Seorang lelaki, (Serverus) menulis tentang kisah perebutan cinta antara beliau dengan seorang lagi jejaka. Dia menulis:

“Hari ni saya mengetahui tentang Successus yang turut mencintai Iris. Dahlah bertepuk sebelah tangan, tapi masih lagi tak tahu malu menagih cinta dari orang yang tak sudi. Kepada lelaki tersebut, Bye-bye Loser.”

Successcus kemudian membalas dengan satu komentar di ruangan yang sama. “Kepada kononnya pencinta Iris, kenapa nak menghalang usaha jejaka yang lebih kacak dalam merebut cinta Iris? Semua orang tahu, antara kita berdua, saya lebih tampan.” Serverus membalas kembali “Saya malas nak layan jantan muka tembok. Tak malu ke cinta tak berbalas. Sekali lagi saya ucapkan pada Successcus, Bye-bye loser!”

Perbualan di atas, dengan ciri-ciri komentar dan balasan komentar nampak seperti satu interaksi yang berlaku di Facebook, ataupun Twitter, ataupun mana-mana platform media sosial yang anda gunakan sekarang. Tetapi pada hakikatnya interaksi di atas berlaku di sebuah dinding di Pompeii. Ya, seperti juga di Facebook Wall, “wall” di Pompeii juga penuh dengan interaksi dan hantaran-hantaran yang pelbagai persis platform media sosial. Dan perkara ini berlaku lebih kurang 2 milenia yang lalu.

Pompeii Sebagai Kapsul Masa

Pada pagi musim panas tahun 79 Masihi, Gunung Berapi Vesuvius yang terletak berdekatan dengan Bandar Pompeii di pesisiran Pantai Naples meletus dalam satu letusan besar yang melenyapkan terus Pompeii dalam lipatan sejarah. Sebelum letusan, penduduk di Pompeii dan juga di kawasan sekitar tidak sedar akan bencana yang bakal menimpa mereka (walaupun berbagai gegaran dan tanda-tanda awal berlaku dalam beberapa hari sebelum Vesuvius meletus) dan terus menjalankan aktiviti harian tanpa sebarang rasa takut dan gusar. Ini menyebabkan apabila Vesuvius meletus, lebih dari 1000 penduduk Pompeii tertanam di bawah timbunan lahar dan debu.

Letusan Gunung berapi Vesuvius merupakan satu malapetaka buat penduduk Pompeii, tetapi dilihat sebagai satu rahmat buat para arkaeologi dan sejawan. Apabila Pompeii ditemui semula pada kurun ke-18, timbunan lahar dan debu itu memelihara bandar Pompeii dari hakisan masa membolehkan ahli arkaeologi melihat Pompeii dari kaca mata orang purba.

Pompeii seolah-olah terperangkap dalam masa dan ini membolehkan para arkaeologi mengkaji dengan lebih teliti bagaimana penduduk tamadun Rom purba menjalankan aktiviti seharian mereka. Kajian demi kajian yang dilakukan di tapak arkaeologi Pompeii memberikan ahli sejarawan dan ahli arkaeologi pemahaman yang lebih mendalam tentang salah satu tamadan teragung dunia barat.

Antara penemuan yang menarik dijumpai di Pompeii adalah contengan di dinding sekitar bandar purba ini. Ahli arkaeologi merekodkan sehingga 10,000 contengan di sekitar dinding bandar yang mempunyai populasi penduduk mencecah 10,000-20,000 ketika gunung berapi Vesuvius meletus. Pada mulanya mereka (ahli arkaeologi) ini tidak mengambil peduli pada contengan-contengan tersebut dan menganggap ia sebagi benda picisan. Ini kerana kajian mereka khusus dari perpektif orang terkemuka dan bijak pandai di Bandar Pompeii dan kebanyakan dari golongan bijak pandai di bandar ini tidak akan menghabiskan masa mereka dengan menconteng dinding.

Namun begitu, apabila diperiksa dengan lebih teliti, contengan di dinding itu sebenarnya merakamkan sedikit sebanyak cara penduduk Rom berinteraksi dan berhubung di antara satu sama lain. Dinding di sekitar Bandar Pompeii boleh diumpamakan seperti media sosial yang menjadi medan interaksi masyarakat.

“Facebook Wall” Di Zaman Purba

Contengan di “wall” di sekitar bandar Pompeii boleh didapati di mana-mana. Dari tempat tumpuan awam sehinggalah ke dalam rumah persendirian, Contengan ini terdapat dalam pelbagai jenis, maksud dan juga tujuan persis seperti sebuah “wall” di Facebook di zaman kini. Antaranya:

Hantaran Politik

Seperti juga kita yang saban hari asyik bertelagah di ruangan Facebook tentang politik, begitu jugalah yang berlaku kepada penduduk Pompeii purba.Berbagai contengan dijumpai ahli arkaeologi yang ditulis oleh penyokong ataupun ahli politik sendiri. Ada antaranya contengan sebagai tanda sokongan dari orang-orang terkemuka.

Antanya “Saya, Vesonius Primus menyokong sepenuhnya Gnaues Helvius sebagai Datuk Bandar. Beliau adalah calon yang paling layak”. Ada juga contengan yang didatangkan dari kumpulan ataupun organisasi yang menyokong calon pilihan mereka. “Kami, dari Pertubuhan Tukang Emas Pompeii menyatakan sokongan sepenuhnya kepada calon Gaius Caspius Pansa sebagai Datuk Bandar”.

Selain hantaran berbentuk positif, kritikan (lebih kepada penginaan dan cercaan) juga boleh didapati. Contengan berbentuk sindiran seperti “Kami dari persatuan perompan-perompak Pompeii menyatakan sokongan kami kepada Vatia sebagai Datuk Bandar” dan juga “Hanya mereka yang mabuk sahaja akan mengundi Vatia sebagai Datuk Bandar” mewarnai dinding kota purba ini.

Ada juga ahli politik yang menggunakan platform media sosial purba ini sebagai alat untuk meraih undi. Sejarawan berpendapat bahawa ahli politik mendapatkan kebenaran dari orang-orang kaya sekitar Bandar Pompeii bagi menulis di dinding rumah mereka. Ini secara tidak lansung menunjukkan pengiktirafan orang-orang kaya Pompeii terhadap sesetengah ahli politik yang mereka sukai.

Hantaran Berbentuk Promosi atau Pengiklanan Produk

Saya yakin, ada di antara sesetengah pengguna Facebook yang berdepan dengan hantaran-hantaran berbentuk promosi atau pengiklanan barangan yang memenuhi “wall “mereka. Perkara yang sama juga berlaku 2000 tahun yang lampau. Contengan-contengan untuk mempromosikan sesetengah produk boleh didapati di sekitar Bandar Pompeii.

Contoh yang menarik yang saya boleh paparkan di sini adalah seperti “Untuk disewa: Rumah kedai dua tingkat. Milik Gnaeus Alleius Nigidius Maius dan terletak di blok Arnius Pollio. Mereka yang berminat boleh berjumpa dengan Primus, hamba kepada Gnaeus” dan juga “Penyanyi bernama Phoebus menghabiskan masa yang indah di hotel ini.”

Ada juga contengan berbentuk cadangan tempat melawat ataupun tempat makan yang menarik seperti yang boleh ditafsirkan melalui contengan ini “Kepada para pelancong, Pompeii adalah bandar yang terbaik untuk mendapatkan sebuku roti. Tetapi kalau anda inginkan minuman yang sedap, silalah berkunjung ke bandar Nuceria”.

Hantaran Peribadi dan Aktiviti Harian

Antara hantaran yang gemar dibuat oleh pengguna di Facebook adalah hantaran menceritakan aktiviti harian ataupun luahan hati yang terpendam. Ini tidak terhad kepada hantaran di Facebook sahaja, malah ia memenuhi Twitter, Instagram dan juga di dinding Pompeii.

2000 tahun yang lampau, contengan seperti kata-kata pujangga turut boleh didapati di sekitar dinding Pompeii. “Masalah yang kecil jika dihiraukan akan menjadi lebih besar” dan juga “Mereka yang tidak pernah dicintai tidak layak dipanggil gagah” merupakan antara contoh kata-kata ‘hikmat’ yang boleh didapati di dinding Pompeii.

Ada juga contengan-contengan yang menceritakan aktiviti harian si penconteng. Seperti “Pada hari ini, saya berjaya membuat sebuku roti!” dan juga “Hari ini saya makan malam bersama orang gasar”. Ada juga contengan luahan perasaan seperti ini “Atimetius lah lelaki yang bertanggungjawab membuntingkan saya” dan juga “Sarra, sampai hati awak tinggalkan saya terkapai-kapai di sini tanpa haluan”.

Rumusan

Apa yang saya tulis di atas adalah hanya beberapa sahaja contoh dari beribu-ribu lagi contengan yang terdapat di bandar purba ini. Dan contengan ini bukan sahaja boleh dilihat di bandar Pompeii malah boleh dilihat kesannya di bandar-bandar Rom purba yang lain (tetapi dalam jumlah yang sangat sedikit).

Contengan-contengan yang ada di dinding zaman purba mempunyai banyak iras dan persamaan dengan “contengan” di dinding Facebook yang kita boleh dapati di zaman ini. Ia boleh dikatakan sebagai perintis, bentuk awal media sosial yang kini merupakan sebahagian dari kehidupan kita. Ingatlah, pada setiap kali anda ingin membuat hantaran yang baru di Facebook, anda hanya melakukan apa yang pernah dilakukan oleh penduduk Rom purba 2000 tahun yang lampau.

RUJUKAN:

Standage,Tom, “The Writing on the Wall: Social Media-The First 2000 years” Bloomsbury (2013) m/s 47-51

Owens,James (2018), “Pompeii” National Geographics          

Gonzalez, Robbie (Julai, 2012), “The graffiti of pompeii was downright raunchy and-absolutely hilarious” iO9

Pappas,Stephanie (Januari, 2013), “Pompeii ‘Wall Posts’ Reveal Ancient Social Networks” LiveScience


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang jurutera muda yang meminati teknologi, sejarah dan paling utama sekali, permainan video. Motto hidupnya adalah: "Kalau tak perlu buat,jangan harap aku nak layan. Kalau perlu,sepantas kilat aku kerjakan." Beliau berhasrat mengumpul ilmu sebanyak mungkin dan menyebarkannya demi kemajuan bangsa,agama dan tanah air.

Comments are closed.