Aldrin melakukan sesuatu yang membanggakan kemanusiaan iaitu manusia pertama yang berjalan di bulan. Dan siapa tak boleh lupa kalimah keramat ini yang dinyatakan Armstrong, “Satu langkah kecil bagi seorang manusia, satu lompatan besar bagi kemanusiaan.” Di sebalik peristiwa bersejarah ini, ada banyak fakta tidak diketahui berkenaan Apollo 11, program Apollo itu sendiri, NASA dan orang yang mencetuskan perlumbaan ke bulan: John F. Kennedy.
1. ‘WADUH, MAHALNYA!’
Program Apollo merupakan inisiatif kerajaan paling mahal dalam sejarah Amerika Syarikat. Semasa program ini berada di kemuncaknya, Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menggaji 34,000 pekerja dan 375,000 kontraktor luar mengambil bahagian dalam program Apollo. Anggaran belanjawan program berbeza-beza tetapi pada tahun 2008, Perkhidmatan Kajian Kongres menganggarkan kos Apollo selepas inflasi ialah $98 bilion, jauh lebih mahal berbanding projek bom atom yang digunakan untuk mengebom Hiroshima dan Nagasaki, Jepun iaitu Manhattan. Malah, kos itu sama dengan setiap $500 untuk setiap lelaki, wanita dan kanak-kanak yang menetap di negara Uncle Sam itu pada tahun 1969.
2. PROGRAM KERJASAMA AMERIKA-SOVIET
Semua sedia maklum Kennedy beberapa kali menyebut kepentingan manusiawi pergi ke bulan sama ada ucapannya di Kongres pada tahun 1961 atau ucapan beliau di Stadium Rice, Texas pada tahun 1962. Tetapi tidak ramai tahu beberapa bulan sebelum pembunuhan presiden itu di Dallas, Texas, Kennedy mengejutkan dunia dengan mencadangkan Amerika Syarikat bekerjasama dengan Soviet untuk program misi ke bulan. Semasa berucap di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), beliau berkata, “Dalam bidang di mana Amerika Syarikat dan Soviet mempunyai kapasiti istimewa iaitu bidang angkasa lepas, ada saja ruang untuk bekerjasama untuk usaha sama berkenaan peraturan dan penjelajahan angkasa lepas. Dan saya tambah termasuk kemungkinan ekspedisi bersama ke bulan.”
Cadangan radikal Kennedy itu tercetus berikutan kos Apollo yang semakin tinggi dan keinginannya mengurangkan ketegangan dengan Rusia selepas apa yang berlaku di Cuba setahun sebelumnya. Tawaran beliau ditolak Nikita Khrushchev tetapi selepas beberapa minggu, presiden Soviet itu menimbang semula cadangan berkenaan. Antara sebab cadangan Kennedy ditolak menurut anak beliau, Sergei Khrushchev ialah Soviet bimbang Amerika akan membangunkan teknologi untuk menangkis roket dan peluru berpandu mereka selepas mendapat akses terhadap teknologi Soviet. Tetapi bagi Khrushchev, sekiranya kerjasama itu membuka peluang untuk mendapatkan teknologi yang dapat membawa Soviet ke arah lebih baik, maka ia seharusnya dipertimbangkan. Jika ia menjadi kenyataan sekalipun menurut sejarawan, ia perlu mendapat persetujuan Politburo Soviet dan Kongres Amerika Syarikat. Dan ia pasti akan menimbulkan kemarahan dua pihak berkenaan yang masih melihat kepentingan negara melebihi kepentingan kemanusiaan yang jauh lebih besar.
Jika tidak kerana pembunuhan Kennedy pada November tahun sama menurut Sergei, dunia yang kita ketahui hari ini pastinya akan jadi berbeza. Walaupun pentadbiran Lyndon B. Johnson cuba menawarkan cadangan sama pada awal tahun 1964, ia ditolak atas alasan mereka mencurigai niat sebenar pentadbiran Johnson. Dan bagi Khrushchev sendiri, beliau lebih suka bekerjasama dengan Kennedy kerana jalinan yang terbentuk semasa Krisis Peluru Berpandu Cuba dan ucapan mendiang pada musim panas 1963 berkenaan usaha kerjasama baru Amerika-Soviet dan perjanjian bersama sekatan ujian nuklear.
3. TRAGEDI APOLLO 1
Pada 27 Januari 1967, tiga angkasawan iaitu Virgil ‘Gus’ Grissom, Edward White dan Roger Chaffee memanjat masuk ke kapal angkasa mereka, Apollo 1 untuk ujian rutin pra-pelancaran. Saat mereka duduk di pad pelancar, percikan api yang datang dari wayar bermasalah mencetuskan kebakaran besar yang mengoyakkan terus atmosfera oksigen tulen kabin berkenaan. Sistem selak yang rumit pada hac menjadikan usaha melepaskan diri mustahil. Dan apabila krew stesen akhirnya berjaya membuka hac berkenaan beberapa minit kemudian, usaha mereka sudah terlambat dengan ketiga-tiga angkasawan mati akibat terhidu asap. Kebakaran itu merupakan insiden pertama angkasawan Amerika terbunuh dalam kapal angkasa dan memaksa program Apollo ditangguhkan selama 18 bulan. Ramai merasa bimbang dengan insiden berkenaan, ia akan mendorong Washington menarik balik sokongan kepada program Apollo tetapi itu tidak berlaku. Dan bagi NASA, ia memberi ruang kepada mereka menambahbaik rekaan kapal bagi meningkatkan prestasi dan keselamatan semasa misi ke bulan.
4. BENDERA AMERIKA SYARIKAT
Imej Aldrin berdiri di sebelah bendera Amerika Syarikat merupakan satu imej ikonik bagi Apollo 11. Tetapi tidak ramai tahu beberapa jam selepas bendera itu dipacak, ia jatuh selepas Aldrin dan Armstrong bertolak kembali ke modul arahan. Ini berlaku apabila Aldrin menekan butang menyalakan semula roket, beliau menjenguk ke tingkap dan melihat kekuatan roket menolak kesemuanya termasuklah bendera paling terkenal itu.
Ini mendorong angkasawan dari misi Apollo seterusnya meletakkan bendera jauh sedikit bagi memastikan ia terus kekal terpacak semasa mereka berlepas pulang ke bumi. Dan sehingga kini, lima bendera Amerika dari lima misi Apollo masih kekal terpacak sampai sekarang. Bagaimanapun, melalui imej yang diambil NASA pada tahun 2012 mendapati walaupun ia masih terpacak pada kedudukannya, bendera berkenaan dilihat sudah hilang semua identiti yang menunjukkan ia bendera negara Uncle Sam.
Dan berkenaan soal bendera, wujud cadangan bendera yang seharusnya dipacakkan di bulan ialah bendera PBB. Ini kerana PBB merupakan simbol kemanusiaan dan dilihat jauh lebih sesuai sebagai tanda simbolik memandangkan Amerika merupakan antara negara yang menandatangani perjanjian PBB 1967 yang menghalang mana-mana negara membuat tuntutan di bulan atau objek cakerawala. Situasi ini pernah dipertimbangkan oleh NASA pada satu ketika tetapi akhirnya memutuskan untuk hanya menaikkan bendera Amerika Syarikat.
5. PERJAMUAN SUCI (HOLY COMMUNION)
Sebelum sebarang misi ke bulan, NASA memberi amaran kepada para angkasawan memandangkan seluruh dunia mendengar mereka, mereka tidak dibenarkan melakukan amalan keagamaan semasa dalam perjalanan ke bulan. Bagi NASA, perjalanan itu mewakili kemanusiaan tanpa mengira bangsa, agama, jantina atau fahaman politik dan tidak berbaloi menyinggung mana-mana pihak yang menonton misi berkenaan. Tetapi bagi Aldrin, ini sesuatu yang tidak boleh dilepaskan begitu saja.
Ini mendorong angkasawan kedua yang berjalan di bulan menyeludup wain yang disimpan dalam botol plastik dan sedikit roti. Dua barang ini diambil dari Gereja Presbytarian Webster berhampiran Houston di mana beliau merupakan ahli kariah gereja tersebut. Dan atas misinya itu, pihak gereja memberi kebenaran kepada Aldrin menjalankan upacara Perjamuan Suci (Holy Communion) semasa berada di bulan. Dan itulah yang dilakukan beliau dengan memakan roti dan minum wain berkenaan. Armstrong memerhati upacara tersebut dengan penuh hormat tetapi tidak menyertai rakannya itu. Aldrin mencipta sejarah bukan saja sebagai orang pertama yang makan dan minum semasa berada di bulan tetapi orang pertama yang buang air semasa di sana.
Tetapi kenapa peristiwa ini tidak diketahui sehinggalah kepulangan mereka ke bumi? Jika nak salahkan orang, rujuk nama ini: Madalyn Murray O’Hair. Selepas krew Apollo 8 membaca ayat berkenaan penciptaan dari Book of Genesis, O’Hair memfailkan saman terhadap NASA dan mendesak sekatan dikenakan ke atas angkasawan NASA dari mempraktikkan agama mereka sama ada di bumi, di angkasaraya, sekitar atau di bulan. Alasan di sebalik pengasas American Atheists ini ialah amalan berkenaan melanggar pemisahan gereja dan kerajaan yang diiktiraf perlembagaan.
Dan atas sebab itulah, dalam bukunya Magnificent Desolation, Aldrin menceritakan bagaimana Deke Slayton memberi tips bagaimana hendak mengamalkan agama semasa berada di bulan. Slayton yang menguruskan operasi krew penerbangan Apollo 11 memberitahu, “Teruskan dan laksanakan saja perjamuan itu tetapi pastikan komen bersifat umum.” Aldrin melihat perjamuan suci itu sebagai cara beliau mengucapkan syukur yang teramat kepada Tuhan kerana membenarkannya berada di bulan. Tetapi pada masa sama, beliau menulis, “Walaupun ianya satu pengalaman bermakna untuk saya, itu dibuat atas nama Kristian. Sedang kita datang ke bulan atas nama kemanusiaan sama ada mereka Kristian, Yahudi, Islam, animisme, agnostik atau ateist.”
6. KATA-KATA PERTAMA
Wujud pelbagai spekulasi kata-kata pertama yang diucapkan di bulan. Yang paling popular sudah tentu kalimah keramat Armstrong yang menganggap kejayaan di bulan itu merupakan satu lagi langkah ke hadapan bagi kemanusiaan. Tetapi apa sebenarnya kata pertama yang diucapkan para angkasawan Apollo 11? Berdasarkan transkrip perbualan Apollo 11, ada tiga calon berkemungkinan. Pertama, Aldrin menunjukkan lampu sentuhan telah dinyalakan dengan berkata, “Lampu sentuhan.” Kedua, Armstrong mengarahkan rakan angkasawannya itu menutup enjin penurunan, “Tutup.” Dan terakhir, bila Aldrin mematikan enjin dan berkata, “OK. Enjin berhenti.” Jika anda lihat, semua dialog ini nampak biasa saja. Jadi, lebih baik kita berpegang mesej Armstrong kepada pusat misi kawalan di Houston.
7. TAHUN SAMA
Tidak ramai tahu Armstrong, Aldrin dan Michael Collins berkongsi tahun kelahiran sama iaitu 1930. Ketiga-tiganya juga merupakan juruterbang dalam pasukan masing-masing dengan Armstrong dan Aldrin dari Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF). Sementara Collins pula berkhidmat bersama Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy). Tetapi di sinilah persamaan mereka berakhir. Aldrin dan Collins datang dari keluarga yang kaya dengan tradisi tentera sementara Armstrong pula anak jati sebuah bandar kecil di Ohio. Dan ini mendorong angkasawan ketiga ke bulan itu melabel kumpulan mereka ‘orang tidak dikenali yang ramah’.
8. SIAPA ORANG PERTAMA?
Kita semua tahu Armstrong merupakan orang pertama yang menjejakkan kaki di bulan. Tetapi tidak ramai tahu mengikut peraturan misi Gemini, komander misi yang kena tunggu di modul arahan sementara juruterbang yang melakukan pergerakan.
Dalam kes ini, Aldrin yang seharusnya menempa nama dalam sejarah dan bukan Armstrong. Dan pada awalnya, NASA dan angkasawan kedua ke bulan itu berfikir soal sama berkenaan misi Apollo. Tetapi NASA tidak mahu saat itu dicemari dengan kelakuan angkasawannya seperti mana yang berlaku pada Christopher Columbus atau Orville Wright. Ini ditambah dengan sikap Aldrin sendiri yang gemar berterus-terang, satu sikap yang tidak digemari sesetengah orang di NASA.
Ini mendorong mereka meminda peraturan dan memberitahu Armstrong beliau orang pertama yang akan melangkah keluar dari modul bulan. Aldrin yang berang dengan sikap pilih kasih agensi berkenaan kemudian melukis pelan pendaratan bulan dengan dua pintu yang membenarkan angkasawan-angkasawan keluar pada masa sama.
9. HAMPIR TERBUNUH
Beberapa minggu sebelum misi Apollo 11, Armstrong hampir-hampir terbunuh semasa menjalani latihan dalam satu alat dipanggil kenderaan latihan pendaratan bulan (LTTV) yang digelar Flying Bedstead. Alat tersebut menggunakan jet untuk meniru graviti bulan bagi membolehkan beliau mengalami pengalaman realistik bagaimana pendaratan bulan berlaku. Tetapi pada Mei 1968, mesin tersebut mengalami kerosakan dan gagal dikawal walaupun cuba dilakukan Armstrong, Pada ketinggian 100 kaki, beliau berjaya menekan butang lentingan beberapa saat sebelum LTTV itu terhempas dan musnah terbakar.
10. BARANGAN PERIBADI KREW
Anggota kru dibenarkan membawa barangan peribadi masing-masing dengan sesetengah daripadanya boleh dijual di kemudian hari. Armstrong membawa serpihan kayu dari kapal terbang pertama ciptaan Wright bersaudara iaitu Flyer yang terbang buat kali pertama pada tahun 1903. Mereka turut membawa pingat penghargaan angkasawan Apollo 1 dan dua angkasawan Rusia, Vladimir Komarov dan Yuri Gargarin.
11. PENGGERA
Tidak ramai tahu misi Apollo 11 hampir gagal disebabkan siri penggera yang tercetus dari pelbagai program komputer apabila modul bulan mula turun ke permukaan. Bagaimanapun, ia berjaya diselamatkan menerusi siri raptai latihan misi yang dijalankan pengawal-pengawal misi beberapa minggu sebelum misi sebenar dijalankan. Dalam satu raptai, salah seorang daripada pengawal misi mengarahkan misi dibatalkan berikutan penggera yang tercetus dari sebuah program komputer. Selepas menganalisis keputusan itu, ia merupakan satu kesilapan. Dan apabila misi Apollo 11 dijalankan, pengawal misi sama tahu penggera berkenaan boleh diketepikan dan tetap memberi kelulusan kepada krew Apollo 11 untuk mendarat di permukaan bulan.
12. MENDARAT ATAU TIDAK
Apabila modul bulan Eagle masih berada 20 kaki di atas permukaan, Armstrong dan Aldrin diberitahu mereka hanya ada bekalan bahan api sebanyak 30 saat. Sekiranya mereka masih gagal mendarat, mereka diarah membatalkan pendaratan. Bagi Armstrong, beliau sedia mengambil risiko meneruskan pendaratan kerana jatuh pada ketinggian yang agak baik dengan graviti bulan yang rendah. Dan bila modul berkenaan mendarat, gear yang menerima tekanan pendaratan. Armstrong menambah, “Saya tidaklah bimbang berbanding ramai orang yang menonton di bumi.” Selepas misi selesai, analisis NASA menunjukkan modul berkenaan boleh terbang sekurang-kurangnya seminit lagi.
13. TIDAK TERPILIH
Tidak ramai tahu sebelum Armstrong dipilih mengetuai Apollo 11, misi berkenaan sebenarnya boleh diketuai orang lain. Calon pertama Slayton ialah Virgil ‘Gus’ Grissom tetapi beliau terbunuh dalam tragedi Apollo 1. Slayton kemudian menawarkan jawatan komander misi kepada komander misi Apollo 8, Frank Borman tetapi ditolak atas alasan mahu bersara. Pada akhirnya, krew Apollo 11 yang dipilih menggalas misi pendaratan di bulan. Armstrong sendiri mendedahkan, “Saya sebenarnya tidak terpilih pada awalnya. Saya hanya dipilih untuk mengetuai misi berkenaan yang bertukar kepada misi pertama pendaratan di bulan. Takdir meletakkan saya berada pada situasi ini.”
14. SUT BRA
Tidak ramai tahu pembuat sut angkasawan NASA ialah sebenarnya sebuah syarikat pembuat bra dan korset. Divisyen industri Playtex iaitu International Latex Corporation (ILC) berjaya memenangi kontrak menghasilkan sut angkasawan NASA pada tahun 1962 dan berjaya menyaingi dua syarikat lain melalui satu pertandingan rekaan. ILC bertanggungjawab menghasilkan A7L dan A7LB, sepasang sut angkasa lepas yang melindungi krew Apollo dari elemen-elemen sambil memberi mereka kebebasan bergerak untuk mengumpul batu-batu bulan, melakukan eksperimen saintifik dan memandu perayau bulan. ILC kemudiannya berpisah daripada syarikat induk mereka pada tahun 1967 dan terus berkhidmat sebagai kontraktor NASA di bawah nama ILC Dover.
15. ANUGERAH KHAS EMMY
Misi pertama manusia Apollo bermula pada Oktober 1968 apabila Apollo 7 memasuki orbit rendah bumi untuk menguji ketahanan modul arahan dan perkhidmatan. Semasa penerbangan yang berlangsung selama 11 hari itu, krew Apollo 7 iaitu Wally Schirra, Donn Eisele dan Walter Cunningham membuat transmisi siaran langsung pertama dari kapal angkasa. Mereka menunjukkan selok-belok kapal, demonstrasi penyediaan makanan dalam keadaan graviti kosong dan telatah mereka yang bikin penonton tidak kering gusi. Rancangan Wally, Walt dan Donn mendapat sambutan ramai dan ini mendorong Akademi Seni Televisyen dan Sains Kebangsaan menganugerahkan anugerah khas Emmy kepada mereka bertiga.
16. DISAMBAR KILAT
Selepas kejayaan misi Apollo 11, NASA mahu mengulangi pencapaian itu dengan menghantar satu lagi misi ke bulan. Walaupun berjalan lancar pada awalnya, misi Apollo 12 hampir-hampir ditimpa bencana apabila kapal angkasa dan roket Saturn V yang membawa krew tiba-tiba disambar kilat. Jika krew menyangka mereka sudah terlepas, kapal mereka sekali lagi disambar kilat. Kali ini, ia banyak memadamkan komponen sistem elektrik kapal dan mencetuskan penggera dalam kokpit yang menempatkan angkasawan Pete Conrad, Alan Bean dan Richard Gordon. NASA sudah mula berkira-kira untuk membatalkan misi tetapi seorang pengawal misi mencadangkan krew menukar ketetapan Peralatan Pelaziman Isyarat kepada ketetapan tambahan. Krew Apollo 12 berjaya menyambungkan semula sel bahan api kapal dan platform pengemudian kapal kembali beroperasi bila berada di orbit sekaligus membolehkan mereka meneruskan misi asal Apollo 12.
17. ESP
Semasa misi pergi dan balik dari bulan, salah seorang krew Apollo 14 bernama Edgar Mitchell melakukan satu eksperimen secara rahsia berkenaan pengamatan luar deria (ESP). Dan ini ada kaitan dengan minatnya yang mendalam terhadap fenomena psikologi. Sebelum berangkat ke bulan, beliau mengadakan satu ujian untuk melihat sama ada memindahkan fikiran melalui angkasa lepas bersifat ya atau tidak.
Dan apabila dua lagi krew iaitu Alan Shepard dan Stuart Roosa nyenyak tidur, Mitchell mengeluarkan satu koleksi kad dan menghabiskan masa beberapa minit fokus kepada beberapa simbol rawak. Sementara di bumi pula, sekumpulan psikik cuba membaca fikiran beliau dan menulis susunan simbol. Hasil eksperimen berkenaan mendapati mereka berjaya meneka sebanyak 51 kali daripada 200 percubaan. Beberapa tahun selepas itu, Mitchell menubuhkan Institut Sains Noetic, sebuah kumpulan berorientasi bukan keuntungan yang memfokuskan kepada kajian kesedaran manusia.
18. KUARANTIN
Untuk beberapa misi awal ke bulan, NASA hanya mempunyai sedikit maklumat dan kebimbangan bulan mempunyai mikrob berbahaya atau kuman angkasa lepas. Atas sebab itu, anggota krew Apollo 11, 12 dan 14 dikuarantin selepas kembali dari misi mereka di bulan. Sebaik dibawa keluar dari laut, mereka diarah memakai sut anti-pencemaran dan dikuarantin dalam treler Airstream yang diubahsuai NASA dipanggil Kemudahan Kuarantin Bergerak (MQF).
Dalam kes Apollo 12, Conrad, Bean dan Gordon terpaksa menghabiskan masa Hari Kesyukuran dalam MQF. Ini mendorong krew yang memantau mereka menyediakan hidangan ayam belanda panggang khas untuk meraikan krew Apollo 12. Selepas itu, NASA menilai semua maklumat dari ekspedisi awal ke bulan dan mendapati tiada risiko penyakit bulan terkena pada krew misi ke bulan. Atas sebab itu, NASA menarik balik langkah kuarantin pada 1971 dan misi Apollo 15, 16 dan 17 berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
19. MENANGIS
Bila kita memikirkan lelaki-lelaki yang menjadi rupa awal program angkasa lepas, kita tidak menjangkakan mereka akan menitiskan air mata tetapi itu yang berlaku kepada Alan Shepard. Shepard seharusnya menjadi komander pertama misi Gemini tetapi terpaksa direhatkan berikutan masalah dalaman telinga. Ini menyebabkan beliau mengalami masalah pening dan muntah-muntah yang teruk. Selepas masalah berkenaan diselesaikan melalui pembedahan, Shepard berusaha untuk merealisasikan impiannya ke angkasa lepas.
Hasratnya tercapai pada tahun 1971 apabila beliau diberi kepercayaan sebagai komander misi Apollo 14. Dan selepas mereka berjaya mendarat di bulan, Shepard bukan saja menjadi orang kelima berjalan di bulan. Bahkan, beliau merupakan angkasawan paling tua yang pernah sampai ke bulan. Dan semasa di bulan juga, Shepard menggunakan peluang itu dengan bermain golf dengan menjadikan penyodok sebagai kayu golf dan membuat pukulan paling jauh dalam sejarah. Tetapi tidak ramai tahu semasa beliau mula-mula keluar dari modul bulan, Shepard sebenarnya menangis ketika berdiri di bulan.
20. UKIRAN ANGKASAWAN
Sebelum berangkat ke bulan, komander misi Apollo 15 mahu memberi penghormatan kepada semua angkasawan yang terbunuh dalam program angkasa lepas Amerika dan Soviet. Ini mendorong David Scott menghubungi seorang pengukir bernama Paul von Hoeydonck untuk membuat satu patung kecil untuk mengingati angkasawan-angkasawan dari kedua-dua negara. Patung itu menyerupai manusia tetapi tidak mewakili mana-mana bangsa, jantina atau negara. Scott juga bertegas tidak mahukan unsur komersial dalam patung berkenaan tetapi hanyalah satu tanda kebaikan dan sebagai penghormatan kepada semua angkasawan yang terbunuh. Permintaan beliau dipenuhi pengukir dari Belgium itu.
Pada 1 Ogos 1971, krew Apollo 15 meninggalkan patung bersaiz jari itu di puncak Mons Hadley bersama satu plak yang mengandungi nama 14 angkasawan yang terbunuh. Beberapa tahun selepas itu, von Hoeydonck cuba menjual replika patung berkenaan di pasaran tetapi Scott menyakinkannya untuk tidak mencabuli perjanjian asal mereka.
21. SAINTIS
Memandangkan program Apollo akan berakhir selepas pemotongan dana, desakan komuniti saintifik kepada NASA untuk membawa saintis ke bulan juga semakin kuat. Ini kerana kebanyakan angkasawan yang dihantar ke bulan merupakan juruterbang ujian agensi berkenaan yang sudah dilatih sebagai angkasawan dan tiada latar belakang sebagai saintis. Ini mendorong NASA berkira-kira membawa saintis dan melatih mereka sebagai angkasawan. Tetapi apabila misi Apollo 17 merupakan misi terakhir ke bulan, NASA akhirnya mengalah dan membawa masuk seorang ahli geologi bernama Harrison Schmitt.
Schmitt sudah menjalani latihan intensif yang melayakkannya menjadi seorang angkasawan dan sudah bersedia menjadi sebahagian krew Apollo 17. Semasa berada di bulan selama tiga hari, Schmitt menggunakan masa itu dengan meneroka, mengorek batu-batu bulan dan membawa pulang sampel-sampel menarik. Ramai saintis dapat pergi ke angkasa lepas tetapi penghormatan sebagai saintis pertama yang berjalan di bulan tetap milik Schmitt.
SUMBER
- Andrews, Evan. (2016). History.com. 10 Things You May Not Know About The Apollo Program. https://www.history.com/news/10-things-you-may-not-know-about-the-apollo-program
- Handley, Tim. (2009). BBC. Apollo 11: A few thoughts. http://news.bbc.co.uk/2/hi/in_depth/sci_tech/2009/moon_landing/8152846.stm
- McDonald, Kevin. (2013). Listverse. 10 Things You Didn’t Know About The Apollo Moon Landings. https://listverse.com/2013/11/30/10-things-you-didn39t-know-about-the-apollo-moon-landings/
- Sietzen, Frank. (1997). SpaceWar.com. Soviet’s Planned to Accept JFK’s Joint Lunar Mission Offer. http://www.spacewar.com/news/russia-97h.html
- The Telegraph. (2012). American flags still standing on the Moon, say scientists. https://www.telegraph.co.uk/news/science/space/9439047/American-flags-still-standing-on-the-Moon-say-scientists.html
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih