Sebagai sebahagian daripada kesedaran untuk memantapkan kembali ekonomi Bumiputra dan orang Islam, maka wujud satu usaha kempen yang dikenali sebagai Beli Barang Muslim Bumiputra (Buy Muslim Bumiputra First/#BMBF). Tetapi sebaik diuar-uarkan, sudah ada pihak yang merasa keliru dan menyamakannya dengan usaha boikot. Apakah anggapan itu benar atau sebaliknya? Semua soalan berkenaan #BMBF akan dijawab di bawah.
1. Apakah kempen #BMBF ialah kempen boikot?
Tidak, ini merupakan kempen di mana pengguna Bumiputra dan orang Islam mendahulukan produk keluaran Bumiputra dan orang Islam semasa berbelanja. Kempen ini sama seperti kempen Buy British Last yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semasa era pertamanya sebagai Perdana Menteri dari 1981 hingga 1983 dan kempen Belilah Barang Buatan Malaysia (BBBM) pada tahun 90-an.
2. Adakah ini bermakna ia merupakan kempen memboikot produk keluaran bukan Bumiputra dan bukan Muslim?
Tidak, anggapan ini tidak betul sama sekali. Kempen BMBF ini menekankan soal mendahulukan pembelian produk Bumiputra dan Muslim dan tidak pernah melancarkan aktiviti boikot terhadap produk-produk bukan Bumiputra dan bukan Muslim.
Kempen ini sekadar mengingatkan kepada pengguna Bumiputra dan Muslim di luar sana bahawa mereka ada pilihan untuk menyokong ekonomi ummah dengan membeli produk-produk keluaran pengusaha Bumiputra dan Muslim. Melalui pembelian yang dibuat, ia akan mengukuhkan lagi pemain sektor runcit Muslim dan Bumiputra sekaligus mencambahkan lagi pertumbuhan ekonomi membabitkan Muslim dan Bumiputra.
3. Apakah ini berpotensi menjejaskan ekonomi terutama pasaran runcit?
Anggapan ini salah sama sekali. Melalui BMBF, ia akan memberi lebih banyak suntikan modal diperlukan bagi pengusaha Bumiputra dan Muslim untuk merancakkan lagi operasi perniagaan mereka. Ini membolehkan mereka mengembangkan lagi operasi dan menyediakan lebih banyak pilihan produk kepada pengguna di luar sana.
Dengan pertambahan sebegini, ia akan menggalakkan aktiviti kajian dan penyelidikan (R&D), merancakkan lagi aktiviti inovasi produk, mewujudkan dan menambah vendor-vendor dan menambah peluang pekerjaan dalam sektor-sektor kritikal terutama kepada generasi muda. Dengan kerancakan aktiviti sedemikian, ia akan merancakkan lagi kegiatan ekonomi terutama di peringkat kebangsaan dan mengurangkan statistik pengangguran.
4. Apa yang perlu dilakukan untuk menjayakan BMBF?
Utamakan pembelian produk-produk keluaran Bumiputra dan Muslim dalam setiap perbelanjaan terlebih dahulu. Jika sudah tiada akibat kehabisan stok dan seumpamanya, maka barulah beralih kepada produk keluaran bukan Bumiputra dan Muslim.
5. Bagaimana nak realisasikan BMBF di peringkat kedai runcit?
Dahulukan pencarian dan pembelian di kedai-kedai milik peniaga Bumiputra dan Muslim. Jika tiada kedai yang dimiliki orang Bumiputra dan Muslim, belilah barangan keluaran Bumiputra dan Muslim di kedai bukan Muslim. Tetapi selepas semua alternatif dicari masih tiada, barulah beralih kepada pembelian produk bukan Bumiputra dan Muslim. Antara contoh barangan yang diusahakan usahawan Bumiputra Muslim ialah susu (produk Alif dan Saji) dan garam (Halagel dan Faiza).
6. Patutkah rasa bimbang jika bekalan produk BMBF terputus jika berlaku kempen sebegini?
Tidak, bahkan dengan larisnya produk Bumiputra dan Muslim dijual bak pisang goreng, peruncit sama ada berskala makro atau mikro tiada pilihan kerana produk-produk ini menjadi pilihan pengguna. Jika mereka tidak mengisi rak mereka dengan produk-produk pilihan dalam kes ini produk Bumiputra dan Muslim, maka mereka yang rugi kerana pengguna pasti akan beralih kepada peruncit lain yang bersedia menawarkan produk pilihan mereka. Dalam soal ini, yang untung ialah pembeli kerana peruncit pada akhirnya akan mementingkan soal keuntungan walaupun itu bermakna perlu menambah stok produk Bumiputra dan Muslim.
7. Mengapa sesetengah pihak tertentu menganggap BMBF boleh membawa kejatuhan ekonomi?
Ini sebenarnya mentaliti ‘pura-pura menjadi mangsa’ yang dimainkan pihak tertentu kerana tidak berupaya membawa perubahan kepada ekonomi Bumiputra dan Muslim. Bila sudah gagal, maka pelbagai alasan dilemparkan termasuk kempen untuk menjustifikasikan penolakan BMBF.
Hakikatnya, ia harus disokong kerana yang mendapat untung untuk jangka masa panjang ialah negara juga. Dengan kukuhnya ekonomi kelompok Bumiputra dan Muslim, ia bukan saja mengurangkan monopoli dalam sektor-sektor tertentu malah mengurangkan lagi pengangguran dan merancakkan persaingan sihat dalam kalangan pemain industri.
8. Apakah kempen BMBF bersifat boikot perkauman?
Tidak, ini juga merupakan satu tuduhan liar. Sejak dari awal lagi, kempen ini menekankan kepada mengutamakan pembelian produk Bumiputra dan Muslim dan bukannya pemboikotan seperti didakwa. Jika benarlah kempen BMBF ini bersifat boikot perkauman seperti didakwa, sudah pasti banyak produk yang akan terjejas jika digerakkan dan itu sesuatu yang tidak baik kepada ekonomi.
BMBF mendidik pengguna untuk menilai dan membeli produk keluaran Bumiputra dan Muslim tetapi turut memberi kebebasan kepada mereka dalam memilih sama ada produk Bumiputra Muslim atau sebaliknya. Ini kerana pada akhirnya, mereka yang menentukan sama ada sesebuah produk itu berbaloi digunakan atau tidak. BMBF bersifat mendidik, bukannya memaksa seperti didakwa pihak tertentu.
9. Di manakah saya boleh mendapatkan maklumat mengenai produk, kedai dan perkhidmatan keluar Muslim dan Bumiputera?
Kami daripada The Patriots sedang dalam proses menyiapkan sebuah portal direktori lengkap bagi produk keluaran Bumi Dan Muslim yang dijangka akan dilancarkan pada 14 September 2019.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih