Lumrah seorang kanak-kanak, memang suka bermain dan agak nakal. Dunia diteroka bak tanpa sempadan. Begitu juga Ferdowsi semasa kecil, beliau gemar bermain di pinggir sungai. Sungai tersebut mempunyai sebuah jambatan dan jambatan ini sering digunakan oleh penduduk tempatan dan pengembara untuk menyeberang sungai tersebut.
Setiap kali banjir berlaku, musnah dan rosaklah jambatan itu dibadai arus ombak yang deras. Kerap juga penduduk tempatan mengeluarkan kos untuk membaiki jambatan tersebut. Sedih dengan keadaan ini, Ferdowsi berazam untuk membina sebuah jambatan yang kukuh dengan hasil titik peluhnya sendiri.
Ferdowsi, atau nama penuhnya Abu al-Qasem, juga dijuluki sebagai Abu al-Qasem Ferdowsi at-Tusi. Nama Ferdowsi sebagai nama penanya manakala at-Tusi di nisbahkan kepada tempat kelahiran beliau iaitu Tus,Khurasan di Iran. Sedikit info mengenai nama Ferdowsi, nama ini merupakan nama panggilan yang diberi oleh penaungnya iaitu Sultan Mahmoud, pemimpin Dinasti Ghaznavid. Maksud disebalik nama Ferdowsi ini ialah lelaki dari Firdaus yang sama erti dengan lelaki dari Syurga (Firdaus).
Ferdowsi lahir pada tahun 940 dan membesar dengan sebuah keluarga yang sangat bertuah. Keluarganya merupakan golongan bangsawan atau tuan tanah di perkampungan Bazh, di Tabaran, berdekatan dengan bandar utama ketika itu, Tus di Khurasan. Info tambahan, perubahan besar sejarah Parsi berlaku pada abad ke-7, selepas penaklukan orang Arab/Islam terhadap Empayar Sasanid.
Penaklukan ini dianggap menghapus identiti peradaban Parsi itu sendiri atas faktor penukaran pemerintahan secara kekhalifahan. Walau bagaimanapun, keluarga ini sudah memeluk Islam sebelum kelahiran Ferdowsi. Komuniti di sini amat beruntung kerana masih lagi mempunyai sisa-sisa pengetahuan, untuk mengamalkan adat resam dan kebudayaan Parsi yang diwarisi dari kekaisaran Empayar Sasanid.
Permulaan Karya Agung
Pada 977 masihi, Ferdowsi mula mengarang sebuah epik sepanjang zaman, berjudul Shahnameh, yang membawa erti “Buku Segala Raja”. Pada ketika itu, beliau sudah pun berumur 37 tahun dan merupakan bapa kepada seorang anak lelaki dan suami kepada seorang isteri. Sebarang maklumat mengenai isteri beliau, masih lagi belum ditemui dan tiada catatan khusus mengisahkan perihalnya.
Pada ketika itu, Tus tertakluk di bawah pemerintahan Empayar Samanid. Pemimpin Samanid, Abu Mansur ibn Abd al-Razzaq, telah membantu dan memberi galakkan kepada sebarang usaha mengembalikan kecintaan terhadap kebudayaan Parsi yang asli. Ferdowsi sangat beruntung kerana mendapat bantuan dan naungan pemimpin ini dalam penghasilan Shahnameh.
Abu Mansur dan Ferdowsi mempunyai hubungan yang baik sesama mereka. Walaupun Ferdowsi menetap di Tus, beliau sering mendapat sokongan dan dorongan yang padu dari Abu Mansur dalam penghasilan Shahnameh. Segala keperluan Ferdowsi dijaga dan dipenuhi oleh Abu Mansur.
Sehinggakan Ferdowsi sanggup mengembara jauh ke ibu kota Empayar Samanid, Bukhara semata-mata untuk mendapatkan prosa bagi manuskrip Shahnameh oleh Abu Mansur yang ditempatkan di perpustakaan diraja. Namun begitu, dia telah membatalkan hasratnya itu, memandangkan ada dari kalangan sahabatnya, mempunyai salinan teks tersebut.
Abu Mansur, itulah nama penaung yang paling disayangi Ferdowsi, sepanjang tempoh penghasilan Shahnameh. Namun, langit tidak selalunya cerah. Pada tahun 987, Abu Mansur telah ditahan di Nishpur. Kemudiannya, beliau dibawa ke Bukhara untuk dijatuhkan hukuman m*ti. Bersedihlah Ferdowsi atas pemergian Abu Mansur. Di sinilah bermulanya titik perubahan hidup beliau. Menurut Djalal Khaleghi-Motlagh, selepas kematian Abu Mansur, aktiviti penulisan Shahnameh semakin suram atas faktor Ferdowsi sering rasa gemuruh, usianya yang tua dan miskin.
Draf pertama Shahnameh telah siap pada tahun 994 dan meneruskan penghasilan karya agung ini sehingga tahun 997, semasa pemerintahan Dinasti Ghaznavid, Sultan Mahmoud. Sisi sejarah penulisan epik ini, mula ditulis pada tahun 999 yang dimulakan dengan penceritaan Raja Sasanid, Anushirvan. Semasa tempoh yang sukar ini, beliau nukilkan juga keadaan dirinya yang sudah tua dan tidak sihat dalam karyanya itu.
Bagai jatuh ditimpa tangga, pada tahun 1006 bersamaan umurnya 66 tahun, beliau dikejutkan dengan pemergian arwah anak lelakinya. Bertambah dukalah Ferdowsi dan dicatatkan juga insiden itu dalam karyanya. Pada 8 Mac 1010, Shahnameh dipercayai telah siap sepenuhnya. Secara kasarnya, Ferdowsi telah menghabiskan masa selama lebih kurang 30 tahun untuk menyiapkan karya agung ini.
Perihal Buku Segala Raja
Shanameh diangkat sebagai epik kebangsaan Iran secara amnya. Ada pendapat mengatakan epik ini seakan menyerupai epik India seperti Mahabharata dan Ramayana berbanding seperti Iliad, epik tamadun Yunani.
Mengapakah buku ini digelar sebagai Buku Segala Raja? Tajuk epik ini ada kaitannya dengan isi kandungan, kerana tercatat hampir 50 nama raja-raja di dalamnya. Terdapat juga 3 nama permaisuri yang dicatatkan dalam karya agung ini. Ferdowsi mencatatkan dengan teliti mengenai kisah raja-raja ini-dari awal menaiki takhta sehingga detik kematian mereka.
Adakah Shahnameh satu-satunya karya yang dihasilkan beliau? Tidak. Terlalu agungnya karya ini sehinggakan membayangi karya-karyanya yang lain, seperti puisinya yang berjudul, “Yusuf dan Zuleika”.
Perjanjian Yang Dimungkiri
Menurut Sally Clayton, Shahnameh ini mula ditulis berdasarkan satu perjanjian antara raja dan penulisnya, iaitu Ferdowsi. Raja tersebut menawarkan 1000 keping emas untuk 1000 kuplet yang ditulis. Ferdowsi menerima tawaran ini.
Selepas 30 tahun menyiapkan Shahnameh, beliau berjaya menulis hampir 60 000 kuplet. Secara kiraan penuh, beliau boleh menuntut sejumlah 60 000 keping emas daripada raja. Maka, pergi menghadaplah Ferdowsi kepada raja. Sebenarnya, dalam tempoh hampir 30 tahun penulisan Shahnameh, beliau sering bergaduh dan bermasam muka dengan raja.
Raja merasakan, Ferdowsi terlalu bangga dan taksub dengan kejayaan penghasilan karyannya itu. Lantas, raja hanya bersetuju untuk memberikan 60 000 keping perak sebagai memenuhi perjanjian tersebut. Ferdowsi berasa sangat kecewa dan tidak dihargai, lalu mengambil keputusan untuk keluar dari istana dan pulang ke Tus, kampung halamannya. Beliau sempat juga meninggalkan pesanan ringkas berbentuk puisi kepada sultan,
“Pembalasan Syurga takkan pernah dilupakan.
Mengecutkan penzalim dari kata-kataku yang membara,
Dan terketar-ketar akan kemarahan seorang penyair.”
Apabila raja perasan pesanan ini, rasa tercabar menyelubungi dirinya. Lantas, raja ini menitahkan agar Ferdowsi di cari sampai dapat supaya hukuman sampai m*ti diinjak-injak oleh gajah dapat terlaksana. Ferdowsi takut akan titah raja dan merayu agar dirinya diampunkan. Atas ehsan raja, Ferdowsi pun diampunkan dengan syarat raja tidak mahu bersemuka apatah lagi mendengar perihal Ferdowsi.
Berita ini sampai ke khalayak ramai dan masyarakat telah mengadu kepada raja agar berbaik semula dengan Ferdowsi. Akhirnya, raja pun rasa bersalah dan telah mengutuskan serombongan unta untuk membawa 60 000 keping emas, seperti yang termaktub dalam perjanjian, bersama-sama kelengkapan dan keperluan asas yang lain.
Malangnya, rombongan ini lewat tiba kepada Ferdowsi. Dikatakan, Ferdowsi terlebih dahulu meninggal dunia sebelum rombongan tersebut tiba ke rumah beliau. Harta-harta yang dibawa itu, diserahkan kepada anak perempuan Ferdowsi dan dari sumber inilah, beliau menyempurnakan hajat ayahnya, iaitu membina jambatan yang diperbuat daripada batu-batu yang cantik, di sungai tempat bermainnya Ferdowsi semasa kecil. Tercapailah jua akhirnya, hajat mulia Ferdowsi.
Tambahan, terdapat juga kisah dimana setelah pemergian Ferdowsi, jasadnya telah dilarang untuk ditanam di tanah perkuburan Islam. Hal ini terjadi atas saranan seorang pendakwah Tabaran, memandangkan Ferdowsi seorang Syiah-majoriti masyarakat di sana merupakan Islam Sunni. Tiada pilihan lain, maka, Ferdowsi telah disemadikan di halaman kebunnya sendiri.
Penghargaan Terhadap Sumbangan Ferdowsi
Terdapat sebuah makam dan tugu yang dibina khas untuk memperingati Ferdowsi. Reka bentuk makam ini merupakan hasil sentuhan arkitek tempatan, Hooshang Seyhoun dan siap dibina pada tahun 1934, bertempat di Tus. Tidak lupa juga, ada sebuah universiti yang dibina bersempena nama Ferdowsi iaitu Ferdowsi University of Mashhad.
Penghargaan sebegini perlu, bagi merancakkan lagi dunia penulisan dan pengetahuan dalam meningkatkan mutu masyarakat. Walaupun Shahnameh telah berusia hampir 1000 tahun, namun melalui penghargaan sebegini, jasa Ferdowsi akan terus dikenang sepanjang zaman. “Tulisan Abadikan Insan”.
RUJUKAN:
Firdawsī, & Davis, D. (2016). Shahnameh: The Persian book of kings. NY, NY: Penguin Books.
Dabashi, H. (2019). The Shahnameh: The Persian epic as world literature. New York: Columbia University Press.
Life of Ferdowsi. (2006, February 15). Retrieved from https://www.bl.uk/learning/cult/inside/corner/ferdowsilife/lifeferdowsi.html
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih