Apabila diperkatakan mengenai ‘Seni Bina Islam’, sesetengah masyarakat kita pasti akan beranggapan dan terlintas di fikiran bahawa yang dimaksudkan seni bina Islam itu adalah sebuah bangunan yang mempunyai ciri-ciri seni bina seperti binaan kubah, binaan berbentuk ‘arc’, terdapat bentuk-bentuk geometri, motif-motif flora, ‘masyrabiyyah’ atau kerawang-kerawang, binaan ‘Iwan’, simbol bintang dan bulan serta diletakkan pula seni-seni tulisan kaligrafi sama ada khat diwani, khat thuluth, khat kufi dan sebagainya. Ciri-ciri seperti ini akan mudah dijumpai pada seni binaan masjid atau surau. Tapi, adakah benar interpretasi kita seperti yang disebutkan tadi di dalam memahami seni bina Islam? Adakah anda rasa anda betul-betul faham tentang seni bina Islam?

Hakikatnya, apa yang didefinisikan dengan seni bina Islam itu bukanlah seperti apa yang kita selalu dengar, baca dan lihat. Semua gambaran seperti disebutkan tadi adalah lebih kepada berbentuk fizikal dan ianya juga bukan bersifat tetap serta eksklusif untuk seni bina Islam semata-mata. Ianya hanyalah gambaran yang kita selalu dan telah didoktrinkan atau diceritakan tentangnya.

Seni bina Islam itu, definisinya lebih daripada itu. Bahkan ia telah membentuk sebuah idea, teori atau falsafah tersendiri di dalam memahami hubungkait seni bina dan Islam. Ramai pemikir seni bina Islam telah membuat kajian mengenai definisi sebenar seni bina Islam itu sendiri. Para pemikir kebanyakan berpendapat seni bina Islam itu lebih kepada aspek fizikal dan tipologi bangunan. Pendapat sebegini dikatakan kurang tepat kerana binaan yang dikatakan seni bina Islam itu adalah banyak pengaruh daripada budaya setempat dan bukan istilah yang khusus serta tidak terdapat di dalam Al-Quran dan Sunnah akan pengkhususan struktur binaan.

Di dalam Al-Quran, Allah telah berfirman yang bermaksud,

Wahai orang-orang yang beriman, masuklah ke dalam Islam itu secara ‘kaffah’ (menyeluruh). Dan janganlah kamu mengikuti syaitan, sesungguhnya mereka itu adalah musuh yang nyata”

(Surah Al-Baqarah, ayat 208).

Allah memerintahkan kepada orang-orang yang beriman supaya mengambil Islam sebagai cara hidup yang menyeluruh, bukan sekerat-kerat, bukan juga hanya ambil Islam sebagai ruang lingkup ibadah fardhu semata. Apabila kita membincangkan tentang seni bina, maka sebagai seorang arkitek Muslim, hendaklah mengambil kira aspek syariah di dalam menterjemahkan seni bina itu. Maka, muncullah apa yang dikatakan sebagai seni bina Islam yang bermaksud seni bina yang berlandaskan syariah Islam. Itu adalah definisi seni bina Islam yang menyeluruh dan umum.

Menurut Darwis Khudori di dalam kertas keja beliau yang berjudul ‘Islam, Architecture and Globalisation: Problematic and Prospects for Research in Indonesia’ telah membahagikan seni bina Islam ini kepada dua persepsi iaitu Critical Perception dan Ideological Perception. Critical Perception adalah persepsi yang berlandaskan kepada pemikiran yang lebih kepada rasionalis, intelektual dan ilmiah.

Manakala Ideological Perception pula adalah persepsi yang lebih kepada kepentingan seni bina Islam di dalam mendominasi seni bina Barat, meyakini seni bina Islam berasal dari nilai-nilai dan prinsip dasar Islam daripada Al-Quran dan Sunnah serta menyangka seni bina Islam adalah terhasil dari kelompok politik yang ditaja oleh Arab Saudi. Namun, di antara kedua pembahagian persepsi ini,  Darwis Khudori lebih cenderung kepada Critical Perception dan mengkritik Ideological Perception.

Definisi seni bina Islam yang diberikan oleh para pemikir dan pengkaji mempunyai pendekatan yang berbeza dan kita boleh lihat pendekatan ini kepada 6 pecahan. Pendekatan yang pertama adalah mengambil definisi seni bina Islam itu berdasarkan pendekatan ‘Classicism’. Yang kedua mengambil pendekatan ‘Hukum Syariah’. Pendekatan yang ketiga pula adalah ‘Metafizik-Expressionisme’.

Pendekatan yang keempat adalah ‘Regionalisme’. Pendekatan yang kelima adalah ‘Modern Contextual’ manakala pendekatan yang terakhir adalah ‘Progresif’. Daripada kelima-lima pendekatan ini, pendekatan ‘Classicism’ lebih banyak digunakan di dalam memberikan definisi seni bina Islam yang mengatakan bahawa seni bina Islam ini ada kaitan dengan tradisi dan asal-usul kemunculan Islam di Tanah Arab.

Pendekatan ‘Classicism’ juga tidak tertumpu pada aspek fizikal semata tetapi juga melihat kepada aspek pola pemikiran, tradisi dan kebiasaan di masa lampau. Implikasi daridapa pemahaman terhadap seni bina Islam melalui pendekatan ini akan menyebabkan kreativiti seni bina Islam itu akan terbatas dan menyekat kebebasan di dalam mengekspresikan seni bina itu. Saphic Omer di dalam karyanya, Studies in Islamic Built Environment banyak memberikan pendapat bahawa seni bina Islam itu mestilah tertakluk dalam ruang lingkup hukum-hukum Islam sebagai perdebatan intelektualnya namun beliau melihat perlunya kajian yang lebih terperinci di dalam menterjemahkan idea dan teori beliau.

Perbahasan mengenai definisi seni bina Islam yang lebih terperinci banyak diperdebatkan dan dibuat kajian memandangkan tidak ada secara khusus di dalam Al-Quran atau Hadis yang menerangkan secara terperinci apakah yang boleh didefinisikan dengan seni bina Islam. Kebanyakan yang membahaskan definisi seni bina Islam akan memilih salah satu daripada pendekatan yang disebutkan tadi dan akhirnya terhasil pelbagai interpretasi yang berbeza di dalam mendefinisikan seni bina Islam.

Justeru itu, secara umumnya menurut penulis, kita perlu faham bahawa yang dikatakan seni bina Islam itu adalah seni bina yang mana seni itu bebas untuk diekspresikan oleh arkitek tetapi hendaklah berlandaskan kepada syariah Islam sekaligus dapat mendekatkan diri kita kepada Allah.

Perbahasan dan penjelasan mengenai falsafah seni bina Islam itu sangat panjang dan sukar untuk ditulis dalam ruangan kali ini. Diharap dengan sedikit pendedahan melalui penulisan kali ini dapat membuka mata masyarakat mengenai seni bina Islam sekaligus dapat menolak interpretasi yang literal terhadap seni bina Islam itu.

Sumber Rujukan:

  1. Jurnal Seni Bina Islam: Satu Pengamatan oleh Anisah Bahyah Ahmad dan Wan Kamal Mujani
  2. Kajian Pemikiran dan Ide Seni Bina Islam di Malaysia pada Era Moden (1950-2000) oleh Professor Dr Mohamad Tajuddin bin Haji Mohamad Rasdi, Jabatan Senibina, Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi Malaysia, 2007
  3. Studies in Islamic Built Environment, Omer Spahic, Kuala Lumpur: Research Centre, International Islamic University Malaysia, 2002

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Merupakan graduan Sarjana Seni Bina daripada UiTM Puncak Alam (LAM and RIBA Part II). Mempunyai minat yang mendalam di dalam bidang agama, seni bina dan sains telah menjadikan bidang penulisan sebagai medium menyebarkan ilmu dan mendidik masyarakat.

Comments are closed.