Development Significance of Hangzhou Lotus Culture. SHS Web of Conferences, 14(02002), 1–5.

Zarina Tajuddin, & Anida Saruddin. (2018). Metafora bunga kiambang dalam pantun Melayu berdasarkan teori relevans dan rangka rujuk silang. International Journal of Education, Psychology and Counseling, 3(16), 1–17.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Anak Terengganu yang bercita-cita untuk menjadi food historian, dan memasang impian untuk mengeluarkan buku mengenai kesemua makanan warisan di Malaysia. Telah selesai viva untuk Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pemakanan dan bakal bergraduat pada akhir tahun nanti. Sukakan muzik, drama dan filem, tetapi nyata rasanya lebih kepada penulisan. Seorang ghostwriter, penyunting dan penterjemah sambilan. Bidang penulisan yang diminati; pemakanan, sains makanan, gastronomi, sejarah dan eksplorasi karya (drama dan filem).

Comments are closed.