Lagi bidasan artikel Faisal Tehrani dalam FMT berjudul “Kenapa Melayu rajin merasvah yang dinyatakan olehnya bersandarkan fasal-fasal dalam Sejarah Melayu.

Kali ni aku rujuk fasal kedua yang dia rujuk separuh-separuh, berjudul “Punca Mencetuskan Sekejam-kejam Hukuman”.

Apa yang ramai tidak tahu, selain ada isu kritikal yang tidak jujur dinyatakan oleh FT dalam artikelnya tu, fasal tentang rasvah yang diberikan oleh Nina Sura Dewana kepada Bendahara Seri Maharaja, fasal ini turut berkait rapat dengan fasal berjudul “Tamat Riwayat Tiga Orang Besar Negara” yang menjelaskan isu sebenar yang berlaku. Ini juga tidak jujur dinyatakan oleh FT sendiri dalam tulisannya.

Ini fasal berjudul “Punca Mencetuskan Sekejam-kejam Hukuman”, dari Sejarah Melayu. Ini adalah fasal kedua yang dirujuk oleh Faisal Tehrani (FT) tentang artikel dia dalam FMT berjudul “Mengapa Melayu Rajin Merasvah”. Sekali lagi, rujukan dia pada fasal ini tidaklah secara menyeluruh, separuh benar dan ada fakta kritikal yang menyimpang dari kebenaran.

Saya highlightkan siap isi penting dengan highlighter, untuk mudahkan pemahaman kalian, tapi saya syorkan supaya untuk membaca habis keratan yang saya naikkan, supaya tahu apa yang sebenarnya disampaikan oleh kisah ini, dan dibandingkan dengan tulisan FT.

1. Nina Sura Dewana (NSD) memang ada kes dengan Raja Mendeliar (RM). NSD dan RM datang berjumpa Bendahara Seri Maharaja (BSM) di mana keduanya berkehendakkan BSM sendiri mengadil kes mereka dengan adil.

2. Tapi dek keduanya datang dah agak lewat, maka BSM menyuruh keduanya pulang dulu dan datang esok hari. Ini pastinya memberi masa kepada BSM untuk memikirkan tentang kes dan aduan yang diterimanya dari NSD dan RM. Pertimbangan beliau pastilah lebih tuntas dan jelas jika kes itu diadili seawal hari esoknya bermula.

3. NSD memiliki sikap prejudis untuk memikirkan bahawa RM akan cuba membeli dan menyogok BSM dan kes tidak akan berpihak kepadanya.

4. NSD kemudian datang juga malamnya berjumpa BSM, dengan membawa sebahara emas memang tujuannya untuk merasvah BSM.

5. TETAPI, perhatikan ayat ini; “Tunku, emas persembah sahaya akan pembeli sirih pinang;” kata NSD.

6. NSD sebenarnya cuba mengaburi BSM supaya menerima juga emas yang dibawa dengan alasan untuk membeli sirih pinang.

7. Atas alasan untuk memang membeli sirih pinang, maka emas itu diterima juga oleh BSM sebagai bayaran sambil berkata; “Baiklah, tuan hamba memberi hamba, hamba ambillah.”

8. Jadi emas oleh NSD itu diambil oleh BSM bukan sebagai sogokan, tetapi sebenarnya sebagai bayaran atas urusan jual beli sirih pinang.

9. Baik. Jika hujah di 1-8, anda tak boleh terima, perhatikan pula perenggan seterusnya yang jelas menunjukkan bahawa NSD bukanlah Melayu kerana bersaudara dengan Kitul.

10. Ya. Kitul bukanlah seorang Melayu seperti ramai yang menyangka. Untuk berlaku adil, namanya hanya disebut 16 kali sahaja di dalam Sejarah Melayu dan semuanya dalam fasal yang ini sahaja. Namanya tidak disebut sebagai kononnya mengkhianat Melaka semasa Portugis tiba. Tidak ada asas dia terlibat dalam serangan Portugis ke atas Melaka. Kerana apa? Kau kena baca lagi.

11. Jadi, apakah mungkin NSD seorang Melayu kerana bersandarkan kisah ini, “saudara” mungkin bermaksud rakan, sekadar biras atau hanya saudara jauh yang berlainan bangsa dengan Kitul?

12. Tidak. Ini kerana seorang lagi saudagar dengan pangkal nama Nina iaitu Nina Chattu memang seorang saudagar dan pemimpin Keling dan Hindu dari India seperti tertulis dalam buku “Portuguese Documents on Malacca from 1509 to 1511” oleh MJ Pintado, juga dinyatakan sepertinya di dalam buku “Indo-Portuguese History: Old Issues, New Questions” yang disusun oleh Teotonio R. De Souza.

13. Jadi, jika NSD sendiri bukan Melayu, celah mana Melayu rajin merasvah yang dia sembang ni? Anda boleh nilai sendiri.

14. Baik. Selesai apakah sebenarnya berlaku antara NSD dan BSM, malah jika ia rasvah sekalipun, kita dah tahu hal siapa sebenarnya NSD yang disebut oleh FT merasvah BSM. Ini perkara kritikal yang disembunyikan oleh FT dalam FMT tu.

15. Kitul kemudiannya pergi berjumpa RM kerana dia optimis dan nampak peluang untuk melangsaikan hutang lapuknya dengan RM.

16. Sila baca pada highlight pertama pada muka surat 256 Sejarah Melayu ni yang menceritakan bahawa Kitul sendiri buat cerita kononnya NSD dah berjaya membeli dan mempengaruhi BSM dengan emas dan esoknya akan RM yang akan dibvnuh pula oleh BSM. Wah kemain kau Kitul. Ini pun FT tak cerita dan tak nyatakan dalam artikel dia yang viral itu.

17. RM yang marah dan cuak dengan hal tu, berterima kasih kepada Kitul kerana memberitahu dia perkara tersebut. Sebagai tanda terima kasih, hutang Kitul dengannya selesai.

18. RM pula dalam keadaan marah dan nampak peluangnya untuk melepaskan diri, bawa emas pula untuk dipersembahkan semasa pergi mengadu kepada Laksamana Khoja Hassan (LKH) yang satu Melaka tahu kamcheng dengan Sultan Mahmud Syah (SMS).

19. RM mengadu pada LKH tentang kisah Kitul akan perihal NSD merasvah BSM dan kini mengancam nyawanya.

20. Di akhirnya, LKH berjanji pada RM untuk membawa perkara ini kepada baginda SMS sendiri. Fasal ini tamat.

21. Fasal seterusnya ini yang berjudul “Tamat Riwayat Tiga Orang Besar Negara” berkait dengan fasal sebelumnya. Ia menjelaskan komplot yang akhirnya terbongkar jua, membersihkan nama BSM yang dikatakan menerima rasvah dari NSD. Kalau larat, sila teruskan baca. Tak larat, pergilah tidur.

22. Dalam ms 257 Sejarah Melayu ni, secara ringkasnya LKH mengadu kepada baginda SMS, dan dengan kecewa dan patah hatinya, sedih akan orang kepercayaannya BSM telah melakukan khianat konon menerima rasvah dari NSD, maka dititahkan baginda sendiri iaitu dua pegawai baginda untuk membvnuh BSM.

23. Tun Hassan Temenggung (THT) yang nak melawan titah baginda SMS, tetapi ditegah keras oleh BSM sendiri demi ketaatan beliau pada SMS dan Melaka.

24. Keris SMS ditunjukkan kepada BSM tanda titah baginda SMS perlu dijalankan, dan BSM bersama Seri Nara Diraja (SND) mengambil wudhuk, bersedia untuk dihukum bvnuh.

25. Lagi bukti ketaatan BSM kepada baginda SMS di mana BSM menegah THT dari membuang emas kononnya rasvah yang diberi oleh NSD. BSM sendiri mahu emas itu diserahkan kepada baginda SMS selepas mereka mati dihukum bvnuh.

26. Empat orang dibvnuh oleh utusan baginda SMS iaitu BSM, NSD, THT dan Tun Ali (TA). Empat sahaja dengan tiga mereka adalah orang besar negara.

27. Baginda SMS sendiri murka apabila ada Benggali sesat nama Mia Sama dari mana entah memandai-mandai pulak pergi tibai anak NSD, Tun Hamzah (TH) padahal TH bukan dalam senarai kena dihukum bvnuh. Sudah eh, Benggali tu dititah bvnuh pula oleh baginda SMS kerana buat palatau sendiri.

28. Begitulah adilnya SMS dan begitulah kasih hamba rakyat kepada Sultannya ketika itu. Tiada kompromi, tidak berlebih dan tidak berkurang, tidak mempersoalkan dan taat seperti adanya. Empat pembesar yang dihukum bvnuh tadi dititah pula oleh baginda untuk diuruskan jenazah mereka dengan sempurna.

29. Selepas harta rampasan dari BSM yang diberi oleh NSD dibawa ke istana, baca pada baris atas sekali bahawa baginda merasakan ada yang tidak kena kerana nilai atau rupa harta (peti berisi emas).

30. Baginda SMS perasan bahawa harta tersebut tidak nampak sepadan dengan nilai yang diberitahu LKH hasil cerita dari Kitul tentang nilai “rasvah” NSD kepada BSM. Ini bermakna, Kitul memandai buat cerita kepada RM, yang macam aku cerita tadi nak lepaskan tengkuk dia dari hutang dia sendiri dengan RM.

31. Baca highlight biru pada ms 259 Sejarah Melayu ni, yang jelas bahawa SMS sendiri akhirnya sedar bahawa Kitul telah memfitnah BSM. Baginda SMS amat kecewa dan sedih dan murka kerana atas titahnya, tiga (empat) pembesar negara telah disalah hukum bvnuh)

32. Baginda terus menitahkan supaya Kitul dan segenap keluarganya disula melintang (mungkin hukuman sula dari belikat belakang atau dari rusuk tepi terus ke jantung, bukan seperti salang iaitu dari lekuk selangka kiri). Ini sekaligus menjelaskan mengapa di awal pada (10) aku dah cakap yang Kitul tak terlibat dengan serangan Portugis atau mengkhianati Melaka. Pasal dia dah mati kena bvnuh lama.

33. RM pula dibvnuh, dan rumahnya diruntuhkan.

34. LKH terlepas dari dibvnuh walaupun dia pun salah juga pasal percaya bulat-bulat kisah RM dan Kitul, tapi harta bendanya tetap dirampas sebagai hukuman.

35. Sekian, bidasan dan penjelasan kisah sebenar dari Sejarah Melayu tentang perkara ini. Gigih betul baca ni, tak mengantuk ke?



Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pensyarah yang minatnya pada sejarah dan warisan Melayu. Membaca kerana hobi dan menulis kembali untuk terus berkongsi.

Comments are closed.