Sejak hari pembentangan Kertas Putih Kearah Kelestarian FELDA di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia pada 10 April 2019 tempoh hari, kita boleh lihat pihak Kerajaan Pakatan Harapan, khususnya Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan FELDA benar-benar gigih berusaha untuk ‘menjual’ naratif mereka kepada rakyat Malaysia.
Kita boleh lihat sesi ramah mesra diantara Peneroka bersama YB Datuk Seri Mohammad Azmin Ali diatur dengan kerap dan terbaru di FELDA Wilayah Raja Alias dimana Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu mengumumkan berbagai insentif untuk membeli hati para peneroka mengenai Model Baru FELDA yang dicadangkan di dalam Kertas Putih. Timbalan beliau pula, YB Dr. Mohd Radzi Mohd Jidin muncul di rancangan Bicara Rakyat terbitan TV3 secara langsung pada 17 April 2019 dengan pelbagai histogram dan graf untuk menerangkan betapa tenatnya FELDA sewaktu Pakatan Harapan mengambil alih selepas PRU14.
Artikel ini tidak bertujuan untuk menafikan segala kesulitan, kekurangan dan permasalahan yang berlaku di dalam FELDA. Malah mengesahkan bahawa ianya sememangnya seperti yang didakwa oleh YB Menteri Hal Ehwal Ekonomi. Namun, adalah amat mengecewakan apabila setiap perkataan dan hujahan yang dibangkitkan langsung tidak menyebut usaha-usaha yang diambil menangani permasalahan-permasalahan yang disenaraikan.
Kita mulakan dengan Penyenaraian Felda Global Venture Holdings Berhad (FGVHB) atau nama terkininya FGV Holdings pada tahun 2012. FELDA telah melepaskan hampi4 60% kepentingannya di dalam FGVHB dan telah menerima sejumlah RM6.0 billion dari penyenaraian syarikat itu di Bursa Malaysia KLSE. FELDA seharusnya melaburkan RM6.0 billion tunai yang diterima bagi membina kapasiti pendapatan tambahan untuk masa hadapan. Keputusan Kerajaan BN ketika itu untuk mengagihkan RM15,000 untuk setiap keluarga peneroka yang berjumlah lebih 112,000 itu memerlukan tunai sehingga RM1.6 billion.
Disinilah segalanya bermula.
YB Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan YB Timbalannya nampak ghairah melukis persepsi sehinggakan tiada langsung yang baik berlaku sepanjang tahun 2013 sehingga 2017. Lukisan yang cuba dipersembahkan bahawa FELDA dijahanamkan sebegitu teruk oleh ahli-ahli politik yang mengawal Kerajaan dan FELDA waktu ketika itu. Sekali lagi, artikel ini tidak menafikan kepincangan urus tadbir dan tata kelola kewangan serta perlaburan FELDA pada julat masa yang dinyatakan, tetapi sedarkah semua bahawa tindakan pemulihan sebenarnya telah bermula pada akhir tahun 2016 dan secara agresif pada tahun berikutnya?
PEMULIHAN FELDA SUDAH BERMULA AWAL
Kita boleh lihat Laporan Ketua Audit Negara siri 2 tahun 2015 yang jelas melaporkan kelemahan-kelemahan urus tadbir dan keputusan perlaburan yang buruk seperti projek LiDAR, Inisiatif Jalur Lebar, Penternakan Ikan Sturgeon, Restoran Savarro dan Kedai Pastri Schneeballen. Malah Ketua Audit Negara mencadangkan tindakan-tindakan pembetulan serta tindakan surcaj serta undang-undang kepada mana-mana pegawai yang terlibat. Setakat ini kesemua cadangan telah dilaksanakan dan beberapa individu termasuklah bekas Pengarah Besar dan Timbalan Pengarah Besar FELDA telah didakwa dan disabitkan bersalah.
Tahun 2017 adalah tahun dimana Tan Sri Shahrir Samad dilantik menjadi Pengerusi FELDA. Antara cabaran pertama beliau adalah menangani krisis aliran tunai yang melanda FELDA, sehingga FELDA tidak mampu untuk menyelesaikan pembayaran tertunggak pada tahun sebelumnya. Permasalahan aliran tunai ini sudah pasti terjadi apabila punca pendapatan utama FELDA sebelum tahun 2012 iaitu lot-lot komersil seluas 350,000 hektar telah dipajakkan ke FGVHB. Dan sekiranya baki tunai hasil penyenaraian tidak dibazirkan pada projek-projek yang disenaraikan sebelum ini, sedikit sebanyak tekanan defisit itu tidak menjejaskan aliran tunai FELDA. Namun, yang jadi telah jadi.
Tan Sri Shahrir Samad dan Lembaga FELDA bertindak untuk mencairkan sebahagian pegangan saham syarikat senaraian awam yang bernilai tinggi untuk FELDA mendapatkan tunai bagi menyelesaikan komitmen kewangan tertunggak.
PEMULIHAN TADBIR URUS KUMPULAN FELDA.
Tan Sri Shahrir Samad, Lembaga FELDA dan Pengurusan Tertinggi FELDA menyedari bahawa untuk FELDA berkeupayaan untuk meminjam tunai semula dari institusi kewangan, kepercayaan dan keyakinan terhadap FELDA harus dipulihkan dengan seberapa segera. Maka, seawal minggu ketiga Tan Sri Shahrir Samad di FELDA, beliau telah meminta kesemua Ahli Lembaga Pengarah, anak syarikat perlaburan milik penuh FELDA, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) untuk meletakkan jawatan dengan segera.
Keputusan ini dibuat bagi memulihkan kembali urus tadbir Kumpulan FELDA. Tan Sri Shahrir Samad juga menolak untuk menjadi Pengerusi atau Ahli Lembaga Pengarah mana-mana anak syarikat di dalam Kumpulan FELDA termasuklah Yayasan FELDA.
Lembaga FELDA menetapkan FIC harus diterajui oleh pakar yang berpengalaman di dalam bidang korporat, perlaburan, undang-undang dan perakaunan. Maka melalui inisiatif bersama beberapa tokoh dijemput bagi membantu FIC, diantaranya Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, bekas Presiden dan CEO Iskandar Investment Berhad yang dilantik kemudiannya sebagai Pengerusi FIC, Datuk Syed Zaid Albar yang kini adalah Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, Zulkarnain Onn dari Khazanah Nasional Berhad dan Haji Hussien bin Ismail, pakar percukaian dari Folks DFK & Co dan kini Pengerusi Encorp Berhad.
Malahan, ketika Tan Sri Isa Samad meninggalkan FGVHB, Tan Sri Shahrir Samad merujuk kepada Kerajaan agar menggunakan peruntukan undang-undang syarikat untuk memilih dan melantik Pengerusi FGVHB yang baru. Pada 8 September 2017, FGVHB menerima Datuk Wira Azhar Abdul Hamid, seorang tokoh korporat yang berpengalaman di dalam industri perladangan sebagai Pengerusi baru mereka. Harga saham FGVHB bereaksi positif pada tarikh itu.
Kini FELDA, FGVHB dan FIC masing-masing mempunyai Pengerusi tersendiri dan Lembaga Pengarahnya yang tersendiri. Tiada lagi cara lama dimana Pengerusi ketiga-tiga entiti adalah tubuh badan orang yang sama. Jika urus tadbir FELDA dikritik sebagai teruk oleh pihak Kerajaan sekarang, maka kesilapan itu telah diperbetulkan oleh Tan Sri Shahrir Samad pada tahun 2017. Tidak perlu Kertas Putih atau Usul di Parlimen.
MEMULIHKAN ALIRAN TUNAI YANG MERUNCING
Tan Sri Shahrir Samad tidak boleh bergantung kepada saham-saham bernilai yang dipegang dan memberikan pendapatan dividen kepada FELDA. Rombakan drastik perlu dibuat, aset-aset FELDA perlu distruktur semula dan mana-mana aset yang kurang produktif harus dicairkan untuk meningkatkan tunai FELDA.
Perkara ini juga telah dibuat pada tahun 2017. Lembaga FELDA pada waktu itu bersetuju untuk menjual Grand Plaza Service Apartment (GPSA) di London yang dikatakan boleh mencecah harga RM500juta. Penjualan dibuat secara transparen dan menggunakan khidmat agen hartanah antarabangsa.
Selain itu, pengurusan tertinggi FELDA juga secara berterusan menjalankan pelbagai usaha untuk mengurang kos pentadbiran FELDA agar tekanan defisit mengurang dan hasil boleh digunakan untuk kebajikan peneroka FELDA.
MENGEMBALIKAN KEYAKINAN INSTITUSI KEWANGAN KEPADA FELDA
Apabila FELDA berjaya ‘sorted out their affairs and house’, maka kepercayaan dan keyakinan pihak luar hadir kembali. Pemulihan Tadbir Urus dan Penjualan Aset yang tidak produktif dilihat sebagai langkah serius untuk FELDA kembali menjadi peneraju industri sawit.
Bank-bank dan institusi kewangan yang sebelum ini mengelak untuk berjumpa FELDA dengan pelbagai alasan, kemudiannya mula mengetuk pintu Menara FELDA dan menawarkan pakej-pakej pembiayaan untuk membantu memulihkan Aliran Tunai FELDA.
Sebuah bank terkemuka negara telah menawarkan pembiayaan Sukuk bernilai RM4.0 billion kepada FELDA. Sukuk ini diberi penarafan AAA oleh agensi penarafan tempatan iaitu setaraf dengan penarafan bon Kerajaan (Sovereign). Melalui sukuk ini, RM2.0 billion akan digunakan untuk menyusun kembali hutang-hutang jangka sederhana bagi merendahkan bebanan tunai pembayaran dimasa hadapan dan baki RM2.0 billion digunakan untuk kegunaan tunai FELDA.
Tidakkah perkara ini juga disebut di dalam Kertas Putih FELDA? Ini bermakna Kerajaan yang lepas dan Tan Sri Shahrir Samad telah lebih awal melaksanakan pemulihan FELDA.
MENGINTEGRASIKAN WARGA PENEROKA DENGAN KERAJAAN NEGERI DAN PIHAK BERKUASA TEMPATAN
Jika kita betul-betul melihat betapa kehadapannya pemikiran dan perancangan Tan Sri Shahrir Samad untuk masyarakat FELDA dan ini tidak ada pada perancangan Kerajaan yang sekarang adalah untuk merapatkan warga FELDA dengan seluruh negara.
Apabila Kerajaan Negeri Johor menggazetkan jalan-jalan di dalam tanah rancangan sebagai jalan negeri, ini membolehkan Kerajaan Negeri menggunakan peruntukan MARRIS untuk menyelenggara jalan-jalan tersebut. Logik akalnya mudah, adakah peneroka FELDA di negeri Johor bukan rakyat Johor? Melalui usaha ini, beban kewangan FELDA boleh dikurangkan secara beransur-ansur dan warga FELDA boleh dintegrasikan dengan seluruh negara.
Terlalu lama warga peneroka dan FELDA seperti hidup di dalam kepompong tersendiri bak kata orang ‘negeri di dalam negeri’. Tan Sri Shahrir sedar era FELDA dilihat sebagai ‘banyak duit’ telah tamat sejurus selepas Kerajaan Persekutuan menamatkan peruntukan tahunan kepada FELDA pada tahun 1996. Waktu itu Perdana Menteri ke-4 berkata FELDA sungguh kaya dan tidak perlu lagi bantuan Kerajaan, maka sejak hari itu, rezab tunai FELDA mula digunakan bagi membiayai gaji dan emolumen petugas, perumahan petugas, infrastruktur asas seperti jalan, paip air dan sambungan elektrik, dan program tanam semula.
Logiknya sudah tentu rezab tunai berbillion-billion seperti yang didakwa oleh YB Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi akan menyusut dan hanya sejak YB Datuk Seri Najib Razak menjadi Menteri yang bertanggungjawab kepada FELDA, peruntukan pembangunan mula disalurkan kembali kepada tanah-tanah rancangan seperti RM452juta untuk projek bekalan air Pahang dibawah Rancangan Malaysia Ke-10.
Malah Tan Sri Shahrir Samad juga membawakan konsep baru bagi program menaiktaraf tanah rancangan yang dinamakan FELDA 2.0. Projek FELDA 2.0 ini diharapkan dapat menjadikan tanah-tanah rancangan ‘Terbuka’ dan ‘Terhubung’ dengan elemen di luar tanah rancangan melalui sambungan jalur lebar berkelajuan tinggi serta kerjasama sektor swasta. FELDA dan warga Peneroka telah lama membantu memajukan ekonomi negara, apa salahnya sektor swasta dan korporat yang sudah matang dan berjaya, kembali membantu FELDA untuk hadapi dekad seterusnya.
RUMUSAN DAN PENUTUP
Pendek kata, Kerajaan PH dan YB Menteri Hal Ehwal Ekonomi tidak boleh tidak mengakui peranan pengurusan lama memulihkan FELDA dalam masa yang singkat, hanya 16 bulan sahaja.
Sekurang-kurangnya dalam tempoh 11 bulan, pengurusan yang lepas menghasilkan banyak kemajuan di dalam usaha memulihkan FELDA dari hanya mengeluar sebuah dokumen Kertas Putih dalam tempoh yang sama.
Pengurusan lama sedar bahawa peneroka FELDA dan FELDA itu sendiri harus dilindungi dan dipertahankan sehingga ke akhirnya. Sebagai antara agensi Persekutuan yang tertua dan mempunyai tanggungjawab sosial yang besar khususnya kepada orang Melayu-Bumiputera yang menjadi teras warga peneroka FELDA, Kerajaan tidak harus berlebihan mempolitikkan FELDA demi kepentingan diri dan agenda politik kepartian masing-masing.
Seharusnya YB Dato Seri Muhammad Azmin Ali dan YB Dr. Mohd Radzi Mohd Jidin tidak perlu bersusah payah sehingga terpaksa membuat usul dan dibahaskan Kertas Putih itu. Kerajaan Pakatan Harapan dan YB Lim Guan Eng, selaku Menteri Kewangan sepatutnya meluluskan dengan mudah suntikan Geran kepada FELDA jika Kerajaan ikhlas membantu peneroka FELDA. Ini tidak, dikhabarkan FELDA sehingga pada satu tahap terpaksa meminjam dengan Kerajaan Persekutuan semula demi memastikan aliran tunai FELDA berjalan. Apa ini?
Secara sepintas lalu, kertas putih menghulurkan bantuan talihayat yang diperlukan. Namun ini bukan penyelesaian lestari masalah pengurusan Di bawah pengurusan asal FELDA, tokoh seperti YM Raja Tan Sri Alias berjaya membawa Felda kehadapan sebagai konglomerat dunia yang terulung. Mungkin tiba masanya kita mendapatkan khidmat ‘home grown world class expertise’ terdahulu ini bagi menentukan FELDA dapat ditadbirurus untuk mencapai kegemilangan asal.
Justeru, penulisan ini diharapkan akan membuka mata semua bahawa tidak semuanya buruk dibawah pentadbiran yang lepas. Usaha-usaha pemulihan telah dimulakan sejak akhir 2016 lagi. Kesemuanya berkerja kuat untuk kelestarian FELDA termasuklah kebajikan peneroka-penerokanya.
RUJUKAN:
[ii] http://m.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/fic-disusun-semula-ahli-lembaga-pengarah-letak-jawatan-shahrir-1.432696
[iii] http://www.fgvholdings.com/tag/datuk-wira-azhar/
[iv] https://www.google.com/amp/s/www.nst.com.my/node/285416/amp
[v] https://www.bharian.com.my/node/247341
[vii] https://www.google.com/amp/s/komunitijohor.wordpress.com/2017/06/10/kerajaan-setuju-jalan-felda-diselenggara-marris/amp/
[viii]https://www.thestar.com.my/news/nation/2018/02/04/shahrir-felda-20-aims-to-build-smart-sustainable-community/
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih