Kopi mempunyai pelbagai kegunaannya sepanjang lipatan sejarah dari penyuci jiwa hinggalah perangsang nafsu. Selain merupakan komoditi kedua paling banyak diperdagangkan selepas petroleum, ia sudah menjadi sebahagian daripada diet moden hari ini. Tetapi tidak ramai tahu kopi mempunyai sejarah menarik termasuk mencetuskan revolusi sosial di Britain pada abad ke-17 Masihi.
1. Kambing bertenaga
Menurut satu legenda di Ethiopia, seorang pengembala kambing abad kesembilan Masihi bernama Kaldi sedang mengembala kumpulan kambingnya secara berseorangan. Dia mendapati kambing-kambingnya kelihatan bertenaga selepas memakan beberapa biji beri dari sebatang pokok. Kisah tersebut kemudiannya disampaikan kepada seorang pendeta dari sebuah biara tempatan. Ini mendorong si pendeta mengeringkan dan merebus beri untuk dijadikan sebagai minuman. Si pendeta melempar buah beri tersebut ke dalam api dan ia mencetuskan aroma yang kita ketahui sebagai kopi yang tersebar melalui angin malam. Biji beri yang sudah dipanggang ditarik keluar dari bara, dikisar dan dicampur dalam air panas. Inilah kopi pertama yang dihasilkan di dunia.
Si pendeta dan para rahibnya mendapati minuman berkenaan membantu mereka kekal berjaga selama berjam-jam pada satu masa, sama tempoh bagi orang-orang yang menghabiskan masa berjam-jam beribadat. Berita tersebut tersebar luas ke seluruh rantau termasuk Semenanjung Tanah Arab dan ia menjadi kegemaran semua.
Selain kisah legenda dari Ethiopia, Yaman juga boleh mendakwa merupakan negara asal bagi minuman kopi. Ini berdasarkan dakwaan minuman tersebut ditemui oleh seorang ahli sufi Yaman bernama Ghothul Akbar Nooruddin Abu al-Hasan al-Shadhili. Beliau mendapati burung-burung yang memakan buah beri dari sebatang pokok yang terbang merentasi kampungnya amat bertenaga. Ini mendorong Ghothul Akbar merasa sedikit buah beri dan mendapati dirinya lebih fokus.
2. Mocha
Satu lagi kisah alternatif membabitkan asal-usul kopi datang dari anak murid Ghothul Akbar Nooruddin, Sheikh Omar dari Yaman. Semasa beliau menetap jauh dari sebuah bandar bernama Mukha/Mocha di sebuah gua berhampiran Ousab, Sheikh Omar sememangnya dikenali menerusi karamahnya mengubati para pesakitnya dengan doa. Pada satu ketika, beliau merasa lapar lalu memakan beberapa biji buah beri yang ditemuinya. Namun, rasa beri tersebut pahit lalu ia dipanggang tetapi ia menjadi buah tersebut lebih keras. Akhirnya, Sheikh Omar merebus beri tersebut dengan air panas dan ia menghasilkan bau yang harum. Dan sebaik diminum, beliau merasa mendapat tenaga luar biasa bagi membolehkannya berjaga selama beberapa hari. Penemuan ajaibnya itu amat mengagumkan sehingga membolehkan Sheikh Omar dibenarkan pulang ke Mukha/Mocha.
Pada abad ke-16, kopi menjadi minuman pilihan ramai di Parsi, Mesir, Syria dan Turki. Minuman ini juga banyak membantu ribuan jemaah haji yang menziarahi Baitullah saban tahun dari segenap penjuru dunia. Sementara kelompok Sufi di Yaman pula menggunakan kopi untuk meningkatkan tumpuan mereka dan sebagai penyuci jiwa. Dan sekiranya mereka hendak kekal segar bila beribadat pada pertengahan malam, kopi menjadi pilihan minuman. Populariti kopi tersebar dari Timur Tengah hingga ke rantau Balkan dan Eropah, Kepulauan Nusantara dan benua Amerika.
3. Cerita Kedai Kopi
Kopi merupakan satu kuasa yang tidak disangka-sangka boleh mencetuskan revolusi sosial. Ini kerana selain menjadi minuman domestik di rumah, ia juga boleh diminum di kedai-kedai kopi atau qahweh khaneh. Kedai-kedai kopi sebegini timbul bak cendawan tumbuh selepas hujan di kampung-kampung dan bandar-bandar di Timur Tengah dan Afrika Timur. Kedai-kedai sebegini menjadi tumpuan ramai terutama untuk tujuan sosial. Aktiviti minum kopi dan perbualan digabungkan dengan pelbagai jenis hiburan ketika itu seperti persembahan muzik, permainan catur dan diskusi membabitkan berita. Kedai-kedai sebegini dikenali sebagai sekolah cendekiawan, satu tempat di mana pelanggan berkunjung untuk mendapat tahu apa yang berlaku di dunia ketika itu.
4. Halal Haram
Kopi tidak terlepas menjadi tumpuan para ulama di mana ada sesetengah berpandangan ia seharusnya diharamkan. Perkara sebegini pernah berlaku pada tahun 1511 berdasarkan satu mesyuarat membabitkan para ulama di Makkah. Gabenor Makkah iaitu Khair Beg mengetuai usaha ini atas alasan bimbang ia akan mencetuskan penentangan terhadap pemerintahannya berikutan diskusi berkenaan kegagalan pemerintahannya diadakan di kedai-kedai kopi. Ini membawa kepada kaitan kopi dengan hasutan dan revolusi.
Walaupun diisytiharkan sebagai haram, kontroversi hukum minum kopi berlarutan selama 13 tahun sebelum ianya ditarik balik pada tahun 1524 Masihi atas arahan Sultan Selim I dari Turki Uthmaniyah. Mufti besar kerajaan Mehmet Ebussuud el-Imadi mengeluarkan fatwa bahawa kopi sememangnya halal dan tiada masalah bagi umat Islam minum minuman berkenaan. Murka dengan tindakan sia-sia Beg, baginda mengarahkan Beg dihukum bunuh. Fatwa pengharaman kopi turut berlaku di Mesir pada tahun 1532. Ini mengakibatkan kedai-kedai dan gudang-gudang kopi diserbu oleh pihak berkuasa bagi menguatkuasakan larangan tersebut.
5. Minuman Setan!
Apabila kopi pertama kali diperkenalkan di Eropah melalui Venice, ia dipandang serong oleh masyarakat dan mengalami prejudis sama seperti dialami di Timur Tengah. Bezanya di Eropah, kopi dianggap ciptaan syaitan dan dikatakan menyerupai wain yang digunakan dalam upacara agama Kristian. Ini menyebabkan minuman tersebut turut diharamkan oleh pihak gereja. Bagaimanapun, semua itu berubah menerusi campur tangan Paus Clement VIII. Beliau merasa air kopi yang disediakan dan mengisytiharkan tiada masalah bagi penganut Kristian meminumnya. Malah memandangkan ia digelar minuman setan, Clement VIII merasakan mereka boleh menipu syaitan dengan menggunakannya untuk upacara pembaptisan. Ini menyebabkan gelaran kopi sebagai minuman setan berkekalan hingga hari ini.
6. Kopi Pertama England Abad Ke-17
Menurut Samuel Pepys, kedai kopi pertama England dibuka pada tahun 1650 di Oxford oleh seorang lelaki Yahudi bernama Jacob. Sementara kedai kopi pertama London dibuka dua tahun selepas itu oleh seorang lelaki Greek bernama Pasqua Rosee. Kedai tersebut terletak di St Michael’s Alley bernampiran kawasan Gereja St Michael, Cornhill. Rosee juga bertanggungjawab mengasaskan sebuah gerai kopi di Perancis pada tahun 1672. Semasa mengunjungi kedai kopi tersebut pada 10 Disember 1660, Pepys berkata, “Kolonel Slingsby dan saya berada di sebuah kedai kopi di Cornhill pada satu petang, kali pertama saya pernah berada di situ dan saya merasai nikmat melalui percampuran teman-teman dan diskusi yang diadakan.”
8. Internet pertama
Suka atau tidak, kedai-kedai kopi ini sebenarnya menjadi internet pertama bagi orang ramai mendapatkan maklumat. Dalam beberapa catatan diarinya, Pepys mencatatkan beberapa berita yang dianggap panas seperti konflik bersenjata dengan Belanda, insiden komet dan isu wabak yang melanda Eropah ketika itu. Pepys turut menjadikan kedai kopi sebagai medan diskusi akademik untuk tajuk-tajuk seperti Empayar Rom dan serangga. Menjelang tahun 1675, terdapat lebih 3,000 kedai kopi dan sesetengah daripadanya turut mempunyai kemudahan penginapan untuk pelanggan yang mahu bermalam. Ada juga kedai kopi yang mengikut model perniagaan kedai kopi Turki termasuk menggunakan nama-nama eksotik. Antara sesetengah nama yang digunakan ialah Solyman’s Coffee House dan Morat Ye Great.
9. Viagra pertama
Wanita sememangnya tidak dibenarkan memasuki kedai-kedai kopi melainkan mereka sebenarnya pelacur. Perkara ini menimbulkan kemarahan ramai wanita dan ini dizahirkan dalam satu esei bertajuk An Essay in Defence of the Female Sex yang diterbitkan pada tahun 1696. Esei berkenaan mendakwa kopi merupakan punca kebanyakan suami lebih tertumpu di kedai kopi sehingga mengabaikan urusan rumahtangga mereka. Esei tersebut turut mendakwa kopi juga menyebabkan para suami langsung tiada minat mengadakan hubungan kelamin dengan isteri mereka. Namun, dakwaan tersebut disanggah oleh esei Men’s Answer to the Women’s Petition Against Coffee yang menyifatkan minuman alkohol seperti wain menyebabkan lelaki kurang subur. Kopi menurut mereka menambah kekuatan batin dan ini dianggap iklan Viagra pertama.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih