Tidak lama dahulu, seorang pengarah strategik daripada PPBM membuat beberapa ulasan tentang isu politik arus perdana yang melanda negara hari ini. Dan bagi menjustifikasi ulasannya itu, beliau cuba mengaitkan ulasannya dengan beberapa filem menarik lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Berikut beberapa bantahan terhadap isi ulasannya:
1. Si pengarah strategik ini tidak segan-silu mempergunakan sifat tamak dalam watak Ali Baba Bujang Lapok bernama Kassim Baba (S. Shamsuddin) bagi menghentam parti lawan yang disifatkan tamak berikutan kerjasama strategik yang dijalin kedua-dua parti itu. Tetapi si pengarah mungkin sudah lupa akan perihal Sarjan (Ibrahim Pendek) dan Tarosan yang terlalu yakin kumpulan penyamun dapat merompak rumah Kassim selepas memangkah rumahnya tanpa memeriksa sama ada tanda pangkah masih ada atau tak.
Akibatnya bila kumpulan penyamun diketuai Cif (P. Ramlee) cuba menyamun rumah Kassim selepas ia ditanda, ianya berakhir dengan mereka terpalit dengan tahi (serang jamban) atau pulang hampa (semua rumah di Baghdad dipangkah Marjinah). Kerenah sebegini boleh disamakan dengan kerenah mana-mana parti termasuk parti pemerintah hari ini yang menjanjikan bulan bintang semasa kempen tetapi bila sudah berkuasa, janji itu ibarat menanam tebu di tepi bibir.
2. Si pengarah menyamakan watak Hassan (P. Ramlee) dalam filem Anakku Sazali dengan dugaan yang dihadapi figura partinya dan tidak segan menyamakan ciri dan kejahatan watak Sazali (juga lakonan P. Ramlee) dengan seorang figura politik dari parti lawan. Tetapi dalam keghairahannya menyerang, beliau menggunakan frasa ‘P. Ramlee mengisahkan’ yang dilihat pelik untuk diaplikasikan kepada Anakku Sazali. Ini kerana Anakku Sazali mendapat sentuhan pengarah India terkenal ketika itu Phani Majumdar.
Selain bertindak sebagai pengarah, beliau juga bertanggungjawab menghasilkan lakon layar filem itu. Sementara P. Ramlee yang memainkan peranan watak utama turut bertindak sebagai komposer bersama Fred Libio dan LB Ventura untuk Anakku Sazali. Justeru dalam keghairahannya menyerang, si pengarah terlupa menyemak fakta penting filem itu. Terlalu emosikah, tuan pengarah?
3. Pengarah strategik ini turut membuat satu kesilapan besar dengan menyatakan P. Ramlee menangis teresak-esak tanpa henti hingga menjadi buta dalam Antara Dua Darjat. Aneh, setahu saya Antara Dua Darjat berkisar tentang kisah cinta berlainan taraf sosial antara Ghazali (P. Ramlee) dengan Tengku Zaleha (Saadiah). Dan tiada satu adegan pun yang mendorong Ghazali menangis sehingga buta kecuali mengalami kemurungan teruk kerana menyangka dirinya menjadi punca kematian Tengku Zaleha.
Sekali lagi, si pengarah dibutakan dengan emosinya dan terlupa adegan itu wujud dalam filem Ibu Mertuaku. Dalam filem itu, Kassim Selamat patah hati dan menangis sehingga jadi buta selepas membaca telegram mengandungi berita kematian isteri tercinta iaitu Sabariah yang dipalsukan oleh ibu mentuanya Nyonya Mansor untuk memisahkan kedua-duanya.
Dan oh ya, kedua-dua filem ini berkongsi tema kritikan sosial berkenaan ketidaksamaan taraf sosial kehidupan terutama soal pendapatan, sesuatu yang masih relevan sehingga ke hari ini. Apakah si pengarah dan partinya tiada keinginan untuk menanganinya atau itu sekadar janji di bibir?
Nasihat saya pada tuan pengarah, jika masih beria-ia nak kaitkan filem P. Ramlee dengan naratif semasa, kajilah dulu dan bukan main hentam keromo. Ini kerana filem-filem beliau ini kaya dengan falsafah dan nilai tersirat yang terus relevan dengan perkembangan zaman. Ia tidak seharusnya diberi interpretasi melalut sehingga menyebabkan anda kelihatan seperti si bodoh di mata orang ramai. Berangan mahu jadi Trump, tuan pengarah?
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih