Padang pasir “Timur Tengah” mempunyai rizab sejarah keagamaan yang tiada tandingan dengan mana-mana benua lain. Daripada Judaisme ke Islam, pengaruh dari sana menghasilkan dua agama terbesar dunia. Ia juga meriwayatkan sejarah satu kelompok iaitu Bani Israil yang merujuk kepada umat berbagai-bagai suku Nabi Ibrahim as.
Berdasarkan sejarah yang diriwayatkan dalam Bibel, “Israil” merupakan nama yang dikurniakan kepada Nabi Ya’akub as setelah baginda menewaskan seorang malaikat. Tetapi pertarungan ini tidak dianuti agama Islam. Di sebalik perbezaan sudut agama, perkara ini tidak seharusnya dijadikan penghalang untuk diceritakan.
Kelompok Bani Israil bermula melalui Nabi Ya’akub menerusi 12 orang anak baginda – Re’uven, Shim’on, Levi, Yehuda, Dan, Naftali, Gad, Asher, Yissakhar, Zebulun, Yosef dan Binyamin; turun temurun setiap seorang ini mendirikan suku mereka sendiri, kecuali Yosef (Nabi Yusuf as) tetapi anak-anak baginda Manasseh dan Ephraim turut menyertai pendirian suku ini.
Jika diteliti dalam Judaisme, kelompok ini mempunyai pengaruh yang besar dalam peristiwa-peristiwa akhir zaman dianuti mereka. Keturunan Nabi Yusuf as dipercayai akan berperang menentang kezaliman Yakjuj-dan-Makjuj agar al-Masih berketurunan Nabi Daud as dapat disediakan takhta untuk berkuasa. Dalam bahasa Ibrani, kedua-dua keturunan ini digelar al-Masih: “Maschiach ben Yosef” (al-Masih bin Yusuf) dan “Maschiach ben David” (al-Masih bin Daud).
Perkara ini berbeza dengan Islam yang meletakkan tugas al-Masih keatas bahu Isa bin Maryam. Tetapi ia langsung tidak mengecilkan skop Nabi Ya’akub as dan Nabi Yusuf as. Pada suatu hari, Nabi Yusuf as memberitahu ayahandanya akan satu mimpi yang menunjukkan 11 bintang, Matahari dan Bulan tunduk hormat kepada Nabi Yusuf as. Pada masa itu, Nabi Ya’akub as sudah tahu maksud disebalik mimpi ini, bahawa beliau adalah Matahari tersebut manakala Bulan itu merujuk kepada isterinya yang melahirkan Nabi Yusuf as iaitu Rakhel dan 11 bintang adalah tidak lain tidak bukan anak-anaknya (Qur’an 12:4-6).
Nabi Yusuf as dilarang berkongsi mimpi ini bersama saudara-saudaranya, tetapi berbeza dengan Bibel yang menceritakan baginda memberitahu semua akan mimpinya (Kitab Kejadian 37:9-11). Tetapi al-Qur’an dan Bibel menjalinkan persamaan berkaitan dengan perancangan saudara-saudaranya agar membunuh Nabi Yusuf as (Qur’an 12:9) atas dengki. Tetapi mereka ubah fikiran dan membuangkannya ke dalam sebuah telaga. Nabi Yusuf as diselamatkan sekumpulan musafir dan dijual dengan harga yang murah kepada seorang Aziz jauh di Mesir (Qur’an 12:20).
Dalam Bibel, Aziz ini bernama Potiphar, seorang kapten penjaga istana (Kitab Permulaan 39:1). Setelah Nabi Yusuf as mencapai usia kematangan, ketampanannya diselitkan lagi dengan pemikiran yang cerdas seperti ayahandanya (Qur’an 12:22). Dan pada masa ini, Zulaikha berusaha merapatinya. Kesukaan ini mengundang penjara pula kepada Nabi Yusuf as yang membuka jalan kepada kisah penafsiran mimpi. Perkara ini menarik perhatian raja Mesir (menariknya, Qur’an tidak merujuk raja ini sebagai Firaun). Akhirnya Nabi Yusuf as dibebaskan, berkahwin dengan Zulaikha dan mendapat tempat tinggi dalam kalangan masyarakat Mesir.
Kedua-dua nabi (Ya’akub dan Yusuf) bertemu di Mesir setelah sekian lama berpisah. Janji Allah kemudiannya dinyatakan: 11 bintang, Matahari dan Bulan tunduk hormat kepada Nabi Yusuf as (Qur’an 12:100). Kisah ini, walaupun dilihat kecil, merupakan permulaan kegemilangan Bani Israil. Kelompok ini berhijrah bersama Nabi Ya’akub as memandangkan kebuluran melanda di Tanah Canaan dengan angka lebih kurang 70 orang sahaja.
Dalam masa empat generasi, Bani Israil berkembang pesat sehingga mencecah 600,000 orang. Mereka merangkul kedudukan tinggi dalam hal ehwal politik, kebudayaan dan ekonomi Mesir Purba. Bermulanya satu lembaran kerasulan baru pada era kezaliman seorang penguasa hanya kerana sifat waspada terhadap “pendatang-pendatang Canaan” ini. Pandangan curiga ini pula dikongsi bangsa Qibti di Mesir. Maka Firaun berniatkan untuk melebur dominasi ini menyekat kebebasan Bani Israil, memperuntukkan cukai tinggi dan tuntutan buruh kasir yang teruk.
Sebaliknya pula berlaku: lebih teruk Bani Israil dikerjakan, lebih banyak mereka berkembang. Pada satu hari, Firaun pula mendapat mimpi yang kerajaannya dijilat api dari Baitulmaqdis; dan didalam mimpi itu, Bani Israil tidak diapa-apakan. Selepas berbicara dengan nujum-nujumnya, Firaun menitahkan anak-anak lelaki Bani Israil dicampakkan dalam Sungai Nil. Pakar-pakar ekonomi Mesir Purba terkejut akan titah ini kerana penghapusan sumber manusia akan menggugatkan ekonomi mereka. Firaun menitahkan bahawa bayi-bayi lelaki Bani Israil dibunuh setiap dua tahun.
Walau apa pun, berita ini mencetuskan kegusaran dalam kalangan Bani Israil. Seorang wanita daripada suku Levi (rujuk senarai anak-anak Nabi Ya’akub) terpaksa meletakkan bayinya dalam raga untuk dibawa arus Sungai Nil. “Pembuangan bayi” ini mengandungi inspirasi ketuhanan yang tersurat (Qur’an 28:7). Bayi tersebut ditemui Permaisuri Firaun sendiri (Asiyah) yang berjaya memujuk Firaun supaya diambil anak angkat. Tetapi Nabi Musa as menolak ibu-ibu susuan sehinggalah ibu kandungnya diseru; maka sekali lagi janji Allah dizahirkan, bahawa Nabi Musa as akan ditemui semula ibunya.
Seperti didendangkan nujum-nujumnya, Nabi Musa as berjaya mengeluarkan Bani Israil daripada cengkaman zalim Firaun dan secara tidak sengaja menjatuhkannnya, itupun berdasarkan pilihan Firaun sendiri. Usaha Nabi Musa as pula bukannya satu perkara yang harus diambil mudah. Firaun diselingkan bala-bala dahsyat yang tiada manusia mampu mengharungi. Tetapi KESEMUA bala itu tidak menginsafkan Firaun walau sedikit pun:
http://www.thepatriots.my/keangkuhan-firaun-berdasarkan-bibel-bala-bala-dahsyat-yang-menundukkan-kesombongan-firaun/
Bani Israil dipimpin kembali ke Tanah Canaan. Di sana mereka bertemu dengan seorang gergasi bernama Uj, yang akhirnya disudahkan dengan pertempuran antaranya bersama Nabi Musa as. Tetapi disini jelas bahawa Bani Israil mempunyai masalah apabila menempuhi dugaan. Hanya dua orang sahaja yang turut serta bersama baginda, sekaligus Bani Israil melanggar syariat Allah dengan “pengunduran ke belakang” (Qur’an 5:21). Dua lelaki ini cuba membakar semangat Bani Israil tetapi inilah balasan mereka, “wahai Musa, sesungguhnya kami tidak akan memasuki negeri itu selama-lamanya selagi kaum itu masih berada di dalamnya; oleh itu pergilah engkau bersama Tuhanmu dan perangilah mereka. Sebenarnya kami disinilah duduk menunggu.” (Qur’an 5:24)
Salah seorang daripada dua lelaki tersebut adalah Joshua, seorang individu yang berdasarkan perbezaan pendapat merupakan nabi atau “sahabat nabi” selepas kewafatan Nabi Musa as.
Atas keengganan ini, Bani Israil diharamkan memasuki Tanah Suci selama 40 tahun lamanya. Mereka dipimpin Nabi Musa as ke Gunung Tursina pula. Disini baginda diseru mendakinya, meninggalkan umatnya kepada Nabi Harun as buat sementara waktu. Diperintah puasa 40 hari, baginda kemudian membuat permintaan yang bersejarah dalam hukum alam.
Baginda memohon Allah tunjukkan ‘dirinya’. Dan semua umat Islam kini tahu apa yang berlaku – bagaimana di depan mata Nabi Musa as sendiri Allah menzahirkan kebesaran-Nya sehingga gunung terlipat, tergulung, diratakan dan hancur lebur sampai baginda as sendiri pengsan.
Apabila tersedar, baginda terus memohon taubat. Dan Nabi Musa as dikurniakan Sepuluh Hukum sebagai panduan. Namun hanya Allah saja tahu betapa hancurnya hati baginda setelah diberitahu umatnya disesatkan atas penipuan Samiri, yang membuat Patung Lembu Emas sambil mengisytiharkannya sebagai Tuhan Nabi Musa as.
Apabila Nabi Musa as mempersoalkan mereka, inilah jawapan diberi:
“Kami tidak menyalahi janji kami kepadamu itu dengan kuasa dan ikhtiar kami, tetapi kami telah dibebankan membawa barang-barang perhiasan orang-orang (Mesir) itu, supaya kami mencampakkannya ke dalam api lalu kami melakukan yang demikian, maka demikianlah juga “Samiri” mencampakkan apa yang dibawanya.” (Qur’an 20:87). Lalu Samiri menciptakan sebuah patung lembu, sambil mengatakan, “Ini ialah tuhan kamu dan tuhan bagi Musa, tetapi Musa telah lupa!”
Setelah kekeliruan ini dibetulkan dan Samiri dibuang daripada kelompok Bani Israil, Nabi Musa as terus memimpin umatnya sehingga kewafatan yang baginda mewasiatkan bahawa ganjaran dan bala besar menanti Bani Israil tertakluk kepada pengamalan mereka sama ada mereka mengikuti atau abaikan ajaran Taurat (Kitab Ulangan 28).
40 tahun selepas keluaran Bani Israil dari Mesir, mukmin bernama Joshua yang disebutkan tadi memimpin kelompok aneh ini kembali ke Tanah Canaan. Sangat logik untuk mengaitkan Joshua sebagai mukmin yang taat kepada Nabi Musa as. Sesungguhnya baginda pernah menyandang tanggungjawab sebagai ketua militan dalam pertempuran pertama selepas keluaran dari Mesir (Kitab Keluaran 17:8-16). Pada masa itu, Bani Israil sedang berehat di Wadi Feiran apabila puak Amalek menimpa mereka. Namun atas kehebatan Joshua, Bani Israil menikmati kemenangan.
Ibaratkan Saidina Abu Bakar atau Umar kepada Nabi Muhammad SAW, mungkin begitulah rapatnya Joshua kepada Nabi Musa as, cuma berbeza dari segi personaliti. Tetapi berdasarkan Bibel, Joshua adalah seorang nabi, kerana Tuhan sendiri berfirman kepadanya selepas kewafatan Nabi Musa agar merentasi Sungai Jordan sambil menjanjikan kejayaan besar kepada Bani Israil (Joshua 1:1-9). Pertempuran pertama berlaku di Jericho dimana Bani Israil meraih kemenangan besar.
Sedikit demi sedikit Bani Israil berkembang. Seterusnya, Bani Israil memohon seorang raja dan seorang nabi dalam kalangan mereka bernama Samuel memilih Talut (Sha’ul) sebagai raja, pemilihan yang kurang dipersetujui Bani Israil kerana Talut bukannya seorang yang kaya. Inilah kali pertama Bani Israil mempunyai negara, dengan kesatuan suku-suku Konfederasi bersama suku Yehudah dan Binyamin.
Dikatakan ancaman Filistin juga merupakan salah satu faktor yang menerajui kesatuan ini. 42 tahun kemudian, negara ini diterajui Nabi Daud as yang menyaksikan permulaan Zaman Keemasan Bani Israil, tetapi dikatakan juga selepas memenangi Perang Saudara terhadap Talut. Nabi Daud as meletakkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara dan berjaya menghalang kemaraan musuh. Kemudian negara ini diperintah Nabi Sulaiman as pula yang membina Kuil Pertama Yahudi dan meneruskan kegemilangan yang dimulakan ayahandanya.
Tetapi selepas kewafatan Nabi Sulaiman as, bermulalah episod baru dalam Bani Israil: Zaman Pertelingkahan. Kesatuan ini dileburkan akibat penggeseran antara-suku di Utara dan Selatan. Ia berlaku akibat 10 suku Utara tidak menerima Rehoboam sebagai pengganti Nabi Sulaiman as. Dan kesatuan ini terpecah kepada dua negara baru: Israel (Utara) dan Yehuda (Selatan).
Untuk 60 tahun kemudian, raja-raja Yehuda cuba mewujudkan penguasaan mereka terhadap Israel. Apabila disebutkan “Yehuda”, perlu dijelaskan bahawa sesiapa yang mengikuti Negara Selatan pada masa ini baru mula dikenali sebagai “Yahudi”. Ini bermakna, sebelum ini Bani Israil merupakan kelompok yang berprinsipkan “umat” berbagai bangsa. Nabi Musa as sendiri bukan seorang Yahudi, tetapi berbangsa Levi. Tetapi akibat kekeliruan yang dicetuskan persepsi moden, Bani Israil kerap dilihat sebagai kelompok suku-suku Yahudi.
Hakikatnya, Yahudi hanya sebahagian daripada Bani Israil, bukannya Yahudi itu adalah bangsa Bani Israil. Ia tiada beza dengan bangsa Melayu sebagai bahagian umat Islam sejagat.
Dalam masa 80 tahun seterusnya, tiada peperangan terbuka yang berlaku antara Israel dan Yehuda. Kedua-dua negara ini rapat menentang musuh yang nyata. Tetapi pada 722 S.M., Israel ditundukkan Empayar Assyria. Yehuda berjaya bertahan sehingga 586 S.M., ketika Empayar Babylon merusuh negara ini dan hasil daripada peperangan yang berlaku, Kuil Pertama yang dibina Nabi Sulaiman as dihancurkan.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih