Tahun lalu, komuniti saintifik berbahas mengenai penemuan baharu di satelit semulajadi planet Musytari iaitu Europa yang dikatakan wujudnya satu bentuk fisur-fisur gas seperti yang pernah dirakam di Enceladus – mengukuhkan lagi hipotesis akan wujudnya sistem lautan di Europa.
Sejak foto imejan resolusi tinggi yang dihantar oleh prob-prob angkasa Voyager, Cassini dan Galileo keatas satelit semulajadi Planet Musytari sampai kepada tangan-tangan para penyelidik angkasalepas, mereka berhipotesis akan kemungkinan adanya satu bentuk sistem lautan di Europa. Cerapan susulan oleh teleskop angkasa Goddard dan Hubble menguatkan lagi hipotesis ini yang pada pendapat pihak penulis adalah tidak mustahil sama sekali.
Hasil dari foto yang diambil prob-prob penjelajah angkasalepas tersebut memberikan satu kelainan pada Europa berbanding satelit-satelit semulajadi lain yang wujud dalam sistem suria – keadaan permukaan satelit semulajadi tersebut yang secara relatifnya sangat muda dan kurang kesan impak dahsyat akibat hentaman meteorit seperti yang kebiasaannya ditemui pada bulan kita di Bumi dan lain-lain planet yang mempunyai satelit semulajadi. Permukaan Europa yang sangat muda serta kesan aktiviti geologi yang tidak terlalu jelas (seperti ia wujud dan kemudian dihilangkan) menjadikan ia asas kepada para penyelidik untuk membentuk hipotesis akan kewujudan sistem lautan kedua di Sistem Suria selain dari Bumi.
Melihatkan linea (atau garisan) panjang yang bersilang antara satu sama lain pada Europa, memberikan satu gambaran bahawa ia adalah garis-garis yang terbentuk hasil dari fenomena pasang-surut yang wujud akibat daya tarikan graviti Musytari, memungkinkan adanya lautan sub permukaan dibawah lapisan tersebut yang sebilang masa memperbaharui permukaan keseluruhan satelit semulajadi sistem Jovian tersebut. Dikatakan permukaan Europa adalah terdiri dari lapisan ais tebal dan dibawahnya adalah lautan yang barangkali mengandungi organisma kehidupan.
Ini adalah antara bukti berdasarkan pencerapan saintifik serta perbandingan dengan sifat geologi Bumi sendiri yang memungkinkan akan wujudnya lautan sub-permukaan.
Sifat Europa hasil pencerapan oleh prob Cassini dan Galileo memberikan indikasi bahawa ia mempunyai atmosfera tersendiri – dimana dikesan wujudnya Ionosfera dan hasil cerapan medan magnetik Europa oleh Galileo yang memberikan data berkenaan adanya induksi medan magnet yang berinteraksi dengan Musytari, memberikan indikasi bahawa akan wujudnya lapisan konduktif sub-permukaan – mengukuhkan lagi hipotesis yang Europa mempunyai sistem lautan yang terbentuk dibawah lapisan permukaannya.
Walaubagaimanapun hipotesis akan kekal menjadi hipotesis jika sekiranya tiada usaha untuk menghantar prob angkasa bagi mencerap dengan lebih khusus akan satelit semuladi planet Musytari tersebut – dan yang lebih penting adalah mendaratkan prob penjelajah yang mampu meneroka permukaan dan menggerudi lapisan ais tebal (jika benar ia disahkan lapisan ais) dan menemukan lapisan lautan sub-permukaan.
Jadi andai benar adanya lautan sub-permukaan di Europa, dan kondisi lautannya menepati syarat untuk membolehkan organisma kehidupan wujud, bagaimanakah rupa bentuknya nanti?
Kita tidak perlu pergi sejauh filem fiksyen sains untuk membayangkan rupabentuk kehidupan yang bakal ditemukan (jika kondisinya menepati syarat) tetapi cukup kita melihat sendiri di Bumi – jauh di lapisan abyssopelagic dan hadalpelagic lautan-lautan besar yang meliputi 70 peratus permukaan planet biru ini, wujudnya sistem biosfera yang terdiri dari fauna dan flora yang tidak bergantung untuk hidup dengan cahaya matahari seperti kebiasaan di permukaan litosfera yang sedang kita berpijak.
Di lapisan lautan yang mana kedalamannya mencecah sehingga 5000 meter dan penembusan cahaya matahari adalah sifar sama sekali, hidupan akuatik bergantung hidup pada lohong-lohong hidroterma yang terhasil dari aktiviti geologi Bumi – apabila air laut bertembung dengan magma super panas lantas menghasilkan mineral-mineral dan gas karbon dioksida yang menjadi sumber kepada kewujudan bakteria chemosysthesis dan archae, organisma yang menjadi asas rantaian makanan yang kemudian menyokong ekosistem biologi lengkap dengan organisma pemangsa dan mangsa.
Dari sekecil-kecil bakteria sehingga sotong kurita, puluhan spesies ikan, moluska, cacing tiub gergasi dan menghuni lohong-lohong hidroterma yang bertaburan disekitar kawasan jurang lautan dan garisan-garisan pertemuan plat-plat tektonik yang sangat aktif aktiviti gunung berapinya.
Berdasarkan keadaan ekstrim lautan Bumi yang mana tekanan yang melampau, tiadanya sinaran solar pada lapisan bathypelagic (yang mencatatkan kedalaman 1000 meter dan keatas) hingga hadalpelagic, ditambah dengan wujudnya ekosistem unik yang bergantung kepada lohong-lohong hidroterma dengan kepelbagaian biologi yang sangat mustahil memberikan asas kepada para penyelidik yang menumpukan kepada pencerapan Europa untuk berhipotesis dan berspekulasi bahawa – adalah tidak mustahil kehidupan seperti di Bumi wujud di lautan sub-permukaan Europa.
Dan makhluk asing yang akan kita temui mungkin sejenis bakteria atau sejenis spesies ikan – jika kedapatan prob-prob penjelajah yang dihantar nanti berjaya secara fizikal menemukan sistem kelautan di Europa itu.
Begitulah bayangan para penyelidik biologi astronomi, dan kalangan saintis dan ahli astronomi menjangkakan jika hipotesis Europa mempunyai lautan sub-permukaan, maka bentuk kehidupan yang wujud mungkin tidak jauh berbeza dari yang ada jauh di dasar lautan Bumi ini.
Maka adalah tidak mustahil akan wujudnya makhluk dan organisma diluar Bumi ini lebih-lebih lagi di lokasi-lokasi yang kondisinya mirip dengan Bumi dari segi komposisi gas di atmosfera, kewujudan air dan lain-lain faktor, kerana sang Pencipta yang Maha Agung itu mempunyai kekuasaan yang sangat luas dan tidak tercapai oleh akal fikiran manusia.
Jadi mari kita menyelami keindahan semesta ini dan berlumba-lumba untuk menemukan lebih banyak penemuan baharu – agar kita menjadi hamba yang benar-benar patuh dan akur akan kekuasaan yang Esa.
Jika kita boleh menerima akan kewujudan makhluk halus yang hadir dari dimensi berbeza dari yang kita duduki di Bumi ini sendiri, kenapa makhluk diluar planet Bumi ini kita tidak boleh terima – kan kekuasaan Allah itu tidak ada batasan?
Dan bila disebutkan wujud – maka wujudlah ia….
p/s : sehingga artikel ini ditulis, beberapa agensi angkasalepas sedang dalam proses menyiapkan prob-prob angkasa untuk dihantar ke Europa untuk mengenalpasti dengan lebih teliti akan rupabentuk permukaan dan komposisinya, kehadiran unsur-unsur yang terampai diatmosfera yang membuktikan kewujudan lautan, komposisi atmosfera dan akhir sekali lokasi yang paling sesuai untuk pendaratan prob penjelajah di masa hadapan.
FJ
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih