Sejak kebelakangan ini ramai masyarakat khususnya peminat filem dan drama Melayu mengkritik dan memberi pandangan tentang lakonan pelakon sekarang kebanyakkan tidak ada seni apabila diterjemahkan di kaca televisyen dan layar perak. Ada juga yang beranggapan pelakon dewasa ini hanya sekadar menjual wajah yang cantik dan tampan tetapi pengisian dan ilmu lakonannya kosong. Disini admin ingin berkongsi satu kisah tentang seorang pelakon yang sangat hebat lakonannya di era kegemilangan filem Melayu klasik. Mungkin dengan adanya perkongsian kisah ini pelakon sekarang boleh menjadikannya sebagai satu iktibar dan panduan untuk lebih mendalami ilmu seni lakon, dan dalam masa yang sama menjadikan ianya sebagai satu sumber rujukan dan inspirasi untuk terus maju di dalam bidang lakonan.
Sekitar tahun 1964 telah di adakan bengkel seni lakon bersama seniman dan pengarah Nordin Ahmad. Bengkel itu telah di adakan di dewan studio Cathay-Keris anjuran beberapa gabungan majalah hiburan dan telah dihadiri oleh bakat-bakat baru yang ingin menempa nama sebagai pelakon. Bengkel itu terbahagi kepada beberapa sessi. Antara sessi yang paling menarik adalah sessi soal jawab bersama Nordin Ahmad. Juru acara sessi soal jawab itu ialah A.K YURI seorang wartwan dari majalah hiburan.
Ada yang bertanyakan kepada Nordin Ahmad adakah penting seseorang pelakon itu menjalani screen test terlebih dahulu. Dengan nada serius Nordin Ahmad menjawab, “screen test perlulah dikenakan”. Nordin Ahmad menyambung bicara, “tetapi cara screen test itu dijalankan hendaklah dengan cara yang betul. Bukan dengan hanya memberi setiap calon itu dialog dan suruh mereka bercakap, itu bukan screen test namanya. Cara yang saya lakukan kebiasaanya adalah dengan memberi masa dan kesempatan kepada setiap calon yang ingin menghadapi screen test. Ianya tidak boleh dilakukan dengan cara yang terburu-buru. Setiap calon yang bakal menghadapi screen test perlu menghindari 3 perkara ini iaitu PERASAAN TAKUT, RASA MALU dan DARAH GEMURUH. Jika 3 perkara ini ada kepada setiap calon yang menghadapi screen test, maka jawapannya, KAKU!.”
“Saya kongsikan pengalaman saya sebagai seorang pelakon yang sudah lama bergelumang dalam dunia seni lakon. Saya boleh menangkap setiap karektor seseorang yang hadir dalam screen test yang saya kendalikan. Dari bahasa tubuhnya, cara dia menjawab soalan saya, bercakap, duduk, berjalan dan sebagainya saya boleh menentukan adakan dia layak untuk menghadapi screen test. Jikalau seseorang calon itu layak pada pandangan saya barulah saya memberi dialog dan petunjuk kepadanya untuk dia menghadapi screen test. Tetapi sebelum seseorang calon itu dibawa berhadapan dengan kamera, kita perlu memberi calon itu kebebasan bergaul dengan para anggota studio supaya calon itu sebati dengan masyarakat filem di dalam studio. Jika semua itu sudah memuaskan hati saya barulah screen test itu boleh dijalankan, itu pun dengan cara silent shot sahaja.”
Di akhir sessi bengkel tersebut, Nordin Ahmad telah ditanya oleh seorang peserta yang hadir, siapakah guru seni lakon beliau sehingga membuatkan lakonan beliau sangat hebat dan berkarisma. Dengan tenang Nordin Ahmad menjawab “CERMIN”, “Ya, cermin adalah guru saya. Sebelum setiap pelakon beraksi di hadapan kamera mereka hendaklah berlagak di hadapan cermin terlebih dahulu. Cermin adalah satu latihan yang bagus kepada setiap pelakon yang menginginkan lakonan yang penuh dengan kejiwaan dan penghayatan. Nordin Ahmad berkata hanya cermin sahaja satu latihan yang bagus dilakukan berseorangan tanpa guru.”
Akhir kata dari Nordin Ahmad kepada para peserta yang hadir dengan memesan supaya rajin-rajinlah belajar dan bertanya kepada pelakon-pelakon yang telah lama berkecimpung dalam dunia seni lakon. Jika ingin menjadi pengarah filem belajar dengan P.RAMLEE, HUSSAIN HANIFF dan JAMIL SULONG. Jika ingin menjadi hero belajar dengan JINS SHAMSUDIN dan AHMAD MAHMOOD. Jika ingin jadi pelawak belajar dengan A.R TOMPEL dan S.SHAMSUDIN. Jika ingin jadi penjahat dalam filem belajar dengan MAHMUD JUN dan SALLEH KAMIL.
Untuk pengetahuan anda, Nordin Ahmad adalah seorang pelakon yang cerewet. Nordin Ahmad beraggapan skrip bukanlah hanya skrip semata-mata tetapi ianya adalah salah satu naskah yang perlu diterjemahkan dengan jiwa yang sangat mendalam. Satu kisah yang dikongsikan oleh penolong pengarah S.Sudarmadji mengenai Nordin Ahmad semasa berlakon di dalam filem SEMERAH PADI.
Sebulan sebelum melakukan penggambaran filem SEMERAH PADI, Nordin Ahmad telah diberikan skrip oleh S.Sudarmadji. P.RAMLEE juga sudah memaklumkan kepada Nordin Ahmad supaya meneliti skrip tersebut. Dalam tempoh sebulan itu Nordin Ahmad dikatakan tidak keluar dari rumah kecuali jika beliau ada terlibat dengan penggambaran filem lain. Nordin Ahmad juga tidak kelihatan bersama rakan-rakan pelakon lain di warung kopi apabila selesai penggambaran. Nordin Ahmad dikatakan telah membuat ulangkaji skrip tersebut dengan penuh teliti semenjak hari pertama beliau menerimanya. Apabila tiba hari pertama penggambaran filem SEMERAH PADI dilakukan, Nordin Ahmad telah mengejutkan semua pelakon dan krew yang terlibat di dalam filem itu apabila datang ke lokasi tanpa membawa skrip. Menurut S.Sudarmadji lagi, sepanjang penggambaran filem itu sekali pun Nordin Ahmad tidak merujuk kepada skrip sebagai rujukan. Ini kerana beliau telah dapat menghafal dan menguasai keseluruhan isi kandungan skrip tersebut. Malah, Nordin Ahmad hanya menurut arahan dari pengarah dan penolong pengarah sahaja.
Begitu juga yang beliau lakukan semasa beliau di Cathay-Keris. Menurut pengarah M.Amin, Nordin Ahmad sangat lambat ingin memulakan penggambaran jikalau beliau masih belum berpuashati dengan reheasal. Nordin Ahmad juga dikatakan akan pergi berjumpa dengan penulis skrip tersebut jikalau ada yang beliau tidak faham dengan apa yang dimaksudkan di dalam sesebuah skrip. Nordin Ahmad sangat taat pada skrip dan sangat teliti dengan hubungkait setiap watak dengan satu watak yang lain. Boleh dikatakan semua pengarah yang pernah bekerja dengannya telah faham dengan peragainya.
Menurut seniwati Latifah Omar, Nordin Ahmad jarang bergaul dengan pelakon wanita yang sering digandingankan dengannya di lokasi penggambaran termasuk dirinya sendiri. Jikalau kita lihat di dalam filem lakonan beliau ternyata banyak babak-babak romantik yang ditampilkan bersama dengan pelakon wanita yang digandingkan, tetapi selepas selesai penggambaran beliau akan membawa haluan masing-masing dan babak romantik itu akan terhenti apabila selesai pengarah menyebut “cut!”. Nordin Ahmad juga dikatakan tidak akan singgah kemana-mana apabila selesai penggambaran dan terus pulang ke rumah. Sebab itu Nordin Ahmad boleh disifatkan sebagai pelakon atau hero filem Melayu di zaman itu yang tiada gossip dengan pelakon wanita.
Seniwati Salmah Ibrahim, isteri kepada Nordin Ahmad pernah bercerita kepada penulis perihal Nordin Ahmad semasa di rumah. Semasa di rumah ketika Nordin Ahmad sedang tekun mengadap skrip ataupun kerja menyelenggarakan skrip beliau tidak suka diganggu. Malahan menurut Salmah Ibrahim, suaminya itu tidak akan melayan sesiapa sahaja tetamu yang datang ke rumahnya jikalau beliau sedang tekun mengadap kerja kecuali jika ada perkara yang mustahak.
Itulah seniman yang bernama Nordin Ahmad. Beliau tidak mengaggap skrip hanya sebagai kertas putih yang bertulis tetapi ianya adalah seperti satu benda yang hidup untuk diterjemahkan.
Sumber :
Allahyarham S.Sudarmadji
Allahyarham M. Amin
Allahyarham Latifah Omar
Allahyarham Salmah Ibrahim
Allahyarham Aimi Jaar
Dato’ Ahmad Fauzee
Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih